Immersed Jade sememangnya pemain baru yang comel. Apabila dia masuk ke 'dungeon', dia tidak banyak bercakap. Dia hanya mendengarkan arahan yang diberi dan melaksanakannya sebaik-baiknya. Dia sering melalukan kesilapan mudah, dan memohon maaf setiap kali. Ini menyebabkan semua pemain lain merasa agak bersalah untuk menyebut tentang kesilapan-kesilapannya. Apabila Immersed Jade melakukan kesilapan, Seven Fields dan rakan-rakannya merasa lebih gugup berbanding dirinya sendiri! Mereka khuatir abang jaguh akan hilang sabar. Kebanyakan pemain pakar tidak mempunyai kesabaran untuk mengendalikan pemain baru yang kurang pengalaman.
Tetapi Seven Fields dan rakan-rakannya mula berasa lega apabila hampir setengah daripada 'dungeon' telah diselesaikan. Ternyata abang jaguh Ye Xiu bukanlah jenis pakar yang sombong dan angkuh. Dia dengan rela hati mengajar dan menjelaskan segala perkara yang tidak difahami oleh Immersed Jade.
Sungguhpun kelancaran mereka agak terganggu disebabkan oleh pemain baru ini, Seven Fields dan rakan-rakannya tidak mengungkit tentang perkara itu kerana Ye Xiu kelihatan tidak kisah. Mereka terus membunuh raksasa-raksasa sambil mengajar Immersed Jade. Mereka semua berasa agak seronok!
Melalui perbualan dengannya, mereka mempelajari yang ini kali pertama Immersed Jade memasuki 'dungeon'. Selama ini, dia hanya menyelesaikan 'quest' untuk menaikkan tahapnya. Apabila 'quest' yang tinggal ialah jenis yang memerlukannya untuk memasuki dungeon, barulah dia terpaksa mencari kumpulan untuk disertai. Pada akhirnya, dia agak bertuah kerana dijemput menyertai kumpulan yang terkenal ini. Sudah tentulah dia sangat teruja!
Setelah menerima ajaran daripada jaguh Ye Xiu, Immersed Jade menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sewaktu menempuhi 'dungeon' buat kali kedua. Tetapi dia masih dianggap pemain baru kerana dia belum bermain Glory buat jangka masa yang lama.
Akhirnya setelah menyelesaikan 'dungeon' berkali-kali, Lord Grim dan semua rakannya yang lain mencecah tahap 20. Immersed Jade pula sedikit ketinggalan, dia hanya berada pada tahap 19. Ye Xiu membuat keputusan untuk meneruskan perjuangan demi membolehkan Immersed Jade mencecah tahap 20 juga.
Sepanjang tempoh perjuangan mereka ini, mereka telah bertemu dengan bos tersembunyi sebanyak 2 kali. Ye Xiu memimpin mereka semua dan membereskan bos-bos tersebut dengan mudah sekali. Malangnya, mereka tidak mendapat ganjaran senjata tahap ungu pada hari ini, hanya beberapa bahan mentah yang bernilai tinggi sahaja. Sebagai pemain baru, Immersed Jade tidak mengerti akan nilai bahan-bahan mentah ini. Setelah dijelaskan oleh yang lain, Immersed Jade membuat keputusan yang dia tidak layak untuk menerima apa-apa dan memberikan semua bahan tersebut kepada ahli-ahli yang lain dengan rela hati.
Tanggapan Seven Fields dan rakan-rakannya terhadap gadis ini serta-merta meningkat berkali-kali ganda. Mereka memberitahu yang jasa baiknya sangat dihargai dan tidak akan mereka lupakan. Mereka berbulat hati akan menjual semua bahan mentah tersebut dan membahagikan keuntungannya kepada Immersed Jade.
"Okay, saya cabut dulu ya," Ye Xiu mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulannya.
