Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 52 - Nyala Degup Jantung (Bahagian I)

Chapter 52 - Nyala Degup Jantung (Bahagian I)

Roland mengetuk pintu dan selepas mendengar suara Nightingale menyuruhnya masuk, dia menolaknya perlahan.

Langsir tebal yang tergantung dalam bilik itu hanya akan dibuka setiap awal pagi dan petang untuk membenarkan udara segar masuk. Selain waktu itu, ia akan ditutup untuk mengekalkan kehangatan bilik dan melindungi daripada terik mentari.

Satu-satunya sumber cahaya dalam bilik itu datang dari dua batang lilin di hujung katil. Lilin itu menyala tenang dan memberi bayangan saling bersilang ke atas semua objek yang disinarinya.

Dia mendekati katil dan melihat gadis yang masih tidak sedarkan diri itu terlantar dikelilingi bantal-bantal gebu dan selimut empuk. Dia mengeluh perlahan.

"Bagaimana keadaan di sempadan tembok kota?" Nightingale menghampiri Roland dan menghulurkan segelas air suam.

"Semuanya terkawal," Roland menghirup sekali dan memberikan gelas itu kembali kepada Nightingale. "Selepas hari itu, kami sudah tidak bertembung kawanan makhluk iblis sebesar itu lagi. Apabila anggota angkatan tentera awam yang tercedera kembali ke tembok kota, mereka… menjadi lebih bersemangat."

"Bagaimana dengan rekahan di tembok kota itu?"

"Karl sudah pindahkan cangkerang makhluk iblis kacukan tempoh hari dengan menggulingkannya di atas kayu balak ke tempat rosak itu. Selepas itu dia menggantungkannya dengan penyangkut dan win." Roland tahu Nightingale cuba mengalihkan tumpuannya daripada perkara utama yang membuatkannya risau. Tetapi sejak dia menjejakkan kaki ke dalam bilik ini, pandangannya hanya tertumpu kepada gadis yang sedang terbaring itu.

Orang paling berjasa terhadap kejayaan mereka menentang makhluk iblis itu adalah Anna. Jika dia tidak menutup rekahan di dinding tembok kota itu dengan dinding apinya, entah apa nasib angkatan tentera Roland hari itu.

Tetapi selepas itu dia terus terjelepuk ke dalam rangkulan Roland dan belum sedarkan diri sehingga hari ini.

"Sudah seminggu…", kata Roland perlahan.

Secara teorinya, jika seseorang koma dan tidak makan, minum, atau mendapat zat-zat keperluan dengan cara lain (contohnya melalui suntikan) selama lebih seminggu, fungsi tubuh akan merosot dan otak akan mati perlahan-lahan. Namun Anna tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit serius mahupun lemah – malah dia kelihatan jauh lebih sihat berbanding sebelum dia pengsan tempoh hari. Pipinya segar kemerahan. Pernafasannya sekata. Apabila Roland meletakkan tangannya pada dahi Anna, suhunya sangat normal. Semua ini menunjukkan Anna sihat… tetapi dia tetap tidak sedarkan diri.

"Ini kali pertama Patik menghadapi keadaan begini," Nightingale yang sedang berdiri di sebelahnya menggelengkan kepala lalu menyambung, "Kuasa sihir dalam tubuhnya sudah habis semasa pertarungan itu. Tetapi kini ia sudah pulih, malah lebih kuat berbanding sebelum ini. Jika anggaran Patik benar, Hari Kematangannya akan tiba tengah malam nanti."

"Maksud awak, dia akan melalui proses kematangan semasa dia sedang koma?"

"Tidak, dia mungkin akan mati dalam koma," Nightingale berterus-terang dengan Roland. "Ahli sihir memerlukan ketahanan diri luar biasa untuk menghadapi kesakitan semasa Hari Kematangan. Sebaik sahaja ahli sihir menyerah kalah dan tidak melawan kesakitan itu, kuasa saktinya akan memakan dirinya lalu memusnahkan ahli sihir itu tanpa sebarang harapan untuk pulih lagi."

Roland mencapai sebuah kerusi dan duduk di sebelah katil Anna. "Tapi beta masih ingat awak pernah beritahu beta, apabila Azab Syaitan berlangsung, tidak kira betapa dahsyatnya seksaan itu, ahli sihir akan tetap sedarkan diri sehinggalah dia berjaya menghadapinya atau mati."

"Ya, betul. Dalam Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir, pernah ada ahli sihir cuba jalani Azab Syaitan itu dalam keadaan koma. Azab Syaitan hanya berlaku sekali dalam setahun dan lebih ringan daripada seksaan Hari Kematangan." Nightingale teragak-agak seketika tetapi dia akhirnya menyambung, "Selepas dia minum posyen alkimia, dia berjaya untuk tidak sedarkan diri. Namun usahanya sia-sia saja. Kuasa sihirnya membuatkan dia sedar kembali, tetapi badannya jadi lumpuh."

"Kesakitan itu akan bertambah sedikit demi sedikit?"

"Tidak. Apabila kesakitan itu tiba, ia terus menyerang dengan teruk. Tetapi tempoh masanya berbeza antara semua orang. Saudara patik itu bukan lemah orangnya, tetapi…" Suaranya terus menjadi perlahan.

Roland memahami maksud kata-katanya. Ketidakpastian itu sendiri sudah menjadi satu dugaan kerana seseorang itu tidak pasti berapa lama kesakitan itu akan berlarutan dan berapa lama lagi dia perlu bertahan. Mereka tentu akan terasa seperti sedang hanyut sendirian di tengah lautan dengan harapan yang semakin lama semakin pudar.

