Nightingale tidak tahu sudah berapa lama dia tidak sedarkan diri tetapi apabila dia membuka mata, dia mendapati tangannya terkunci di belakang dan tubuhnya diikat pada sebuah kayu pancang yang besar. Dia cuba bergerak tetapi ikatannya begitu kuat sehingga badannya melekap pada kayu pancang itu.
Apabila dia cuba menggunakan kuasanya, perasaan yang dia sering alami setiap kali dia menyeru kuasanya tidak muncul – seolah-olah sumber kuasanya telah diputuskan. Nightingale melihat ke bawah dan menyedari sebutir batu prisma hablur tergantung pada lehernya.
"Awak sudah sedar," kata Cara sambil mendekati Nightingale. "Jadi apa pendapat awak tentang Bisa Pelumpuh saya? Nightingale, sebenarnya saya menyimpan harapan tinggi kepada awak, sungguh. Namun awak mengecewakan saya."
"…" Nightingale mengambil nafas dalam dan bersuara, "Jadi awak sendiri ada menyimpan Kalung Keramat Tuhan, ya? Cara, awak tahukah apa yang awak buat sekarang?" Pembimbing yang dia begitu hormati sedang merantainya dengan kalung pengunci yang digunakan oleh gereja untuk memburu ahli sihir. Apa yang membuatkan Nightingale bertambah berang, ahli-ahli sihir lain hanya memerhati tanpa perasaan dan langsung tidak cuba membantah. 'Tak guna!', jerit Nightingale dalam hati. 'Awak tak sedar lagi? Awak sudah tidak ubah seperti mereka yang awak benci!'
"Saya hanya gunakan benda ini untuk menghukum budak-budak hingusan yang keras kepala," jawab Cara dengan sambil lewa. "Lagipun Nightingale, awak memang perlu dihukum sekarang. Atau… saya patut panggil awak Veronica? Seorang gadis yang dipinggirkan daripada keluarga bangsawan dan menjadi ahli sihir, tetapi masih menyimpan impian untuk menuntut kembali nama bangsawannya itu?"
"Saya tak faham apa yang awak maksudkan."
"Awak sudah kecewakan saya. Saya ingatkan awak akan berpihak kepada kami selepas Wendy menyelamatkan awak daripada cengkaman seksaan golongan bangsawan. Tetapi apa balasan awak? Awak mahu memecah-belahkan kami sedangkan kami sudah begitu hampir mahu menemui Gunung Suci." Cara menggeleng kepala dan menyeringai ke arah Nightingale. "Awak mahu bawa saudara-saudara kita kepada putera itu? Sama ada awak sudah terbiasa hidup sebagai haiwan kurungan sehingga awak tidak boleh hidup tanpa tuan atau… Atau awak bercadang mahu menyerahkan mereka sebagai pertukaran untuk pangkat bangsawan awak."
"Semua yang saya lakukan selama ini demi saudara kita." Nightingale cuba menahan amarahnya kerana dia tahu pekikan atau amukan tidak berguna di sini. "Saya hanya tidak mahu mereka menderita kesakitan lagi akibat Azab Syaitan dan saya mahu mereka hidup dengan lebih baik, dengan tempat berteduh yang selesa dan makanan mencukupi. Saya tidak mahu mengganggu rancangan awak tetapi mereka berhak memilih hidup mereka sendiri. Sudah ada banyak perkara berubah di Pekan Sempadan sekarang, antaranya enjin wap yang saya tunjukkan pada kertas kekulit itu. Enjin itu boleh hidup sendiri dan boleh menjana begitu banyak kuasa, jadi kita tidak perlu bersusah-payah lagi mengangkut air dari anak sungai di gunung."
Cara mencemuh dan berkata, "Maksud awak, lukisan ini?" Dia berpusing dan mengangkat segulung kertas kekulit yang dirampas daripada ahli sihir di belakangnya lalu mengibas-ngibasnya di hadapan Nightingale. "Ya, memang lukisan ini terlalu rumit untuk saya fahami. Tetapi awak kata timbunan besi buruk ini boleh bergerak sendiri? Awak ingat kami bodoh?"
Dia mendekati periuk yang sedang menggelegak di atas unggun api dan mencampakkan kertas kekulit itu ke dalam api di bawahnya.
"Jangan!" Nightingale menjerit tetapi sia-sia sahaja, lukisan itu perlahan-lahan bergulung dan hangus menjadi abu.
"Awak sudah buat saya semakin hilang sabar, tetapi saya akan beri awak satu peluang terakhir," kata Cara sambil mengeluarkan sebatang batang besi tusuk dengan hujung merah menyala. "Kalau awak mengaku di hadapan semua ahli Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir yang awak sudah diperdayakan putera itu, saya tidak akan bunuh awak dan cuma akan menghukum kebodohan awak dengan cemeti. Kalau tidak, saya akan tusuk batang besi ini ke dalam jantung awak dan pakukan mayat awak ke kayu pancang sebagai amaran kepada ahli sihir lain," kata Cara perlahan tetapi cukup jelas. "Jangan berani bazirkan masa saya dengan meminta belas kasihan. Beritahu sahaja apa jawapan awak."
