Apabila Blue River dan rakan-rakannya meninggalkan 'dungeon', Bound Boat dan Flower Lantern sudahpun menunggu di luar. Kini, mereka berdua telah benar-benar memperakui kehebatan Lord Grim. Sebagai ahli kumpulan asal, sudah tentulah mereka mengerti akan kekuatan kumpulan mereka. Lord Grim punca utama mereka berjaya memecahkan rekod dengan jarak masa sebanyak 5 minit.
Flower Lantern yang pernah meragui kehebatan Lord Grim berasa sangat malu sekali.
"Kamu benar-benar seorang Dewa. Saya tunduk pada kamu, saya tunduk. Saya terlalu kurang ajar sebelum ini,"
Bound Boat pula bertanya pada Thundering Light bagaimana mereka berjaya menyelesaikan 'dungeon'. Thundering Light bercerita dengan penuh semangat sehingga tersembur-sembur air liurnya. Returning Cloud dan Lunar Grace melihat ke arahnya dengan penuh rasa pelik.
"Okay, sekarang rekod dah berjaya dipecahkan," kata Ye Xiu pada Blue River.
"Betul, betul. Kuat, sangat kuat," Blue River setuju.
"Err…..tentang perjanjian kita?" kata Ye Xiu dengan tamak.
"Perjanjian apa pula ni?" tanya Blue River.
"Ganjaran!" kata Ye Xiu.
"Oh ya, ganjaran! Saya terlalu gembira sampai terlupa!" Akhirnya Blue River tersedar. "Bound Boat, mana semua ganjaran yang kita perolehi?"
Blue River telah mengarahkan Bound Boat untuk memungut semua ganjaran yang diberikan oleh bos sebaik sahaja mereka mengesahkan yang rekod telah berjaya dipecahkan. Di dalam dunia Glory, kelajuan pergerakan dan lompatan seseorang watak akan bergantung kepada jumlah barangan yang dibawa olehnya. Demi memastikan seorang pemain boleh bergerak lancar, mereka akan berusaha untuk meringankan jumlah barangan yang dibawa. Disebabkan inilah Blue River memberikan kebanyakan barangan kepada Bound Boat.
Bound Boat membawa kesemua ganjaran tersebut dan memberikannya kepada Lord Grim. Ye Xiu menerimanya. Kesemua sekali, terdapat 72 helai Sutera Labah-Labah Kukuh, 2 Kalung Mithril dan 8 bilah Taring Tajam Serigala Putih.
"Eh banyak sangat ni?" tanya Ye Xiu. Ini jumlah asal yang dimintanya, tetapi jumlah ini dianggap terlalu banyak bagi Blue River.
"Abang, jasa abang membantu kami memecahkan rekod dalam tempoh 5 minit sangat besar. Abang tak tahu betapa kami hargai pertolongan ini," kata Blue River.
"Oh begitu rupanya!" Ye Xiu terkesima. Dia tidak ingin menjual kesemua bahan mentah ini, sebaliknya dia memerlukannya untuk memperkuatkan Payung Seribu Manifestasi. Dia hanya memerlukan 24 helai Sutera Labah-Labah Kukuh. Dia meminta 72 pada awalnya demi tujuan tawar-menawar. Tetapi sekarang, mereka dengan rela hatinya memberikan 72 helai kepadanya pula! Siapa yang tidak sukakan barangan percuma? Ye Xiu menerima kesemuanya dengan gembira. Tetapi, apa yang dikatakan oleh Blue River masuk akal juga. Memecahkan rekod dalam jarak masa 5 minit bukanlah sesuatu yang mudah. Jarak masa ini pasti sukar untuk ditandingi oleh persatuan-persatuan lain.
"Terima kasih banyak!" kata Ye Xiu.
"Sama-sama. Abang, macam inilah…." baru sahaja Blue River hendak menyambung ayatnya, dia telah dikejutkan oleh mesej sistem permainan.
"Lord Grim telah keluar dari Persatuan Blue Brook"
Keluar persatuan! Kenapa dia keluar tiba-tiba? Setelah menerima semua ganjaran, dia terus keluar! Blue River hendak meminta dia terus menjadi ahli persatuan mereka! Dia memberikan Lord Grim ganjaran yang sebegitu banyak kerana dua sebab utama. Pertama, sebagai hadiah atas jasa bantuannya. Sebab kedua pula kerana Blue River mengakui Lord Grim seorang jaguh sejati dan ingin merasuahnya.
"Jahanam! Tak sangka begini pula jadinya!" kata Blue River dengan cukup kecewa di dalam hatinya.
"Apa yang kamu cuba nak katakan?" tanya Ye Xiu setelah keluar dari persatuan.
"Abang ada ruang lagi tak dalam senarai kawan abang. Kita boleh bekerjasama lagi di kemudian hari," kata Blue River dengan lemah.
"Okay," kata Ye Xiu.
"Abang, abang nak terus bertarung di 'dungeon'? Ada kekurangan pemain tak? Kalau kekurangan, beritahu saja saya dan saya akan panggil orang untuk abang," kata Blue River.
