Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 59 - Seorang Penjelajah

Chapter 59 - Seorang Penjelajah

Apabila melihat Cara tersungkur, semua ahli sihir mengerumuninya dengan cemas. "Pembimbing dihormati!"

"Bodoh!" Cara terbatuk kesakitan, tangannya menekap luka di tubuhnya. Kakinya terasa kebas. "Cepat bunuh pengkhianat itu!"

Namun begitu Nightingale sudah menghilang ke dalam Kabus bersama Wendy.

Nightingale kembali ke jalan bercabang dua yang dilaluinya tadi dan mendapati Wendy tidak sedarkan diri. Lengan wanita itu bertukar hitam dan bisa ular Cara semakin pantas merebak dalam tubuhnya. Nightingale tidak boleh bertangguh lagi. Dia menghela nafas dalam, menyinsing lengan baju pada lengan Wendy yang tercedera dan mengikat sehelai kain di bahu wanita itu seketat mungkin. Kemudian dia mengeluarkan sebilah pisau belati dari tapak kasut butnya dan mula membelah lengan Wendy.

Dia mengambil masa suku jam untuk memotong lengan Wendy sepenuhnya. Kemudian dia membalut lengan yang telah dipotong itu dengan berhati-hati ke dalam kain mantelnya dan mengikatnya ke belakang dengan dua tali pengikat. Jika dia boleh membawa Wendy ke Pekan Sempadan dengan selamat, Nana pasti boleh memulihkannya dan menyambungkan semula lengan itu.

Tetapi… mampukah Wendy bertahan sehingga mereka tiba di sana?

Dia mengambil masa tiga hari untuk datang ke sini sendirian. Sekarang dia perlu membawa Wendy di belakangnya, jadi sudah tentu dia akan mengambil masa lebih lama. Jika dia berjalan terlalu pantas dan tergelincir dari cenuram, dia tidak pasti jika dia boleh mendaki kembali gunung itu atau akan terus jatuh ke dalam gaung.

Lengan Wendy masih berdarah dan dia mungkin akan mati dalam tiga atau empat hari. Tetapi Nightingale tiada pilihan lain. Dia tidak sanggup meninggalkan Wendy. Lagipun Wendy tercedera disebabkan olehnya.

"Awak perlu bantuan?"

Nightingale tersentak dengan suara yang tiba-tiba muncul itu. Dia terus keluar dari Kabus dan menoleh ke kiri dan kanan sambil bersedia untuk menyerang.

Tetapi tidak ada sesiapa di situ.

"Jangan takut, saya tidak akan apa-apakan awak."

Nightingale mendongak dan melihat seorang gadis sedang terapung. "Siapa awak?"

"Saya Lightning. Saya baru masuk Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir. Saya biasanya merayau-rayau, jadi pasti awak tak kenal saya." Dia memberi senyuman untuk meyakinkan Nightingale. "Tetapi saya kenal awak. Nightingale yang terkenal, pembunuh dalam bayang."

"Cara hantar awak ke sini?"

"Bukan, bukan. Awak dah salah faham." Perlahan-lahan Lightning turun ke tanah. "Saya mahu ikut awak."

Nightingale seakan-akan tidak percaya apa yang didengarinya. "Apa awak cakap?"

"Awak kata kita berhak memilih jalan hidup kita sendiri. Jadi saya pilih untuk ikut awak. Semudah itu saja."

"Tapi… kenapa?" Nightingale terkejut. Dia sangat kecewa dengan Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir. Saudara-saudaranya enggan mengikut dia, malah Wendy sendiri tidak mempercayai dia sepenuhnya. Tetapi gadis di hadapannya ini, kelihatan masih remaja lagi, mungkin 14 atau 15 tahun, sebaya Nana – hanya dia seorang yang mempercayai Nightingale. Rambutnya pendek dan berwarna kuning cerah. Mukanya ceria dan penuh semangat. Gaya percakapan dan tingkah lakunya penuh kematangan, tidak sepadan dengan usianya yang muda. Dia tidak memakai jubah seperti ahli sihir lain dalam Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir, tetapi sebaliknya memakai baju panjang dan seluar, dan dipadankan dengan jaket kulit lusuh dan singkat dengan banyak poket dan tampalan. Seluarnya diikat dengan tali pinggang yang kelihatan seperti dikutip entah dari mana. Sekali imbas, dia berpakaian seperti seorang pemuda.

"Sebab saya tertarik dengan cerita awak. Mesin hitam yang mengeluarkan asap putih, serbuk kelabu yang menjadi keras apabila dicampur dengan air, serbuk yang meletup macam guruh. Saya mahu tengok semuanya." Dagunya diangkat sedikit dan dia menyambung, "Saya mahu jadi seorang penjelajah, jadi saya mesti pergi ke semua tempat menarik."

'Apa jenis alasan itu…' Nightingale terkedu. Namun dia dapat merasakan gadis itu tidak menipu.

"Saya tak faham… kenapa awak masuk Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir kalau awak mahu jadi pengembara?"

