Yan Xun juga terpana. Setelah tujuh tahun berlalu, inilah kali pertama Maharaja Xia telah menyerunya. Adakah ini suatu petanda buruk ataupun baik?
"Apa pula sekarang ini?" Kata Chu Qiao yang kelihatan amat serius.
Yan Xun berfikir untuk masa yang lama, dan berkata, "Jangan panik. Aku tak rasa yang ianya perkara penting. Aku akan pergi tengok."
"Yan Xun."
Yan Xun berpaling dan mula beredar. Dengan pantas Chu Qiao menggenggam tangan pemuda itu dengan erat. Tangan kecil milik gadis itu sejuk dan berpeluh dan lantas menarik pemuda ini ke dalam dakapan dan berkata dengan wajah yang bimbang, "Hati-hati, dan balik cepat."
"Jangan risau." Kata Yan Xun yang sedang membalas dakapan gadis itu untuk meyakinkannya. "Aku akan kembali secepat mungkin."
Lu Liu melangkah ke hadapan untuk memakaikan kot berbulu besar kepada Yan Xun, dan lantas putera itu memerintahkan beberapa orang untuk mengikutinya dan beredar dari Istana Ying Ge.
Chu Qiao berasa tidak senang duduk sepanjang tengahari dan tidak dapat berhenti dari memikirkan sesuatu yang buruk telah terjadi kepada Yan Xun. Ah Jing pulang pada petang hari secara mengejut, Chu Qiao yang berasa gembira itu terus emluru ke arah pemuda itu dan bertanya, "Mana tuan putera? Apa yang terjadi? Kenapa dia masih belum balik?"
Ah Jing yang berasa canggung untuk menjawab itu akhirnya membalas, "Tuan Putera baik-baik saja. Dia sekarang tengah menghadiri jamuan."
Chu Qiao melepaskan keluhan yang panjang dan berkata, "Okay, baguslah kalau macam itu. Kenapa Tuan Maharaja menyeru dia?"
Ah Jing menoleh ke kiri dan ke kanan, dan akirnya memandang Chu Qiao dengan penuh dengan penuh teragak-agak, seolah-olah dia tidak mahu memberitahu gadis ini akan hal yang sebenar. Menyedari akan hal ini, Chu Qiao mengerutkan dahinya dan bertanya sekali lagi, "Apa yang dah terjadi?"
"Tuan Maharaja…" Ah Jing tergagap, "Maharaja menyeru tuan putera sebab....sebab nak kahwinkan dia dengan Puteri Chun yang dah berumur 15 tahun."
Chu Qiao tercengang, membuka mulutnya untuk berkata sesuatu namun lidahnya kelu. Dia menoleh ke kiri dan kek kanan sebelum bertanya dengan nada yang rendah, "Kahwin?"
"Cik Chu…" Ah Jing yang memanggilnya mula berasa bimbang.
Chu Qiao mengangguk dan berbisik, "Kahwin…"
"Cik Chu, tuan putera takut jika Cik Chu berasa bimbang jadi dia mengarah saya untuk pulang dan memberitahu Cik…"
"Saya baik-baik saja." Chu Qiao menggelengkan kepalanya sambil berkata, "Jadi itu bukan jamuan maharaja biasa, mesti ada muslihat di sebalik semua itu. Kamu patut kembali ke sana dengan cepat dan lindungi dia. Saya risau yang maharaja ada udang di sebalik batu saja. Tapi untuk perkahwinan itu, saya faham saja."
Ah Jing yang berasa bimbang tentang Chu Qiao itu berbisik lembut, "Cik Chu…"
"Saya akan pergi ke bilik saya sekarang. Kamu patut pergi ke istana." Chu Qiao lantas berpusing dengan badannya yang ditegakkan dan menggumam tanpa sebarang emosi di wajah, "Saya masih ada beberapa perkara untuk buat. Lu Liu, bawa semua surat tu ke bilik saya. Saya kena membalas semuanya."
Salji yang menuruni bumi semakin lebat, dan angin kencang bertiup ke arah wanita yang sedang memakai gaun kuning dan mengepak-ngepakkan hujung jubah berwarna sama yang dipakai wanita itu dan lantas mempamerkan aura yang sangat dingin. Matahari mula terbenam di kejauhan, membuatkan langit kelihatan merah menyala, sangat cantik. Tidak lama kemudian, matahari terbenam dan lilin pun dinyalakan dengan cecair lilin berwarna merah yang menitik jatuh.
