"Jom cepat bawa dia naik kuda!" Ujar Chu Qiao dengan dingin lantas beredar dengan menunggang kudanya. Empat orang lelaki yang berada bersamanya cepat-cepat mengikuti Chu Qiao. Barulah Chu Qiao tersedar bukan mereka sahaja yang berada di situ. Di sebalik hutan yang bersalji itu, dia dapat mendengar bunyi tapak kaki datang dari kedua-dua arah jadi dia menyedari ada yang tidak kena. Kereta kuda kelihatan terasing tetapi ia telah diapit oleh ratusan pengawal yang berbadan tegap dan sihat. Sekiranya mereka bertembung, hal itu akan memanfaatkan Chu Qiao dan pasukannya. Oleh itu, satu-satunya jalan ialah berpura-pura tidak tahu dan kemudiannya menyerang dengan tiba-tiba.
Seperti yang dijangkakan, dalam sekelip mata sahaja bunyi tapak kaki kuda berdentum dari belakang. Chu Qiao kemudiannya menjerit sambil melibas cemeti kuda untuk mengawal pergerakan haiwan tersebut. "Ayuh!" Lima orang lelaki mula melarikan diri dahulu.
Pada saat ini, anak panah yang disasarkan pada kuda mereka terbang melayang tepat pada sasaran lantas membuatkan empat orang daripada mereka rebah ke tanah.
"Tak berhenti lagi ya?" satu suara berkumandang di sebelah telinga Chu Qiao dan setelah itu seekor kuda putih menderap di sebelahnya. Lelaki yang menunggang kuda itu berpakaian serba merah. Rupa parasnya pula kelihatan menawan seperti seorang wanita. Sebelah tangannya mengekang kuda tersebut manakala sebelah lagi memegang kipas. Dia menunggang di sebelah Chu Qiao dengan senyuman yang terukir di bibir.
Chu Qiao kemudiannya menendang perut kudanya dengan kuat dan menyebabkan kuda itu meringkik tetapi masih tidak rebah.
Lelaki itu terpegun sejenak sebelum senyuman kembali terukir di bibirnya ketika dia bercakap, "Garang ya? Tak mengapa. Awak tak suka ia ganggu kita, kan?" Setelah lelaki itu menghabiskan ayatnya, dia terus melompat naik ke atas kuda Chu Qiao dengan sepantas kilat. Dia meletakkan tangannya di pinggang Chu Qiao dan pada saat itu, Chu Qiao dapat merasakan nafasnya yang dihela di belakang telinganya. "Wanginya awak." Ujarnya dengan lembut. "Kenapa saya tak tahu ada perempuan secantik ini di Hong Chuan ya?"
Chu Qiao cuba untuk menolak pemuda itu dari kuda tetapi dia hanya tertawa dan memeluk gadis itu dengan lebih erat, kemudian pemuda itu mengeluarkan lidahnya untuk menjilat cuping telinga Chu Qiao lantas berkata, "Putih dan wangi… Sememangnya seorang jelitawan."
Meremang dibuatnya setelah mendengar kata-kata lelaki itu. Setelah menyedari dirinya sudah dikepung, Chu Qiao mula menjadi berang, lantas menggenggam penumbuknya lantas menyiku bahu lelaki itu dengan kuat. Dia kemudiannya menoleh badannya dan menyelinap ke bawah sambil melilit kakinya di sekeliling perut kuda itu, lalu menarik kaki lelaki itu dengan sekuat tenaga. Lelaki yang memandang rendah dengan ketangkasan gadis itu mula cuak dan akhirnya rebah juga ke tanah. Chu Qiao kemudiannya melompat turun dari kuda itu lantas menendang belakang lelaki tersebut dengan kuat sehingga lelaki itu mampu melihat bintang berterbangan di atas kepalanya.
Chu Qiao yang seperti seekor harimau bengis itu mula membuka gaya lawan Wing Chun miliknya dengan menumbuk kepala lelaki itu bertubi-tubi sepantas kilat. Tumbukannya itu sungguh mengagumkan jadi semua orang mula berasa cuak ketika melihat gadis itu.
"Ah! Bodoh! Cepat selamatkan Tuan Putera!"
Setelah mendengar kata-kata wanita itu, hati Chu Qiao berdegup kencang lantas dia pun berfikir sendirian. Tuan Putera?
Bunyi tapak kaki kuda sekali lagi berdentum dan membuatkan salji-salji bertaburan. Zhao Che telah tiba di tempat kejadian bersama pasukannya dari Pasukan Xiao Qi. Namun, setelah melihat kejadian yang berlaku di hadapan mereka, raut wajah mereka mula berubah pucat.
Zhao Che yang masih berada di atas kuda dengan rengusnya menjerit. "Chu Qiao! Awak buat apa itu?"
Chu Qiao pun terus berhenti. Lelaki yang teruk dibelasah itu pun mula mendongak. Matanya sudah membengkak dan menyebabkan semua orang tertanya-tanya jika dia masih mampu untuk melihat atau tidak.