"Bukan pengembara, penjelajah!" Lightning menekankan kata-katanya. "Saya berbeza daripada orang-orang yang hanya sibuk membuat duit dan mengaku diri sendiri sebagai pengembara. Mereka hanya serigala lapar yang sentiasa mencari peluang mendapat duit. Penjelajah pula menjelajah kerana minat! Tetapi sebab saya menyertai persatuan ini…" Dia terhenti sebelum menyambung dengan suara tegas. "Bukankah pencarian Gunung Suci itu satu penjelajahan hebat? Tetapi Cara tidak berminat langsung dengan itu. Dia hanya taksub dengan kitab purba itu dan cuba mengaitkan semua yang kami lihat dengan catatan di dalamnya. Dia kata dia jumpa Gerbang Batu yang muncul dari tanah, tetapi kami tengok ia hanya dua tiang batu lama. Kalau dia teruskan perangai begini, dia tidak akan dapat jumpa Gunung Suci sebenar. Seorang penjelajah mesti mencatatkan pemerhatian dengan jujur. Kita tidak boleh menemui seekor kuda berdasarkan gambarannya sahaja. Ayah saya sudah berkali-kali menekankan perkara itu."

Ada banyak soalan yang mahu ditanyakan Nightingale. Antaranya, bapa jenis apa yang membiarkan anaknya berfikir sepelik itu? Tetapi ini bukan masa sesuai untuk berbual. Wendy boleh mati bila-bila masa sahaja. Dia cukup bersyukur Lightning mahu membantunya dan bukan musuh.

"Jadi kebolehan awak ialah terbang?"

"Betul." Lightning mengangguk. "Kalau saya bawa awak berdua pun, saya masih boleh terbang sepantas angin."

"Baiklah, kalau awak tak kisah." Nightingale cepat-cepat mengikat Wendy ke belakangnya dan selepas itu naik ke belakang Lightning dan memeluk gadis itu dengan erat.

"Aduh… beratnya awak." Lightning mengetap gigi dan mula terapung dengan perlahan. "Mungkin saya tidak mampu sepantas angin."

...

Mereka berkejar menuju ke Pekan Sempadan. Apabila Lightning penat, Nightingale akan menyandarkan lengan gadis itu pada bahunya dan membawanya berjalan di dalam Kabus. Apabila Lightning sudah kembali bertenaga, dia akan kembali membawa Nightingale dan Wendy terbang.

Hanya apabila kedua-dua mereka kepenatan, barulah mereka akan berhenti rehat buat seketika. Pada masa itu, Nightingale akan bertanya soalan-soalan ringkas tentang bapa serta keluarga Lightning.

Kata Lightning, bapanya penjelajah paling hebat di dunia dan telah meninggalkan jejaknya di merata tempat. Dia memiliki satu armada lautan dan diberi gelaran "Thunder" oleh anak kapalnya. Ibu Lightning telah meninggal dunia sewaktu dia kecil, jadi dia tidak begitu ingat tentang ibunya. Pada suatu hari, kapal ayahnya terlanggar terumbu dalam sebuah ribut kencang lalu tenggelam dan Lightning pula dihanyutkan arus laut ke sebuah pulau kecil. Sejak hari itu dia tidak tahu apa yang terjadi kepada ayahnya. Dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diajar oleh ayahnya, dia berjaya hidup sendirian di pulau itu selama hampir dua bulan. Menjelang musim sejuk, dia dibangkitkan sebagai ahli sihir.

Selepas itu, dia terbang ke bahagian barat dan tiba di Kerajaan Graycastle yang terletak di Wilayah Selatan setelah menyeberangi selat. Setelah merayau tanpa arah tujuan, akhirnya dia menjumpai Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir dan menyertai mereka. Dia percaya jika dia terus meneroka semua tempat, satu hari nanti dia akan bertemu ayahnya di sebuah negara asing yang indah… itupun jika dia masih hidup lagi.

Nightingale tidak dapat mengumpul begitu banyak maklumat berguna daripada cerita Lightning. Dengan kebolehannya, dia hanya boleh tahu jika seseorang menipu atau tidak, tetapi dia tidak boleh mengetahui sejauh mana kebenaran kata-kata orang itu. Dalam erti kata lain, jika seseorang berkata matahari berbentuk empat segi dan orang itu sememangnya yakin dengan kata-katanya, kebolehan Nightingale akan mengatakan orang itu bercakap benar.

Walau bagaimanapun, dia boleh meneka Lightning telah dilahirkan dalam keluarga yang kaya. Orang miskin tidak akan ada masa untuk meneroka. Tambahan lagi, ayahnya memiliki satu armada laut. Jadi Thunder mungkin seorang pedagang laut yang kaya-raya. Lagipun rambut Lightning yang berwarna kuning cerah menunjukkan dia datang dari tanah utara yang terletak jauh di seberang laut, dan bukan dari negara lain yang ada di benua itu.

Wendy terbangun beberapa kali, menghirup sedikit air yang disuap Nightingale, dan kemudian kembali tidak sedarkan diri. Nightingale semakin bimbang. Dia dapat merasakan badan Wendy telah menjadi semakin sejuk.

Nightingale dan Lightning sentiasa bergilir-gilir bagi mempercepatkan perjalanan, dan akhirnya mereka mengambil masa satu setengah hari sahaja untuk sampai di Pekan Sempadan. Sebaik sahaja mereka tiba di pintu gerbang pekan, Nightingale dapat melihat kuda yang diberikan Roland kepadanya masih terikat pada kayu yang dipacakkan ke tanah dan timbunan jerami di hadapan kuda itu baru separuh dimakan.

Tanpa membuang masa, Nightingale terus menunggang kuda itu bersama Wendy di belakangnya dan memecut ke arah Pekan Sempadan. Lighting terbang pantas menyusul mereka.