Serigala Putih dan Ahli Sihir Putih ialah bos tersembunyi di dalam Hutan Fros. Kalung Mithril hanyalah barang perhiasan, jadi Blue River tidak mempunyai masalah untuk melepaskannya. Tetapi Taring Serigala Putih ialah bahan yang teramat bernilai!
Hutan Fros bukan sebahagian daripada 'dungeon' di 'Beginner's Village'. Setiap pemain hanya boleh memasukinya sebanyak empat kali sahaja dalam sehari. Tidak ada jaminan yang pemain akan menemui bos tersembunyi dalam empat kali peluang ini, tambahan pula peluang untuk bertemu dengan Serigala Putih hanyalah 50% sahaja.
Jika Ye Xiu hanya mahukan 8 bilah Taring Serigala Putih sahaja, Blue River tidak kisah. Tetapi 72 Sutera Kukuh Labah-Labah dan 8 Bilah Taring Serigala Putih serentak? Blue River merasakan yang lelaki ini terlalu tamak dan tidak tahu malu! Mungkin benar kata-kata Sleeping Moon yang dia seorang pembolot ganjaran yang tidak kisah untuk mengorbankan ahli kumpulannya yang lain. Tidak kiralah sehebat manapun dia, ketamakannya ini sudah melampau! Adakah dia layak untuk menjadi sebahagian ahli Persatuan Blue Brook?
"Banyak sangat ke? Kalau macam tu, saya tak perlukan kalung Mithril tu. Macam mana?" kata Ye Xiu.
"Abang, kami semua tak kisah langsung tentang kalung tu. Tapi Sutera dan Taring tu pula…"
"Kalau macam tu, berapa banyak yang kamu boleh tawarkan?" tanya Ye Xiu.
"Abang pilih salah satu daripadanya!"
"Hmmm….susahlah saya nak pilih!" kata Ye Xiu.
"Abang tak bolehlah macam ni, ini dah melampau sangat!" kata Blue River dengan jujur.
"Baik, saya pilih Taring Serigala Putih saja!" jawab Ye Xiu.
"Kalau macam tu bolehlah," Blue River menghembus nafas lega.
"Bagilah sikit Sutera Kukuh demi tanda persahabatan kita? Hehe," Ye Xiu tiba-tiba menambah.
Blue River hampir muntah darah.
"40 helai sutera, okay tak?" tanya Ye Xiu.
"Abang, kamu ni kan…." Blue River tidak terkata-kata.
"30?"
"Uh..."
"Yalah, yalah, 25 dah cukup! Boleh kan?" tanya Ye Xiu lagi.
Blue River terdiam buat jangka masa lama. Tangannya tidak bergerak dari papan kekunci.
"24?"
Hati Blue River mula berlembut. Lelaki ini sudah mula mengurangkan harga sedikit demi sedikit. Betapa malunya untuk persatuan terulung Blue Brook membuat tawar-menawar seperti ini!
"Baiklah! Saya sudah buat keputusan! 24 Sutera dan 8 Taring!"
"Okay."
Baru sahaja Blue River hendak menarik nafas lega sekali lagi, sebuah mesej baru muncul.
"Dengan harga sebegitu, kamu tak kisah untuk memberikan beberapa kalung Mithril sebagai tambahan kan? Kamu sendiri yang kata kamu tak kisahkan pasal kalung itu!"
Blue River terhempas dari kerusinya! Manusia jenis apa ini? Kalung Mithril memang tidak berharga, tetapi dia nak jumlah yang banyak untuk apa?
"Abang…..abang nak buat apa dengan semua barangan ni?" Blue River langsung tidak faham.
"Mungkin di mata kamu, barangan ini tidak berharga. Tetapi ada yang menganggapnya sebagai barangan yang tidak ternilai, tahu?" jawab Ye Xiu.
Blue River beranggapan Ye Xiu merujuk kepada gadis-gadis yang menyukai perhiasan-perhiasan. Adakah dia cuba untuk memikat gadis? Kalung-kalung tersebut nak dijadikan hadiah ke? Kalau sekadar hendak satu, tidak apa. Tapi banyak-banyak untuk apa? Berapa ramai gadis yang dia nak pikat?
"Berapa banyak kalung abang nak?" tanya Blue River dengan nada menyerah kalah.
"Kamu kata kamu tak kisah tentang kalung tu kan? Jadi saya nak semua!" jawab Ye Xiu.
"Kami tak ada banyak sangat kalung tu, ada dua sahaja…." Blue River berbohong dan menyesal kerana mengucapkan kata-kata 'Saya tidak pedulikan kalung itu' pada awal tadi. Ya, memang kalung-kalung itu tidak berharga, tetapi ia tetap perhiasan yang jarang dijumpai. Ada baiknya juga jika ia dijadikan hadiah untuk pemain-pemain wanita dalam persatuan mereka.
