Zhao Che langsung tidak keluar dari kemnya untuk empat belas hari berterusan, namun masih mendapati berita terbaru yang bukannya datang daripada sumber risikan pemuda itu pun. Dia mengerti ini bertujuan untuk menaikkan amarahnya dan juga memperdaya dirinya untuk keluar dari kem, dan terus mampu membayangi pasukan-pasukan tentera yang sedang menunggu di luar untuk membunuhnya.
Pada hari kedua dalam bulan keempat, istana Sheng Jin telah mengeluarkan perintah yang menyatakan Zhao Che ialah seorang yang setia dan juga bersifat patriotik dan pemuda ini akan diperkenankan dengan dua ribu tahil emas, juga telah dinaikkan pangkat kepada Jeneral Jalan Timur. Walaupun pangkat itu datang tanpa sebarang tugasan mahupun kuasa sebenar, namun setelah Maharaja memperkenankannya, darjatnya masih dinaikkan. Ini cukup untuk menunjukkan kepercayaan dan kepuasan hati Maharaja terhadapnya.
Pada malam di mana dia telah menerima perintah maharaja tersebut, Zhao Che sedang berdiri dan terdiam buat masa yang lama di dataran maktab seni mempertahankan diri di dalam kem pasukan berkuda. Dia mampu untuk membenci puak Muhe, yang suka memerintah, yang sering menyalahgunakan kuasa mereka, dan juga sifat tidak endah mengenai darjat di dalam puak itu. Namun, memang tidak boleh dinafikan dia telah mendapatkan kestabilan dirinya di samping anak-anak maharaja yang lain disebabkan oleh puak yang berpengaruh ini dan dengan kejatuhan mereka, bagaimanakah dia akan terus menahan kredibilitinya itu?
Kem pasukan berkuda diselubungi dengan awan kemurungan yang berkepul-kepul untuk lima hari berterusan, sesiapa yang merasakan mereka dapat menyelamatkan diri mereka telah meninggalkan kem ini untuk pergi ke pasukan tentera maharaja dan yang lain pula telah meletakkan jawatan mereka untuk pulang ke rumah masing-masing tanpa sebarang bantahan dari Zhao Che. Lagipun para bangsawan ini tahu jika seseorang itu ingin berjaya di dalam Empayar Xia ini, mereka perlu mendapatkan sokongan yang kuat selain dari kebenaran keluarga-keluarga diraja.
Kekuatan kem pasukan berkuda menyusut sehingga dua pertiga sahaja yang masih tidak berganjak setelah lima hari berlalu. Mereka-mereka yang telah meninggalkan kem tersebut termasuklah orang-orang bawahan Zhao Che yang setia untuk bertahun-tahun ini dan jugalah pengikut-pengikut yang telah dinaikkan darjat daripada sempadan.
Suasana kacau-bilau dalam ibu negara akhirnya beransur hilang. Dokumen rasmi daripada bahagian ketenteraan telah dikeluarkan dan dihantar kepada Zhao Che. Setelah pengutus itu tidak mendapati Zhao Che di dalam biliknya, dia lantas meletakkan surat tersebut di atas meja sebelum beredar dari bilik pemuda itu. Pengutus itu langsung tidak menegur Zhao Che walaupun dia terserempak dengan pemuda itu semasa dia ingin melonjak naik ke kuda.
Penolong Komander Cheng menghulurkan surat itu sambil mengerutkan dahi. "Tuanku, bahagian ketenteraan keluarkan surat rasmi. Mereka nak menggerakkan pasukan berkuda untuk pergi ke Yu Cheng iaitu 130 batu jauh dari sini untuk menurap jalan sebab nak bagi Putera Tang dapatkan perjalanan yang lancar."
Zhao Che langsung tidak memandang surat itu namun penumbuknya digenggam dengan penuh ketat. Tidak sampai sebulan yang lalu Putera Ketiga, Zhao Qi, dikhabarkan telah keluar dari bandar untuk menurap jalan-jalan itu. Namun, dengan apa yang terjadi kepada puak Muhe, jelas sangatlah yang Zhao Qi tak keluar dari ibu negara maharaja ini dan pasukan tentera itu dihantar ke sana dengan senyap-senyap supaya dapat bersiap sedia untuk melakukan serangan hendap.
