Kumpulan mereka meneruskan perjalanan di dalam 'dungeon' dengan kadar kelajuan yang amat tinggi. Blue River kelihatan sungguh gembira, Ye Xiu juga seperti tidak merisaukan apa-apa langsung. Ternyata Blue River dan rakan-rakannya jauh lebih handal berbanding dengan kumpulan Seven Fields, baik dari segi peralatan mahupun kemahiran. Setelah Ye Xiu memimpin mereka untuk menyelesaikan musuh dalam satu gelombang, dia tidak perlu memberikan sebarang arahan lagi kerana mereka semua telah memahami cara permainan dan juga strategi yang ingin digunakannya. Mereka lebih dari mampu untuk bertindak berdasarkan naluri sendiri.
Dengan menggunakan teknik 'penyelesaian satu gelombang' sebanyak dua kali, semua raksasa yang harus dihadapi sebelum bertemu bos telah berjaya diselesaikan. Blue River melihat pada kiraan masa. Mereka baru menggunakan lima minit sahaja! Memandangkan semua raksasa telah dibereskan, sekarang tiba giliran bos pula.
Bos pertama, Goblin Pengawal Rondaan, lebih kuat daripada Goblin biasa. Dia bersenjatakan Belantan Berduri Taring Serigala dan mempunyai serangan fizikal yang tinggi. Biarpun bos ini tidak mempunyai sebarang kemahiran luar biasa, pukulan kayunya itu cukup menyakitkan.
Kebiasaannya, serangan fizikal yang tinggi tidak akan menjadi masalah bagi kumpulan yang menggunakan khidmat 'Main Tank' untuk menahan semua serangan. Kuasa pertahanan dan nilai 'Vitality' yang tinggi pada 'Main Tank' biasanya sudah lebih dari cukup untuk memastikan serangan fizikal daripada bos tidak menganggu para pemain lain. Bagi kumpulan yang dibentuk khas seperti ini, mereka harus bergantung kepada teknik masing-masing demi menggantikan ketiadaan 'Main Tank'.
Pada ketika ini, Blue River sedikit pun tidak ragu-ragu akan kemahiran Lord Grim. Biarpun dia pemain tahap 20 berkelas 'Unspecialized', dia sudah membuktikan yang dia mampu menarik 20 ekor Goblin tanpa sedikit pun kecederaan. Tetapi apabila menghadapi bos ini, Blue River sedikit risau. Jika Lord Grim terkena serangan pukulan bos tersebut walau sekali pun, dia pasti akan mati serta-merta!
"Seperti tadi juga, saya akan tarik perhatian bos ini. Kamu semua tumpukan perhatian untuk melakukan serangan dengan 'damage' tinggi," kata Ye Xiu.
"Berapa lama kami harus tunggu kali ini?" tanya Blue River dengan nada profesional. Kebiasaannya, 'Main Tank' akan bertarung secara solo dengan bos selama beberapa saat demi memastikan perhatian bos itu akan tertumpu padanya seorang, dan juga memastikan para pemain lain tidak akan menjadi mangsa serangan.
"Tak payah tunggu. Bila saya sudah tarik dia, kamu semua terus masuk," jawab Ye Xiu.
"Terus masuk?" Kata mereka berempat serentak.
"Ya betul. Kalau kita nak pecahkan rekod, kamu semua harus cepat. Okay, saya nak mulakan sekarang!" Ye Xiu sudahpun mengarahkan Lord Grim untuk mara ke hadapan. Sungguh Blue River dan rakan-rakannya agak keliru, mereka tidak berani untuk membantah. Sungguhpun mereka sudah banyak menjimatkan masa dengan membunuh raksasa-raksasa Goblin dalam jangka masa singkat, mereka sepatutnya merancang cara terbaik untuk menewaskan bos ini. Disebabkan itu, mereka semua tidak berani untuk turut mara dan hanya melihat sahaja Lord Grim bertarung dengan Goblin Pengawal Rondaan itu.
'Dragon Tooth' diikuti dengan 'Sky Strike' diikuti dengan 'Double Stab'. Kemudian sebuah pukulan melangit, tikaman biasa, sebuah lagi 'Sky Strike'.....
