Chapter 43 - Buku Penempa

Shi Feng mengambil kunci Bilik Penempa Pertengahan dan naik ke tingkat kedua, mengabaikan gadis yang cuba menguratnya.

Tingkat pertama Persatuan Penempa hanya ada Bilik-Bilik Penempa Asas, manakala Bilik-Bilik Penempa Pertengahan berada di tingkat kedua.

Apabila dibandingkan dengan tingkat pertama, terdapat jauh lebih sedikit pemain di tingkat kedua. Yang ada hanyalah pemain-pemain NPC. Pemain-pemain tidak akan ke tempat ini langsung. Di samping itu, hanya terdapat dua puluh Bilik Penempa Pertengahan, tidak seperti Bilik Asas, yang bilangannya adalah lima puluh.

Shi Feng memasuki Bilik Penempa Pertengahan. Bilik tersebut lebih besar dan lebih bagus. Kemudahan yang sedia ada juga lebih baik daripada Bilik Asas, terutamanya Tukul dan Api. Kedua peralatan ini bukannya semudah mana.

Shi Feng memegang tukul perak-putih yang telah diletakkan pada kulit bulu yang dijalin dengan besi.

[Tukul Penghalusan Ratus] (Pangkat-Gangsa)

Peralatan Penempaan: Apabila Menempa, kadar kejayaan meningkat sebanyak 3%.

Syarat: Kekuatan 4

Tukul Penghalusan Ratus sangat sukar untuk diperoleh pemain. Tukul-tukul terbaik yang dijual merupakan Tukul Biasa. Tukul-tukul ini tidak meningkatkan kadar kejayaan Penempaan. Jika ingin mencurinya, cukup mustahil. Peralatan-peralatan yang merupakan kepunyaan Bilik Penempaan tidak boleh diambil keluar oleh para pemain.

Api di sini luar biasa juga. Api di sini membakar dengan warna merah dan hijau, bukan seperti biasa yang membakar dengan warna merah dan kuning. Ia bukannya Api biasa, tetapi Api Misteri.

Shi Feng melihat butirannya.

Api Syaitan Merah (Api Misteri Tingkat 1)

Alat Istimewa: Memiliki suhu yang sangat tinggi. Peralatan yang dilebur dengan Api ini akan mempunyai ketulenan yang lebih tinggi. Apabila menghaluskan ubat atau peralatan menempa, peningkatan kadar kejayaan pasti berlaku.

Api Misteri merupakan Api yang jarang dan berkuasa. Api-Api tersebut mempunyai kekuatan yang pelbagai, dan boleh dikategorikan kepada sembilan tingkat. Tingkat pertama adalah yang paling lemah, manakala tingkat kesembilan adalah yang terkuat. Namun, Api Misteri tingkat pertama pun bukannya mudah diperoleh para pemain.

Kerana kejarangan Api Misteri, harganya dalam Kawasan Tuhan teramat sangat tinggi. Memandangkan ia amat diperlukan untuk pembuatan Ubat dan Penempaan sekali, harga Api Misteri lebih mendadak.

Pernah ada Api Tingkat 4 yang telah menyebabkan berpuluh Kesatuan kelas pertama bergaduh kerananya. Setelah berjutaan pemain maut, Api akhirnya jatuh ke tangan Penguasa Dunia. Tidak lama kemudian, seorang Pembikin Ubat dalam Penguasa Dunia naik untuk menjadi Pembikin Ubat Agung, lantas meningkatkan pengaruh Penguasa Dunia secara mendadak.

Shi Feng merasa sejenis kerinduan dalam hatinya apabila melihat Api Misteri tersebut. Ia merupakan gian seorang Penempa.

Sebaik sahaja Shi Feng ditelan fikirannya, dia tiba-tiba mengingati sesuatu.

Pada bulan kedua Kawasan Tuhan berjalan, Kesatuan kelas ketiga, Cahaya Gemilang, telah menemui Api Misteri Tingkat 2, Api Syaitan Ais-Biru. Api ini ditemui dalam Hutan Seratus Hantu, dan penemuannya menimbulkan perasaan iri hati yang hebat dalam kalangan Kesatuan lain. Pada ketika itu, terdapat ramai pemain Gaya Hidup yang telah memohon untuk menyertai Cahaya Gemilang, lantas membenarkan kuasa Kesatuan tersebut mendadak dan menjadi pentadbir zalim sebuah Bandar kecil. Namun, ramai juga Kesatuan yang mengumpul maklumat secara rahsia, kerana ingin memiliki Api Misteri. Bayang-Bayang juga tidak terkecuali.

