Menerusi jendela tinggi dan sempit di beranda itu, matahari yang sedang terbenam melimpahi sinar merah menyala ke lantai batu dan cahayanya menari-nari di dinding istana.
Dalam seluruh kerajaan itu, tidak banyak tempat yang masih boleh menyaksikan matahari terbenam dan Pelabuhan Air Bening salah satu daripada tempat itu. Kata orang, Bulan Kunjungan Iblis yang sering membawa salji tebal dan ribut kencang tidak mempunyai sebarang kesan ke atas tempat ini. Hanya Armada Layar Hitam tidak boleh belayar ke utara dalam musim ini, tetapi selain daripada itu, seluruh bandar masih sibuk seperti biasa.
Pemerintah bandar pelabuhan ini, Garcia Wimbledon, sedang duduk di sebuah meja di bawah jendela beranda itu sambil membaca sepucuk surat dalam tangannya dengan penuh teliti. Rambut kelabunya keihatan berona emas apabila disinari cahaya matahari yang sedang terbenam. Bayang-bayang dan cahaya bersilih-ganti di atas mukanya, membuatkan wajah puteri itu tampak lebih menarik dan penuh karisma.
Sudah agak lama Ryan hanya tercegat di sisi puteri itu.
Surat itu membuat Puteri Garcia terdiam lebih lama daripada biasa, tetapi Ryan tetap tidak berkata apa-apa kerana tidak mahu memecahkan kesunyian dalam kamar diraja itu.
Akhirnya Garcia meletakkan surat itu ke atas meja dengan satu keluhan.
"Ayahanda beta sudah mangkat."
Ryan terkedu sebentar. "Apa?"
"Ayahanda beta, Ayling Wimbledon, Raja Kerajaan Graycastle, telah mangkat."
'Dia jarang mengulangi kata-katanya,' Ryan berfikir dalam hati. 'Selalunya dia tidak akan mengendahkan soalan saya. Adakah dia bergurau? Betulkah raja sudah mangkat?'
"…" Ryan mula membuka mulut untuk memberi kata-kata simpati tetapi sebaliknya sebuah soalan keluar dari bibirnya. "Bagaimana Baginda mangkat?"
Mujurlah Garcia tidak menyedari pergelutan dalam jiwa Ryan. Dia Puteri Garcia, Pemerintah Pelabuhan Air Bening, Laksamana Terutama Armada Layar Hitam, dan dia tidak perlukan kata-kata simpati. "Menurut surat ini, kekanda sulung beta, Gerald telah membunuh ayahanda dan berjaya ditangkap pengawal. Gerald tidak membunuh diri untuk mengelakkan daripada dihukum, jadi Wazir Diraja serta menteri lain memaksanya dibicarakan secara umum dan kekanda beta akan dihukum pancung."
"Mustahil…", Ryan menjawab dalam tidak sedar.
"Sudah tentu itu mustahil," kata Garcia tanpa menunjukkan sebarang emosi. "Kekanda beta memang bodoh, tetapi tidak sebodoh untuk mencari maut sendiri. Tanpa hasutan orang lain, dia tidak mungkin melakukan sesuatu seperti itu."
"Mungkin ada orang memerangkap baginda?"
"Biar beta cuba fikirkan…" Puteri Garcia memejamkan mata dan cuba membayangkan keadaan. "Mungkin ada seseorang membuat saranan kepadanya dan menjanjikan bantuan untuk mengambil alih takhta. Lagipun pembunuh upahan tidak mungkin dapat masuk ke Bandar Diraja tanpa bantuan orang dalam, sama ada dengan membunuh, merasuah, atau menggantikan pengawal. Tetapi Gerald tidak pernah mahir bab-bab ini, atau lebih tepat lagi dia tidak pernah ambil peduli dengan perkara remeh seperti ini. Jadi sudah tentu ada orang yang membuat perancangan ini, menghasut dia, diberikan kepercayaan olehnya, dan akhirnya mengkhianati dia pada saat-saat terakhir."