Zhao Che serta-merta melonjak turun dari kudanya dan menerpa ke arah lelaki yang sudah tertiarap di atas tanah. Dia kemudiannya menunduk hormat sambil berkata, "Tuanku, maafkan saya kerana belum cukup tegas mendidik anak buah saya ini. Maaf kerana mencederakan tuanku." Setelah itu, dia menarik Chu Qiao ke arahnya.
Chu Qiao mula berasa cuak. Dia melihat ke arah utusan Tang yang sudah kelihatan seperti hendak menangis seakan-akan kehilangan sesuatu. Takkanlah dia ini satu-satunya anak lelaki kepada Maharaja Tang, Li Ce? Takkanlah dia ini si putera miang yang sering dapat apa jua yang dihajatinya itu?
Fikirannya mula buntu kerana Chu Qiao tahu dia telah menimbulkan satu masalah besar kali ini.
Ada banyak perkara yang dikhuatirkan buat masa ini. Membunuh putera dari Empayar Tang? Berkomplot untuk memusnahkan hubungan diplomatik antara dua buah empayar? Mengingkar arahan orang atasan? Mana-mana pertuduhan yang dapat mensahihkan salah lakunya akan menyebabkannya dihukum bunuh. Sebelum ini dia tidak pernah bertindak melulu seperti ini jadi kenapa dia berkelakuan seperti sudah dirasuk pula?
Dia tidak berani untuk memandang wajah Zhao Che. Perbualan gadis-gadis di sebelah pula begitu kuat sehingga dia yakin atap pun akan runtuh tatkala mendengarnya. Dia hanya berdiri di belakang Zhao Che sambil mengimbas kembali perkara yang sudah berlaku. Namun, dia tidak dapat mencari alasan untuk melepaskan dirinya. Dia berharap kejadian ini tidak akan membabitkan Yan Xun atau dia yang akan mengaku bertanggungjawab atas perkara ini deminya.
"Tak habis bergosip lagi ke?" Suara dingin tiba-tiba berkumandang dan menyebabkan gadis-gadis tadi terpaku. Zhao Che memakai sut perisai lengkap dari kepala hingga ke kaki. Dia kemudian merenung tajam gadis-gadis tadi sambil berkata dengan jelas, "Kalau dah habis, boleh berambus!"
"Kau!" Seorang wanita yang berpakaian serba kuning mengujar sambil menuding jarinya ke arah Zhao Che. Namun, seorang lagi wanita yang kelihatan lebih tua darinya menghalangnya daripada berkelakuan seperti itu. "Xiao E, jangan biadab dengan Tuanku Ketujuh."
"Kakak Fu…"
"Oleh sebab Tuanku agak sibuk, jadi kami takkan mempertanggungjawabkannya. Namun, jangan harap kami akan biarkan saja hal ini. Kami dah hantar perutusan ke Zhen Huang untuk bincangkan hal ini. Bagi cik ini," Pandangannya terpaut pada Chu Qiao. "kalau Tuanku tak nak serahkan dia, kami tak boleh buat apa-apa. Tapi tolong tengok-tengokkan dia bagi pihak kami. Ada ubi ada batas, ada hari kami akan balas." Setelah itu dia menoleh dan meninggalkan khemah itu. Gadis-gadis lain pun mengikutinya sambil mendengus ke arah Chu Qiao.
Zhao Che berdiri dalam khemah tanpa berkata apa-apa. Dia memandang tirai yang ditiup angin dan hanya berdiam diri buat seketika.
Chu Qiao berdiri di belakangnya jadi dia tidak dapat melihat raut wajah pemuda itu, cuma dapat membayangkan amarahnya sahaja. Bagi Zhao Che pula, penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan menghapuskan si gadis pemberontak ini dari menyerahkannya kepada mahkamah. Namun, dia tidak mahu menyerahkan Chu Qiao kepada Empayar Tang. Kenapa jadi begini? Chu Qiao sendiri yang bersumpah sekiranya Zhao Che melayangkan penumbuknya ke arah Chu Qiao, dia tidak akan membalas.
Tiba-tiba Zhao Che tersedar seperti dia cuba untuk menahan dari berkata sesuatu. Peluh pula mula membasahi dahi dan tapak tangan Chu Qiao. Pandangannya mula menyempit. Apa yang dia nak lakukan? Takkanlah dia nak manfaatkan peluang ini untuk bersuka-ria? Lagipun Maharaja memang sedang cuba mencari kesalahan Yan Xun selama ini jadi ini merupakan peluang terbaik buat mereka untuk menghapuskan Putera Yan Bei itu. Takkanlah dia akan dijadikan sebagai alasan bagi mereka berbuat demikian? Apalah malang nasibnya. Baru sahaja memasuki Pasukan Xiao Qi tapi dah timbulkan masalah besar. Dia menggenggam erat penumbuknya.
Zhao Che menoleh dengan raut wajah yang aneh. Dia memandang Chu Qiao dengan renungan yang bersemangat? Dan tiba-tiba…
"Hahahaha!" Dia ketawa terbahak-bahak. Timbalan Komander Cheng dan beberapa lagi ahli jawatankuasa Pasukan Xiao Qi meluru masuk dan turut ketawa.
