Chapter 54 - Bab 54

Sebaliknya, keluarga Zhuge merupakan sebuah keluarga yang amat membingungkan. Ramai orang yang telah membandingkan keluarga ini dengan keluarga Mu dan juga Helian, namun Chu Qiao lebih mengetahui keluarga Zhuge bukanlah sebodoh itu. Terselindung di sebalik wajah baik Zhuge Muqing itu terdapat sebuah perwatakan yang tidak tercapai dek akal, yang tidak memaafkan, dan juga sifatnya yang licik itu. Keluarga Zhuge telah menjadi kaya dan berpengaruh sejak tiga ratus tahun lalu, dan mereka bukanlah selembut dan selemah yang mereka tampilkan, orang ramai boleh mengetahuinya dengan cara Zhuge Yue dan Zhuge Huai dibesarkan.

Di dalam bahagian ketenteraan, Meng Tian, Le Xing dan juga para jeneral yang lain sering bergantung kepada keluarga-keluarga berpengaruh dan juga kuasa maharaja dan lantas tidak dapat menubuhkan sebuah pasukan yang berkuasa. Yang keduanya, tuan-tuan tanah semuanya tinggal di kawasan yang berlainan jadi mereka bukanlah berkuasa sangat untuk melawan perintah Maharaja Xia.

Dua puluh tahun yang lalu, tuan-tuan tanah di daerah Jiang Nan pernah berkomplot untuk menggulingkan Maharaja Xia namun akibat pakatan tersebut mereka telah ditewaskan dan juga ditindas. Raja Ling dari Lingxi, Raja Jing dan Raja Yan Shicheng sahaja yang terselamat dari pertempuran tersebut dan tuan-tuan tanah yang lain semuanya telah dihapuskan, bersama dengan ahli-ahli keluarga mereka yang lain dan kini hanya dua puluh ke tiga puluh peratus saja keturunan mereka yang masih hidup.

Semasa zaman pembunuhan keluarga diraja, walaupun Raja Yan Shicheng tidak memasuk campur dalam hal tersebut, namun dia telah menolong keluarga diraja yang lain untuk memohon pengampunan dari Maharaja, dsekaligus beliau juga telah dipersalahkan sebagai kesan daripada pertolongan tersebut. Beliau telah dihalau keluar dari kuil Zhao dan terpaksa menukar nama keluarganya kepada Yan dan dibuang negeri ke Yan Bei, langsung tidak dibenarkan untuk menjejakkan kakinya ke ibu negara.

Pada hari ini, masih adakah yang mengingati keluarga Yan juga salah sebuah keluarga diraja Xia yang telah dibesarkan daripada susu badan yang sama seperti Maharaja Zhao Zhengde?

Chu Qiao tersenyum. Bukannya mudah untuk menjadi seorang maharaja, dari mula dinasti Xia dibina, beliau telah kehilangan kuasanya sedikit demi sedikit jika dibandingkan dengan raja-raja Hua Xia, yang menguasai kuasa ketenteraan dan juga kuasa politik, Zhao Zhengde langsung tidak mempunyai kuasa seperti itu.

Pada masa itu, Chu Qiao terdengar bunyi pintu dibuka dan terus gadis itu menoleh ke arah tingkap dengan telinganya yang diraih.

"Cik, cik sedang tidur ke?" Suara Lu Liu kedengaran datang dari luar pintu. Setelah Chu Qiao membalas pertanyaan orang gaji itu, dia terus memasuki bilik Chu Qiao.

"Cik Chu, malam ini sejuk sangat. Biar saya tolong cik menukar api."

Chu Qiao lantas menganggukkan kepalanya dan berkata, "Tuanku dah balik ke?"

"Ya," Balas orang gaji tersebut, "Saya terdengar Xiao Lizi kata yang putera telah pergi ke Astaka Jin Xiao dan telah menjemput beberapa orang jeneral dari Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar untuk jamuan makan malam. Tuanku juga dah menghantar para penari yang diberikan oleh Ji Wengting kepada mereka."

Chu Qiao terpana setelah mendengar apa yang diujarkan Lu Liu dan merenung pendiang api dengan sepi.

"Cik Chu?" Orang gaji tersebut memanggilnya.

Chu Qiao yang tersedar panggilan itu terus mengangkat kepalanya dan membalas, "Ya?"

"Kalau dah tiada apa-apa, boleh saya pergi dulu?"

Chu Qiao mengangguk dan berkata, "Ya, kamu boleh pergi sekarang."