Bayang-Bayang telah mengenal pasti lokasi dan cara perolehan Api Misteri daripada golongan dalaman Cahaya Gemilang. Malangnya, Api Misteri sebegini hanya muncul sekali, dan tidak bakal muncul lagi setelah lenyap. Penemuan ini menyebabkan banyak Kesatuan membazir tenaga.

Sambil memikirkan Api Syaitan Ais-Biru, Shi Feng tiba-tiba teringatkan niatnya terhadap Api Misteri ini. Jika dia mampu membikinnya sendiri, ia pasti sangat membantu kelak apabila dia sudah mengasaskan Kesatuannya sendiri. Lebih-lebih lagi, Api tersebut tentu akan membantu Shi Feng menjadi Pakar Penempa yang sebenar.

Akan tetapi, Shi Feng masih perlu merancang dengan teliti untuk memperoleh Api Syaitan Ais-Biru. Dia perlu menyediakan banyak barang sebelum dia boleh memperolehinya.

Berikutan itu, Shi Feng mengeluarkan Rekaan Penempa Perisai Garison. Tanpa membuang masa, dia terus memilih untuk mempelajarinya.

Sistem: Anda telah mempelajari penempaan Perisai Garison.

Kemudian, Shi Feng meletakkan segala bahan keperluan pada meja batu. Selepas itu, dia mengeluarkan Buku Penempaan yang tidak ternilai dan mula menempa.

Shi Feng merupakan Perantis Penempa Asas. Kadar kejayaannya untuk menempa Peralatan Biasa Tahap 0 tidak melebihi 20%, dan setelah satu penempaan yang berjaya, terdapat peluang 40% untuknya memperoleh 1 Mata Kecekapan. Jika Shi Feng hendak menempa Perisai Garison, sebuah Peralatan Gangsa Tahap 3, kadar kejayaannya tidak akan melebihi 5%. Menempa sebuah Peralatan Gangsa bakal mendatangkan satu lagi bonus, iaitu peluang 100% untuk memperoleh 2 Mata Kecekapan.

Namun, 1000 Mata Kecekapan diperlukan untuk menjadi Perantis Penempa Pertengahan. Pemerolehan bilangan mata yang begitu besar memerlukan dana yang sepadan. Tidak mungkin seorang pemain Gaya Hidup untuk mengumpul bilangan wang yang begitu besar bersendirian.

Para Penempa dalam Kesatuan-Kesatuan semuanya bermula dengan menempa Peralatan Biasa. Tiada satupun Kesatuan yang membenarkan pemain-pemain Gaya Hidup ini untuk menempa Peralatan Gangsa terlebih dahulu. Rekaan Penempa untuk Peralatan Gangsa pun tiada dalam milikan mereka, dan jika ada sekalipun, mereka tidak akan berani berbuat demikian. Kadar kejayaan Perantis Penempa Asas terlalu rendah, dan bahan-bahannya terlampau mahal. Satu kegagalan akan merugikan mereka sebanyak 1 Syiling Perak atau lebih. Kesatuan-Kesatuan yang paling besar pun tidak mampu menampung kerugian sebegitu. Lebih-lebih lagi, mereka tidak mampu mengumpul bahan-bahan yang diperlukan untuk peralatan tersebut.

Akan tetapi, Shi Feng tidak risau. Dia memiliki Batu Ahli Falsafah, jadi dia tidak kekurangan sumber. Selain itu, bahan-bahan yang diperlukan untuk membikin Perisai Garison amatlah murah. Ia hanya memerlukan 5 botol Intipati Ajaib, 5 buah Bijih Gangsa, dan 20 buah Bijih Tembaga. Kos pembikinan Garison hanyalah 80 Syiling Tembaga. Apabila dibandingkan dengan Peralatan Gangsa yang lain, ia sekurang-kurangnya 20 Tembaga lebih murah. Perisai Garison juga mempunyai Atribut yang sangat bagus jadi ia amat dialu-alukan. Pasti tiada masalah untuk Shi Feng menjualnya kelak.

Yang paling penting, Buku Penempaan.