Ryan tidak menjawab, kerana itu semua hanya andaian. Perkara sebenar yang berlaku sudah tidak penting lagi. Apa yang penting ialah perkara yang akan terjadi selepas ini. Dia percaya Puteri Garcia turut mempunyai fikiran yang sama sepertinya.
Seperti dijangka, Garcia membuka matanya dan meneruskan, "Kekanda beta dikelilingi orang-orang bodoh. Harap badan saja berotot besar tapi otak kosong. Patutlah mereka ditipu. Tapi…" Sekarang suara Garcia kedengaran marah. "Cara Timothy terlalu kejam."
"Maksud Tuanku, ini semua angkara Timothy Wimbledon?"
"Siapa lagi yang lebih kenal Gerald selain dia? Siapa akan dapat paling banyak manfaat daripada kejadian ini?" Garcia menuturkan ini semua sambil mengetuk-ngetuk jarinya di atas meja. "Orang buta pun boleh nampak itu! Tetapi dia tidak perlu buat semua ini. Semua orang tahu dia anak emas ayahanda beta."
Sekarang baru Ryan sedar Yang Amat Mulia Puteri Garcia sedang marah. Baginda jarang menunjukkan sebarang riak wajah atau perasaan. Walaupun Baginda sering merungut tentang sikap pilih kasih Raja Wimbledon III, Baginda pasti tidak mahu perkara sedahsyat ini terjadi kepada ayahandanya itu.
Ryan dapat memahami perasaannya sekarang. Inilah perasaan yang biasa dirasai golongan muda terhadap orang tua mereka. Orang tua ibarat gunung yang perlu didaki, dihormati, dikagumi, tetapi juga dapat menimbulkan perasaan meluat. Jika kata-kata Puteri Garcia betul dan ini memang angkara Putera Timothy, terbukti putera itu memang sangat kejam.
"Tapi… kenapa Putera Timothy mahu buat begini?"
"Sebab dia takut dengan beta," Garcia menghela nafas dalam dan cuba menenangkan fikirannya sebelum menyambung, "Dia takut dengan Armada Layar Hitam."
"Timothy tentu ada pengintip di Pelabuhan Air Bening. Beta tidak hairan dengan itu, beta juga ada pengintip di Valencia dan di Bandar Diraja. Apabila dia mendapat tahu tentang Armada Layar Hitam, tentu dia sudah boleh meneka rancangan beta seterusnya. Tetapi Valencia tidak ada angkatan tentera setanding dengan Armada Layar Hitam. Jadi dia membuat tindakan bodoh dan mempergunakan Gerald sebagai batu loncatan untuk mendapat apa yang dia idamkan."
"Maksud Tuanku, Putera Timothy mahu bala tentera?"
"Dia mahu takhta Graycastle," Garcia membetulkan. "Apabila Gerald sudah dipancung nanti, dia akan menjadi pewaris takhta seterusnya. Sekarang ayahanda beta sudah mangkat, jadi sudah tentu dia berada di Bandar Diraja. Apabila Timothy diangkat menjadi Raja Wimbledon IV kelak, dia akan dapat kuasa untuk mengerah semua orang bangsawan dan bala tentera dari semua sempadan," sambung Garcia lagi sambil menggelengkan kepala. "Tetapi seperti beta katakan tadi, dia tidak perlu buat semua ini sebab dia memang anak emas Ayahanda."
"Ini sudah teruk," kata Ryan penuh risau. "Bagaimana jika selepas Putera Timothy ditabalkan, Baginda terus isytiharkan pembatalan Titah Diraja bagi Pemilihan Waris Takhta, dan mengarahkan Tuanku kembali ke Bandar Diraja?"
Garcia menjawab sambil mencemuh, "Langkah itu terlalu ketara. Sikap pilih kasih ayahanda beta tidak mendapat sokongan sebahagian menterinya. Pembunuhan seorang raja bukan perkara kecil, walaupun Timothy berjaya menganiayai Gerald, dia hanya dapat memperdayakan rakyat jelata. Dia perlu masa yang lama untuk mendapatkan kepercayaan dan kesetiaan seluruh pentadbiran Graycastle. Jadi…" Sekarang Garcia berpaling dan merenung Ryan, "Beta ada perubahan rancangan."