"Rehat dengan cukup," Balas orang gaji tersebut sebelum menutup pintu bilik. Angin di luar menjadi lebih kencang dan kuat dihentak-hentakkan ke cermin tingkap, dan suara di halaman hadapan menjadi semakin lemah dan akhirnya semuanya kembali senyap.

Dalam masa lima hari lagi, Chu Qiao akan mula melatih Pasukan Berkuda Tanpa Gentar. Ia amat jelas mengapa Yan Xun telah menjamu para jeneral pasukan tersebut, mereka telah bersumpah untuk tetap berterus terang antara satu sama lain, tanpa menyembunyikan apa-apa, dan untuk mempercayai satu sama lain buat selama-lamanya supaya mereka tidak bertindak ganas antara sesama sendiri. Namun apabila meningkat dewasa, terdapat beberapa perkara yang lebih mudah jika tidak diujarkan. Sebagai contoh, perkara akan menjadi lebih susah jika Chu Qiao mengutarakan perhubungannya dengan Zhuge Yue yang rumit itu, ketidakpuasan hatinya dengan kehidupan aristokrat ini, dan dia juga tidak menyenangi sifat yang dipancarkan Yan Xun apabila dia perlu bersosial dengan orang lain.

Namun, terdapat juga beberapa perkara yang tidak berubah seperti kefahaman hati masing-masing dan persahabatan yang utuh itu membenarkan mereka untuk terus melakukan yang terbaik untuk sesama sendiri. Tanpa perlu mengatakan apa-apa, mereka akan terus berada di samping sesama sendiri apabila menentang dunia luar yang penuh dengan kecelaruan, dalam kehidupan dan juga kematian.

Sama seperti pada malam yang beribut salji bertahun-tahun yang lalu apabila Chu Qiao sedang mencari ubat-ubatan apabila dia dibelasah teruk dan badannya dipenuhi dengan luka dan lebam apabila dia berjalan terhenjot-enjot di dalam kepekatan salji yang menuruni ke tanah sambil memeluk herba-herba yang berharga itu dengan erat. Dalam perjalanan pulang, gadis itu terserempak dengan Yan Xun yang sedang sakit teruk di dalam hutan pokok bambu, memekik-mekik nama Chu Qiao dengan perlahan.

Pada hari itu, Yan Xun yang sakit teruk telah mengendong Chu Qiao yang tercedera parah. Muka budak lelaki itu pucat dengan bibirnya yang keunguan namun dia masih mengekalkan ekspresi wajah yang bersungguh-sungguh untuk mendukung gadis itu di belakangnya semasa dia berjalan terhenjot-henjot di sepanjang jalan yang gelap gelita. Setelah tiba di rumah, dia melutut di hadapan katil Chu Qiao sambil menggenggam tangannya, berbisik kepada gadis itu yang kelihatan seperti dia bakal pengsan pada bila-bila masa yang kehidupan seterusnya ini tidak akan membiarkan dia terus dibuli dan untuk terus kuat. Pada ketika itu mereka masih takut-takut untuk bercakap dengan nada yang kuat di tengah-tengah malam. Ayat yang diujarkan Yan Xun pada malam itu terus tersemat di dalam minda Chu Qiao sehingga ke hari ini dan dia sentiasa berterima kasih kepada Yan Xun untuk itu.

Pada hari kedua, Wei Jing telah membawa beberapa orang suruhannya sekali lagi. Yan Xun yang masih muda ketika itu tidak mempunyai apa-apa kuasa, jadi dia telah dibuli sehingga mereka memotong jari kelingkingnya. Jika bukan kerana Zhao Song yang tiba tepat pada masanya, Yan Xun mungkin akan tidak bertangan pada hari ini. Malam itu merupakan hari pertama dan hari terakhir Chu Qiao menangis setelah menjejeki istana Sheng Jin.

Dia langsung tidak menangis apabila dia kebuluran, langsung tidak mengeluarkan setitik air mata pun apabila dibuli. Apabila dia dibelasah dan dilibas, dia hanya membuntangkan mata dan mengingati wajah-wajah musuh tanpa menunjukkan sebarang rasa takut. Namun pada hari tersebut apabila dia melihat jari Yan Xun dipotong, pemuda itu tidak membenarkan Chu Qiao untuk merawati lukanya jadi gadis itu tidak dapat menahan dari melinangkan air matanya.

