Chapter 53 - Bab 53

"Jangan risau. Tiada masalah pun. Kalau orang mereka mati sekalipun, tiada sesiapa yang berani buka mulut. Lagi kelam-kabut, lagi bagus untuk kita." Yan Xun mendongak kepalanya melihat ke langit kelabu sambil menggumam, "Dah tiba masanya."

Langit sudah mula menggelap sewaktu mereka kembali ke istana Ying Ge. Orang gaji yang bertugas untuk memasang lampu, Xiao Lizi sudah pun menunggu di hadapan pintu, dan apabila dia melihat Chu Qiao sudah pulang dengan selamat, dia berasa sangat gembira dan teruja lalu menerpa ke arahnya, "Cik dah pulang pun!"

Chu Qiao yang berasa aneh kemudian bertanya. "Kenapa?"

Xiao Lizi membalas, "Tak ada apa pun. Tadi tuan putera pulang. Dia bertanya tentang cik. Bila dia dapat tahu cik pergi, dia pun keluar mencari cik dengan Ah Jing."

"Oh, dah berapa lama mereka pergi?" Chu Qiao mengangguk dan bertanya.

"Lama juga." Balas Xiao Lizi sambil memastikan lampu terpasang. Tiba-tiba, Chu Qiao menuju ke arah taman Lan Tian tetapi Xiao Lizi cepat-cepat menghalang jalannya, "Cik, ada hamba yang nak bersihkan salji di situ. Kita pergi arah lain saja."

Chu Qiao berasa aneh lalu mendongakkan kepalanya. Dia kemudiannya hanya merenung ke arah Xiao Lizi tanpa mengujar sepatah kata.

Xiao Lizi mempunyai raut wajah yang gelisah, "Jalan itu susah nak jalanlah cik." Tambahnya lagi tetapi itu tidak cukup untuk meyakinkan Chu Qiao.

Lantas Chu Qiao pun menarik tangannya. Namun, sewaktu Chu Qiao menariknya ke pintu utama, mereka berdua terdengar bunyi suara perempuan yang lembut dan mendayu-dayu bersama orang gaji yang sedang menunduk hormat di lantai. Langkah Chu Qiao terhenti dan dia berdiri di hadapan pintu masuk itu. Dia cuba bertenang sebelum bertanya kembali dengan nada perlahan, "Siapa yang hantar mereka ke sini?"

"Penyelia di Barat Laut, Ji Wenting."

Chu Qiao berkerut dan berkata dengan nada serius yang kedengaran seperti marah, "Dia lagi." Xiao Lizi teragak-agak ketika melihatnya kerana bimbang jika Chu Qiao akan masuk ke dalam.

Namun, Chu Qiao hanya menoleh dan berjalan ke arah biliknya. "Suruh mereka perlahankan suara dan jangan ganggu saya." Dia berkata sambil berjalan.

Xiao Lizi hanya merenung jauh ke arah bilik Chu Qiao kerana sememangnya dia tidak memahami maksud yang ingin disampaikan oleh Chu Qiao. Tempat ini agak jauh dari biliknya jadi tidak mungkin bunyi bising itu boleh mencecah sehingga ke biliknya.

Sewaktu makan malam, Chu Qiao dipanggil. Namun, Chu Qiao masih lagi tidak muncul walaupun sudah dua kali dipanggil. Putera Yan Bei mengeluh tetapi dalam hatinya dia berasa gembira. Sebelum dia sempat pergi ke bilik Chu Qiao, Chu Qiao muncul dengan pakaian serba putih seperti masih tidak menukar pakaian dari tadi.

Yan Xun yang terpaku bertanya, "Ah Chu, tadi kau buat apa?"

Chu Qiao mendongak dan berkata dengan tenang, "Aku ada beberapa soalan yang nak dibincangkan dengan kau. Ia mengenai draf kebenaran untuk festival musim bunga Terusan Bian Yang."

Yan Bei tiba-tiba berasa kecewa lalu berkata, "Jomlah makan dulu."

"Baiklah." Chu mengangguk dan membalas, "Aku pun lapar juga." Setelah duduk, Chu Qiao terus menjamah tanpa sebarang kata-kata. Dia kelihatan baik-baik sahaja dan seperti tidak terkesan lantas membuatkan Yan Xun berasa bosan.

Keadaan di luar sangat sejuk dan hanya beberapa gugusan bintang sahaja yang kelihatan di langit. Pada waktu yang sama, salji pun mula berhenti.

"Festival musim bunga Bian Yang harus dipertingkatkan lagi-lagi selepas gabenor sungai telah ditukar, pengangkutan air dah tiada. Kita tiada banyak masa jadi kita kena cepat buat rancangan." Chu Qiao berkata dengan nada serius setelah meletakkan penyepit makanannya di atas meja. Dia kemudiannya mengeluarkan sekeping kertas putih. "Pegawai Bandar Li, Wei Yan yang mengendalikan garam mula bekerja bulan lepas. Dia saudara kepada Wei Fa. Setelah dia mula bekerja, dia mengubah proses pengangkutan garam jadi ramai pelombong garam tak berpuas hati. Cik Puan Yu suruh kita berhati-hati kerana rakyat tak begitu gemar dengan perubahan. Masalah ini pula berkaitan dengan keluarga Ze dan Shang Dang jadi perbuatan mereka memainkan peranan penting buat masa ini. Kemudian kena ada seseorang untuk mengambil alih posisi Xi Hua dan aku cadangkan He Qi. Apa pendapat kau?"

