Seven Fields dan rakan-rakannya hanya mampu menahan nafas masing-masing, tidak berani menganggu pertarungan Lord Grim. Pada masa yang sama, mereka bertiga turut mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk menyerang apabila diperlukan. Setelah menunggu sekian lama, tidak ada sebarang panggilan meminta pertolongan daripada Ye Xiu pun.
"Takkan dia merancang nak bertarung solo?" Tanya Sunset Clouds kepada Seven Fields melalui mesej peribadi.
"Saya rasa tak mungkin," kata Seven Fields.
"Bertarung secara solo dengan bos tersembunyi?" Mereka semua tergamam membaca mesej yang ditulis oleh Sunset Clouds itu.
"Tetapi, bukan mustahil bagi abang jaguh…" kata Seven Fields.
"Dari mana agaknya datangnya abang jaguh ini. Dengan kemahiran yang dia miliki, saya rasa ketua persatuan kita pun takkan dapat menandinginya," kata Sunset Clouds.
"Betul, dia langsung tidak setanding dengan abang jaguh," tambah Seven Fields.
Ketua persatuan Full Moon berada di posisinya sekarang kerana semua orang mengagumi kelajuan jari-jemarinya yang mencecah 200APM. Sungguhpun baru sehari berlalu sejak pembukaan server kesepuluh, sudah terdapat 3 ahli persatuan yang bercadang untuk mengkhianatinya.
Tidak lama kemudian, Drifting Water pula menghantar mesej peribadi yang sama, "Takkan dia bertarung solo kan?".
Dalam dunia permainan Glory, mesej suara tidak boleh dihantar secara peribadi. Oleh kerana tidak ingin menganggu pertarungan Ye Xiu, mereka bertiga tidak menggunakan sistem suara untuk berkomunikasi dan terpaksa bergantung kepada mesej tulis peribadi.
"Boleh jadi," jawab Seven Fields dan Sunset Clouds serentak.
"Ini terlalu mengagumkan. Apa kata kita rakam?" tanya Drifting Water. Permainan ini mempunyai sistem rekod yang tersedia.
"Err, abang jaguh tak pernah berikan kebenaran dia, jadi baik jangan!" kata Seven Fields.
Mereka bertiga terus menonton pertarungan Lord Grim. Sesungguhnya kemahirannya menggunakan tombak pertarungan tidak terbanding dengan sesiapapun. Dia mengelak semua serangan seakan-akan berada dalam filem kungfu. Seven Fields dan rakan-rakannya merasakan diri mereka sedang diperkenalkan ke dunia yang baru dan tidak pernah diterokai apabila melihat persembahan Lord Grim itu.
Chen Guo berdiri di belakang Ye Xiu dan cuba sedaya upaya untuk menghitung berapa kali pukulan yang dibuat. Sungguhpun dia boleh dikatakan mempunyai sudut pandangan yang sama dengan Ye Xiu, pergerakan Lord Grim yang pantas dan tangkas membuatkan kepalanya berpusing-pusing. Matanya tidak mampu mengikuti kepantasan watak tersebut. Seringkali, apabila Lord Grim melakukan putaran mendadak, Chen Guo tidak lagi dapat menentukan di manakah kedudukan Skeleton Warrior, apatah lagi lokasi tali pengikat Saber.
Bagi Ye Xiu pula, pergerakan tangannya tetap licin dan kemas. Chen Guo menyedari yang kelajuan tangan kiri Ye Xiu jauh lebih pantas berbanding semalam. Tangan kanannya yang mengawal tetikus juga lebih pantas, tetapi pergerakannya tidak banyak. Setelah selesai menyempurnakan gerakan, jari-jemarinya akan mengetik tetikus serta-merta.
Chen Guo sangat kagum dengan kejituan Ye Xiu. Tidak kira selaju manapun skrin berputar-putar, tetikus Ye Xiu tetap akan mengenai sasaran dengan tepat dan akan menyudahkan serangan tanpa sedikit getaran pun. Ternyata tangan kanan Ye Xiu bukan sahaja tangkas, tetapi sangat stabil.
"Sememangnya tahap profesional jauh berbeza dengan tahap pemain biasa," kata Chen Guo dengan penuh cemburu.
