Tiada satu pun daripada pelajar yang berada di bawah gelanggang menolak kata-kata Qin Shuyu. Sebaliknya, mereka merasakan kata-katanya memang masuk akal.
Tidak kira apa yang dikatakan, Zhou Yuhu berada di peringkat ketiga dalam pertandingan tempur universiti. Dia turut mendapat pujian daripada beberapa orang pengajar yang melatih tinju. Mereka beranggapan Zhou Yuhu mampu mencipta reputasi dirinya dalam pertandingan tempur peringkat bandar yang akan datang, apatah lagi mengerjakan Shi Feng yang lemah dan kurus itu satu pengajaran. Ia seperti menggunakan pisau pemotong daging untuk membunuh seekor ayam.
"Walaupun dia tidak kelihatan goyah sekarang, aku rasa Shi Feng bakal melutut dan memohon belas kasihan sekejap lagi."
"Adakah perkara itu perlu dikatakan? Apa kata kamu lihat siapa Zhou Yuhu itu? Jangkaan aku adalah Shi Feng akan baring terlentang atas lantai dalam masa sepuluh saat."
"Apa kena dengan kamu semua ni? Beginikah cara kamu melayan rakan sekelas kamu?" Zhao Ruoxi berkata, melihat pada rakan sekelasnya dengan marah sekali.
Semua pelajar itu terdiam. Namun, mata mereka merenung Zhao Ruoxi.
Salah satu daripada gadis yang berpakaian cantik dalam kelas menyengetkan bibirnya tanda mengejek, berkata dengan lembut, "Kamu cuma mempunyai wajah yang cantik. Kalau bukan disebabkan Abang Long, kamu ingat ada orang akan dengar apa yang kamu cakap?"
Gadis yang lain pula menganggukkan kepala mereka. Mereka langsung tidak mengambil kata-kata ketua kelas mereka itu dengan serius.
Walaupun gadis-gadis itu berkata dengan nada yang lembut, semua yang hadir dapat mendengar mereka dengan jelas. Di sebelah sisi sana, Ling Feilong terus berasa segar mendengar perbualan mereka.
Zhao Ruoxi berpaling dengan marah, tidak lagi memberi perhatian terhadap mereka.
Ling Feilong mendekatinya dan berkata dengan lembut, "Ruoxi, saya tahu kamu tidak punya pilihan lain dalam hal ini. Namun, Shi Feng yang mencari masalah sekarang, jadi kamu tidak boleh salahkan orang lain. Lebih-lebih lagi, tiada siapa yang percaya Shi Feng akan dapat menang dengan badannya yang kurus itu. Kamu seperti telah mencampakkan duit ke laut. Sebentar lagi, saya akan berbincang dengan Abang Hu untuk tidak mengambil duit kamu dan biarkan Shi Feng membayar segalanya."
"Memang betul, saya menolong Shi Feng kerana saya merupakan ketua kelas. Tetapi, berkenaan dengan duit, saya tidak terfikir akan mengambil balik duit itu daripadanya." Zhao Ruoxi menjeling pada Ling Feilong, berkata dengan dingin, "Lagipun, kamu yang mengambil hak Shi Feng. Bukannya hendak membantu Shi Feng, malah kamu memberi kata-kata sinis pula. Kamu tidak takut apa yang orang kritik tentang kamu di belakang?"
"Dan juga, bagaimana hal ini dipanggil 'saling mengajar'? Seorang di tempat ketiga dalam sekolah, seorang lagi pelajar yang tidak tahu langsung apa-apa teknik berlawan. Tidakkah kamu berasa malu bercakap tentang ini?"
Setiap kata-kata Zhao Ruoxi memedihkan hati Ling Feilong. Tambahan pula, perwatakannya yang anggun dan menawan membuatkan satu rasa yang tidak terungkap menusuk hati Ling Feilong. Ling Feilong terkesima dan bertukar pucat kerana marah.
Seperti yang Zhao Ruoxi katakan, setiap kelas mempunyai bilangan tempat yang disarankan. Hanya pelajar dengan keputusan atas dua puluh dalam kelas sahaja layak untuk saranan ini. Namun, Ling Feilong hanya mampu mendapatkan kelayakan untuk bertanding dalam pertandingan tempur peringkat bandar selepas membuat habis-habisan. Jika orang lain dapat tahu yang dia bukanlah pelajar universiti yang mendapat saranan, pasti menjadi malu besar buatnya.