Yan Xun mengangguk dan membalas, "Aku ikut saja."

"Kau penat ke?" Chu Qiao bertanya apabila melihat Yan Xun kelihatan resah.

"Aku okey saja." Balasnya acuh tidak acuh.

"Kau rehatlah." Lantas Chu Qiao pun berdiri, "Putera Tang akan tiba di ibu negeri diraja nanti. Hari lahir Maharaja kan dah hampir jadi penyampai utusan dari Huai Song pun dalam perjalanan juga. Kita tangguh dulu perkara lain. Perang pun dah nak mula ini."

Yan Xun tidak berkata apa-apa dan hanya melihat Chu Qiao lenyap dari pandangannya bersama seorang pembantu rumah yang lain. Dia mengeluh sambil menyandar pada kerusinya. Pada waktu ini, mesej rahsia telah dihantar dan dia perlu berurusan dengan pegawai-pegawai istana dan kerabat diraja. Semua masalah itu lebih mudah jika dibandingkan dengan masalah yang melibatkan Chu Qiao.

"Ah Jing," Yan Xun memanggilnya dengan lembut. "Hantar perempuan-perempuan Ji Wenting itu pulang."

"Putera?" Ah Jing berasa terkejut dan membalas, "Saya ingat tuan nak berlakon seperti sedang berfoya-foya dengan perempuan? Kalau hantar mereka pulang, Ji Wenting pasti kecewa."

Yan Xun menggelengkan kepalanya lantas mengeluh. "Kita tak perlu risau lagi jika orang erpedaya dengan muslihat murahan seperti itu. Masalahnya ada orang yang susah untuk ditipu. Terutamanya…" Ayat seterusnya kedengaran kabur jadi Ah Jing tidak dapat menangkapnya. Mulut Yan Xun kemudiannya tertutup rapat sambil memejamkan mata. Kepercayaan Ah Chu jauh lebih penting daripada Ji Wenting walaupun Ah Chu nampak tidak kisah.

Yan Xun kemudian menyedapkan hati dengan berfikir Ah Chu masih lagi seorang kanak-kanak walaupun dia tidak berkelakuan seperti kanak-kanak.

"Tuanku," Lu Liu menerpa ke arahnya lantas memberikan sekotak peralatan sambil berkata, "Ini yang Chu Qiao bawa."

Yan Xun membelek-belek dokumen yang tebal itu dan sebelum dia berhenti, dia bertanya, "Kenapa surat-surat ini tak dibuka?"

Orang gaji itu menggaru kepalanya dan membalas, "Chu Qiao cakap kadang-kadang tak berkata apa-apa itu lebih indah dari bercakap perkara yang sia-sia jadi dia menyuruh saya beritahu kepada mereka untuk sediakan sesuatu yang lebih baharu lain kali."

Yan Xun terperanjat dan kemudiannya berasa gembira. Dia tersenyum ketika menyerahkan surat itu kembali kepada Ah Jing, "Ikut saja cakap Ah Chu." Kemudian dia berdiri dan pergi menyambung pembelajarannya dengan senang hati.

Ah Jing pun terkebil-kebil di situ. Surat yang dipegangnya itu tertulis perkataan "Ji" padanya dan berbau wangi.

Menjelang hari kedua, timbalan jeneral Cheng dari Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar menghantar busur silang dan peralatan memanah kepada Chu Qiao untuk diperiksa. Pembantu-pembantu Chu Qiao yang lain berasa teruja sambil membuatkan isyarat tangan sambil berbual kerana tiada seorang wanita pun yang pernah menjadi jurulatih di Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar. Agak-agaknya apalah perasaan anak-anak bangsawan itu nanti setelah diajar oleh seorang gadis berusia lima belas tahun.

Chu Qiao terdengar perbualan mereka. Niat sebenar Maharaja itu belakang kira tetapi bolehkah pegawai-pegawai atasan itu terima yang mereka akan diajar oleh seorang gadis? Sungguhpun mereka berfikiran terbuka dan statusnya juga begitu tinggi sekarang, tetapi bunyi macam mustahil pula kerana wanita selalu didiskriminasikan dalam bahagaian ketenteraan. Tidak kira seberani mana pun seorang wanita itu tetapi kadar kenaikan pangkat seseorang wanita itu jauh lebih sedikit daripada lelaki. Setelah difikir-fikirkan kembali, orang bijak seperti Chu Qiao pun mula berasa khuatir.