Zhao Che menepuk lembut bahunya lantas menunjukkan isyarat bagus dengan ibu jarinya itu. "Bagus!"
Apa yang dah berlaku ini? Chu Qiao hanya terkaku di situ sambil matanya membulat.
"Li Ce si miang itu memang patut diajar dari dulu lagi."
"Putera Empayar Tang itu? Dahlah lembik, pakai baju merah hijau saja sepanjang hari. Nak termuntah aku tengok."
"Bermasalah sungguh. Kena ajar juga budak bongkak itu."
"Syabas budak. Kalau ada orang yang berani kacau kamu, beritahu saja kami!"
Chu Qiao berasa terkejut sehingga tidak mampu berkata apa-apa. Setelah sekian lama barulah dia membuka mulut, "Tuanku, kita tak boleh ambil ringan perkara ini. Walaupun saya tak tahu tapi saya tetap dah bantai Putera Tang. Dahlah dia datang untuk meraikan hari lahir Maharaja… Setidaknya saya perlu minta maaflah kan?"
"Awak belasah dia?" Zhao Che mengangkat keningnya dengan terkejut lantas menoleh ke arah anak buahnya yang lain, "Ada yang tengok tak?"
"Tak." Jawab mereka serentak.
Chu Qiao terpegun dan kemudiannya memandang Zhao Che dengan kekeliruan.
Zhao Che mengeluh dan berkata, "Awak pun satu. Kalau nak belasah dia, belasahlah waktu tiada orang."
"Betul itu!" Si Janggut Besar Dong menyampuk dengan terburu-buru, "Tuanku dah berbincang dengan kami tentang hal ini. Apabila budak itu tiba, kami akan cari peluang untuk sumbat dia ke dalam guni dan kemudian belasah dia untuk lepaskan geram. Kami akan pastikan yang dia ke Zhen Huang dengan muka bengkak dia itu. Tapi tak sangka pula awak lebih pantas bertindak daripada kami. Kami dah lama di situ jadi kami nampak yang awak belasah dia sepuas hati dari jauh cuma kami tak tunjukkan diri saja."
Chu Qiao memandang mereka yang tersengih-sengih seperti kerang busuk itu lalu menangis walaupun tiada air mata yang keluar.
"Dahlah. Jangan risau." Zhao Che menepuk bahunya. "Walaupun kita tak pernah bersua muka sebelum ini tapi sekarang awak di bawah jagaan saya jadi saya takkan memperlakukan awak dengan teruklah."
Apabila malam menjelang, pangkalan itu mula berada dalam kesenyapan. Satu-satunya bunyi yang kedengaran di sebelah timur yang berbunyi seperti sizhu. Itu merupakan sesuatu yang aneh kerana ini merupakan pangkalan tentera. Timbalan Komander Cheng telah memberitahu sebelum ini yang ia merupakan rutin Putera Tang yang sememangnya tidak boleh tidur jika tiada muzik. Setelah menempuhi pengalaman pahit pada hari ini, muzik tersebut kedengaran begitu takzim pula seolah-olah seperti seorang gundik di istana yang merindui masa mudanya.
Chu Qiao terduduk di bukit bersalji sambil bermain dengan pedang miliknya. Bintang di langit menerangi langit malam yang terbentang luas di atas, dengan cahaya bulan dipantulkan ke tanah dan kesenyapan kembali di khemah tersebut diselangi dengan bunyi daripada askar-askar yang sedang bertugas. Oleh sebab tempat ini bukan merupakan medan perang jadi keadaan di sini lebih santai kerana terletak di kawasan yang agak terpencil.
Chu Qiao mengeluh. "Tiada apa yang istimewa tentang lampu-lampu terang ini."
Bunyi rapuh tiba-tiba kedengaran. Chu Qiao memandang ke arah pedangnya yang masih lagi berada dalam sarungnya itu kerana sepertinya bunyi tadi datang dari arah pedang itu. Dia berkerut lalu mengeluarkan pedang itu daripada sarungnya. Pedang yang sepanjang empat kaki itu ialah palsu. Ia berwarna putih kehijauan berserta tompokan merah yang seakan-akan tompokan darah yang masih belum kering.
"Cantiknya pedang!" Satu pujian tiba-tiba kedengaran dari belakangnya.
Chu Qiao menoleh dan melihat Zhao Che berjalan menaiki bukit bersalji itu. Dia yang berpakaian serba hitam kemudiannya datang duduk di sebelah Chu Qiao. "Apa nama pedang ini?"
Chu Qiao terpaku sejenak sebelum menggelengkan kepalanya dan membalas, "Entahlah."
"Takkanlah awak tak tahu nama pedang awak sendiri?"
"Ini bukan pedang saya."
Zhao Che mengangguk dan tidak bertanya lagi. Dia memegang flagon di tangan kanannya sambil menghalakan ke atas lantas menghirup daripadanya. Kemudian, dia menyerahkannya kepada Chu Qiao pula.