Tidak lama kemudian, keadaan mula berubah. Semasa Nightingale berusia 14 tahun, puak pelarian merusuh di Kota Perak semasa ibu bapanya keluar membuat kerja amal. Selepas itu ibu bapanya tidak lagi kembali. Nightingale dan adiknya dihantar untuk dijaga oleh bapa saudara mereka, abang kepada bapa mereka yang bernama Gilen juga.
Pada musim sejuk tahun itu, Nightingale dibangkitkan sebagai ahli sihir.
Dia cukup berhati-hati dan cuba menyembunyikan kuasanya, tetapi akhirnya bapa saudaranya mendapat tahu. Dia memisahkan Nightingale daripada adiknya dan mengugut dia untuk menurut perintahnya jika dia mahu adiknya hidup.
Nightingale tiada pilihan selain mematuhi bapa saudaranya. Selepas dilatih ahli Persatuan Perompak atas arahan Gilen, Nightingale dipaksa melakukan hal-hal yang melanggar undang-undang seperti mencuri kontrak dan dokumen daripada rumah pesaing perniagaan Gilen, mencuri dengar mesyuarat di Dewan Perbandaran, malah lebih teruk lagi, meracuni minuman atau telaga air orang yang mengancam kedudukan Gilen.
Selepas itu perniagaan Gilen semakin berkembang maju tetapi dia melayan Nightingale dengan lebih buruk. Dia akan memukul Nightingale setiap kali anginnya tidak baik. Nightingale sering dikurung di dalam bilik berjeriji dan dilarang keluar kecuali atas arahannnya. Apa yang lebih mengelirukan dan melukakan hatinya adalah adiknya semakin jarang melawat dia. Nightingale mula mengesyaki mungkin bapa saudaranya sudah membunuh adiknya.
Selepas Nightingale puas merayu, akhirnya Gilen membawa Hyde untuk berjumpa dia tetapi alangkah terkejutnya dia apabila adiknya sendiri sudah membenci dia dan tidak mahu mengaku dia kakaknya. Dia memaki hamun Nightingale dan menyumpah dia untuk masuk neraka bersama iblis-iblis, tempat semua ahli sihir sepatutnya berada.
Hati Nightingale hancur mendengar kata-kata adiknya, tetapi itu masih belum cukup teruk lagi. Pak Cik Gilen memberitahu dia sesuatu yang lebih menyayat hati – sebenarnya Hyde yang melapor kepada Gilen kakaknya ialah ahli sihir agar mereka boleh dipisahkan sejauh mungkin.
Selepas mengasingkan Hyde, Pak Cik Gilen mengugut Nightingale dan berkata sekiranya dia mengingkari perintahnya, dia akan membunuh adiknya yang sepatutnya mewarisi pangkat bapa mereka apabila dia cukup umur kelak.
Dengan penuh derita dan sakit hati, Nightingale mengharungi hidup sebagai boneka keluarga Gilen. Pada tahun dia mengalami Hari Kematangannya, dia terjumpa Wendy, malah mungkin Wendy yang sudah lama mencari dia.
Hati Nightingale yang hancur luluh perlahan-lahan mula bercahaya kembali apabila dia mendapat tahu tentang Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir yang terdiri daripada ahli-ahli sihir yang jauh lebih menderita daripada dia tetapi masih berjuang untuk meneruskan hidup.
Tidak lama kemudian, perasaan serba-salah bertukar menjadi keazaman. Seminggu selepas mereka berkenalan, Nightingale mengalami Azab Syaitan pada Hari Kematangannya dan kuasa dia meningkat dengan mendadak. Nightingale mendapati Kabus itu bukan sekadar hijab biasa, tetapi ia boleh melindunginya dan membuatkan tiada jeriji yang boleh menghalang kebebasannya lagi.
Pada suatu malam selepas dia pulih daripada Azab itu, dia senyap-senyap memasuki bilik Pak Cik Gilen dan mengelar lehernya dengan pisau belati. Apabila dia melihat darah memancut dari tengkuk dan nafas lelaki itu tersekat-sekat lalu terhenti, dia tidak sangka dia akan berasa begitu tenang.
Selepas itu dia keluar dari rumah pak ciknya tanpa mempedulikan adiknya, Hyde. Lalu dia dan Wendy memulakan pencarian Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir.
Selepas Nightingale menghabiskan kisahnya, dia menunggu seketika dan apabila dia melihat Putera Roland masih tercengang, dia mengambil kesempatan untuk menghilang. Roland mengambil masa lama untuk kembali sedar. Rupanya setiap ahli sihir ada sejarah penderitaan masing-masing, jadi mereka yang selamat menjalani Hari Kematangan mereka tentu begitu kuat dan berketahanan tinggi.
Nasibnya begitu bertuah kerana dia dilahirkan semula sebagai putera raja.
Keesokan paginya, Roland melawat Wendy di dalam bilik Nightingale.
Wendy kelihatan jauh lebih segar selepas berehat sepanjang malam dan tangannya yang baru disambungkan turut kelihatan sihat. Dia bersungguh-sungguh cuba bangun untuk tunduk kepada putera itu walaupun dalam keadaan lemah.
