Blue River seorang yang mementingkan imej. Apabila dia diejek-ejek oleh Poplar Beach, kemarahannya tidak terkata lagi. Akhirnya, dia telah mencabar Poplar Beach untuk bertarung di dalam Arena. Poplar Beach sememangnya tertunggu-tunggu peluang ini, jadi dia menerima cabaran tersebut dengan rela hati.
Sungguhpun para pemain dalam persatuan yang sama sering bertarung antara satu sama lain, pemain Persatuan Blue Brook tahu yang pertarungan di antara mereka berdua bukanlah pertarungan sekadar suka-suka. Pertarungan ini akan menentukan siapakah yang layak digelar salah seorang Lima Jaguh Terulung.
Sayangnya, pertarungan ini tidak berlaku. Ketua persatuan Blue Brook telah mengumumkan yang Blue River akan menjadi peneraju server kesepuluh bersama dengan beberapa orang ahli lain.
Blue River meninggalkan Heavenly Domain buat sementara dan memulakan perjuangannya di server baru. Disebabkan ini, dia telah diketepikan buat seketika. Kemunculan Lord Grim membuatkannya terfikir tentang Poplar Beach, dan ini membuatkannya tidak gembira.
Tiba-tiba Blue River menerima satu mesej. Dia membukanya dan melihat ia datang dari Plantago Seed.
"Ha ha ha, kenapa pula jaguh itu tinggalkan persatuan kamu selepas memecahkan rekod?"
Blue River terkejut lalu menjawab: "Kamu ada perisik dalam persatuan kami ya? Kamu tak tahu malu ke?"
"Ala, janganlah begitu. Macamlah kamu tak hantar perisik ke persatuan kami juga!" jawab Plantago Seed.
"Saya belum hantar lagi!" jawab Blue River dengan tenang. Sememangnya lumrah untuk persatuan menghantar perisik masing-masing. Tetapi sekarang ini baru hari kedua di server baru, jadi Blue River belum sempat menghantar sesiapa lagi.
"Kalau kamu pemain yang bermoral, baik kamu jangan hantar!" kata Plantago Seed.
"Saya tahu kamu cuba nak memancing dia!" tuduh Blue River.
"Apa maksud kamu?" tanya Plantago Seed.
Blue River tidak menjawab.
"Ceh, kamu ni macam budak-budak lah Blue River!" kata Plantago Seed lagi.
"Saya tak ada masa nak layan kamu. Saya nak pergi tingkatkan kekuatan," balas Blue River.
Blue River beredar dan meninggalkan Plantago Seed seorang diri. Apabila perisiknya memberitahu yang Lord Grim telah meninggalkan Persatuan Blue Brook, dia ketawa terbahak-bahak. Memang Plantago Seed teringin mendapatkan khidmat Lord Grim, tetapi apa yang dikatakan oleh Blue River itu seakan-akan seperti dia sengaja melepaskan Lord Grim supaya dia boleh berkhidmat untuk persatuan lain pula. Disebabkan itu, dia berasa agak hairan.
Lord Grim sememangnya pemain yang lain daripada yang lain. Dia seorang jaguh handalan. Jika dia menyertai sebarang persatuan, dia pasti akan menjadi pemain utama. Tetapi jika dia seorang perisik, bahaya jadinya!
Pada masa dahulu, Glory mempunyai sebuah persatuan yang sama kuat dengan Tiga Persatuan Utama, tetapi ia telah dimusnahkan gara-gara perisik. Kesemua jaguh handalan persatuan itu sebenarnya perisik yang dihantar oleh persatuan-persatuan lain. Setelah memperoleh maklumat dan pengaruh yang diinginkan, kesemua jaguh handalan tersebut meninggalkan persatuan itu. Persatuan itu cuba untuk bangkit semula dengan bantuan beberapa orang jaguh handalan baru. Malangnya, setelah bekerja keras untuk memulihkan nama mereka, rupa-rupanya jaguh-jaguh baru tersebut perisik juga! Akhirnya, persatuan itu pun habis sama sekali.
Setelah perkara ini berlaku, persatuan-persatuan Glory lebih berhati-hati terhadap jaguh handalan mereka. Semakin besar persatuan, semakin mereka berhati-hati. Sewaktu kejadian itu berlaku, semua perisik datang daripada server baru. Seorang perisik yang hebat akan bermula dari bawah dan berjuang sehingga sampai ke Heavenly Domain, kemudian barulah mereka akan mendedahkan identiti yang sebenar.