"Cik Chu," Ah Jing tiba-tiba muncul di belakangnya. "Tuan Putera cakap yang dia akan pulang lewat malam ini. Dia suruh cik makan dulu dan jangan tunggu dia."

Chu Qiao tepegun seketika. Selama ini Yan Xun hanya berdiam diri. Walaupun situasi semakin teruk sekarang ini tetapi dia tidak merayau keluar pada waktu malam.

"Ada apa-apa berlaku?"

"Tak." Ah Jing hanya tersenyum. "Cik jangan risaulah."

Chu Qiao berhenti bertanya setelah melihatnya tidak membuka mulut lagi.

Malam itu Chu Qiao tidak makan kerana dia keseorangan dan hanya menjamah sedikit kek sambil memanaskan diri di pendiang biliknya. Selama dua tahun ini, dia hanya berada di luar untuk mengerjakan musuh dan tiada masa langsung untuk bersenang-lenang.

Walaupun pemilik istana Sheng Jin menghalang tindakan Yan Xun dan tidak membenarkannya untuk keluar dari ibu negeri maharaja, namun dia tidak begitu ketat dalam mengawal orang suruhan Yan Xun. Chu Qiao tidak mahu memahami niat sebenar Maharaja tetapi apakah tujuannya yang sebenar agaknya? Adakah dia sengaja tidak mengendahkan angkatan tentera Yan Xun yang semakin berkembang?

Empayar dan negara sekarang telah dibahagikan kepada beberapa bahagian. Perkara itu bukan sewenang-wenangnya dapat ditunaikan dengan kata-kata daripada seorang maharaja. Jadi betulkah seorang maharaja mempunyai kuasa untuk mengawal negara?

Antara tujuh keluarga yang berkuasa, keluarga Mu dari Ling Nan, Helian dari Huai Yin dan Shang dari Dong Yue yang sering berdiam diri dan bersikap neutral dalam pertelingkahan yang berlaku. Walaupun ada yang ingin menggugat hak mereka selama ini, namun mereka masih mampu menahan kedudukan mereka terutamanya pada waktu kini apabila keluarga Muhe dan Wei yang mempunyai kuasa lebih besar dan telah menyebabkan banyak keluarga diraja untuk kehilangan kuasa dan hak mereka. Namun, keluarga-keluarga ini masih mampu mengekalkan hak dan kuasa mereka bagi setiap generasi. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Mereka seperti anak panah di malam hari yang tidak tahu bila akan dilepaskan kerana sudah semestinya mereka akan bertindak jika mempunyai peluang.

Walaupun demikian, keluarga Muhe yang sangat berkuasa sudah mula lemah selepas kematian ketua generasi sebelum ini iaitu Muhe Yunting. Wanita dalam keluarga itu dihormati. Maharani keluarga, Muhe Nayun telah melahirkan tiga orang anak lelaki iaitu maharaja Zhao Che, Zhao Jue dan Zhao Teng namun perkara itu masih tidak dapat menaikkan nama keluarga dan kuasa mereka. Sebelum ini, Muhe sering menyokong Zhao Jue untuk menjadi seorang maharaja demi membantu keluarga mereka dan sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada menjadi seorang paderi. Namun, dia telah dibunuh oleh Maharaja manakala Zhao Teng pula masih muda jadi mereka tiada pilihan lain melainkan menyokong Zhao Che untuk menjadi seorang maharaja. Tetapi, Zhao Che tidak menyukai rancangan bondanya itu jadi dia sering mengingkari arahan maharani tersebut dan lantas lama-kelamaan telah menyebabkan hubungan mereka menjadi renggang.

Sesetengah keluarga berasa gembira tetapi ada juga yang berasa sedih. Muhe berasa bimbang tetapi Wei Fa sangat bersenang hati kerana sudah lama Wei Guang menunggu saat ini dan akhirnya berpeluang juga untuk merebut takhta tersebut. Sungguhpun Shu Guifei telah lama menetap di istana tetapi maharaja tidak menyukainya jadi kedudukannya lebih rendah di bawah Maharani. Maharaja amat menyayangi Zhao Qi dan Zhao Song. Oleh sebab itulah Zhao Song dikurniakan kedudukan diraja yang tinggi pada usianya yang muda. Selepas Zhao Che, Zhao Song pula yang menerima sebidang tanah daripada maharaja. Zhao Qi pula berkuasa kerana maharaja mempercayainya jadi keluarga Wei mula bangkit kembali.

Keluarga Batuha pula datang dari bangsa yang lain. Seratus tahun dahulu, terdapat seorang maharaja di kawasan timur laut. Setelah Maharaja menjajah tanah mereka, mereka menjadi utusan khas di gereja. Namun, keluarga lain tidak menyukai mereka kerana menganggap Batuha ialah "orang luar". Oleh sebab itu keluarga Batuha cuba untuk merapatkan hubungan mereka dengan keluarga Muhe. Tetapi setelah keluarga Muhe hilang kuasa mereka sekarang, keluarga Batuha pun turut kehilangan kuasa.