"Peng!" Sekali lagi bunyi tersebut kedengaran dengan lantangnya. Ini adalah kali kedua puluh dia mendengarkan bunyi ini. Sudah dua puluh kali Lord Grim memukul tali pengikat Saber, tetapi nyawanya tidak berkurang sedikit pun. Dia memukul dua puluh kali, tetapi serangan Skeleton Warrior gagal untuk mengenainya walau sekali pun.
"Sunset Clouds, 'Collapsing Mountain'!" jerit Ye Xiu ke mikrofon di fon kepalanya.
"Akhirnya sudah tiba giliran kita?" Sunset Clouds menyangkakan yang mereka bertiga tidak diperlukan lagi. Mendengarkan arahan Ye Xiu, dia menghunuskan pedangnya dan mara ke hadapan. Lord Grim melakukan 'Sky Strike' dan melambungkan Skeleton Warrior ke arahnya. Sunset Clouds segera mengenakan serangan 'Collapsing Mountain' untuk menjatuhkan Skeleton Warrior dari udara ke tanah. Dia melakukan kombo maksimum sebanyak 8 kali.
"Guard!" Ye Xiu mengingatkan Sunset Clouds, tetapi dia sudah pun bersedia dari awal lagi. Skeleton Warrior bingkas bangun dan melakukan serangan gelombang terhadap Sunset Clouds.
"Dong!" Sunset Clouds tertolak ke belakang.
Kemahiran 'Guard' Sunset Cloud sudah pun berada pada tahap 4, jadi dia mampu mengurangkan kuasa serangan musuh sebanyak 70%. Memandangkan serangan gelombang pihak lawan ini bukanlah kuat sangat, baki 30% itu tidak memberikan kerosakan yang mendalam pun.
Lord Grim melompat untuk mengelakkan serangan gelombang, lalu serta-merta melakukan serangan 'Dragon Tooth' kepada Skeleton Warrior. Raksasa itu terkesan dengan efek 'Stun' akibat daripada serangan itu.
"Seven Fields, Drifting Water!" jerit Ye Xiu.
Mereka berdua mara ke hadapan dan memahami yang Ye Xiu ingin mereka melakukan serangan dengan efek 'Stun' juga.
"Eh apa yang berlaku? Kenapa tiba-tiba kamu perlukan bantuan mereka untuk melakukan 'Stun'?" tanya Chen Guo.
"Bos tak nampak ke?" tanya Ye Xiu. Dia segera memfokuskan sudut pandangan Lord Grim untuk mengizinkan Chen Guo melihat dengan lebih jelas.
Ternyata Saber milik Skeleton Warrior sudahpun terjatuh dan kini sedang terbaring di sebelah kakinya. Tali pengikat sudah pun putus!
"Eh macam mana pula? Bukan kamu perlu pukul sebanyak 24 kali ke?" Chen Guo telah menghitung dengan berhati-hati sejak awal lagi, tidak mungkin dia tersilap.
"Memang sudah 24 kali!" kata Ye Xiu.
"Habis kenapa saya dengar 20 kali saja?" tanya Chen Guo.
"Saya melakukan 'Double Stab' sebanyak 4 kali. Ia menyerang dua kali berturut-turut dalam jangka masa yang sangat cepat, jadi mungkin bos tak dengar. 4 kali bercampur 20 kali, bukankah 24 kali jadinya?" jawab Ye Xiu.
"Kamu melakukan 'Double Stab' dan mengenai sudut yang sama sebanyak 2 kali berturut-turut? Chen Guo tergamam. "Eh, habis kenapa bos tersembunyi ini tidak berdarah pun?"
"Sebab dia kan tulang rangka. Tulang rangka mana boleh berdarah!" kata Ye Xiu.
Merah padam muka Chen Guo. Sememangnya dalam dunia Glory terdapat beberapa raksasa yang tidak akan berdarah, antaranya raksasa tulang rangka. Jika ia tidak mempunyai daging, macam mana dia hendak berdarah? Veteran seperti Chen Guo langsung terlupa akan hakikat ini.
"Ini semua salah Ye Xiu! Dia berpusing ke sana ke mari sampai saya pun pening!" katanya dalam hati.
Chen Guo duduk kembali di depan komputernya dengan perasaan marah. Ternyata masih terdapat ramai pemain baru yang mengerumuninya di luar 'Beginner's Village'. Banyak tugasan yang perlu dilakukannya. Sambil berfikir, dia terdengar Ye Xiu bertanya,
"Eh bos, malam ni bos merancang nak berjaga sepanjang malam ke?"