Sekolah itu sebelum ini telah mempertimbangkan masalah reputasi ini. Tetapi, mereka telah menentukan hanya lima peserta daripada pertandingan tempur akan menerima saranan, walaupun pelajaran mereka tidak begitu memberangsangkan. Namun, Ling Feilong hanya di kedudukan kesembilan, jadi secara dasarnya, dia tidak layak mendapatkannya. Namun, dia telah mengemukakan hal itu kepada sekolah. Melihat pada keputusan Ling Feilong yang di kedudukan tiga puluh teratas, tidak begitu jauh daripada kedudukan ke dua puluh, sekolah memutuskan untuk membenarkan permintaannya. Akan tetapi, syaratnya, seseorang perlu menyerahkan saranan mereka dengan hati yang terbuka. Tentang bagaimana dia mencari seseorang untuk menyerahkan tempat mereka, semua itu bergantung pada cara Ling Feilong sendiri.
Shi Feng itu seorang yang lemah. Pada mulanya, Ling Feilong ingin menggunakan seluruh kekuatan daripada ahli kelasnya, dengan tambahan kekuatannya sendiri, untuk menindas Shi Feng. Seterusnya, selepas memujuk Shi Feng, perkara ini dianggap selesai. Namun, tindakan Shi Feng sangat lain dengan apa yang Ling Feilong bayangkan. Shi Feng tidak mengambil serius sedikit pun dan mengugutnya tanpa ragu-ragu. Kini, dia pula dipermainkan oleh Zhao Ruoxi. Hati Ling Feilong dipenuhi dengan kemarahan yang tidak boleh dipadamkan.
"Betul, ini bukanlah perlawanan yang adil. Namun, bolehkah Shi Feng salahkan orang lain kerana dirinya yang lemah? Siapa yang bersetuju dengan pertandingan ini? Sudah tentunya kamu tidak boleh salahkan saya untuk itu."
Ling Feilong melihat Zhao Ruoxi dengan mata yang merah. Jika Zhao Ruoxi tidak mempunyai penampilan yang cantik dan tubuh yang menarik, dia sudah lama melayangkan satu tamparan kepadanya. Namun, dia masih menahan niatnya itu. Menggunakan kekerasan bukanlah tindakan yang bijak. Lebih-lebih lagi, latar belakang keluarga Zhao Ruoxi bukanlah biasa-biasa. Jika dia mencetuskan insiden sekarang, seluruh kehidupannya akan musnah. Juga, apabila Ling Feilong berfikir tentang bagaimana dia boleh bermain-main dengan Zhao Ruoxi kelak, kemarahan di dalam hatinya mula reda sedikit.
Budak hingusan, selepas membuatkan aku terima ejekan seperti itu, tunggu dan lihat sahaja, Ling Feilong merenung tajam ke arah Shi Feng, menyumpah diam-diam.
Di atas, gelanggang pertarungan, Shi Feng hanya tersenyum dengan ejekan apabila dia merasakan permusuhan daripada Ling Feilong.
Namun, dia harus bersetuju dengan kata-kata Ling Feilong.
Pertandingan ini memang tidak adil.
Dalam kehidupan Shi Feng yang lepas, walaupun fizikal tubuhnya tidak setaraf dengan pahlawan kedudukan atasan, dia masih boleh membuatkan mereka mengaku kalah. Perkara yang dia harapkan untuk menang ialah pertarungan antara hidup dan mati yang pernah dilaluinya dalam Kawasan Tuhan. Apakah itu hero seribu perlawanan? Selepas hidup mengharungi seribu peperangan, sangat sukar untuk tidak menjadi hero yang pakar.
Ia sama seperti seni mempertahankan diri. Latihan mereka termasuklah memaksa diri melebihi had keupayaan, menggunakan nyawa mereka sebagai pertaruhan untuk berlatih dan memperbaiki diri sendiri. Namun, cara seperti itu terlalu bahaya. Manusia biasa tidak akan melakukan perkara seperti itu. Perkara itu senang menjadi keterlaluan dan meragut nyawa sendiri.
Selepas Shi Feng melalui pertarungan antara hidup atau mati yang sangat realistik, peningkatan pengalaman pertarungan dan tekniknya meningkat dengan cepat. Kemahirannya dalam pertempuran melebihi piawaian kejohanan tempur kebangsaan sebanyak beberapa peringkat.
Dalam masa sepuluh tahun, mana-mana pemain jarak dekat dalam Kawasan Tuhan dengan mudah dapat mengalahkan jaguh tempur dalam Bandaraya Jin Hai dengan mudah, lebih-lebih lagi Shi Feng, yang merupakan Kapten Bayang-Bayang.