Lord Grim pula muncul secara tiba-tiba di server kesepuluh dan menjadi tumpuan semua orang. Pemain seperti ini pasti menjadi rebutan semua persatuan utama, tetapi bagaimana pula jika dia seorang perisik? Plantago Seed merisaukan perkara ini, tetapi tetap menghubungi Lord Grim akhirnya. Asalkan dia berhati-hati, semuanya akan selamat.
Lord Grim sudah meninggalkan Hutan Fros dan menuju ke pekan Bulls. Pekan ini pekan pertama yang akan ditemui oleh pemain yang meninggalkan Beginner's Village, jadi suasana di sini sentiasa riuh rendah. Memandangkan Lord Grim telah menuju ke Hutan Fros sebaik sahaja dia meninggalkan Beginner's Village, dia tidak sempat untuk mendaftarkan pekan Bulls sebagai lokasi hidup semula jika wataknya mati di dalam 'dungeon'. Ini salah satu peraturan wajib Glory.
Pekan Bulls tidak besar, tetapi ia mengandungi kesemua fasiliti asas. Ye Xiu mengarahkan Lord Grim untuk singgah ke sebuah gudang demi menempatkan semua Sutera Kukuh Labah-Labah dan bahan mentah lain yang diperolehinya. Melihatkan peti simpanannya mengandungi 88 helai Sutera Kukuh Labah-Labah, Ye Xiu ketawa dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
Setelah menempatkan 48 Sutera Kukuh, Ye Xiu mengambil kesemua bahan mentah lain untuk diletakkan ke dalam 'Equipment Editor'. Tiba-tiba, dia mendapat satu mesej daripada Seven Fields.
"Tahniah abang jaguh! Kami dah lihat rekod baru abang di Hutan Fros. Hebatnya!"
"Ha ha, tak ada apa-apalah!"
"Bila abang sertai Persatuan Blue Brook?" tanya Seven Fields.
"Eh taklah, saya cuma tolong mereka pecahkan rekod saja. Saya cuma sertai buat sementara saja, saya dah keluar dah pun!" jawab Ye Xiu.
"Hah? Biar betul!" Seven Fields terkejut.
"Kamu dah berapa kali masuk ke Hutan Fros?" tanya Ye Xiu pula.
"Baru dua kali," jawab Seven Fields.
"Kamu ada ruang tak? Saya boleh masuk tiga kali lagi!"
"Untuk abang, sudah tentu ada," Seven Fields tidak menyangka abang jaguh ini masih sudi untuk masuk ke 'dungeon' bersama mereka.
"Saya akan datang serta-merta," Ye Xiu segera mengarahkan Lord Grim untuk keluar dari gudang dan menuju ke Hutan Fros.
Seven Fields dan rakan-rakannya hanyalah pemain biasa dan tidak setanding dengan para jaguh dari Persatuan Blue Brook. Ye Xiu sebenarnya boleh menyelesaikan 'dungeon' dengan lebih cepat bersama mereka, tetapi dia memilih untuk bersama dengan Seven Fields dan yang lain. Dia jelas sekali akan niat persatuan-persatuan besar yang ingin memancingnya. Dia juga tahu yang Persatuan Blue Brook mampu untuk memberikan semua bahan mentah yang diperlukannya untuk melengkapkan Payung Seribu Manifestasi. Tetapi, dia perlu memberikan tanggungjawab dan komitmen penuh jika menyertai persatuan sebegini. Persatuan akan memberikan tugasan-tugasan yang berat untuk diselesaikan dan dia harus membantu para pemain lain untuk meningkatkan tahap mereka. Ye Xiu tidak ingin terikat sebegitu rupa.
Tambahan pula, pemain handalan sepertinya berpeluang untuk bekerjasama dengan mana-mana persatuan yang disukainya. Hari ini, dia membantu Persatuan Blue Brook untuk memecahkan rekod, selepas ini dia boleh membantu Herb Garden pula. Mana-mana persatuan yang ingin memecahkan rekod boleh datang mencarinya untuk mendapatkan bantuan.
Sungguhpun dia seakan-akan barang dagangan, ia tetap lebih baik daripada mengikat dirinya sendiri. Ini keputusan yang paling baik sekali.