"KAMU SEMUA TUNGGU APA LAGI??" jerit Ye Xiu.
Blue River seperti terjaga dari tidur apabila terdengar jeritan tersebut, tetapi dia masih juga keliru. Sejak dari tadi, Goblin Pengawal Rondaan itu sedang terpelanting di udara berkali-kali akibat daripada pukulan Lord Grim. Betapa cantiknya pukulannya itu! Mereka berempat seperti ingin menghitung berapa banyak kali Lord Grim mampu melakukan kombo dan sampai bilakah bos ini akan terapung-apung di udara.
Tetapi mendengarkan jeritan Ye Xiu, mereka berempat sedar yang mereka sedang bertarung, bukan menonton video. Mereka serta-merta menghunuskan pedang dan menyediakan ilmu kemahiran masing-masing.
Bara api, ais, kilauan bintang, cahaya pedang, kesemua serangan ini muncul bertalu-talu dengan efek yang begitu indah sekali. Mereka tidak menghalang sudut pandangan masing-masing dan posisi mereka juga tidak terganggu antara satu sama lain. Namun, mereka masing-masing menyimpan perasaan khuatir. Ini kerana, jika serangan mereka terlalu kuat, iaitu melebihi kekuatan serangan Lord Grim, bos tersebut akan menumpukan serangannya pada mereka pula!
Sungguhpun Lord Grim berpesan supaya mereka semua menyerang dengan sepenuh hati, mereka sedar yang dia bukanlah seorang 'Main Tank' yang sejati. Dia tidak mempunyai kemahiran yang direka khas untuk menarik perhatian bos. Disebabkan itu, mereka berempat menyerang dengan kekuatan sederhana sahaja, kerana mereka cukup risau akan menjadi mangsa serangan Goblin Pengawal Rondaan.
"KAMU SEMUA BOLEH SERANG LEBIH KUAT LAGI TAK?? JANGAN RISAULAH, SAYA JAMIN BOS INI TAK AKAN ALIHKAN PERHATIANNYA!!" jerit Ye Xiu sekali lagi, kali ini dengan nada yang jauh lebih kuat.
Melihatkan Ye Xiu hampir hilang kesabaran, mereka semua membuat keputusan untuk akhirnya menyerang dengan sepenuh kuasa.
Permainan Glory tidak mempunyai sebarang applikasi yang mampu menghitung jumlah kuasa serangan sewaktu dalam pertarungan. Jumlah 'damage' dan 'healing' keseluruhan hanya akan dapat dilihat setelah 'dungeon' diselesaikan. Sebelum ini, mereka semua khuatir serangan mereka terlalu kuat. Tetapi jika Goblin Pengawal Peronda tidak menukar perhatiannya kepada salah seorang daripada mereka berempat selepas menyerang dengan sepenuh kuasa, itu menandakan yang kekuatan serangan mereka semua tidak setanding dengan Lord Grim, dan itu agak memalukan juga!
Pada akhirnya, setelah setiap pemain melepaskan serangan sepenuh kuasa masing-masing, Goblin Pengawal Peronda tidak menjeling sedikit pun ke arah mereka berempat. Senjata kayu berdurinya itu tetap tertumpu pada Lord Grim seorang! Lord Grim bergerak dengan teramat lincah, malah kelincahannya itu sedikit pun tidak mengganggu kebolehannya untuk menyerang. Dia tidak henti-henti bergerak mengelilingi bos tersebut sambil melakukan serangan demi serangan.
Blue River berasa semakin takut setiap kali dia melihat pertarungan di antara Lord Grim dan bos tersebut. Sungguhpun Lord Grim bergerak dengan lincah, kelajuan Pengawal Peronda ini tidak perlahan juga. Dia berada betul-betul di belakang Lord Grim sejak dari awal lagi. Jika Lord Grim bergerak dengan kelajuan ini ketika dalam 'mode' Player Killing (PK), pasti pihak lawannya akan pening-pening lalat. Blue River menjangkakan yang Lord Grim pastinya seorang jaguh yang mahir dalam PK juga.