Nightingale melihat batang besi itu semakin mendekatinya dan dapat merasakan bahang daripada hujungnya yang panas membara itu. Dia tahu dia bukan anak gadis naif seperti dahulu. Dia bukan lagi anak gadis yang terlalu lemah dan pengecut untuk mempertahankan dirinya sendiri. Sekarang dia adalah Nightingale, ahli sihir yang begitu berkuasa sehingga maut pun tidak boleh meniup ketakutan ke dalam dirinya.
Dia memejamkan matanya dan hanya menunggu ajal menjemput dia. Entah kenapa wajah Roland muncul di fikirannya.
"Hentikan!" Teriakan itu mengejutkan Nightingale dan matanya terbuka sepantas kilat. Dia melihat Wendy keluar dari kerumunan ahli sihir dan berkata kepada Cara, "Pembimbingku, lihatlah kain pembalut di keliling lengan awak itu. Kita sudah terlalu banyak menyaksikan kematian selama ini, tolong jangan tambahkan kedukaan kita dengan mencabut nyawa saudara kita sendiri."
"Apa? Dia sudah memperdayakan awak juga? Sedarlah sikit, Wendy! Semua itu hanya penipuan dia!"
"Entahlah". Wendy menggeleng-geleng kepalanya. "Saya memang tidak mahu ikut dia ke Pekan Sempadan, tapi saya rasa kata-kata Nightingale ada betulnya. Kita semua berhak memilih jalan hidup kita sendiri."
Wendy berpaling menghadap kerumunan ahli sihir itu dan melaung, "Ada sesiapa mahu ikut Nightingale?"
Tiada siapa menjawab dan mereka semua membisu seribu bahasa.
"Kalau begitu, biarlah Nightingale pergi seorang diri," kata Wendy kepada Cara. "Dia bukannya menghina persatuan kita, dan saya tidak akan berdiam diri jika awak mahu membunuh dia."
Sekarang Nightingale mula faham maksud sebenar Wendy. Rupanya Wendy juga tidak mempercayainya. Disebabkan itulah dia tidak bersuara ketika Nightingale meminta tolong dia menyokong kata-katanya. Walaupun Wendy tidak bersetuju dengan idea Nightingale, dia seorang yang baik dan berhati mulia, dan tidak akan membiarkan kawannya mati dengan sia-sia seperti ini.
Ahli-ahli sihir itu mula berbisik-bisik setelah mendengar kata-kata Wendy. Selepas itu beberapa orang ahli sihir mula tampil ke hadapan.
"Ya, betul. Kalau dia mahu pergi ke dunia luar, biarkan dia."
"Sudah terlalu banyak nyawa ahli sihir diragut oleh gereja dan Azab Syaitan. Pembimbing yang dihormati, sila tunjukkan belas kasihan."
"Awak semua diam!" Kemarahan Cara sudah tidak terbendung lagi. "Bagaimana jika ada lebih ramai ahli sihir mengikut dia jika kita lepaskan dia semudah itu? Bagaimana jika dia mengkhianati kita dan mendedahkan lokasi kem kita kepada gereja? Kita tidak akan dapat lari ke mana-mana lagi!" Belum sempat Cara habis bercakap, dia mula menghunus batang besi itu ke arah Nightingale. Tetapi Wendy bertindak lebih pantas dan menghantar deruan angin kencang yang membuat Cara hilang keseimbangan.
Kemudian dia membaling sekeping syiling dan dengan sekali kibasan tangan, dia mengeluarkan deruan angin menyelubungi syiling itu dan menghantarkannya terus ke arah Nightingale. Deruan angin itu hilang apabila semakin mendekati Nightingale dan menyebabkan syiling yang meluncur laju itu menghentam Batu Pembalasan Tuhan yang tergantung dari lehernya.
Hentaman itu membuat batu hablur prisma itu pecah berkecai.
"Pengkhianat!" Cara bingkas bangun dan menjerit nyaring. Dia melunjurkan kedua-dua tangannya ke arah Wendy dan Nightingale dan tiba-tiba dua ekor bayangan ular muncul entah dari mana, salah seekornya membuka mulut dan mematuk tangan Wendy sementara seekor lagi cuba menerkam Nightingale tetapi tersasar.
Tali yang mengikat Nightingale tadi jatuh ke tanah. Gadis itu telah ghaib.
Cara mula berasa takut apabila teringat kemahiran lawannya itu dan dengan serta-merta dia mengumpulkan semua tenaganya untuk menyeru ular iblis. Beberapa ekor ular berwarna-warni dan berkilauan berhamburan keluar dari dadanya sehingga Cara berundur ke belakang untuk menjauhkan dirinya daripada gerombolan ular sakti itu.
Tetapi Nightingale jauh lebih pantas.
Dia hanya perlu membuat satu langkah ke hadapan dan dia sudah muncul di belakang Cara. Nightingale menghunus batang besi yang sebentar tadi berada dalam tangan Cara untuk membunuhnya dan menikam Cara sehingga ia tembus ke dada ahli sihir itu.