Bos terakhir dalam Hutan Fros adalah Maharaja Goblin Frost Thain. Dari namanya sahaja, para pemain sudah boleh tahu yang bos ini jauh lebih kuat daripada sebarang bos tersembunyi di 'Beginner's Village'.
Tubuh Thain tidak jauh berbeza berbanding Goblin biasa, tetapi wajahnya yang bengis membuatkannya kelihatan lebih kejam dan jahat daripada yang lain. Setidak-tidaknya, hidungnya bukan berwarna biru seperti Goblin biasa. Ini kerana warna kulit Frost Thain ialah warna biru langit semuanya.
Pada tangan kanannya, dia memegang sebilah Pedang Ais yang sama tinggi dengan tubuhnya sendiri. Apabila dia menghunuskan pedang tersebut, angin dingin akan berhembus. Jarak serangannya pula lebih jauh daripada biasa. Bos ini mempunyai beberapa serangan khas yang mampu untuk membekukan 'Main Tank' yang berhadapan dengannya. Disebabkan ini, panduan Hutan Fros menasihatkan para pemain untuk membawa sekurang-kurangnya dua orang 'Main Tank'. Ia akan membantu mereka untuk berhadapan dengan bos Goblin Pengawal Peronda pada awal tadi dan juga menentang Frost Thain ketika ini.
Tetapi mana mungkin Ye Xiu menjadi salah seorang pemain yang mengikut panduan secara membuta-tuli. Apabila keempat-empat teman sepasukannya sudah tiba, dia hanya berkata "Saya akan mulakan sekarang" dan menerpa ke hadapan sambil menghunuskan tombak pertarungannya. Ye Xiu sedar yang teman-temannya ini adalah pemain berkualiti tinggi semuanya. Jika mereka semua ditukar dengan Seven Fields dan rakan-rakannya, Ye Xiu harus menjelaskan satu-persatu tentang rancangannya dan dia juga harus mengawasi mereka semua sewaktu sedang bertarung. Blue River dan rakan-rakannya tidak perlu diawasi langsung.
Blue River dan yang lain juga tidak berkata apa-apa dan sekadar bersedia untuk membantu. Kelajuan Frost Thain ialah dua kali ganda lebih pantas berbanding Goblin biasa. Dalam sekelip mata, dia turut mara ke hadapan untuk bertembung dengan Lord Grim.
Tetapi akhirnya, dalam sekelip mata sahaja, Frost Thain sudahpun dilambungkan ke udara.
Sungguh kuat!
Blue River dan yang lain menonton dengan senyap sambil memuji di dalam hati. Dengan kelajuan dan kelincahan Frost Thain, bukan mudah untuk seorang pemain mengenakan pukulan yang tepat padanya. Malah, untuk menarik perhatiannya pun bukan mudah. Jika Flower Lantern ada di sini, dia biasanya hanya akan berjaya memukul Frost Thain setelah melakukan serangan sebanyak tiga kali terlebih dahulu. Dua serangan yang pertama akan gagal mengenai sasaran. Selepas itu, seorang pemain perlu melakukan kombo sebanyak beberapa kali demi menarik perhatian bos itu. Tetapi jika seorang pemain itu tidak mahir, kemungkinan besar dia akan dipukul oleh Frost Thain sehingga separuh mati tetapi masih gagal menarik perhatian bos tersebut! Pada akhirnya, 'Cleric' yang bertugas untuk merawat 'Main Tank' akan menjadi mangsa sasaran Frost Thain pula.
Lord Grim melambungkan Frost Thain dan menyambung serangannya dengan beberapa kombo di tengah-tengah udara. Tetapi ternyata Frost Thain ini bukanlah sembarangan bos. Apabila dia terlambung, cahaya berwarna biru terang terpancar dari tubuhnya dan dia terus hilang dari pandangan. Blue River dan rakan-rakannya tidak terkejut. Mereka memang tahu yang Frost Thain memiliki kemahiran 'teleport' yang membolehkannya untuk bergerak ke lokasi lain dalam sekelip mata.
Sedang mereka mencari-cari di manakah lokasi Frost Thain, mereka terdengar bunyi pukulan yang kuat. Mereka melihat tombak pertarungan Lord Grim masih menikam-nikam tubuh Frost Thain tanpa henti biarpun bos tersebut baru sahaja tiba di lokasi yang baru!
Blue River dan rakan-rakannya melihat semula ke lokasi awal Lord Grim di tengah-tengah udara tadi. Ternyata dia masih di situ!
Teknik 'Shadow Clone' rupanya, fikir mereka semua. Mereka telah melihat kemahiran ini berkali-kali, ia tidak mengejutkan mereka. Tetapi mereka tetap kagum dengan kebolehan Lord Grim untuk meneka lokasi 'teleport' Frost Thain dengan tepat sekali! Apabila Frost Thain hendak memulakan proses 'teleportation', dia akan memberikan beberapa petanda. Apabila dia mula menjampi, ia akan meninggikan tangannya dan menunjuk ke sesebuah lokasi. Dengan melihatkan kedudukan tangannya, seseorang pemain boleh mengagak lokasi 'teleportation' bos tersebut. Tetapi semua penunjuk ini akan berlaku dalam tempoh sekelip mata sahaja, maka bukan mudah untuk pemain melakukan tekaan tepat. Tetapi Lord Grim masih berjaya meneka dengan cantik sekali! Betapa tingginya kemahirannya!