Dari pandangan Shi Feng, pertandingan tempur peringkat universiti merupakan satu taman permainan kanak-kanak. Lebih-lebih lagi, berkenaan fizikal, tubuh badannya yang sekarang jauh lebih kuat berbanding tubuhnya sepuluh tahun akan datang. Bertempur tidak menjadi masalah, walaupun dia terpaksa berhadapan dengan lima atau enam Ling Feilong.
"Budak Hingusan, sekarang kau memang rasa bebas untuk melihat sekeliling. Lihatlah macam mana aku akan menjaga kau sekejap lagi!" Zhou Yuhu berkata, meluru ke arah Shi Feng. Dia segera melemparkan satu tamparan terhadap muka Shi Feng, bertujuan memalukannya terlebih dahulu.
Sememangnya, Shi Feng boleh membaca tindakannya itu. Namun, Shi Feng hanya berdiri tidak bergerak ke mana-mana walaupun dia sedang berhadapan dengan seseorang yang jauh lebih kuat berbanding dengan dirinya yang lepas. Shi Feng menghantar tumbukan yang bersahaja ke arah muka Zhou Yuhu, mengendahkan tamparan daripada Zhou Yuhu.
Zhou Yuhu tidak terbayang yang tumbukan Shi Feng sangat tepat, menyasarkan terus ke mukanya. Secara nalurinya, Zhou Yuhu akan menggunakan tangannya untuk menangkis tumbukan itu.
Bibir Shi Feng dimuncungkan ke atas sewaktu melihat perbuatan Zhou Yuhu. Dengan sepantas kilat, tangan Shi Feng membelah leher Zhou Yuhu. Zhou Yuhu gagal untuk mengelak kali ini sewaktu menerima satu belahan pada lehernya. Setajam pisau bedah, tangan Shi Feng memukul arteri major pada leher Zhou Yuhu.
Tiba-tiba, Zhou Yuhu merasakan pandangannya mula kabur. Dia terasa sedikit lemas sewaktu dia merasakan semua tenaganya mula menghilang daripada badannya.
Shi Feng tidak memberi Zhou Yuhu masa untuk menarik nafas. Dengan tiba-tiba, satu tumbukan melayang tepat pada perut Zhou Yuhu. Zhou Yuhu ingin menahan serangan tersebut, tetapi badannya seolah-olah tidak memberi respon. Dia hanya merasakan kesakitan bagai dicucuk-cucuk pada usus sambil cecair kuning terkeluar dari dalam mulutnya. Pandangan Zhou Yuhu menjadi kabur. Dia tidak mampu berkata apa-apa, walaupun dia ingin.
Zhou Yuhu ingin rebah mengikut gerak hatinya, tetapi Shi Feng langsung tidak memberinya peluang. Satu demi satu tumbukan dihalakan pada perutnya, diikuti beberapa tumbukan disasarkan pada rusuk. Selepas menerima beberapa siri tumbukan bertubi-tubi, jus asid dalam perut Zhou Yuhu telah terkeluar sepenuhnya dari dalam mulutnya. Selepas itu, badannya jatuh ke lantai bagai anjing yang sudah mati.
Seluruh gelanggang itu menjadi sunyi sepi.
Semua berlaku terlalu pantas. Sangat pantas sehinggakan tiada seorang pun yang mampu memberi respon.
Hanya selepas Zhou Yuhu terlentang atas lantai, barulah juri pertandingan memberi reaksi. Dengan segera, dia mengisytiharkan tamat perlawanan dan Shi Feng, merupakan pemenangnya. Pada masa yang sama, dia segera berlari kepada Zhou Yuhu untuk memeriksa keadaannya.
Juri itu tidak mampu membayangkan. Zhou Yuhu, pelajar tempat ketiga dalam kejohanan tempur universiti, tidak boleh menandingi pemuda yang kelihatan lemah itu.
Bukannya Zhou Yuhu itu sangat lemah. Bahkan, pemuda kelihatan lemah itu yang terlampau kuat. Selepas melihat beberapa perlawanan Zhou Yuhu, juri itu tahu dia seorang yang gagah perkasa. Paling kurang pun, sukar untuk juri berurusan dengannya.
Selepas melihat kecederaan Zhou Yuhu, juri itu terkesima. Teknik Shi Feng sangat menggerunkan. Setiap satu gerakannya diukur dengan tepat sekali, mematahkan dua atau tiga rusuk Zhou Yuhu tetapi tidak mencederakannya dengan berat. Zhou Yuhu hanya memerlukan lebih sebulan sahaja untuk dadanya sembuh.