Ryan terus melutut dan berkata, "Patik bersedia dengan apa saja, Tuanku."
Garcia bangun dan berjalan menghampiri jendela sambil membelakangi Ryan. "Timothy akan memberi tumpuan kepada beta dahulu sebaik sahaja dia ditabalkan. Tetapi dia hanya mampu mengarahkan Joe Kohl, iaitu Duke Wilayah Selatan untuk memberi tekanan ke atas beta dengan bala tenteranya. Tetapi Joe Kohl mungkin akan memberi alasan mahu berkabung atas kemangkatan Raja untuk mengelak melakukannya. Si Duke tua licik orangnya dan tidak mungkin mahu mengambil sebarang risiko. Paling tidak pun Joe Kohl hanya akan mengerah semua bangsawan di bawah pemerintahannya untuk datang berkumpul di sempadan Pelabuhan Air Bening," Puteri Garcia berhenti seketika. "Tapi semua kemungkinan ini mungkin akan membawa masalah kepada kita, jadi kita mesti belayar esok."
"Belayar? Tuanku, jadi Tuanku mahu…"
"Oleh kerana kedudukannya di pusat kerajaan, Bandar Helang tidak mempunyai sebarang barisan pertahanan. Kita boleh sampai ke Pekan Sungai Jernih melalui salah satu anak sungai Sungai Sanwan dan dari sana, kita boleh sampai ke Bandar Helang dalam masa sehari sahaja. Selepas kita ambil alih bandar Joe, keseluruhan Wilayah Selatan akan berada di bawah kuasa beta. Nanti apabila Timothy sudah ditabalkan dan dia mahu memberi arahan kepada Joe, pasti dia terkejut apabila dapat tahu beta sudah mengambil alih Wilayah Selatan. Beta teringin lihat muka dia pada waktu itu."
"Tapi Tuanku cakap tadi, Raja Wimbledon III baru sahaja mangkat. Jika begini…"
"Jadi kenapa? Beta perlu menangis dulu?" Garcia memusingkan badannya menghadap Ryan. Cahaya langit senja menyinari wajahnya dengan warna jingga kemerah-merahan. Mukanya masih berada dalam bayang-bayang tetapi matanya kelihatan bercahaya. 'Nampaknya Puteri Garcia telah tekad,' fikir Ryan dalam hati. 'Ya, mungkin ada rasa marah atau kecewa dalam hatinya, tetapi kesedihan tidak wujud langsung.'
Kesedihan tiada dalam kamus hidup Puteri Garcia.
"Tidak perlu, Tuanku," Ryan menjawab jujur.
Garcia mengangguk tanda puas hati. "Pergi panggil semua kapten kapal menghadap beta. Timothy nampaknya tidak sabar untuk menunggu selama lima tahun lagi, jadi beta tidak akan buat dia menunggu lama. Seluruh Wilayah Selatan akan dimerdekakan oleh beta selepas beta mengambil alih pemerintahan Bandar Helang."
"It doesn't' matter to her if it was done by Timothy," Ryan thought, "she can always find her way in the most turbulent situation and head for her goal once a decision is made. This is where her charm lies and the reason why I've followed her."
'Baginda tidak peduli jika Timothy benar-benar dalangnya atau tidak,' fikir Ryan. 'Baginda sentiasa dapat mencari jalan dalam keadaan paling sulit sekalipun dan sebaik keputusan sudah dibuat, Baginda akan terus mara untuk melaksanakannya. Inilah yang membuatkan saya tertarik kepada Baginda dan inilah sebabnya saya menjadi pengikutnya yang setia."
"Menjunjung perintah, Tuanku Pute…" Ryan terdiam seketika sebelum mengubah kata-katanya dengan penuh hormat, "Tidak… maksud saya, Yang Amat Mulia Baginda Ratu".