Chereads / PENJELMAAN SEMULA PEDANG TUHAN TERULUNG / Chapter 52 - Biarawati Suci

Chapter 52 - Biarawati Suci

Perjalanan ke Perpustakaan Bandar Daun Merah sangat merbahaya. Jika seseorang pemain biasa cuba ke sana, peluangnya untuk mati sekali ialah 30%. Bagi baki tujuh puluh peratus, dia mungkin mati banyak kali.

Justeru, sebelum pergi ke Perpustakaan, Shi Feng menyimpan semua Batu Keras dan Batu Ahli Falsafah ke dalam Bank. Batu Ahli Falsafah akan tercicir selepas mati. Jika Shi Feng tiba-tiba mati semasa dalam perjalanan ke Perpustakaan, ia pasti amat merugikannya.

Berikutan itu, Shi Feng mengeluarkan empat buku kemahiran yang dibelinya sebelum ini dan memilih untuk mempelajarinya.

[Mata Memerhati]

Dapat melihat sasaran yang tidak diketahui dan tersembunyi. Terdapat peluang tetap untuk mengenal pasti pusat kelemahan sasaran.

Masa rehat: 40 saat

[Jalan Angin]

Pengguna diliputi angin; Kepantasan Bergerak meningkat sebanyak 30%. Terdapat peluang 50% untuk mengelak kemusnahan daripada serangan jarak jauh. Bertahan selama 10 saat.

Masa rehat: 2 minit

[Pembelah Bumi]

Memerlukan: Pedang

Mengakibatkan kemusnahan pusat 30 ke sasaran selepas guna, dan berdasarkan masa kuasa mengecas antara 0.2 saat ke 3 saat, maksimum kemusnahan senjata 300% boleh ditingkatkan. Jarak serangan 8 ela.

Masa rehat: 1 minute

[Bilah Perlindungan]

Memerlukan: Pedang

Jarak serangan biasa meningkat sebanyak 10 ela selepas guna. Boleh menangkis sehingga maksimum 6 serangan jarak jauh atau 3 serangan tempur jarak dekat. Bertahan selama 25 saat.

Masa rehat: 3 minit.

Dengan kemahiran-kemahiran baru ini, daya tahan Shi Feng dan potensi serangan meningkat dengan banyak; justeru, bahaya perjalanannya ke Perpustakaan semakin berkurang.

Perpustakaan Bandar Daun Merah terletak jauh dari Kawasan Perdagangan. Ia terletak di kawasan setinggan Bandar Daun Merah.

Kawasan Setinggan merupakan lokasi kedua paling popular selepas Kawasan Perdagangan. Terdapat pelbagai jenis orang di sini, dan ia merupakan sebuah tempat di mana penjenayah bergaul bersama penduduk jujur. Ia juga lokasi lawatan kegemaran sesetengah pemain, kerana nama alternatif bagi kawasan ini adalag…

Syurga Bagi Yang Terkorban!

Sebaik sahaja Shi Feng memasuki kawasan syurga ini, dari penjuru jalan, dia mendapati mata-mata yang penuh dengan sifat tamak memandangnya. Mereka ini merupakan tikus-tikus yang bersembunyi dalam kegelapan, mereka yang tidak diterima cahaya, dan pengembara sempadan neraka.

Pasti ada segelintir pemain di Kawasan Tuhan yang lain daripada yang biasa. Mereka tidak berminat dengan menakluki Dungeon, dan tidak juga berminat dengan keseronokan yang wujud daripada mengembara dan membahayakan diri sendiri. Yang mereka minat hanyalah menyamun. Mereka akan membunuh pemain-pemain lain dan merampas barangan mereka; kemudian, mereka akan menjualnya kepada orang lain dengan harga tinggi, lantas mengaut keuntungan yang besar.

