"Kenapa kamu tanya?" tanya Chen Guo.
"Kalau bos nak berjaga malam, bos duduk sajalah di sini. Saya nak pergi ke zon merokok!" kata Ye Xiu.
"Kalau kamu pergi ke zon merokok, yang bekerjanya saya ke kamu??" tanya Chen Guo dengan geramnya.
"Oh, kalau macam tu bos nak tukar tempat dengan saya? Bukan ke bos tak suka bau rokok?" jawab Ye Xiu dengan selamba.
"Eeee geramnya!!" Chen Guo putus asa dengan perangai Ye Xiu tersebut.
Ye Xiu menggenggam kotak rokoknya dengan sebelah tangan, memberikan isyarat yang Chen Guo harus memilih untuk mengambil alih syif Ye Xiu ataupun bertukar ke tempat lain.
"Lupakan saja! Saya tak nak main, saya nak tidur!" Chen Guo log keluar dengan marah dan bergegas pergi.
Ye Xiu memerhatikan sahaja Chen Guo beredar. Tanpa disangka-sangka, Chen Guo terlupa untuk mengambil kad akaunnya, ia hanya terbiar sahaja di atas meja. Chen Guo sudah menganggap kafe internet ini sebagai rumahnya, jadi sudah menjadi tabiat untuknya meninggalkan barangan miliknya di merata-rata tempat.
Ye Xiu mendapat satu idea.
"Bos, bos tak ambil kad bos? Bos nak saya tolong bos untuk meningkatkan tahap ke?"
"Suka hati kamulah!" jerit Chen Guo dari jauh.
Ye Xiu mengangguk. Dengan kelajuan 300 APM, tangannya menyalakan rokok dan meletakkannya di mulut. Pertarungan dengan Skeleton Warrior tidak sedikit pun terjejas oleh nyalaan rokok Ye Xiu itu. Tidak lama kemudian, raksasa tersebut pun tumpas!
Saber yang diinginkan oleh Ye Xiu terlantar di tanah. Ye Xiu mengangkatnya dan tidak mempedulikan segala ganjaran yang lain. Seven Fields dan rakan-rakannya membahagikan ganjaran-ganjaran lain sesama mereka dan meletakkan semuanya di dalam beg.
"Abang jaguh, kami akan simpan semua bahan mentah kelas tinggi yang abang tak nak. Bila harganya meningkat naik, kita akan jual semuanya. Sekarang ini server baru saja dibuka, jadi terdapat banyak penipu yang membeli barang-barang mentah ini dari pemain-pemain baru dengan harga rendah. Bila harga sudah kembali stabil, kita akan jual semua dan kita akan bahagikan keuntungan dengan abang ya?" jelas Seven Fields.
"Tak payah. Saya sudah ambil bahagian saya. Yang lain semuanya milik kamu semua," kata Ye Xiu.
"Abang jaguh jangan terlalu murah hati dan rendah diri. Jaguh seperti abang patut dapat lebih dari ini!" kat Seven Fields.
Ye Xiu hanya ketawa dan tidak berkata apa-apa lagi. Mereka meneruskan perjuangan mereka di dalam 'dungeon'.
"Abang, adakah kita perlu menambah seorang lagi pemain sekarang?" tanya Seven Fields.
Ye Xiu mengerti maksud soalannya itu. Dia sudahpun mendapat apa yang dia mahukan. Jika mereka menambah seorang lagi pemain, mereka akan dapat melancarkan lagi perjuangan mereka menyelesaikan 'dungeon'.
"Ikut suka kamu semua! Tapi, hari ini saya hanya akan berlatih sehingga mencecah tahap 20. Lepas itu, saya perlu menolong kawan saya untuk menaikkan tahap," kata Ye Xiu.
"Okay okay, tiada masalah. Abang perlukan pertolongan kami tak?" tanya Seven Fields lagi. Sebenarnya, mereka tidak mematikan fon kepala mereka sewaktu Ye Xiu dan Chen Guo sedang berbual. Seven Fields telah mendengar sedikit sebanyak perbualan mereka itu.
"Tak payah, kamu semua boleh buat apa saja yang kamu nak," kata Ye Xiu.
"Okay abang," Seven Fields dan rakan-rakannya tidak berkata apa-apa lagi. Mereka baru sahaja mengenali Ye Xiu selama sehari. Sebagai orang dewasa, mereka tahu akan batasan yang sepatutnya.
Setelah keluar dari 'dungeon', Seven Fields mengeluarkan arahan untuk menambah seorang pemain lagi. Bukan susah untuk membentuk kumpulan baru di dalam server baru. Terdapat pelbagai permohonan untuk menyertai kumpulan mereka, dan Seven Fields akhirnya memilih seorang pemain wanita yang bertahap 17.
Wanita tersebut menggunakan nama Immersed Jade. Dia sangat teruja apabila melihat senarai pemain di dalam kumpulannya itu.
Seven Fields, Sunset Clouds, Drifting Water dan Lord Grim! Inilah kumpulan yang berjaya mendapat 'first clear' di Gua Labah-Labah dan membereskan Maharaja Labah-Labah! Dia tidak pernah termimpi dapat menyertai kumpulan hebat seperti ini. Melalui sistem suara, dia menggambarkan betapa teruja perasaannya.