"..."
"Boleh tak, abang?" tanya Blue River sambil berusaha menahan kemarahannya.
"Kalau kita bertemu dengan bos tersembunyi, macam mana kita bahagikan ganjarannya?" tanya Ye Xiu.
"Semua orang akan melontar dadu!" jawab Blue River dengan gembira.
Blue River tidak akan mengizinkan orang luar untuk membolot ganjaran mereka. Oleh kerana Blue River akan bersama dengan empat orang temannya di dalam kumpulan, mereka mempunyai peluang yang jauh lebih tinggi untuk mendapatkan ganjaran yang lumayan berbanding Ye Xiu.
Tetapi Ye Xiu mengerti akan hakikat yang tidak menguntungkannya ini.
"Saya tak nak! Kamu pergi cari orang lain!" jawab Ye Xiu dengan tegas.
"Ha ha, abang, saya bergurau saja!" Blue River segera cuba menyelamatkan keadaan.
"Macam ni, lepas kita bunuh bos tersembunyi, kemungkinan besar kita akan terlepas peluang untuk memecahkan rekod masa. Jadi, untuk membalas jasa abang, kami akan berikan abang peluang untuk menjadi pemain pertama yang memilih ganjaran. Boleh tak?"
"Kalau macam tu, bolehlah," jawab Ye Xiu.
"Baik! Bila abang boleh sertai kami? Kami semua tengah menunggu di Hutan Fros!" kata Blue River.
"Tunggu sekejap, saya nak bereskan 'dungeon' ni dulu," kata Ye Xiu.
"Okay, tiada masalah," kata Blue River. Kemudian, dia perasan akan sesuatu.
"Eh abang tak nak pilih kelas dulu ke? Abang kan dah sampai tahap 20!"
"Tak payah, saya selesa macam ini saja!"
"Apa ni…." kata Blue River.
"Kita sambung berbual nanti, saya nak cepat-cepat selesaikan 'dungeon' ni," jawab Ye Xiu.
Blue River meninggalkan perbualan mereka dengan senyap. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan terdiam berfikir.
"Apa tujuan lelaki ini sebenarnya? Pada asalnya, saya cuma nak bersahabat dengan dia. Tapi dia tak habis-habis tawar-menawar tentang ganjaran. Keadaannya macam kami berhempas-pulas hendak mengupah dia pula. Sudah rendah sangat ke reputasi Persatuan Blue Brook kami ni sampai terpaksa mengupah pemain luar untuk mencatatkan rekod?" hati Blue River berkecamuk memikirkan semua soalan ini.
Blue River mula menyesali tawaran yang dijanjikannya tadi. Dia terasa seolah-olah semua barangan tersebut akan dibazirkan dengan sia-sia sahaja. Tetapi, dia terfikir tentang tujuan dia melakukan semua ini: Memecahkan rekod masa 'dungeon'
Persatuan Blue Brook telah membawa sebanyak 40 orang pakar ke server baru ini. Mana mungkin mereka kekurangan pemain! Apa yang dikatakannya tadi bohong semata-mata. Sebenarnya, mereka memerlukan seorang jaguh yang mampu menjadi pemimpin dan menonjolkan kebolehan sebenar setiap pemain yang mereka miliki.
Dalam tempoh 2 hari yang lepas, Blue River telah memimpin kumpulannya untuk mencuba memecahkan rekod Hutan Fros sebanyak tiga kali. Tetapi catatan masa kumpulannya masih jauh berbeza jika dibandingkan dengan catatan masa Herb Garden. Jika Lord Grim mampu untuk membantu mereka menewaskan musuh ketat mereka, segalanya akan menjadi berbaloi!
Pada waktu ini, Blue River sedar Lord Grim sememangnya seorang yang berbakat. Tetapi adakah dia lebih kuat berbanding dengan jaguh-jaguh yang sudah mereka miliki? Adakah dia yang masih belum memilih kelas watak pada tahap 20 mampu untuk memimpin mereka semua? Adakah ganjaran yang dijanjikan itu berbaloi?
"Blue River, kamu sudah hubungi dia ke belum?" sebuah mesej masuk dari teman sekumpulan Blue River, Bound Boat.
"Saya dah jemput dia. Dia akan sampai tak lama lagi. Siapa yang sanggup gadaikan posisi mereka?" tanya Blue River kepada kumpulannya.
"Oh, kalau macam tu, saya nak berehat!" kata salah seorang daripada mereka.
Setelah mendapat kebenaran Blue River, pemain tersebut keluar dari kumpulan. Mereka yang lain duduk berehat di luar pintu masuk Hutan Fros sementara menunggu kedatangan Lord Grim. Blue River masih berasa ragu-ragu di dalam hatinya.