Setelah beberapa ketika, akhirnya Goblin Pengawal Peronda tumpas. Mereka berempat gagal untuk mencuri perhatiannya walau sedikit pun, maka terbuktilah kekuatan serangan Lord Grim jauh mengatasi mereka semua! Sungguhpun gembira kerana menang, terdetik juga sedikit rasa malu di dalam hati mereka.
"Abang, macam mana abang boleh menarik perhatian bos itu secara konsisten?" Blue River gagal mengawal rasa ingin tahunya. Mengikut pengetahuan Blue River, 'Main Tank' khas seperti Flower Lantern pun akan menghadapi kesukaran untuk menarik perhatian bos sepanjang masa kerana kekuatan serangan Blue River sangat tinggi!
"Saya dah kata, asalkan kekuatan serangan saya lebih kuat dari kamu, perhatian bos tidak akan terganggu. Dan saya memang sudah tahu dari awal yang kekuatan serangan kamu masih jauh jika dibandingkan dengan saya, " jawab Ye Xiu.
Blue River terdiam membisu, Returning Cloud tergamam, Lunar Grace tidak terkata-kata, manakala Thundering Light pula berkata: "Nampak gayanya, dia bukan sahaja boleh memikul tanggungjawab sebagai 'Main Tank', dia juga pemain yang menghasilkan 'damage' utama,".
Mereka berempat menangis di dalam hati. Ya, ternyata mereka harus menerima hakikat yang kekuatan serangan Lord Grim jauh melebihi mereka semua.
Tanpa berehat sedikit pun, Lord Grim mula menarik sekumpulan Goblin sekali lagi. Mereka berempat mengikut dari belakang dan berbisik di antara satu sama lain,
"Kamu sedar tak, 'damage' dia melebihi kita semua?" tanya Returning Cloud.
"Jauh melebihi kita semua! Kalau tidak, dia takkan mampu menarik perhatian bos dengan begitu stabil sekali," kata Lunar Grace pula.
"Saya akui kebolehan dia, dan ternyata kekuatan serangan dia teramat tinggi. Kamu semua pernah lihat tak tombak yang digunakannya itu?" tanya Blue River.
"Saya tak pernah. Tombak itu nampak seperti seulas bawang putih yang besar," kata Thundering Light.
"Bawang putih keluarga kamu berbentuk macam itu ke?" tanya Returning Cloud.
"Saya melebih-lebih lah! Kamu pula tahu ke senjata apa itu?" kata Thundering Light.
"Eh, berambuslah kamu!" kata Returning Cloud.
"Kamu semua diam! Dia dah mula menarik raksasa, baik kita tumpukan perhatian," kata Blue River.
Lord Grim mula menarik raksasa Goblin sekali lagi. Sungguhpun mereka berempat sudah berjaya sebanyak 2 kali tadi, mereka tetap sedar yang terdapat risiko untuk gagal jika mereka tersalah langkah ataupun gagal mendapatkan rentak yang tepat. Kegagalan ini mungkin mengakibatkan mereka gagal memecahkan rekod pula!
Tarik raksasa, kumpul raksasa, bunuh raksasa.
Setiap pemain menjalankan peranan mereka dengan sempurna sekali. Setelah dua gelombang disempurnakan, mereka telahpun membunuh semua raksasa dalam perjalanan menuju bos kedua.
Apabila menghadapi bos kedua, Blue River dan semua temannya yang lain tidak menunjukkan sebarang belas kasihan dan menyerang dengan sepenuh kekuatan sejak dari mula lagi. Pada akhirnya, mereka semua terus mengejar Lord Grim dari belakang.
"Cepatnya, kita semua sangat cepat. Kita pasti akan memecahkan rekod!" kata Thundering Light dengan penuh riang.
"Dan kita akan mencatatkan jurang masa yang besar!" kata Blue River pula.
"Yeayyyy!" Returning Cloud juga sungguh gembira.
".....", Lunar Grace tidak tahu hendak berkata apa.
'Damage' yang tidak sekuat Lord Grim atau apa-apa pun, mereka tidak ingin memikirkannya.