Kemahiran 'Teleport' Frost Thain ini mempunyai 'cooldown' yang tersendiri. Setelah gagal melepaskan diri, ia dipukul bertalu-talu oleh Lord Grim. Frost Thain pasti berasa sangat menyampah ketika ini. Dia ingin memukul lawannya, dia ingin menggunakan kuasa sakti, tetapi pihak lawannya sentiasa berada satu langkah di hadapannya, memusnahkannya.
Melihatkan mereka berempat seolah-olah sedang menonton video sekali lagi, Blue River segera memberikan arahan supaya mereka semua bersedia untuk membantu.
Bertarung dengan Frost Thain ialah satu tindakan yang bahaya sekali. Jika tersilap sedikit pun, para pemain menghadapi kemungkinan yang tinggi untuk dibunuh. Terdahulu, kumpulan Blue River menggunakan khidmat seorang 'Main Tank' sahaja, dan mereka masing-masing perlu mengawal kekuatan serangan masing-masing supaya tidak ditumpukan oleh Frost Thain. Tetapi kini dengan bantuan Lord Grim yang tidak pernah terlepas sasaran, mereka berempat tidak mempunyai sedikit perasaan risau pun dan mampu bertarung dengan sepenuh potensi mereka.
Frost Thain pula seorang bos yang cukup menjengkelkan. Setiap kali kebolehan 'teleport' miliknya sudah selesai 'cooldown', ia akan 'teleport' ke sana dan ke mari tanpa henti. Tetapi pada hari ini dia berhadapan dengan Lord Grim yang mempunyai teknik 'Shadow Clone'. Tidak kira di mana Frost Thain 'teleport', Lord Grim akan mengikutinya serta-merta. Sungguhpun Blue River dan rakan-rakannya harus bermain kejar-mengejar dengan bos tersebut, mereka tetap berjaya memukulnya berkali-kali dengan bantuan Lord Grim.
"Jaga-jaga, ia hampir 'Red Blood'," kata Ye Xiu.
"Baik!" jawab mereka berempat. Mereka sememangnya ternanti-nantikan detik ini. Apabila Frost Thain memasuki keadaan 'Red Blood', ia akan diperkuatkan dengan 'Super Armor', di mana kemahiran kuasa sakti miliknya tidak akan dapat diganggu atau digagalkan oleh serangan fizikal para pemain. Bukan itu sahaja, ia juga akan dapat melakukan jampi dengan kadar yang lebih cepat. Jika pemain tidak berhati-hati, Frost Thain akan melakukan 'teleportation' tepat ke arah mereka dan serta-merta menyerang menggunakan kemahiran 'Ice Whirlwild', sebuah kemahiran yang menyelimuti kawasan besar dan mendatangkan kecederaan parah.
"Segera berundur!" jerit Blue River apabila dia terlihat sinaran yang mengerikan dari mata Frost Thain. Pedang Ais gergasi milik bos tersebut mula menari-nari dan bersedia untuk melepaskan serangan 'Ice Whirlwind'. Blue River melarikan diri dengan cepat, manakala 3 pemain lain pula hanya perlu berundur sedikit sahaja kerana mereka menyerang dari jarak jauh. Tetapi, mereka masih perlu berhati-hati kerana serangan 'Ice Whirlwind' ini akan mengenai sasaran secara rawak.
Tetapi, tanpa disangka-sangka, 'Ice Whirlwind' tidak muncul! Frost Thain sudah pun terbaring di tanah!
'Back Throw'. Lord Grim telah menggunakan 'Back Throw' untuk memecahkan 'Super Armor'!
"Blue River, kenapa kamu lari? Kamu tak belajar kemahiran 'Wave Wheel Slasher' ke?" tanya Ye Xiu.
'Wave Wheel Slasher' ialah kemahiran kelas 'Spellblade'. Kemahiran ini turut mampu memecahkan 'Super Armor'. Kebanyakan 'Blade Master' mempelajari kemahiran ini khas untuk tujuan tersebut.
"Tak, saya tak ada kemahiran itu," jawabnya dengan malu.
Sebenarnya, Blue River tidak mempelajari kemahiran ini disebabkan oleh risiko yang harus ditanggungnya. Semua orang tahu bahawa Frost Thain seorang bos yang sangat sukar untuk disasarkan. Jika Blue River terlepas serangannya, nyawa setiap ahli kumpulannya akan terancam. Disebabkan itu, dia memilih untuk tidak mempelajari serangan 'Wave Wheel Slasher' tersebut. Tetapi kini, dia cukup malu sekali apabila Ye Xiu menyoalnya tentang perkara ini.
"Belajarlah kemahiran itu, ia sangat berguna," kata Ye Xiu dengan ringkas.
"Ya, saya tahu. Saya belum cukup 'skill points' lagi, nanti saya belajar bila sudah cukup,". Merah padam muka Blue River menahan malu. Jaguh sepertinya sedang diberikan ajaran tentang pengetahuan asas!