"Oh, saya tak perlu. Saya ada benda lain nak buat. Saya pergi dulu!" kata Ye Xiu.
"Oh, oh, bye bye!" air mata Blue River berlinangan apabila Lord Grim pergi. Thundering Light, Bound Boat dan semua yang lain telah melihat mesej yang menunjukkan Lord Grim meninggalkan persatuan mereka. Mereka semua tergamam.
"Kenapa dia keluar?" tanya Returning Cloud.
"Sebab tugas dia dah selesai," jawab Blue River dengan tidak gembiranya.
"Kenapa kita tak cuba simpan dia?" tanya Bound Boat.
"Dengan kelajuan tangannya, belum sempat saya habis bercakap, dia dah pun keluar," jawab Blue River.
Apa kaitan pula kelajuan tangan dengan keputusan Ye Xiu itu. Nampaknya Blue River telah menjadi dungu disebabkan oleh rasa marahnya.
"Saya rasa, jaguh seperti dia ini hanya akan membantu apabila ada ganjaran yang lumayan. Tak apalah, yang penting kita harus wujudkan persahabatan yang kukuh dengan dia," kata Bound Boat.
"Betul, saya pun fikir macam itu juga," kata Blue River. Dia sedih memikirkan persahabatan antaranya dengan Lord Grim sebenarnya tidak lebih daripada urusan bisnes semata-mata.
"Kalau macam itu, cuba kita umpan dia dengan wanita pula. Cuba minta ketua kita bawakan beberapa orang gadis comel!" kata Thundering Light.
"Ehem ehem," kedengaran bunyi batuk.
"Ha, kita jodohkan dia dengan Lunar Grace!" tambah Thundering Light.
"..." Lunar Grace terus berdiam dan hanya melihat pada Lord Grim yang semakin hilang dari pandangan.
"Lunar, mata kamu tidak lekang memandang dia. Kamu sudah jatuh cinta ke?" tanya Flower Lantern.
Lunar Grace tidak menyedari pertanyaan ini dan berkata dengan tenang: "Kamu tak rasa ke yang dia terlalu kuat?"
Semua orang terkejut dan terus terdiam.
"Kita semua sudah dianggap sebagai jaguh kelas atasan dalam dunia Glory, betul? Kalau bukan kita, sekurang-kurangnya Blue River pasti layak untuk digelar sebegitu. Tapi pada pendapat saya, Lord Grim ini dua kali ganda lebih hebat dari kita semua. Jadi, jaguh tahap apakah dia itu?" tanya Lunar Grace.
"Err, saya dah lama tak bermain menggunakan akaun tahap rendah," kata Blue River.
"Kita semua pun bertahap rendah!" jawab Lunar Grace.
"Senjata dia lebih kuat dari saya. Saya rasa ia senjata kelas Oren," kata Blue River.
"Dia masih belum memilih kelas pun lagi," jawab Lunar Grace lagi.
"Baiklah, saya mengaku. Nampak gayanya, lelaki ini mempunyai kemahiran yang jauh lebih tinggi dari saya," kata Blue River.
"Tapi kan, dunia Glory ini mempunyai ramai sekali pemain. Pastilah akan ada jaguh-jaguh tersembunyi. Sebagai contoh, Poplar Beach!"
Sebaik sahaja nama itu disebut, semua orang terdiam. Mereka semua tahu Blue River benci pada pemain tersebut.
Poplar Beach ialah bintang yang sedang meningkat naik dalam Persatuan Blue Brook. Dia tidak terkenal sebelum ini, tetapi dalam jangka masa yang singkat, dia telah menunjukkan kekuatannya secara menyeluruh di Heavenly Domain. Persatuan mereka menaruh harapan yang tinggi terhadapnya, dan peralatan serta senjatanya juga semakin kuat setiap hari. Ramai yang telah bertanya sama ada Lima Jaguh Terulung dalam Persatuan Blue Brook harus dikemaskini ataupun tidak. Di antara Lima Jaguh Terulung tersebut, Blue Bridge Spring Snow, akaun utama Blue River, pemain yang sering dibandingkan dengan Poplar Beach. Ini kerana mereka berdua dari kelas Blade Master, kelas yang paling popular dalam dunia Glory.
Poplar Beach pula bukanlah seorang yang suka merendah diri. Dia sentiasa menunjuk-nunjuk rekod yang dicatatkannya, jaguh yang telah ditewaskannya dan berapa ramai musuh yang telah dibunuhnya serentak. Dengan jelasnya dia ingin menunjukkan kekuatannya jika dibandingkan dengan Blue Bridge Spring Snow. Disebabkan ini, Blue Bridge hampir sahaja mencabarnya untuk bertarung satu lawan satu.
Sebelum sempat dia berbuat demikian, Blue River telah diarahkan untuk menjadi ketua di server kesepuluh. Ura-ura mengatakan yang Persatuan Blue Brook sengaja berbuat demikian demi memberikan keutamaan kepada Poplar Beach.