"Tolong lipat selimut. Saya sudah belikan kamu sarapan."
Setelah Ye Xiu bangun dan mencuci muka, dia ternampak nota tersebut. Dia mengemaskan bilik dan pergi ke ruang tamu untuk melihat keadaan. Dia terkejut apabila mendapati jam sudah menunjukkan pukul 3 petang! Agak pelik untuk makan
Tetapi, Chen Guo telah susah-payah membelikan sarapan tersebut bagi Ye Xiu, dan dia harus menunjukkan rasa hormatnya. Ye Xiu mengambil Youtiao tersebut dan meletakkannya ke dalam mulut. Kemudian barulah dia beredar.
Server baru Glory masih terus membantu menjadikan kafe internet Chen Guo semakin popular. Mujurlah kafe internet ini sangat besar dan belum pernah terjadi lagi keadaan di mana semua stesen komputer penuh. Ye Xiu mencari sebuah tempat kosong di zon merokok. Tetapi apabila dia menyeluk sakunya, dia menyedari kotak rokoknya sudah kosong. Ini lebih menyakitkan hati daripada terpaksa makan Youtiao sejuk! Lebih teruk lagi, dia sudah kehabisan wang. Bagaimana dia hendak menghadapi hari yang baru bermula ini?
Ye Xiu terfikir untuk meminta bayaran pendahuluan daripada Chen Guo. Walaupun makanan dan tempat tinggal disediakan, Ye Xiu hanya makan sedikit sahaja. Setiap hari dia hanya makan sebanyak dua kali. Kebanyakan duitnya digunakan untuk membeli rokok. Tetapi apabila memikirkan betapa Chen Guo membencikan asap rokok, Ye Xiu berasakan yang ini sesuatu yang mustahil untuk diminta.
Sedang dia asyik berfikir, seseorang menepuk belakang badannya. Dia segera memalingkan kepala.
Rupa-rupanya Chen Guo yang menepuk. Youtiao di dalam mulut Ye Xiu hampir sahaja tersembur keluar dan singgah ke muka Chen Guo! Dengan sifat panas baran semulajadinya, Chen Guo terus memaki hamun: "Rokok kamu kepit dalam mulut. Sekarang Youtiao pun kepit dalam mulut. Apa lagi yang kamu nak kepit? Semua nak kepit! Tak boleh ke guna tangan hah?"
Bercakap tentang tangan, minda Chen Guo sekali lagi mengimbas kembali betapa cantiknya tangan Ye Xiu.
"Mungkin dia sentiasa menggunakan mulutnya untuk mengepit barang kerana tidak mahu merosakkan kecantikan tangannya? Mungkin dia tidak mahu asap rokok ataupun minyak daripada Youtiao itu mencemari tangannya yang dijaga rapi. Aduh, sakit kepalaku memikirkannya!" kata Chen Guo dalam hati.
Dia menggeleng-gelengkan kepala dan mengarahkan Ye Xiu untuk mengikutnya.
Ye Xiu mengikut Chen Guo ke meja penyambut tetamu. Tang Rou sedang duduk di situ. Apabila dia melihat Chen Guo membawa Ye Xiu, dia berdiri dan tersenyum.
"Tang Rou, ini Ye Xiu," Chen Guo memperkenalkan mereka berdua.
"Hi!" Tang Rou menghulurkan tangannya. Chen Guo melihatkan tangan mereka berdua dan mula berasa cemburu. Tangan Ye Xiu memang cantik, tetapi ia tetap tangan lelaki dan saiznya lebih besar berbanding tangan perempuan. Tangan Tang Rou pula sememangnya tangan perempuan sejati. Terdapat pelbagai perkataan yang boleh digunakan untuk menggambarkan kecantikan tangan tersebut, misalnya 'sempurna', 'lembut', 'licin' dan sebagainya.
"Hi, hi," Kata Ye Xiu sambil mengunyah-ngunyah Youtiao, menjadikan sebutannya tidak jelas. Dia menyambut tangan Tang Rou dan mereka bersalaman.
Tang Rou turut mencuri pandang ke arah tangan Ye Xiu, tetapi matanya segera fokus semula ke mata Ye Xiu setelah selesai memandang.
Setelah selesai bersalaman, raut wajah Ye Xiu tidak menunjukkan apa-apa perubahan, tetapi dalamannya sedang berkocak. Dia tidak menyangka Tang Rou seorang gadis yang luar biasa sekali.
Penampilan dan tubuhnya sangat cantik, dan dia memberikan suatu aura yang lain daripada yang lain. Tidak kiralah sama ada dari segi tubuh, penampilan atau pemakaiannya, dia sangat elok untuk dipandang. Ini ditambah pula dengan rambutnya yang pendek, membuatkan dia kelihatan segar sentiasa.
Tetapi, perasaan Ye Xiu bukan berpunca daripada kecantikannya. Sebaliknya, Ye Xiu tertanya-tanya kenapa gadis secantik ini sanggup untuk bekerja separuh masa di sebuah kafe internet selama dua tahun.
Tidak kiralah sebesar mana sebuah Kafe Internet Gembira ini, cuma Chen Guo seorang yang akan memperoleh keuntungan dari segi wang. Para pekerja diberikan gaji yang boleh tahan, tetapi ia bukanlah pekerjaan yang menjanjikan masa hadapan cerah.