Yan Xun masih belum pulang walaupun sudah larut malam, orang-orang gaji yang menjaga pendiang api membuka pintu bilik Chu Qiao dengan berhati-hati dan melihat bilik yang bercahaya malam, bersama Chu Qiao yang kecil molek itu seolah-olah sedang berfikir panjang dan langsung tidak mengendahkan bunyi pintu bilik terbuka.
"Cik Chu," Kata orang gaji tersebut, dia hanyalah berumur dua belas tahun namun mengerti ketegangan situasi yang dihadapi Chu Qiao, dan lantas menyambung dengan penuh waspada, "Dah lewat ni, cik tidurlah."
Chu Qiao tetap membisu dan hanya mengangkat sebelah tangannya sebagai tanda menyuruh pembantu itu untuk beredar.
Lu Liu yang sedang membawa penakung arang yang dipenuhi arang baru itu dengan pantas bergerak ke pintu bilik dan berpaling sebelum beredar dan berkata, "Kalau tuan putera dah balik nanti saya cepat-cepat bagitahu cik ya."
Chu Qiao meraihkan pandangannya untuk melihat Lu Liu, dan lantas berkata perlahan, "Banyaknya masa lapang awak untuk berbuat begitu."
Lu Liu terkejut mendengar sindiran Chu Qiao dan lantas melutut ke lantai dan berkata dengan tergesa-gesa, "Saya tak patut melangkaui batasan saya. Saya patut dihukum."
"Pergi sajalah," Suara Chu Qiao tajam kedengaran. Setelah itu, dia terus menundukkan wajah untuk terus membaca surat di tangan. Lu Liu yang sedang menggeletar ketakutan itu bangun dan menutup pintu sebelum beredar dan lantas bilik itu menjadi sunyi sepi kembali.
Bayangan Chu Qiao di lantai kelihatan panjang dan kurus dipancarkan oleh cahaya lilin yang kadangkala memberikan percikan api di udara.
Riak wajah Chu Qiao tetap membatu semasa dia sedang berfikir panjang, dengan nada suaranya yang kekal sama. Hanya apabila dia mencoret sahaja yang jelas kelihatan daya mata pen yang kuat telah ditujukan pada kertas.
Malam musim sejuk yang panjang itu telah berlarutan, barulah kedengaran bunyi pintu dibuka, coretan Chu Qiao serta-merta terhenti semasa dia mendengar tapak kaki yang kedengaran dan lantas dia berdiri untuk menyalakan semua lampu yang berada di dalam bilik.
Bilik kepunyaan Chu Qiao itu serta-merta menjadi terang benderang dan boleh dikesan dari pintu gerbang istana. Chu Qiao berdiri dan menaikkan cermin tingkap yang berada di hadapannya dan angin malam terus menghembus ke dalam bilik, melambai-lambaikan rambutnya yang panjang. Matanya tenang mengesan persekitaran di luar dan sedang menunggu keputusan pemuda itu. Sekali imbas, memang jelas kelihatan dia masih terjaga kerana sedang menunggu kepulangan Yan Xun, dan jika pemuda itu singgah ke biliknya, ia bermaksud situasi mungkin akan berubah. Namun jika Yan Xun memilih untuk tidak bertemu dengannya langsung, ia bermaksud dia telah membuat keputusannya dan tiada apa yang akan berubah.
Masa berlalu dengan perlahan namun lampu-lampu di halaman hadapan masih tidak berganjak. Seorang pemuda berjubah kelabu yang menutupi hampir kesuluruhan mukanya berdiri tegak sambil Ah Jing yang berada di belakangnya sedang memegang sekaki payung besar di atas kepala pemuda itu untuk melindunginya daripada tiupan salji. Angin bertiup dari kejauhan dan lantas melambung-lambungkan salji di tanah sebelum ia menjadi sebuah puting beliung bersalji yang kecil yang menari-nari sehingga ke kasut dan jubah pemuda itu.