Kini puak Muhe semuanya telah dihapuskan seorang demi seorang, dan puak Wei pula yang bermaharajalela. Ia telah dihebahkan kepada orang ramai yang Zhao Qi akan menolong untuk menurap jalan, lantas menyebabkan dia menerima penyanjungan daripada rakyat-rakyat bandar. Namun, pada hari ini, dia mahukan Zhao Che pula untuk mengetuai pasukan berkuda untuk menurap jalan. Adakah ini suatu ejekan daripada orang-orang berkuasa? Ataupun adakah ini suatu penghinaan daripada si pemenang?
Zhao Che membatu buat masa yang lama. Walaupun dia sudah cukup lali dan telah menjadi mangsa kepada penyalahgunaan kuasa berulang-ulang kali, namun kebencian yang dirasai di dalam dirinya semakin membuak-buak. Dia lantas tergelak dengan penuh sinis dan berpaling untuk berhadapan dengan istana yang tersergam indah di kejauhan dan merenung dengan pandangan mata yang tajam dan kejam. Keesokan harinya, pasukan berkuda itu telah bergerak ke Yu Cheng untuk memperbaiki jalan dan juga untuk menyambut kedatangan Putera Tang, Li Ce.
Empayar Tang dan juga Empayar Xia tidaklah terlalu jauh dari masing-masing. Dengan seekor kuda yang pantas, seseorang dapat mengembara dari suatu empayar ke empayar yang lagi satu dalam masa sebulan dan dengan sebuah pedati kuda, ia akan memakan masa selama dua bulan. Putera ini telah mengembara selama empat bulan tanpa sebarang khabar, namun dia masih tidak dapat dikesan di mana-mana.
Kebanyakan putera daripada Empayar Xia telah mengembara ke sempadan sebelum ini. Mereka mengembara bersama sekumpulan tentera, melintasi pelbagai jenis rupa bumi, daripada kawasan tanah tandus, sehinggalah ke kawasan pergunungan dan juga sungai-sungai. Namun, tetamu terhormat daripada Empayar Tang ini telah memerintahkan supaya jambatan dibina sebelum dia dapat merentasi sungai, jambatan tersebut perlulah lebar untuk memuatkan empat ekor kuda dan perlu diperbuat daripada batu. Jika dia mengembara di kawasan berumput, sebuah jalan haruslah diturap untuknya terlebih dahulu supaya tidak mengotorkan telapuk kaki kuda miliknya. Dia langsung tidak bersetuju apabila dikemukakan untuk menggunakan pengangkutan air namun tidak sanggup untuk berjalan melalui jalan di pergunungan, di padang pasir, atau mana-mana jalan yang tidak berada dalam lingkungan lima puluh batu dari bandar. Dia hanya dapat menjamah makanan-makanan termewah yang dibawa dari Empayar Tang. Terdapat lebih dari dua ratus pedati kuda yang membawa baju, senjata, dan juga perkakas lain untuk digunakan olehnya di sepanjang perjalanan. Apa-apa sahaja yang dilakukan oleh para lelaki telah dibantah olehnya. Maharaja Tang bertungkus lumus untuk memuaskan hati pemuda ini sehingga terdapat ura-ura yang mengatakan gandum yang dijamu kepada Li Ce perlulah dituai dalam tanah yang subur di belakang istana oleh tukang-tukang kebun terbaik, dan lantas dikumpulkan oleh gadis-gadis muda daripada istana itu.
Setelah mendengar apa yang terjadi, lidah Chu Qiao menjadi kelu. Empayar Xia telah menghantar Zhao Che dan pasukan berkuda untuk menjemput seseorang yang secerewet itu. 'Macam sengaja nak mengeruhkan keadaan saja?'
Pahlawan dari pasukan berkuda telah mengharungi salji yang lebat selama sepuluh hari untuk menurap jalan dan apabila segalanya hampir siap, berita terbaru datang dan telah dikhabarkan putera telah dijangkiti selesama apabila selimutnya terselak semasa dia sedang nyenyak tidur. Seluruh kumpulan tentera harus berpatah balik.
Zhao Che yang mendengar berita ini terus meradang, lalu dia juga telah mengarahkan kumpulan tenteranya untuk berpatah balik.
Chu Qiao mengeluh setelah mendengar berita ini lalu dirinya diselubungi perasaan bimbang. Sama ada Putera Tang ini merupakan seseorang yang tersangatlah merepek ataupun pejuang digeruni yang cerdik dalam memilih masa untuk menampilkan diri.