Chu Qiao dapat menahan segala kebuluran, kesakitan, dan cemuhan orang ramai kerana dia sedar apabila dia meningkat dewasa, dia boleh melarikan diri dari situasi tersebut. Dia boleh membalas dendam selagi dia mempunyai kesabaran dan dengan masa yang cukup namun dia tidak dapat melihat keperitan yang dilalui oleh orang sekelilingnya. Kini jari Yan Xun telah dipotong, siapa lagi yang boleh merawatinya?

Dia menangis teresak-esak pada malam itu, Yan Xun yang buntu hanya mampu mendakapnya dengan canggung sambil menepuk-nepuk belakang gadis itu dan lantas mengangkat tangan kanannya dan menyatakan hanya sebahagian kecil jarinya sahaja yang telah dipotong, dan ia tidak akan membantutkannya daripada terus berlatih pedang dan dia juga masih mampu makan, menulis, dan dia baik-baik sahaja.

Inilah kali pertama Chu Qiao menangis sebegitu teruk, dengan tangisan yang lebih teruk daripada sewaktu dia masih berada di rumah keluarga Zhuge. Beberapa lama selepas itu dia tersedar dia sentiasa berasa keseorangan, walaupun semasa dia berada bersama kanak-kanak lain di sekelilingnya, dia masih berasa seperti dia tidak diterima. Namun pada hari di mana Yan Xun telah dipotong jari, barulah dia berasa seperti dia mempunyai seseorang yang mengambil berat tentangnya dan itulah sebabnya dia boleh mempamerkan emosi sebenar dan kelemahannya.

Kedua-dua mereka sebatang kara di dunia ini, tidak mempunyai sesiapa lagi selain dari diri mereka sendiri.

Api di pendiang api menerangi wajah Chu Qiao apabila malam semakin larut, dan lantas gadis itu meraih mukanya untuk melihat bayang-bayang pokok di luar yang berkelip-kelip sebelum terduduk kembali di atas sofa apabila dia telah menolak jemputan jamuan makan malam. Dia sedang menunggu seseorang untuk mengetuk pintu biliknya.

"Ah Chu." Akhirnya, sebuah suara lembut kedengaran datang dari luar, "Kau dah tidur?"

Hujung bibir Chu Qiao terangkat sedikit membentuk sebuah senyuman. Tiada bunyi yang datang dari luar selepas itu namun setelah seketika, dia bangun dari sofa dan berlari-lari anak menuju ke pintu dengan berkaki ayam.

Pintu dibuka dengan perlahan namun tiada sesiapa yang berada di sebelah sana namun terdapat sebuah bekas makanan yang diukar halus di luar pintunya bersama sebuah nota yang dilekatkan bersama, dan lantas gadis itu mengangkat nota tersebut untuk melihat sebuah coretan tangan yang sangat biasa dilihat:

'Aku tahu yang kau tidur lewat, jadi kalau kau berasa lapar, makanlah itik ini. Aku dah buangkan lemaknya supaya kau tak perlu risau yang kau akan jadi gemuk.'

Chu Qiao meraih kepalanya dan ternampak sebuah payung buluh berwarna hitam yang disuakan ke atas kepalanya. Kelibat seseorang yang sedang memakai jubah berbulu musang berwarna putih berdiri di tengah-tengah laluan rumah. Chu Qiao masih teringat kali terakhir mereka pergi ke Tasik Chi Sui, di mana Yan Xun telah memperingati Chu Qiao, "Kalau aku tolong kau sekali lagi, nama keluarga aku bukanlah Yan." Mungkin hanya di hadapan Chu Qiao sahaja pemuda itu dapat menonjolkan dirinya yang sebenar pada tahun itu.

Yan Xun tidaklah berubah hanya kerana Chu Qiao namun gadis itu akan sentiasa berada di tempat yang istimewa di dalam hatinya dan tiada siapa yang dapat menggantikan gadis itu.

Chu Qiao mengangkat bekas makanan itu sambil termenung jauh. Salji bertiup di udara dan serta-merta hilang dari pandangan akibat kawasan sekeliling yang bersalji juga,

Ia merupakan majlis rambut Puteri Kelapan Zhao Chun pada dua hari kemudiannya. Puteri kelapan dan Zhao Che telah dilahirkan daripada maharani yang sama, dan beliau juga merupakan puteri yang paling dihormati di dalam keluarga maharaja, jadi sudah pastilah majlis yang dianjurkannya juga yang paling meriah.

