Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 62 - Sumpah Ikrar

Chapter 62 - Sumpah Ikrar

Selepas kekecohan hari ini, Roland sudah tidak ada mood untuk memasang mesin pengorek berkuasa wap itu. Sebaliknya dia mengarahkan tukang masak menyediakan makan malam lazat dan memanggang daging stik lada hitam serta telur goreng. Anna dan Lightning membaham semuanya. Malah Nana, yang cuba sedaya-upaya untuk makan seperti gadis ayu, akhirnya bermuka comot dengan minyak daging setelah makan malam mereka selesai. Roland juga meminta orang suruhan menyediakan stu daging kisar dan bubur gandum dalam mangkuk tembikar tahan suhu dan dihantar ke bilik Nightingale untuk memastikan dia dapat makan makanan panas apabila dia dan Wendy bangun nanti.

Selepas makan malam, mereka menanti bilik untuk bermalam. Mujurlah tuan rumah sebelum ini sangat berlebih-lebihan dan menuntut agar istananya dibina seperti istana untuk memerintah sebuah bandar raya walaupun Pekan Sempadan hanya mirip sebuah kampung sahaja. Roland menggambarkannya sebagai sebuah vila tiga tingkat dengan bilik eksekutif dan dilengkapi menara di keempat-empat sudut. Apabila digabungkan dengan beranda di hadapan dan laman di belakang, jumlah luas keseluruhan istana itu sebanyak 900 meter persegi.

Roland menyediakan bilik untuk Lightning bertentangan dengan bilik Anna. Bilik di sebelahnya dikhaskan untuk Wendy setelah dia sembuh kelak. Apabila dia melihat Nana melekat kepada Anna seperti belangkas sambil mereka memasuki bilik Anna, Roland tergelak kecil dan menggeleng kepalanya.

Setelah Roland kembali ke bilik bacaan, Roland menuang secangkir ale. Perubahan dalam rancangan dia lebih pantas daripada apa yang dibayangkan. Dia menjangkakan Nightingale akan membawa lebih ramai ahli sihir yang akan membantunya memperkukuhkan semua cabang teknologi seperti kimia, pertanian, dan biologi. Tetapi dia tidak menyangka kebencian yang dipendam ketua Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir terhadap golongan bangsawan begitu membara. Ahli sihir neutral seperti Nightingale dan Lightning sukar ditemui. Wendy pula, kalau menurut Nightingale, tidak berniat langsung mahu keluar daripada Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir. Tetapi selepas Wendy diserang Ahli Sihir Ular Cara semasa mahu cuba menyelamatkan Nightingale, dia terpaksa lari.

'Dapat dua orang ahli sihir pun jadilah,' fikir Roland sambil menghabiskan ale itu. 'Lebih baik daripada tiada langsung.'

Semasa makan malam tadi, Roland bertanyakan kebolehan Lightning dan Wendy. Kebolehan Wendy adalah terbang seperti burung sementara Wendy pula memiliki kuasa mengawal angin. Roland merasakan kebolehan ini tidak ada banyak gunanya dalam pemajuan teknologi. Namun begitu, ia boleh dijadikan senjata hebat jika digunakan secara bijak dalam peperangan kelak.

Tambahan lagi dia mendapat tahu kebolehan ahli sihir lain dalam persatuan itu ada bermacam-macam jenis dan rawak. Ada yang dia boleh jelaskan dengan pengetahuan saintifik tetapi ada juga yang seakan-akan mustahil boleh wujud.

Contohnya ketua Persekutuan Ahli Sihir, Ahli Sihir Ular Cara. Dia boleh menumpukan kuasa saktinya dan membentuknya menjadi ular. Ular-ular itu bukan sahaja boleh dipegang, tetapi bertindak ganas juga. Ular berbeza mempunyai bisa berbeza. Setahu Lightning, bisa itu boleh digunakan untuk melumpuhkan atau membunuh.

Namun baik Anna atau Cara, kuasa sakti mereka hanya berkesan dalam pertempuran jarak dekat. Api hijau Anna boleh mencapai sejauh lima meter sahaja sementara ular Cara akan ghaib jika menyusur terlalu jauh dari tuan mereka. Kuasa Nightingale dan Lightning pula lebih terhad – ia hanya berkesan dengan sentuhan fizikal.

Jadi apabila berhadapan dengan Perajurit Agama yang bersenjatakan busur silang serta Batu Pembalasan Tuhan, mereka hanya mampu melarikan diri sahaja.

Roland menghabiskan masa hampir sepanjang malam di bilik bacaan, sehingga api di pendiangan beransur-ansur malap apabila mencecah tengah malam. Roland terbersin dan dia mula mengemas sebelum masuk tidur.