Walau apa pun yang terjadi, Chu Qiao telah dipilih untuk memasuki pasukan askar berkuda dan mengetahui tentang kacau-bilau yang berlaku kepada puak Muhe, lantas berniat untuk menangguhkan permulaan tugasnya. Kuasa Zhao Che sedang merusut jatuh, namun dia masih ketua pasukan berkuda. Chu Qiao yang telah dilantik sebagai ketua jurulatih penunggangan kuda dan juga memanah perlu menampilkan wajahnya di dalam kem.
Petang tersebut, pengutus Zhao Che telah kembali ke kem bersama sebuah berita bahawa putera Tang yang berlagak seperti seorang raja itu telah bersetuju untuk menangguhkan pengembaraannya supaya dapat pulih dengan lebih cepat. Namun putera itu enggan memasuki kawasan kem, dan telah mengarahkan Penolong Komander Cheng untuk kekal berada di tempatnya dan menunggu arahan seterusnya selain daripada memohon Chu Qiao untuk berjumpa dengannya di tempat tugasan putera tersebut.
Chu Qiao yang kebingunan itu meminta untuk diterangkan mengenai situasi tersebut.
Askar yang berhadapan dengan Chu Qiao itu teragak-agak buat seketika sebelum berbisik, "Tuan Putera enggan berhadap dengan Tuanku, mengatakan kekejaman dia akan membuatkan dia lebih sakit. Kata-kata itu diambil dari orang gaji yang berada di sebelah tuan putera masa itu." Semua orang tercengang apabila mendengar. Benarkah ini tuan putera yang mempunyai citarasa termewah, yang enggan untuk bercakap dengan lelaki lain? Lelaki itu menambah dan meminta Chu Qiao untuk berpakaian seperti seorang wanita dan untuk bergerak ke tuan putera secepat mungkin.
Nasib baik cuaca baik pada beberapa hari kemudian, dan tiada salji yang menimpa bumi, bermakna usaha mereka sebelum ini bukanlah sia-sia. Chu Qiao yang ditemani empat orang ahli tentera itu menunggang kuda mereka ke arah destinasi yang dituju, memakai jubah berwarna merah terang. Walaupun jubah itu jubah lelaki, namun ia telah membuatkan Chu Qiao kelihatan jelita dengan susuk tubuhnya yang ditonjolkan.
Jarak di antara ke dua tempat itu hanyalah memakan masa selama empat jam, namun sebelum dua jam dalam perjalanan, mereka telah diterpa oleh sebuah pedati kuda yang datang dari arah bertentangan. Ia dihiasi dengan warna-warna yang terang dan juga ditemani empat ekor kuda yang segak, memenuhi sepenuh jalan.
Chu Qiao mengerutkan dahinya dan lantas menghentikan kuda, dan ternampak dua orang wanita muda yang sedang mendahului pedati kuda tersebut. Salah seorang daripada mereka sedang memakai jubah putih yang diperbuat daripada kulit harimau bintang dan juga bergaun kapas berwarna merah jambu. Seorang lagi sedang memakai pakaian serba hijau dan kelihatan seperti seorang pemburu. Kedua-dua mereka sedang memakai topi dan juga bermantel, dengan muka yang merah akibat kesejukan. Mereka sering menoleh ke belakang kerana sedang rancak berbual dengan sesiapa sahaja yang berada di dalam pedati tersebut.
"Ah! Kak Fu, ada orang di hadapan?" Kata wanita yang berpakaian serba hijau itu, dengan mata yang terpancar cerah, dan pedati kuda tersebut berhenti betul-betul di hadapan kumpulan Chu Qiao.
"Siapa mereka?" Sebuah suara yang menawan kedengaran. "Mereka lelaki atau wanita?"
Wanita muda itu lantas menjawab dengan acuh tak acuh, "Empat lelaki dan seorang wanita."
"Oh?" Suara di dalam pedati itu kedengaran teragak-agak. "Boleh saya bertanya, bagaimana rupa wanita itu? Umurnya dalam lingkungan berapa?"
Wanita itu merenung Chu Qiao sebelum membalas, "Dia kelihatan biasa-biasa saja, dalam lingkungan 16 atau 17 tahun. Rupanya lebih kurang macam sayalah tapi tak boleh mengatasi kecantikan Kak Fu, Kak E dan juga Kak Qing."
Sebuah ketawa tiba-tiba meletus daripada dalam pedati kuda tersebut dan lantas menyambung, "Kalau Lu Er untuk bercakap begitu, mestilah orangnya cantik. Suruh para lelaki itu pergi dan biarkan wanita itu tinggal di sini. Saya nak bercakap dengan dia."