Pada siang hari, pemain-pemain ini akan memburu dan menyamun para pemain dengan peralatan yang bagus. Malam hari, mereka akan kembali ke Setinggan untuk melupuskan barang curi mereka kemudian berkumpul dengan wang yang baru mereka dapat. Mereka akan berlagak tentang kutipan mereka untuk menunjukkan kekuatan mereka, mengambil peluang untuk meningkatkan kedudukan mereka di Setinggan. Pemain-pemain biasa tidak akan memijak tempat ini langsung. Jika mereka tidak memiliki kekuatan yang mencukupi, satu-satunya hasil ialah patah balik melalui kematian. Hal ini disebabkan lokasi ini tidak dilindungi Pengawal.

Shi Feng hanya menjeling para pemain yang tersembunyi di penjuru jalan. Dia mendapati petunjuk bagi pemain-pemain ini berwarna merah. Jelasnya mereka telah melakukan pelbagai perbuatan bunuh-dan-rompak…

Di dalam Kawasan Tuhan, Pemain Merah tidak dibenarkan memasuki kawasan terkawal. Kadar penciciran setelah mati bagi pemain-pemain ini juga ditingkatkan, dan hukuman mati mungkin ditingkatkan ke maksimum 300%. Lebih-lebih lagi, mereka akan ditahan dan dipenjara Pengawal jika mereka memasuki kawasan terkawal, dan tempoh pemenjaraan mereka bergantung kepada Nilai Jenayah mereka. Namun, walau dengan segala kekurangan ini, masih ramai pemain yang memilih untuk mengambil jalan ini. Manakan tidak, ganjarannya datang dengan cepat. Pemain Merah juga ada tempat mereka sendiri jika ingin mendiami Bandar Daun Merah. Misalnya, Setinggan. Lebih-lebih lagi, jika seseorang ingin menerima Misi yang bagus di Setinggan, mereka haruslah menjadi pemain Kuning ataupun Merah.

Berkenaan pemain-pemain ini yang tinggal bagai telur di hujung tanduk, Shi Feng tidak memandang mereka langsung. Dia terus bergerak ke arah jalan utama Setinggan. Pada kedua-dua belah jalan, terdapat beberapa wanita menggoda yang memakai pakaian mencolok mata. Apabila mereka ternampak pakaian Shi Feng, mereka mula menghantar jelingan nakal ke arahnya. Mereka ingin menghabiskan malam yang indah bersama Shi Feng, sambil mendapatkan Syiling yang serba sedikit.

"Adik, nak berseronok ke? Mari sini ke kanda. Kanda akan pastikan awak alami malam yang bahagia," seorang perempuan jelita yang memakai pakaian kulit merah cerah menghalang jalan Shi Feng.

Shi Feng terus menggunakan Mata Memerhati.

[Sharlyn] (Pangkat Elit)

Tahap 8

HP 1200/1200

"Hahaha, Sharlyn, awak sedang memancing ya. Peristiwa gembira macam ini, mana boleh awak tak ajak kami?" Sekumpulan lelaki yang tegap dan serba kejahatan berjalan ke arah mereka, masing-masing membawa senyuman dingin pada muka mereka.

"Ini rompakan ke?" Shi Feng bertanya dengan tenang, sambil memerhati persekitarannya. Dia menyedari dirinya sudahpun dikepung NPC. Terdapat juga beberapa Pemain Merah di tepi penjuru sebuah rumah setinggan, dengan senyuman sinis pada muka mereka.

Di Kawasan Tuhan, sudah menjadi perkara biasa untuk pemain dirompak NPC. Lebih-lebih lagi, ini bukan kali pertama Shi Feng dirompak NPC. Peristiwa yang paling meninggalkan kesan padanya semasa dia di Banjaran Pergunungan Ciptaan. Di sana, dia telah dirompak Panglima Perang NPC. Pada ketika itu, Shi Feng hanya mampu membayar tol jalan tanpa mampu berbuat apa-apa.

Kini, di hadapannya, terdapat seorang NPC Elit Tahap 8, di samping sekumpulan NPC Biasa Tahap 7. Situasi sebegini merupakan kebiasaan di Setinggan, tetapi Shi Feng tidak boleh menyalahkan orang lain kerana dia sendiri yang mahu datang ke sini.