"Tuanku," kata Xiao Lizi sambil tertunduk hormat dan lantas menjeling ke arah tatapan mata Yan Xun yang menghala ke arah lampu yang datang dari belakang rimbunan pokok plum dan air terjun palsu. "Cik mungkin belum tidur lagi."
Yan Xun tidak memberi sebarang reaksi namun berdiri tegak, tahu Chu Qiao sedang berdiri di hadapan cermin di dalam biliknya. Di antara mereka terdapat tiga koridor, dua pintu, sebuah tasik dan taman pokok plum namun pemuda itu boleh berada di sisi Chu Qiao dalam sekelip mata. Tetapi kini sebuah perasaan lemah dan tidak berdaya menyelubungi dirinya dan terasa seperti perjalanan pendek ini akan memakan masa yang sangat lama.
Matanya kelihatan tenang dan damai. Tanpa berkata apa-apa, pemuda itu merenung ke arah tingkap Chu Qiao dengan senyap, lantas ia telah mengimbaskannya kembali kepada tujuh tahun dahulu dalam perubahan kehidupannya daripada muslihat licik, musibah dan juga mara bahaya.
Angin yang bertiup kencang telah menerbangkan payung yang dipegang erat Ah Jing dan lantas pemuda itu yang terkejut terus berlari untuk menangkapnya kembali, manakala bahu Yan Xun pula yang tidak dilindungi itu terus ditimpa salji dan boleh terasa sejuknya walaupun putera itu sedang memakai lapisan demi lapisan pakaian.
"Jom kita pergi." Ayat mudah itu diujar oleh Yan Xun, dan Xiao Lizi yang tersenyum apabila mendengar arahan tuannya itu terus memimpin putera itu menuju ke arah bilik Chu Qiao. Dia berkata sambil berjalan, "Cik Chu mesti belum tidur lagi. Tuanku…" Sebelum dia sempat menghabiskan ayatnya, dia tersedar Yan Xun bersama Ah Jing sedang menuju ke arah yang berlainan, dan terus mata orang gaji itu dibuntangkan besar sambil tangannya masih memegang obor api. Dia berdiri tercegat dengan mulutnya yang dibuka luas, tanpa mengetahui hala tuju yang patut dia pergi.
Bedebuk. Chu Qiao menutup cermin tingkapnya dengan lembut sebelum membuka jubahnya. Gadis itu hanya memakai sehelai jubah dan bergerak ke arah obor api di keempat-empat penjuru untuk memadamkan apinya, pergerakannya perlahan dan raut wajahnya kelihatan tenang melangkah ke arah lilin terakhir yang berada di atas rak buku untuk ditiupnya padam, bilik itu serta-merta menjadi gelap dalam sekelip mata.
Gadis itu tercapai-capai di sekelilingnya untuk bergerak ke arah katil, menarik selimut sebelum menghenyakkan badan ke atas katil. Angin di luar begitu diam dan matanya terbuntang luas, namun tiada tangisan yang mengalir dari hujung mata, gadis itu hanya berasa bimbang sepanjang malam.
Pada awal keesokan paginya, Chu Qiao telah singgah ke halaman hadapan untuk menjamah sarapan pagi yang telah dihidangkan oleh tukang masak. Istana Ying Ge terasa senyap sunyi pada hari ini, seolah-olah semua orang lebih berhati-hati untuk tidak melakukan sebarang bunyi. Chu Qiao dan Yan Xun duduk berhadapan sesama sendiri, sekali-sekala mengangkat pandangan mereka untuk bersembang sebentar sebelum kembali menundukkan kepala menghadap makanan.
Tuan-tuan juga tiada kurangnya, masih tenang seolah-olah tiada apa yang telah berlaku. Ah Jing dan Lu Liu merenung kedua tuan mereka dengan penuh kebimbangan dan lantas mendengar keluhan panjang Chu Qiao. 'Mungkin aku memang tak tersalah jangka.' Fikir gadis muda itu.
Semuanya masih tenang selepas sarapan pagi, dan mereka semua kembali ke tugasan masing-masing, kelihatan gembira sedikit. Lagipun, istana Ying Ge ini merupakan sebuah istana yang besar, jadi mereka boleh memilih untuk bertukar tempat tugasan.
Yan Xun membuka pintu rumah tanaman pada tengahari itu dan melihat Chu Qiao yang sedang bersandar pada susur pokok bunga seolah-olah dia sedang menunggu seseorang buat masa yang lama.