Wanita di hadapan pedati itu mendesis penuh ejekan terhadap kumpulan Chu Qiao. "Kalian tak dengar ke? Para lelaki boleh pergi, wanita tinggal di sini."
Maka tercenganglah Chu Qiao dan empat orang tentera yang mengikutinya itu, dan lantas pemuda-pemuda di belakang Chu Qiao berasa marah. Dengan pakaian perisai yang sedang dipakai mereka, sudah tentulah mereka bukan rakyat biasa dan tidak kira siapa wanita-wanita di atas pedati ini, mereka tidak patut sebiadab itu.
Sebelum para jejaka di belakang Chu Qiao sempat membalas, wanita muda itu mengherdik dengan penuh marah, "Kalian tak dengar apa aku cakap ke? Bodoh betul." Lantas wanita itu mengeluarkan dua tahil emas dan melemparkannya ke atas tanah sebelum berkata dengan penuh angkuh, "Aku tengok kalian tak memakai lambang jed, jadi ia bermaksud yang kalian bukanlah daripada puak mana-mana. Aku beri tawaran harga buat wanita yang tak berpuak ini. Tawaran ini taklah seteruk mana. Kamu semua yang lain boleh pergi sekarang."
Salah seorang daripada ahli tentera itu mengherdik kuat, "Dari mana perempuan ini datang? Aku cabar kau…"
Sebelum sempat dia menghabiskan ayatnya, sebuah libasan telah melayang ke udara dan menghentak pemuda itu kuat. Orang gaji yang kelihatan muda itu sebenarnya mempunyai skil yang hebat juga. Tali cemeti itu yang dilibas ke udara telah terkena mata ahli tentera itu lantas meninggalkan kesan berdarah yang membuatkan askar itu terjatuh dari kudanya sambil tangan menutupi matanya, berteriak keperitan.
"Hm! Manusia tak guna ini memang tak tahu batasannya!" Kata orang gaji tersebut, tali cemeti diangkat sekali lagi untuk dilibaskan kepada pemuda itu.
Chu Qiao menjadi naik angin apabila melihat wanita ini bertindak terlalu melampau, dan lantas meluru ke arah wanita itu dan merentap tali cemeti di genggamannya. Dengan teknik yang cemerlang dan daya yang kuat, Chu Qiao mampu merampas tali cemeti itu ke dalam genggaman tangannya.
"Jangan nak melampau sangat," Chu Qiao memberi amaran kepada orang gaji tersebut dengan penuh ketajaman.
Askar seorang lagi tiba-tiba berteriak kuat. Chu Qiao menundukkan wajahnya untuk melihat darah segar melumuri tangan askar yang matanya dilibas itu. Darah terus mengalir keluar dari matanya, menandakan pemuda tersebut akan menjadi buta di sebelah mata.
"Hm!" Lu Er, si orang gaji, mendesis. "Apa yang nak dibesar-besarkan? Dia rakyat biasa saja. Paling banyak pun aku akan bayar kau… Ah!" Sebelum dia dapat menghabiskan ayatnya, tali cemeti dilibas dengan kuat kepada wajahnya yang mulus itu. Daya libasan tali cemeti itu lebih kuat daripada daya libasan yang terkena askar tadi, dan wanita muda itu menangis dalam kesakitan menutupi wajahnya, kemarahan di dalam dirinya membuak-buak.
"Apa yang nak dibesar-besarkan? Dia orang tak kenang budi saja. Aku boleh buat kau buta sebelah mata dengan senang saja. Paling banyak pun aku akan bayar kau beberapa keping perak." Chu Qiao menyindir, nadanya sama seperti yang telah diujarkan Lu Er tadi.
Wanita muda itu kelihatan gagah, langsung tidak mengeluarkan sebarang teriakan namun hanya mengetap giginya dan merenung Chu Qiao dengan penuh kebencian. "Gadis bodoh, aku takkan lepaskan kau!"
"Siapa yang nak kasihan kau?" Chu Qiao yang mengecilkan matanya mengejek, "Bukan ke tadi kau kata kau nak beli aku? Mari kita tengok berapa banyak kau ada." Setelah menghabiskan ayatnya, sebilah pisau belati terus melayang ke udara sebelum terpahat ke dalam pinggul salah seekor kuda pedati. Kuda tersebut yang terkejut terus mendirikan kedua tepaluk kaki kudanya ke atas sebelum mula menderap laju.