"Beta sudah tahu tentang cerita awak. Terima kasih kerana menyelamatkan nyawa Nightingale." Roland mengeluarkan sekeping kertas kelulit dan tidak berbasa-basi lagi. "Beta pasti Cara tentu tidak akan menerima awak lagi. Beta harap awak sudi menetap di Pekan Sempadan dan berkhidmat di bawah beta. Sila tandatangani kontrak ini jika awak setuju. Upah awak sama macam Anna, satu keping emas setiap bulan."
"Tuanku…" Nightingale terkelip-kelip mata, seolah-olah mahu mengatakan sesuatu tetapi sempat menahan mulutnya.
Roland tahu apa dia mahu katakan. Dia tidak mahu Roland mendesak Wendy membuat keputusan terburu-buru kerana Wendy ialah orang yang mengubah hidupnya dan dia menyelamatkan nyawanya buat kali kedua di Banjaran Puncak Langit. Dia yakin Wendy tentu akan menyokong Roland selepas dia dibenarkan tinggal di Pekan Sempadan buat sementara waktu.
"Beta bukan berniat mahu mendesak, tetapi semakin lama kita bertangguh, bahayanya semakin besar." Kata-kata Roland terhenti seketika. Wendy tidak menjawab, sebaliknya hanya menunggu putera itu menyambung cakap. "Sebenarnya beta rasa beta tahu cara membantu ahli sihir untuk tidak mengalami kesakitan semasa Hari Kebangkitan mereka."
Riak muka mereka semua berubah serta-merta. Mereka bertanya serentak, "Bagaimana?"
"Beta bukan sekadar meneka tanpa sebarang bukti kukuh," kata Roland, tangannya bergerak mengikut nada suaranya. "Ahli sihir dalam persatuan itu mengalami Azab yang kurang menyakitkan berbanding ahli sihir yang hidup bersembunyi. Beza antara dua golongan ini adalah ahli sihir yang bersembunyi terpaksa merahsiakan identiti dan kuasa mereka kerana takut ditangkap, manakala dalam persatuan awak pula, mereka sentiasa menggunakan kuasa untuk menggerakkan persatuan itu.
Wendy mengangguk. "Betul… betul cakap Tuanku."
"Anna sudah berlatih setiap hari sejak dia tinggal dalam istana ini. Malah dia pernah menghabiskan semua kuasanya dan tidak sedarkan diri sebelum Hari Kebangkitannya. Dia mengalami Azab pertama semasa dia koma tetapi dia bangun dengan selamat.
"Jadi beta percaya inilah kunci bagi meringankan kesakitan Azab Syaitan. Kalau kita anggap tubuh ahli sihir seperti bekas yang menyimpan kuasanya, kuasa itu semakin bertambah dan apabila ia melebihi bekas yang menampungnya, ia boleh bertindak balas dan membinasakan bekas itu. Semasa Bulan Kunjungan Iblis, kuasa dalam tubuh ahli sihir sampai ke kemuncak.
"Jadi sekiranya seorang ahli sihir boleh menggunakan kuasanya secara berkadar dan memastikan ia kekal di paras selamat, kesakitan Azab itu akan berkurangan atau hilang terus semasa Hari Kebangkitan." Roland terdiam dan kemudian meneruskan bicaranya. "Sebagai pemerintah Pekan Sempadan, beta boleh tawarkan tempat untuk ahli sihir menggunakan kuasa dengan bebas tanpa ditahan, didakwa, atau dihukum mati. Jika beta tidak silap, mungkin Pekan Sempadan boleh menjadi Gunung Suci yang awak cari-cari selama ini."
Sejak mereka dilahirkan, ahli sihir telah dimomokkan dengan tuduhan kuasa mereka dianugerahkan oleh syaitan. Ahli sihir yang lebih bijak menganggap kuasa ini sebagai anjing yang boleh menggigit tuannya kembali. Ia menjadi satu kitaran yang tidak berkesudahan. Semakin kurang mereka menggunakan kuasa, semakin parah Azab yang mereka tanggung. Tetapi Roland datang dari masa hadapan jadi dia menganggap kuasa itu sebagai sebaliknya. Selepas meneliti memori Putera Roland sebenar dan mendapati dia tidak mempercayai kewujudan tuhan, dia menganggap kuasa itu sebagai tenaga yang boleh dikawal sepenuhnya oleh ahli sihir.
Wendy terdiam lama sebelum dia membuka mulut lalu bertanya, "Apa patik perlu lakukan… jika patik menandatangani kontrak ini dan berkhidmat di bawah Tuanku?"
Berkurun lamanya ahli sihir dipenjarakan dalam diam dan kesaktian mereka dipergunakan habis-habisan oleh segelintir orang gila kuasa. Walaupun ahli sihir diharamkan dan dilaknat Gereja Inggeris, ia tidak menghalang cengkaman kuku besi orang-orang jahat. Mereka memperhambakan ahli sihir tanpa secebis belas kasihan dan apabila mereka sudah tidak diperlukan lagi, nasib yang mereka terima sangat dahsyat.
Roland sedar tentang semua ini tetapi dia ada wawasan jangka masa panjang dan dia mahu lebih daripada itu. Dia mahukan sistem pembangunan mampan yang boleh menguntungkan semua pihak. Dia melontarkan senyuman lalu berkata, "Pertama sekali, awak hanya perlu melatih kebolehan awak berkali-kali sehingga awak boleh mengawal kuasa awak sepenuhnya. Seperti Anna."