Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 64 - Ingin Tahu

Chapter 64 - Ingin Tahu

Tiga hari kemudian, di taman istana.

"Anna…" Nana menarik lengan baju Anna.

"Ya?" jawab Anna sambil memusingkan kepalanya.

"Awak sedar tak, Nightingale… berperangai aneh sejak akhir-akhir ini?"

"Aneh?" Anna berfikir seketika. "Maksud awak, baju dia?"

Nightingale sedang berdiri di sebelah Roland. Dia tidak memakai jubah bercorak pelik yang selalu dipakainya tanpa dibasuh atau ditukar. Tetapi dia memakai pakaian sama dengan Anna, baju yang direka oleh Putera Roland. Walaupun Anna tidak mahu mengakuinya, tubuh Nightingale yang tinggi dan langsing menyerlahkan rekaan baju itu. Dengan kaki panjang, pinggang ramping, dan rambut tebal ikal mayangnya, dia kelihatan cantik. Digandingkan pula dengan mantel dan topi tirus, dia mencuri perhatian setiap orang.

"Bukan, bukan baju dia," Nana berkata perlahan. "Awak tak rasa cara dia melihat dan bercakap dengan Putera Roland sudah sangat berbeza sekarang?"

"Yakah?"

"…" Nana memberi senyuman nakal. "Ok, Anna. Jangan kata saya tak beri amaran awal-awal."

'Amaran apa pula ini?' Anna menggelengkan kepalanya dan mengalihkan tumpuan daripada Nana. Dia menoleh ke arah dua ahli sihir yang baru tiba itu.

Ahli sihir yang bernama Lightning kelihatan sebaya dengan Nana, tetapi gaya pemakaiannya sangat berbeza. Anna membuat kiraan kasar dan dia rasa ada sekurang-kurangnya 12 poket dijahit di atas kot Lightning.

Sementara seorang lagi pula yang bernama Wendy memakai baju biasa dan bukan jubah yang dia pakai semasa ketibaannya tempoh hari, iaitu jubah bercorak aneh seperti jubah Nightingale. Cuma ada satu ciri Wendy yang menarik perhatian Anna. Buah dadanya agak… besar.

"Jadi disebabkan awak semua sudah menandatangani kontrak ini, ayuh kita mulakan latihan pertama kita." Kini Roland sudah semakin mudah menjalankan tugas sebagai pelatih kerana dia sudah berpengalaman melatih dua ahli sihir sebelum ini. "Lightning, giliran awak dahulu."

"Baik!" Lightning mengangkat tangannya dan berjalan keluar dari bangsal.

Di luar hanya ada salji yang turun tanpa tiupan angin. Anak gadis itu terapung ke udara dengan mudah dan terawang-awang sambil menanti arahan Roland seterusnya.

"Cuba terbang sepantas boleh!" Roland terpaksa mendongak ke langit dan melaungkan arahannya dengan kuat.

"Baik!" Dia menunjukkan isyarat ibu jari tanda bagus, membuat gerakan seolah-olah pelari mahu berlumba, dan kemudian memecut keliling istana dengan pantas.

Roland menganggarkan kelajuannya adalah kira-kira 60 ke 80 kilometer sejam, berdasarkan pengalamannya memandu di lebuh raya setiap tahun apabila dia mahu balik kampung. Kelajuan ini tidak begitu pantas, hanya sepantas burung terbang sahaja. Namun yang mengagumkan, dia mampu mengangkat Nightingale dan Wendy sekali semasa mereka mahu lari ke Pekan Sempadan tempoh hari.

Apa yang boleh dilakukan oleh seorang penerbang yang boleh mengangkut beban seberat 100 kilogram? Roland membayangkan sebuah enjin omboh yang membawa bom udara seberat 100 kilogram.

Namun uji kaji berikutnya mematahkan harapan itu.

Apabila berat beban melebihi 50 kilogram (kira-kira 110 paun), ketinggian terbang Lightning akan berkurangan dengan pantas, iaitu daripada setinggi 100 meter hingga ke kira-kira 10 meter sahaja. Apabila bebannya ditambah sehingga kira-kira 100 kilogram, Lightning tidak boleh mengangkat tubuhnya lebih daripada 2 meter dari tanah.

Ini bermakna jika Roland mahu mempergunakan Lightning sebagai "pesawat pengebom", walaupun dia hanya perlu membawa kampit peletup seberat beberapa kilogram sahaja, dia tidak dapat terbang tinggi dan akan terdedah kepada serangan busur silang musuh.

Namun tidak lama kemudian Roland dapat mengenal pasti satu lagi kebolehan anak gadis itu – dia boleh diberikan tugas merisik atau menentukan sasaran. Rancangan untuk peperangan yang sudah lama difikirkan Roland kini semakin hampir untuk tercapai.

Sementara Roland menguji kebolehan Lightning, dalam diam Wendy pula memerhatikan Roland dari tepi.