Oleh kerana perbalahan yang berlaku pada hari pemburuan, kesabaran Yan Xun terhadap puteri kelapan semakin berkurangan, dan lantas pemuda itu telah memerintahkan Ah Jing supaya memberikan puteri tersebut sebuah hadiah hanya untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Apabila Chu Qiao menyelak senarai hadiah yang akan diberikan, Yan Xun sedang meminum tehnya di dalam dewan, terdapat beberapa ucapan tahniah pada senarai hadiah tersebut dan dihujung sekali barulah hadiah sebenarnya: dua pasang rubi Ruyi, empat singa emas, dan juga lapan gulungan kain broked. Hadiah-hadiah tersebut tidaklah mahal namun tidaklah seteruk mana, jadi ia tersangatlah sempurna.

Chu Qiao menggelengkan kepala setelah membayangkan perasaan Zhao Chun'er setelah menerima hadiah ini. Perasaan cinta Putera Chun kepada Putera Yan Xun telah diketahui semua orang di dalam ibu negara untuk beberapa tahun ini, dan Maharani Muhe Nayun sering memasuk campur dalam urusan ini namun Zhao Chun'er seorang yang degil dan tidak mahu mendengar kata sesiapa pun selain dari Yan Xun. Xia Huang langsung tidak kisah akan dirinya, jadi puteri kelapan menjadi lebih bersikap riang dan tidak kisah.

"Ah Chu, kalau kita berpeluang untuk pergi ke empayar Tang, kita perlu pergi ke Taman Lichee dan merasa wain Zhu Shun."

Chu Qiao lantas mendongakkan kepalanya, cahaya mentari yang menyinari bumi amatlah cemerlang dan turunan salji sudah berhenti. Chu Qiao dipanggil untuk pergi ke rumah tanaman di awal pagi oleh Yan Xun, namun tiada sesiapa yang menguturkan sebarang kata sehingga tengahari menjelma. Dia sedang membaca buku manakala putera itu pula sedang meminum tehnya. Tiba-tiba sahaja Yan Xun mengujarkan ayat tersebut, lantas Chu Qiao membalas, "Okay, bila kita ada peluang, kita akan pergi bersama."

Melihat raut wajah gadis itu yang gembira, Yan Xun juga mengukirkan sebuah senyuman dan berkata, "Ah Chu dah membesar dan sudah jadi seorang wanita yang cantik."

Chu Qiao melepaskan sebuah ketawa dan membalas, "Apa yang kau makan hari ini? Kenapa ayat kau manis sangat? Atau kau sudah biasa berkata sebegitu di luar sana sehingga dah tak boleh keluar dari perangai gatal itu?"

Yan Xun menggeleng kepalanya perlahan dan berkata, "Kau masih tak faham. Aku hanya keluar dan berjumpa dengan gadis-gadis lain hanya untuk mengelirukan orang ramai. Ah Chu, kau masih wanita yang tercantik di dalam dunia ini dan tiada sesiapa yang dapat dibandingkan dengan kau." Kata-katanya terkeluar dari mulut dengan sangat ikhlas. Chu Qiao yang mendengarnya menjadi terpana seketika dan lantas pipinya kemerahan dengan senyuman yang terukir di bibir.

Walaupun mereka rapat, namun mereka tidak pernah mengutarakan perasaan sebenar mereka. Setelah beberapa tahun ini, mereka tersangatlah rapat seperti rakan seperjuangan dan juga keluarga, namun tidak pernah bercakap dengan romantik sebegini. Setelah mendengar kata-kata Yan Xun, yang telah melalui dua kehidupan, tidak dapat menolong daripada berasa sedikit gementar.

"Ah Chu," Yan Xun tiba-tiba menjadi serius, melihat gadis itu dengan penuh keikhlasan dan berkata, "Kita berdua dah berkenalan selama lapan tahun dan selama beberapa tahun itu, kita dah melalui kesejahteraan dan kecelakaan bersama-sama. Sekarang apabila semua kesusahan itu dah berlalu, dan setelah kita selesai di sini dan kembali ke Yan Bei, bolehlah kita…"

Sebelum dia dapat menghabiskan ayatnya, suara Ah Jing tiba-tiba kedengaran dari luar, "Tuanku, Tuanku dah diseru oleh Maharaja."

Segala emosi yang dipamerkan tiba-tiba hilang, Chu Qiao dengan pantas berdiri, melupakan bukunya di tangan dan terus menjatuhkannya.