Sistem suara dalam dunia Glory membolehkan para pemain untuk mengenalpasti jantina sebenar seorang pemain. Tidak ada yang dapat menyamar. Jika seorang pemain mengaku dirinya sebagai wanita, tetapi tidak mahu menggunakan sistem suara sewaktu sedang sibuk bertarung, dirinya pasti akan disyaki oleh ahli kumpulan yang lain. Tetapi, sudah tentulah lain ceritanya jika seseorang itu ialah lelaki yang mempunyai suara lembut seperti wanita!
Setelah mendengarkan suara Immersed Jade, Seven Fields dan rakan-rakannya serta-merta berkumpul di hadapannya untuk melihatkan cara penampilannya.
Terdapat dua jenis model watak Glory, jenis lelaki dan jenis perempuan. Penampilannya boleh diubahsuai melalui 'editor'. Pemain boleh memilih untuk mengubahsuai penampilan mengikut kehendak hati ataupun memilih rekaan secara rawak. Mereka boleh juga mengambil gambar sendiri dan meletakkan gambar tersebut di ruangan muka dalam 'editor'. Bukan itu sahaja, mereka juga boleh memberikan ukuran tubuh masing-masing dan sistem 'editor' itu akan mencipta watak yang mirip dengan ukuran pemain tersebut! Disebabkan ini, para pemain lelaki akan teruja untuk melihat sama ada seorang watak perempuan mempunyai penampilan yang menarik ataupun tidak. Ada khabar yang mengatakan pemain-pemain lelaki yang gatal boleh mengenalpasti samada seorang watak perempuan ialah tulen ataupun palsu hanya melalui sekilas pandangan sahaja!
Setelah melihat dengan teliti, Seven Fields dan rakan-rakannya membuat kesimpulan yang Immersed Jade ialah wanita yang berpenampilan biasa-biasa sahaja. Sama ada penampilannya itu tulen ataupun palsu, mereka tidak pasti.
Tetapi Immersed Jade sememangnya penuh bertenaga dan sangat mengagumi pasukan mereka. Dia segera memohon untuk menyertai pasukan mereka secara tetap. Seven Fields terpaksa menjelaskan kumpulan mereka masih terdapat seorang lagi pemain yang tidak dapat bersama mereka hari ini. Tidak ada ruang kosong buat Immersed Jade.
Immersed Jade kelihatan agak kecewa, tetapi tidak putus asa. Biarpun tidak dapat menjadi pemain tetap, dia memohon untuk menjadi pemain simpanan pula! Dia turut bertanya mereka semua dari persatuan dan organisasi yang mana.
Soalan ini agak sukar untuk dijawab oleh Seven Fields dan yang lain-lain. Sudah jelas wanita ini mengagumi dan menganggap mereka semua sebagai jaguh, biarpun dia belum pun masuk ke 'dungeon' dan bertarung bersama mereka semua. Tidak lama lagi, dia pasti akan menyedari yang Lord Grim satu-satunya jaguh di dalam kumpulan mereka ini. Mereka yang lain tidak sehebat mana pun!
Sungguhpun Seven Fields dan rakan-rakannya berasal dari Persatuan Full Moon, Ye Xiu ialah pemain bebas. Jika mereka memberikan jawapan yang tulus, ia agak tidak adil buat Immersed Jade sendiri.
"Eh sudahlah, jom kita segera masuk ke 'dungeon'!" Seven Fields cuba menukar topik perbualan. Dia lantas memimpin kumpulannya ke arah pintu masuk 'dungeon'.
Setelah masuk, Ye Xiu meneruskan tugasnya sebagai pemimpin dan mula memberikan arahan.
"Eh, siapa yang bercakap tu?" tanya Immersed Jade.
Dari tadi, dia tidak berhenti-henti berbual dengan Seven Fields dan rakan-rakannya. Ini kali pertama dia mendengar suara Ye Xiu.
"Itu Lord Grim, dewa dalam kumpulan kami. Semua 'first clear' kami disebabkan oleh jasa dia seorang. Kalau dia tak ada, kumpulan kami ini takkan terkenal langsung!" akhirnya Seven Fields mendapat peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar.
"Saya menyanjung dewa yang hebat ini!" kata Immersed Jade dengan kuat.
"Ha ha, jom cepat!" Ye Xiu ketawa dan mula memimpin semua ahli untuk mara ke hadapan. Dia mengarah, membunuh dan menyerlahkan kebolehan sebenarnya sebagai seorang jaguh. Immersed Jade sangat kagum, tetapi mengawal dirinya agak tidak kelihatan terlalu melampau di hadapan Ye Xiu.
Seven Fields dan rakan-rakannya sudah tahu yang gadis ini seorang pemain baru dan kurang pengalaman.
"Habislah gadis ini….teruk!" kata Sunset Clouds dengan senyap-senyap.
"Ugh, agak kasihan juga dia ni. Dia pemain baru tapi sudah dapat sekumpulan dengan pakar seperti abang jaguh. Nanti macam mana dia nak bergaul dengan pemain-pemain bertaraf biasa?" kata Seven Fields.
"Ini sememangnya satu tragedi!" kata Drifting Water dengan nada sayu.