Selepas Wendy keluar dari biara, dia sudah bertemu pelbagai jenis orang sepanjang 15 tahun dia merayau-rayau di jalanan; rakyat jelata, petani, tukang, askar, dan golongan bangsawan. Perangai mereka semua sama sahaja. Mereka memikat dia dengan kata-kata indah dan janji manis sebelum mereka tahu dia seorang ahli sihir. Apabila mereka mendapat tahu siapa dia sebenarnya, semua pujaan mereka bertukar menjadi kebencian dan ketakutan, tetapi pada masa sama masih dicemari nafsu rakus yang membuat Wendy merasa jijik.

Wendy memutuskan dia hanya akan bergaul dengan ahli sihir seumur hidupnya dan tidak akan mendekati mana-mana lelaki lagi. Sebab itulah dia tidak mempercayai Nightingale pada mulanya… bukan kerana dia tidak mempercayai Nightingale tetapi kerana dia sudah serik dengan lelaki.

Namun begitu Roland Wimbledon sudah mengubah tanggapannya.

Dia melihat Wendy dengan santai, terlalu santai – seolah-olah dia sudah biasa melihat ahli sihir. Semasa kali pertama Wendy melihat Putera Roland di dalam bilik Nightingale, dia menyangka Baginda hanya pandai menyembunyikan perasaan. Lagipun Nightingale juga ada pada masa itu. Namun begitu setelah beberapa hari, cara lelaki itu memandangnya masih tidak berubah.

Mungkinkah Putera Roland tidak sehina golongan bangsawan lain?

Tentang kontrak itu pula, Wendy menyangka itu hanya penipuan. Namun setelah dia membacanya, dia mendapati ada banyak peruntukan yang bukan sahaja mengawal selia kerjanya tetapi juga memberi hak asasi kepada Wendy.

Bagusnya! Putera Roland benar-benar sudi menjaga ahli sihir. Baginda sudah dikira cukup berhati mulia kerana tidak mengurung mereka, tetapi selain daripada itu, Baginda turut memberikan mereka hak asasi?

Contohnya, Perkara 2.1 (Ini kali pertama Wendy membaca istilah perundangan Perkara) menyatakan dia diberikan cuti berbayar. Menurut takrifnya, ia bermaksud dia masih mendapat upah walaupun pada hari dia tidak bekerja. Perkara seterusnya menyatakan seorang ahli sihir mesti menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh majikan, tetapi jika ahli sihir tersebut mengalami kesukaran menyelesaikan tugasan, dia boleh memberi usul untuk menukar atau menolak tugasan. Perkara seterusnya pula menyatakan majikan mesti menjamin keselamatan, menyediakan tempat kediaman, makanan, serta upah bagi ahli sihir tersebut. Jika perkara ini diingkari majikan, ahli sihir mempunyai kuasa untuk membatalkan kontrak ini sendiri.

Perkara-perkara itu agak sukar untuk dibaca dan difahami tetapi maksudnya memang jelas. Wendy diberi tanggungjawab selaras dengan hak yang dia terima. Daripada kontrak ini, Wendy dapat merasakan keikhlasan Putera Roland. Jika ini sekadar penipuan, Baginda tidak perlu merangka kontrak undang-undang dengan sebegitu terperinci.

Sesudah Wendy membuat kesimpulan ini, dia menoleh ke arah Nightingale. Wendy tahu segalanya tentang sejarah silam Nightingale dan tahu akan kebenciannya terhadap golongan bangsawan. Namun begitu, pada saat ini, ketika dia sedang bercakap kepada Roland, nada suara dan riak wajahnya menunjukkan sesuatu yang berlainan – perbezaan yang mungkin Nightingale sendiri tidak sedari.

Nightingale meninggalkan tapak perkhemahan persatuan dan tinggal di Pekan Sempadan selama dua bulan sahaja. Namun dalam masa dua bulan itu, Nightingale sudah menyemai kepercayaan penuh terhadap putera muda itu.

Dia lebih rela memutuskan ikatan dengan Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir dan kembali ke Pekan Sempadan. Jauh dalam hatinya, dia terpaksa mengakui Putera Roland lebih berpotensi membawa ahli sihir ke tempat perlindungan impian mereka berbanding Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir. Tindakan pembimbingnya yang dihormati juga membuat hati Wendy hancur. Pengasas persatuan ahli sihir itu seakan-akan sudah lupa betapa pahitnya penderitaan setiap ahli sihir untuk sampai ke tahap itu.

Wendy sudah akur, dia tidak akan boleh kembali ke sana lagi. Jika takdir sudah membawa dia ke tempat ini, apa lagi alasan dia untuk tidak mempercayai keputusan Nightingale? Sepertimana dia sudah mempercayai Nightingale berkali-kali sebelum ini…

"Wendy?"

"Ahh…" Wendy tersedar daripada lamunannya. Rupanya Lightning sudah selesai menjalankan ujian kebolehannya dan sekarang mata semua orang terpaku kepada Wendy.

Dia memberi senyuman malu tanda maaf dan keluar dari bangsal itu.

Kalau dia sudah membuat keputusan ini, dia tidak boleh kalah dengan orang muda, bukan?

Pada saat itu juga, bunyi semboyan berkumandang dari arah selatan. Bunyi itu bergema di antara gunung-ganang dan memecah kesunyian di pekan itu.