Apabila dia membuka pintu kamarnya, dia melihat sesuatu yang luar biasa – seorang gadis duduk di tepi katilnya seperti dia pernah alami dahulu. Separuh tubuhnya diselubungi kegelapan dan bayang-bayangnya menari-nari di dinding kamar. Tetapi kali ini agak berbeza. Dia tidak memakai jubah seperti selalunya tetapi pakaian biasa. Dan tidak seperti kali pertama Roland bertemu dia, kini dia sudah tahu siapa gerangan yang sedang menunggu itu.

Nightingale.

Roland mula gugup. Mungkinkah tuahnya sudah tiba?

Apabila menyedari kedatangan putera itu, Nightingale bangun dan berjalan mendekati Roland. Dia sudah kelihatan jauh lebih sihat walaupun dia baru berehat sekejap. Pipinya tidak pucat lagi, tetapi sebaliknya merah dan segar-bugar. Rambutnya juga sudah kembali berkilat. Roland mengakui, jangka masa pemulihan ahli sihir memang sangat menakjubkan.

"Sudah macam-macam awak hadapi." Roland memecahkan kesunyian. "Apa kata awak sambung berehat? Beta sudah dengar segalanya daripada Lightning."

Nightingale menggeleng kepala.

Roland seperti dapat merasa sesuatu yang berlainan. Wajah Nightingale nampak serius dan matanya bersinar dengan keazaman. Tekad yang tergambar di wajahnya jarang didapati di wajah lelaki sekalipun jadi itu membuat Roland tersedar mungkin Nightingale sudah membuat keputusan yang sangat penting. Dia cuba menyembunyikan perasaannya yang lain dan menunggu Nightingale membuka mulut.

Namun Nightingale masih membisu. Akhirnya dia menarik nafas dalam dan berlutut. Dia menadah tangan yang mengandungi sebilah pisau belati miliknya dan menaikkan kedua-dua tangannya melepasi kepala. Kelakuan ini seperti seorang kesateria atau golongan bangsawan yang mahu membuat sumpah ikrar kesetiaan kepada pemerintah mereka.

"Putera Roland Wimbledon, patik bersumpah atas nama Nightingale dan Veronica," Nightingale memulakan bicara dengan telus, "asalkan Tuanku melayan golongan ahli sihir dengan baik, patik bersumpah untuk berkhidmat kepada Tuanku, sama ada sebagai perisai untuk menentang iblis ataupun sebagai pisau yang membelah kegelapan. Patik bersumpah patik akan taat setia kepada Tuanku mulai hari ini sehingga ke hujung hayat patik, tanpa ketakutan dan tanpa kekesalan."

'Begitu rupanya', fikir Roland dalam hati. 'Selepas dia dikecewakan Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir, dia berharap saya akan mengetuai kumpulan ahli sihir sekarang.' Tetapi Roland datang dari masa hadapan, dia sepatutnya menolak tanggungjawab ini. Dia lebih suka hubungan sebagai majikan atau rakan kongsi, atau lebih baik lagi, sebagai rakan seperjuangan dengan impian dan cita-cita yang dikongsi bersama.

Namun dia sedar tiada gunanya dia bersyarah tentang kesamarataan hak serta kebebasan. Tanpa tanah yang cukup subur untuk bercucuk-tanam, tiada gunanya dia menyemai biji benih. Sebagai putera, dia tidak boleh melepaskan pangkat dirajanya sebelum dia berjaya menyatukan seluruh kerajaan.

Selepas terdiam sebentar, Roland mencapai pisau belati itu dan mengetuknya perlahan tiga kali atas bahu Nightingale. "Beta terima taat setia awak."

Bahu Nightingale menggigil sedikit, seolah-olah baru melepaskan beban berat.

Roland menghulurkan tangan kanannya kepada dia.

Nightingale mencapai tangan Roland dan mengucupnya lembut. Berakhirnya sudah upacara sumpah ikrar kecil-kecilan itu.

Memang pelik apabila seorang ahli sihir tahu cara melakukan sumpah ikrar taat setia, jadi ini menunjukkan Nightingale bukan datang daripada keluarga kebanyakan. Malah dia menyebut nama Veronica tadi…"Adakah itu nama sebenar awak? Tiada nama keluarga?" Roland bertanya sambil membantu dia bangun.

"Ya, Tuanku. Patik tidak berniat mahu merahsiakannya daripada Tuanku. Patik sudah meninggalkan keluarga Gilen lima tahun lalu dan patik sudah tidak ada apa-apa kaitan dengan mereka lagi," Nightingale menjawab dengan tenang. Akhirnya dia jujur sepenuhnya dengan Roland dan sudah bersedia menceritakan tentang masa silamnya.

Nightingale dilahirkan di Kota Perak, yang dinamakan sempena sebuah lombong perak di sana. Ayahnya seorang viscount manakala ibunya ialah orang kebanyakan. Walaupun perkahwinan antara dua darjat tidak digalakkan, mereka berdua hidup bahagia. Nightingale mempunyai seorang adik lelaki bernama Hyde. Nightingale sebelum ini membesar di Kota Perak, tempat dia merasai saat-saat terindah dalam hidupnya.