Pengurus rangkaian ataupun juruwang, hanya ini sahaja pilihan yang ada. Orang muda jenis apa yang sanggup memegang jawatan ini seumur hidup mereka? Ini hanyalah sekadar pekerjaan sementara, kebanyakan orang takkan sanggup memegang jawatan ini selama 2 tahun!
"Jom jom jom. Saya nak kamu berdua berlawan satu pusingan," Chen Guo menghentikan fikiran Ye Xiu yang melayang-layang. Setelah memperkenalkan mereka berdua, dia terus berbicara tentang tujuan utamanya. Dia sudah menunggu sepanjang hari untuk mengejutkan Ye Xiu dari tidur demi melihat pertarungan di antara dia dan Tang Rou.
"Berlawan?" tanya Ye Xiu.
"Lawan Glory lah! Kamu ingat lawan apa?" kata Chen Guo.
"Oh, kamu boleh main Glory?" tanya Ye Xiu pada Tang Rou.
"Tak, saya tak pandai," Tang Rou tersenyum.
"Kalau kamu tak pandai, saya ni apa pula?" Chen Guo tidak gembira mendengarkan jawapan Tang Rou itu.
"Kamu hebat. Saya biasa-biasa sahaja," jawab Tang Rou.
"Biasa macam mana tu?" Ye Xiu tidak faham.
"Kamu jangan layan sifat merendah diri dia tu. Dia memang boleh main dengan baik!" kata Chen Guo sambil mengheret mereka berdua ke stesen komputer masing-masing.
"Adik Tang, gunakan Chasing Haze saya!" kata Chen Guo.
"Kamu pula? Kamu baru mencecah tahap 20 semalam kan? Kamu pilih kelas watak apa?" tanya Chen Guo pada Ye Xiu.
"Saya belum memilih watak," jawab Ye Xiu.
"Kenapa tak pilih?"
"Saya menggunakan kelas 'Unspecialized'", jawab Ye Xiu lagi.
"'Unspecialized'?" Chen Guo tergamam. Sejak 5 tahun yang lepas, era kegemilangan watak 'Unspecialized' sudah lama berakhir. Tak sangka masih ada yang menggunakan kelas ini pada zaman sekarang.
"Macam mana kamu main watak 'Unspecialized'? Bila dah sampai tahap 50 nanti, macam mana kamu nak tingkatkan tahap lebih lanjut?" tanya Chen Guo.
"Dulu memang tak boleh, tapi sekarang dah boleh," kata Ye Xiu.
"Macam mana?" Chen Guo keliru.
"Melalui Heavenly Domain!" jawab Ye Xiu.
"Kamu bergurau ke? Kamu nak menyelesaikan cabaran Heavenly Domain pada tahap 50?" mata Chen Guo terbeliak.
"Saya kan hebat," jawab Ye Xiu selamba.
"Hebatlah sangat! Tahap 50 nak main di Heavenly Domain? Gila!" kata Chen Guo. Dia tidak dapat membayangkan betapa sukarnya perjalanan tersebut.
"Kalau nak tengok saya main di Heavenly Domain nanti, tolong jangan pecat saya," Ye Xiu ketawa.
"Kamu gila!" kata Chen Guo sekali lagi.
Ye Xiu ketawa dan log masuk ke akaunnya.
"Saya baru tahap 21. Saya akan berlawan dengan akaun tahap 70 kamu di 'Fixed Field', boleh?"
"Kamu nak guna akaun buruk kamu itu?" mata Chen Guo terbeliak lagi.
"Habis, nak pakai akaun apa?" Ye Xiu pula yang keliru.
"Saya boleh tolong kamu pinjam mana-mana kelas yang kamu suka!" Chen Guo sememangnya boleh meminjam akaun dari kawan-kawan atau para pelanggannya.
"Saya nak kelas 'Unspecialized…."
"Eh kamu boleh berambus!" Chen Guo hilang sabar.
Tang Rou menyaksikan perbualan antara mereka berdua dengan penuh minat. Memang tepat sekali seperti yang dikhabarkan, Ye Xiu boleh menaikkan kemarahan Chen Guo dengan mudah sekali!
"Kita boleh berlawan secara suka-suka sahaja untuk satu pusingan. Tak perlu serius sangat!" kata Tang Rou.
"Betul tu," Ye Xiu setuju.
"Macam mana akaun tahap 21 nak lawan dengan tahap 70?" tanya Chen Guo
"Guna 'Fixed Field' lah!" jawab Ye Xiu.
Chen Guo tidak terkata-kata. 'Fixed Field' digunakan untuk tujuan latihan. Tak kira kalah atau menang, tiada rekod yang akan dicatatkan. Dalam 'Fixed Field', sistem permainan akan menyeimbangkan semua attribut dan senjata yang digunakan. Jadi, tidak kiralah akaun tahap 21 ataupun 70, attribut mereka akan sama kuat. Tetapi, walaupun attribut mereka sama, perbezaan dalam kemahiran pemain tetap tidak akan disetarakan. Jadi, pastilah pemain dengan akaun tahap 70 akan mempunyai lebih banyak kemahiran berbanding pemain tahap 21.
"Bos, memandangkan saya pemain kelas 'Unspecialized', akaun tahap 20 atau tahap 70 takkan terasa sangat perbezaannya," terang Ye Xiu.
Chen Guo akhirnya faham. Memandangkan pemain kelas 'Unspecialized' tidak akan dapat mempelajari kemahiran tahap 20 ke atas, tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan tentang perbezaan kemahiran antara mereka. Ini akan menjadi pertarungan yang adil.