"Eh abang jaguh, abang tak nak memilih kelas ke?" Pada tahap 20, semua pemain biasanya akan memilih kelas watak yang mereka inginkan sebelum meninggalkan 'Beginner's Village'.
"Bukan sekarang, belum lagi. Kamu semua pilihlah dulu." katanya dengan ringkas.
"Baiklah, jumpa lagi, abang jaguh!" kata Seven Fields.
"Selamat tinggal Dewa Agung!" kata Immersed Jade. Dia terasa seperti sudah bersama dengan kumpulannya buat jangka masa yang lama, sungguhpun sebenarnya tempoh mereka bermain hanyalah seketika sahaja. Dia sudah mengerti mengapa Seven Fields dan rakannya yang lain mengagung-agungkan Lord Grim.
Ye Xiu ketawa dan mengucapkan selamat tinggal sekali lagi. Mereka berempat kembali ke 'Beginner's Village' untuk menyelesaikan 'quest' watak masing-masing. Ye Xiu pula memasukkan kad akaun Chen Guo dan memasuki server kesepuluh menggunakan Chasing Haze bertahap 5.
Sungguhpun permainan Glory tidak boleh membuka dua permainan pada masa serentak, ia tidak menjadi masalah jika seorang pemain menggunakan dua akaun melalui dua komputer yang berbeza. Asalkan terdapat dua ataupun lebih pemain dalam satu kumpulan, mereka berpeluang untuk menemui bos tersembunyi. Itulah tujuan sebenar Ye Xiu, dia masih memerlukan lebih banyak ganjaran bahan mentah daripada Midnight Phantom Cat!
Bos tersembunyi itu tidak muncul sewaktu pusingan pertama. Ye Xiu segera keluar dari 'dungeon' itu. Disebabkan oleh tindakannya ini, Lord Grim dan Chasing Haze serta-merta menjadi cedera parah dan memerlukan sekurang-kurangnya 10 minit untuk merawat kecederaan masing-masing. Keadaan ini ialah cara sistem permainan mengelakkan para pemain untuk keluar dari 'dungeon' dan masuk semula serta-merta demi meningkatkan peluang bertemu dengan bos tersembunyi. Sungguhpun perlu menunggu 10 minit, ia tetap lebih cepat dari menyelesaikan 'dungeon' secara keseluruhan. Chasing Haze tidak akan mendapat sebarang 'experience' melalui cara ini, tetapi Chen Guo berkata yang Ye Xiu boleh membuat apa-apa sesuka hatinya, jadi dia pun berbuat sesuka hatinyalah!
Ye Xiu bangun, menghisap rokok, minum sedikit air, berjalan-jalan dan apabila dia kembali, Lord Grim dan Chasing Haze sudah kembali pulih sepenuhnya. Dia memasuki 'dungeon' sekali lagi, tetapi bos tersembunyi tidak muncul juga. Jadi, Ye Xiu keluar sekali lagi.
Jika perlu berehat selama 10 minit bagi setiap pusingan, Ye Xiu boleh memasuki 'dungeon' sebanyak 6 kali dalam satu jam. Jika dia menyelesaikan 'dungeon' secara keseluruhan, dia memerlukan sekurang-kurangnya 15 ke 20 minit. Jadi, cara ini lebih menjimatkan masa. Tetapi, cara ini hanya boleh dilakukan di 'Beginner's Village' sahaja. Setelah keluar dari situ, setiap 'dungeon' hanya boleh dimasuki buat beberapa kali sahaja, tergantung kepada jenis 'dungeon' tersebut. Ada yang boleh dimasuki sebanyak 5 kali sehari, 3 kali sehari ataupun hanya sekali sehari dan ada juga sekali seminggu!
Kali ini, Ye Xiu memilih untuk membaca panduan sementara menunggu 10 minit berlalu. Dia sudah terlupa agak banyak perkara tentang pemain baru. Kurang bagus jika dia terus mengamalkan tabiatnya untuk merujuk panduan sewaktu menghadapi bos di dalam 'dungeon'.