"Budak, memandangkan awak nampak macam orang lurus, kami tak akan kacau awak sangat. Bagi 5 Syiling Perak, kami bagi awak lepas. Kalau tidak, kami sendiri akan ambil tindakan," kata seorang lelaki berparut sambil senyum sinis.

"Jadi. mari ambillah," kata Shi Feng sambil mengeluarkan Bilah Neraka.

Jika anda membayar tol jalan, tahniahlah. Bukan sahaja anda akan kehilangan wang, malah nyawa juga. Anda akan kehilangan sekurang-kurangnya sebuah peralatan yang ada pada anda. Inilah satu-satunya sebab pemain biasa mempunyai peluang 30% untuk mati sekali di Setinggan. Jika anda mengharapkan NPC-NPC yang mengembara sempadan kegelapan untuk mengotakan janji mereka, anda pasti mengalami kerosakan otak.

Muka menarik Sharlyn mendedahkan tanda-tanda busuk hati.

"Budak, awak menempah maut!" seorang lelaki Tahap 7 yang memegang sebilah pedang meluru ke arah Shi Feng.

Shi Feng menikam Bilah Neraka ke arah lelaki tersebut tanpa was-was.

Tetakan Kali Dua, Tetakan, Panahan Kilat, Pembelah Bumi… tetakan demi tetakan menembusi leher dan jantung lelaki tersebut. Dengan badan penuh dengan Peralatan Gangsa, bergandingan dengan Kekuatan Serangan Bilah Neraka, serangan-serangan Shi Feng telah terus menurunkan HP lelaki tersebut daripada 750 ke 0.

"Masih mahu sambung?" Shi Feng menjeling NPC yang mengepungnya, tersenyum sinis.

Kesemua NPC terkejut dengan Shi Feng. Mereka semuanya berpecah dan memberi laluan kepada Shi Feng, satu demi satu. Sementara itu, para pemain yang bersembunyi di penjuru juga terkejut. Shi Feng telah membunuh seorang NPC Tahap 7 dengan hanya beberapa langkah. Pemain ini terlalu kuat! Biasanya, pemain-pemain ini tidak akan mencari hal dengan seorang pemain yang diketahui kuat. Di Setinggan, kekuatan merupakan segalanya. Dengan senyap, mereka meninggalkan tempat kejadian.

Hanya Sharlyn yang tinggal dengan air muka yang terpikat.

"Adik Kecil, awak betul-betul kuat. Awak telah betul-betul menarik hati kanda. Kanda tertanya-tanya ke mana adik mahu pergi? Kanda boleh menunjukkan jalan dan menjimatkan masa awak, manakala awak cuma kena bayar sedikit sahaja," Sharlyn berjalan ke arah Shi Feng, sambil menawarkan senyuman yang tenang.

"Usah bersusah-payah. Saya tahu jalan ke Perpustakaan," Shi Feng tidak ingin bergaul dengan NPC-NPC seperti ini. Dia hanya ingin mencari petunjuk-petunjuk berkenaan diari Bunian.

Sharlyn tersenyum dengan lebih lebar apabila ditolak Shi Feng.

"Sayalah Pustakawati, Sharlyn. Awak boleh bertanyakan apa-apa hal tentang Perpustakaan. Tiada orang lain yang lebih mengetahuinya dari saya," Sharlyn menonjolkan payudaranya dengan bangga, sambil tersenyum manis.

"Bukan ke Pustakawati Bandar Daun Merah seorang Biarawati Suci?" Shi Feng tidak mempercayainya.

"Oh? Maksud awak ini ya?" Sharlyn mengeluarkan set pakaian biarawati dan menukar pakaian dalam sekelip mata. Tiba-tiba, perangainya yang liar terus lenyap. Dia seperti bidadari yang telah jatuh ke bumi, suci tak terbanding. Kehadirannya menyebabkan orang lain mendahagakan keampunan daripadanya.

Pada masa yang sama, maklumat yang Sharlyn tunjukkan telah berubah.

[Biarawati Suci Sharlyn] (Rasmi Suci)

Tahap 20

HP 10,000/10,000

Shi Feng juga terkejut. Situasi jenis apakah ini? NPC pun ada pekerjaan sambilan?