"Pokok orkid biru aku!" Teriak Yan Xun sambil meluru ke arah pokok bunga tersebut.
Chu Qiao menoleh ke belakang dan melihat Yan Xun yang sedang memegang sekuntum bunga orkid yang telah patah dari dahannya dan terus meradang, "Bunga orkid biru aku!"
"Bukan aku yang buat." Chu Qiao meraih kedua tangannya menandakan dia tidak ada kena-mengena dalam hal ini dan lantas berdalih, "Aku tak bersandar dekat situ."
"Kau tak nampak ke tali di antara rak-rak ini?"
Chu Qiao terperanjat dan lantas melihat tali halus tersebut, dan lantas mengangkat kedua belah bahunya sambil membalas, "Katakanlah aku yang buat, bukannya apa sangat pun. Aku boleh beri kau sebatang pokok lagilah."
Yan Xun menggeleng kepalanya, lantas meletakkan pasu bunga tersebut ke tepi sebelum melabuhkan punggungnya di atas kerusi dan berkata tegas, "Apa pendapat kau tentang hal ini?"
Chu Qiao berfikir panjang lalu membalas, "Tuanku Maharaja nak membunuh kau."
Yan Xun tersenyum ringan dan berkata, "Dah lama dia nak bunuh aku."
"Kali ini lain." Chu Qiao menggeleng kepalanya dan berkata perlahan, "Dia bukannya nak berbaik-baik dengan kau sebenarnya, tapi dia nak mencari jalan keluar untuk dirinya sendiri supaya dapat menghalang orang-orang lain daripada terus menyebarkan khabar-khabar angin. Dia nak bunuh kau tapi pada masa yang sama dia tak mahu ada kena-mengena dalam hal ini."
Chu Qiao kelihatan sangat berwibawa apabila dia menghuraikan pendapatnya mengenai situasi yang sedang dihadapi Yan Xun. "Sekarang keluarga-keluarga berpengaruh yang mempunyai kuasa, dan mereka mempunyai banyak tanah-tanah di dalam empayar ini. Tuanku Maharaja tidak ada banyak kuasa dalam bidang ketenteraan ibu negara kerana kuasa kerajaan dan juga ketenteraan sudah jatuh ke dalam tangan ahli Prebisterian dan juga keluarga-keluarga berpengaruh ini. Zhao Zhengde nak memartabatkan kembali kuasa maharaja dan selain daripada bergantung kepada kuasa diraja yang kecil seperti Meng Song dan Le Xing, dia pasti berharap putera-putera yang tinggal berdekatan dengan sempadan untuk membantu dia. Jadi, dia tak boleh membunuh kau secara terbuka sebab dia takut yang dia akan menyebabkan pergolakan di Yan Bei. Pembunuhan seorang pegawai sudah semestinya akan menakutkan keluarga diraja. Lagipun, puak itu sedang menunggu keluarga-keluarga diraja untuk mengambil peluang untuk bersaing demi tanah dan juga kuasa keluarga mereka. Selepas kuasa diraja lain sudah dihapuskan, keluarga maharaja sudah pastinya dapat mengambil kembali kuasa mutlak maharaja dan pada masa itu memang akan jadi lebih susah untuk menjatuhkan dia."
Yan Xun mengangguk dan bersetuju dengan gadis tersebut dan lantas Chu Qiao menyambung, "Jadi jika dia betul-betul hendak bunuh kau, dia perlukan orang lain untuk melakukannya. Dia nak membunuh kau secara rahsia dan lepas itu dia akan menuding jari kepada orang lain supaya dia dapat menyelamatkan diri sendiri. Tapi, kalau kau mati, semua orang pasti akan mengesyaki dia. Sebab itulah dia membuat keputusan untuk mengahwinkan kau dengan puterinya kali ini, supaya dia dapat memperdaya semua orang untuk berfikir yang dia betul-betul telah memaafkan kau dan membenarkan kau untuk pulang ke Yan Bei. Selepas itu dia akan membunuh kau dengan sendiri dan lepas kau mati, puteri kesayangannya akan menjadi seorang balu. Pasti tiada sesiapa yang akan mengesyakinya selepas itu."