Selepas sepuluh minit, dia memasuki Hutan Hijau sekali lagi, tetapi bos tersembunyi tidak juga muncul! Ye Xiu tidak terburu-buru. Dia keluar sekali lagi dan menyambung bacaan panduannya.
Empat kali, lima kali. Nampak gayanya Ye Xiu akan membazirkan waktu sepanjang hari melakukan perkara ini.
Tetapi, akhirnya pada kali keenam, sistem permainan mengumumkan kemunculan Midnight Phantom Cat. Ye Xiu menarik nafas lega dan mula bertarung. Secara teorinya, Chasing Haze sebenarnya tidak memberikan apa-apa fungsi pun, dan dia boleh dibiarkan seorang diri saja di pintu masuk 'dungeon'. Tetapi Ye Xiu membuat keputusan untuk memberikannya sedikit 'experience', maka dia pun mengawal kedua-dua watak serentak. Dia menempatkan Chasing Haze di sebuah lokasi strategik, lalu menggunakan Lord Grim untuk membunuh semua raksasa di sekeliling Chasing Haze. Ini membolehkan Chasing Haze mendapat 'experience' melalui semua raksasa yang dibunuh. Ye Xiu sangat sibuk bertukar-tukar watak demi tujuan ini!
Semua pelanggan yang melalui kaunter untuk menggunakan tandas melihatkan kelakuan Ye Xiu ini dan berasa sangat hairan sekali.
"Eh abang, abang gila ke? Dah kenapa abang pakai dua komputer serentak? Satu komputer tak cukup ke?"
Ye Xiu hanya ketawa tetapi tidak menjawab. Asalkan Midnight Phantom Cat muncul, dia tidak peduli tentang apa yang orang lain hendak katakan. Bahan yang diperlukan oleh Ye Xiu mempunyai peluang 100% untuk didapati, tetapi jumlahnya tergantung kepada nasib. Pada akhirnya, Ye Xiu agak bertuah kerana berjaya mendapatkan empat Kuku Midnight Cat. Apabila ditambah dengan dua yang didapatinya pada pertarungan 'first clear', dia sudahpun mempunyai enam. Dia memerlukan sebanyak 8 kuku, jadi dia hanya perlu bertarung dengan Midnight Phantom Cat sekali sahaja lagi.
Setelah selesai membunuh Midnight Phantom Cat tersebut, Ye Xiu keluar dari dungeon dan mengulangi 'Teknik 10 minit' sekali lagi.
Pusingan pertama, hampa. Pusingan kedua, hampa. Pusingan ketiga, gagal lagi, tetapi kali ini sebuah mesej sistem muncul. Ye Xiu membukanya. Seorang pemain bernama Blue River ingin menjadi kawannya. Dia tidak tahu sama ada hendak menerima ataupun tidak.
"Blue River? Siapa pula ini?"
Ye Xiu melihat ke sekelilingnya, tetapi tidak menjumpai pemain yang mempunyai nama tersebut. Dia terfikir, mungkin Blue River ingin menjadi kawannya kerana Lord Grim ialah pemain bertahap 20 yang berlegar-legar di sekeliling Hutan Hijau. Mungkin dia memerlukan pemain bertahap tinggi untuk membolehkannya menyelesaikan 'dungeon' dengan mudah. Pada akhirnya, Ye Xiu menekan butang 'Ignore'. Tetapi permohonan baru serta-merta muncul! Dia menekan 'Ignore' sekali lagi, dan lagi dan lagi dan lagi sekali!
Di dalam tempoh 10 minit yang berlalu, Blue River tidak menyerah kalah dan terus menghantar permohonan baru sebanyak 18 kali berturut-turut kepada Lord Grim.
Akhirnya, hati Ye Xiu terbuka oleh kerana kedegilan dan kesabaran Blue River. Dia menekan butang 'Accept'.