Buku Penempaan boleh meningkatkan kadar kejayaan penempaan Peralatan Biasa sebanyak 70%, Peralatan Gangsa sebanyak 50%, Peralatan Misteri-Besi sebanyak 30%, Peralatan Perak-Rahsia sebanyak 20%, Peralatan Emas-Tua sebanyak 10%, Peralatan Emas Gelap sebanyak 5%, dan Peralatan Epik sebanyak 1%.

Dengan Atribut-Atribut sebegini, Buku Penempa boleh membantu seorang pemain untuk menjadi seorang Penempa Pakar dengan mudah dan tanpa halangan.

Perantis-Perantis Penempa Asas pada asalnya mempunyai kadar kejayaan 20% apabila menempa Peralatan Biasa. Termasuk 70% daripada buku, kadar tersebut bakal naik ke 90%. Campur sekali kemudahan Bilik Penempa Pertengahan dan tolak kemungkinan kesilapan, kadar kejayaan pembikinan Peralatan Biasa adalah 99% atau lebih. Lainlah kalau pemain tersebut merupakan khinzir, kegagalan tidak mungkin terjadi.

Kebolehan Buku Penempaan yang menakutkan dapat dilihat jelas daripada hal ini.

Bagi pembikinan Perisai Garison, Shi Feng mempunyai kadar kejayaan 5%. Termasuk 50% daripada buku tersebut, 3% daripada kemudahan bilik, dan juga kesan-kesan Api Misteri, Shi Feng kini mempunyai kadar kejayaan 60% untuk membikin Perisai Garison. Jangankan Peralatan Gangsa, jika Peralatan Biasa membawa kadar kejayaan 60%, ia masih boleh membuat pemain-pemain Penempa menjadi gila. Kebarangkalian kejayaan yang tinggi sebegitu merupakan sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh para Penempa.

Berikutan itu, Shi Feng mula membikin Perisai Garison perlahan-lahan mengikuti syarat-syarat Rekaan Penempa. Mula-mula, dia melebur Bijih Tembaga dan Gangsa dalam api. Setelah melebur selama 5 minit, bijih-bijih tersebut mula mencair dan membentuk ketulan. Kemudian, Shi Feng menambahkan Intipati Ajaib, membiarkan ia membakar untuk seminit lebih sebelum mengeluarkan bijih panas dan meletakkannya pada kulit bulu besi. Bara daripada suhu tinggi tersebut menyebabkan Shi Feng berpeluh. Namun, Shi Feng tidak berani cuai, kerana proses yang berikutan merupakan langkah yang paling penting.

Setelah menyiapkan persediaan, Shi Feng memegang Tukul Penghalusan Ratus dan bersedia untuk menukul bijih berapi tersebut.

Dang… Dang…. Dang…

Api memercik merata-rata. Bunyi tukulan bergema di keliling Bilik Penempa.

Shi Feng menukul dengan teliti.

Dalam hayat lampaunya, Shi Feng tidak mempelajari Penempaan. Dia hanya mempelajari kemahiran Mengumpul. Namun, dia masih mengetahui serba sedikit tentang Penempaan. Manakan tidak, dia telah bergaul dengan seorang Pakar Penempa dengan kerap, jadi dia berpengetahuan sehingga tidak akan melakukan kesilapan asas.

Setelah menukul lebih seratus kali, Shi Feng merasai ia sudah sempurna. Shi Feng menyapu peluh pada dahinya, lalu memilih interface bijih merah dan mengklik butang Selesai.

Berikutan itu, bijih membara tersebut mula bertukar. Dalam lima saat, ia telah bertukar menjadi perisai kelabu-perak. Pada permukaannya, tiada masalah. Namun, penempaan yang berjaya tidak hanya bergantung pada luarannya; kualitinya juga harus diambil kira. Kualiti termasuklah Atribut dan pangkat peralatan tersebut.

Peralatan Gangsa yang telah ditimpa dengan tidak elok bakal jatuh ke pangkat Biasa, ataupun Atributnya tidak akan sebaik yang diingini.

Justeru, Shi Feng memilih maklumat perisai tersebut, dan memeriksanya untuk mengenal pasti sama ada dia telah berjaya atau tidak.

  1. Ini merujuk kepada pangkat-pangkat Penempa, spt. Perantis Penempa -> Penempa -> Pakar Penempa -> Penempa Agung.
  2. Si bebal