Mereka berdua terdiam seketika. Kemudian Nightingangle memegang bahu Roland lalu berkata, "Patik sudah melihat terlalu banyak kematian semasa Patik bergelandangan dahulu. Ahli sihir dilayan seperti haiwan – digantung, dibakar, atau diseksa hingga mati oleh orang bangsawan yang memang suka melihat penderitaan kami. Ahli sihir yang bernasib baik hanya mampu menjauhkan diri daripada orang ramai dan meminggirkan diri, sementara Gunung Suci yang entah wujud atau tidak itu memberi harapan kepada mereka. Tetapi lain pula dengan Anna. Ini kali pertama patik melihat seseorang seperti Tuanku yang bukan ahli sihir tetapi begitu mengambil berat tentang golongan kami. Tuanku membuat Anna rasa diperlukan, dihormati, dan dia dilayan seperti orang lain juga. Tuanku, walaupun jika Anna tidak berjaya harungi Hari Kematangannya, sebenarnya dia sudah temui Gunung Sucinya sendiri."

Tetapi bukan ini kesudahan yang Roland mahukan. Roland memejamkan mata dan mengenang kembali saat pertama dia bertemu Anna.

Dia berkaki ayam dan bajunya koyak-rabak, tetapi dia tidak menunjukkan sebarang ketakutan walaupun sedang berada di dalam penjara. Matanya seperti air tasik jernih, tenang tanpa sebarang riak.

Dialah api tetapi dia tidak semberono seperti api.

Satu demi satu memori mereka muncul dalam ingatannya.

"Sekarang Tuanku sudah lihat sendiri siapa diri patik sebenarnya, jadi sekarang boleh Tuanku bunuh Patik?"

"Patik tidak pernah gunakan kuasa patik untuk menyakiti sesiapa."

"Patik hanya mahu kekal di samping Tuanku. Itu sahaja."

"Azab Syaitan itu tidak akan membunuh Patik. Patik akan melawannya."

"Apa Tuanku cakap ini? Patik tidak akan ke mana-mana."

...

Roland menahan gelodak perasaannya dan berkata perlahan, "Beta akan berada di samping dia sehingga saat itu tiba."

"Begitu juga patik, dan… terima kasih."

Selepas makan malam, Nana turut datang melawat. Apabila dia mendapat tahu Anna bakal menghadapi Hari Kematangan, dia berkeras mahu turut berada di situ. Jadi Roland mengarahkan agar satu bilik tidur untuk Tigui Pine yang datang menemani Nana disediakan di tingkat dua.

Dengan itu, Roland dan dua ahli sihir itu duduk di sebelah katil Anna dan menunggu ketibaan tengah malam.

Nightingale dan Nana perlu menghadapi Azab Syaitan pada musim sejuk ini juga. Mujurlah masa kebangkitan setiap ahli sihir berbeza-beza. Roland yakin dia tentu tidak menang tangan jika ada tiga ahli sihir perlu menghadapi seksaan antara hidup dan mati pada masa yang sama di istananya.

Pekan Sempadan tidak mempunyai menara loceng yang memberitahu masa. Entah sudah berapa lama berlalu dalam kamar yang disinari cahaya malap itu. Dari masa ke masa, angin kencang akan bersiul kuat melalui celah jendela. Roland berasa mengantuk dan baru sahaja hampir terlelap apabila Nightingale tiba-tiba bersuara. "Ia sudah bermula."

Hanya Nightingale dapat menyaksikan kuasa sihir dalam diri Anna mula berombak-ombak. Api berwarna hijau menjadi lebih tebal dan marak dan terasnya bertukar warna daripada cerah menjadi gelap. Kuasa sihir bergelora itu beransur-ansur bergerak ke satu tempat, seolah-olah ditarik sesuatu. Ia bergulung-gulung dan seperti cuba melawan tarikan ini tetapi sia-sia sahaja.

Roland tidak dapat melihat perubahan ini, tetapi dia dapat merasakan sesuatu sedang berlaku.

Api nyalaan lilin meliang-lintuk walau tiada sedikit angin pun di dalam kamar itu. Nyalaannya mula menjadi lebih gelap seperti sedang ditelan bayang-bayang di sekelilingnya. Kemudian warna nyalaan itu berubah daripada merah kepada hijau.

Roland mengalihkan pandangan ke arah gadis yang sedang terlantar itu. Anna masih tidak sedarkan diri tanpa sebarang perubahan di riak wajahnya, seolah-olah langsung tidak terkesan dengan apa yang sedang terjadi di dalam kamar itu.

Kemudian api lilin itu hilang – ia tidak terpadam, tetapi nyalaan hijaunya menelan nyalaan merah sehingga cahayanya hilang dan ditelan kegelapan.

Tidak lama kemudian, bilik itu mula bercahaya semula walaupun nyalaan lilin itu kini berwarna hijau terang. Dalam limpahan cahaya zamrud itu, mereka bertiga saling berpandangan penuh bingung.

Anna mengerang dan mata mereka bertiga kembali terpaku kepada dia.

Perlahan-lahan dia membuka mata.

"Anna…" Roland memanggil dalam separa sedar. 'Dia dah sedarkan diri?' fikirnya.

Gadis itu mengebilkan matanya dan tersenyum, kemudian menghulurkan tangan kanannya kepada putera raja itu.

Api hijau serta-merta muncul di tengah tapak tangannya dan menyala tanpa bunyi.

Roland seakan-akan faham apa yang Anna maksudkan. Dia meletakkan jarinya ke dalam api itu selepas teragak-agak sebentar, tetapi dia langsung tidak merasakan bahang kepanasan seperti yang dijangkakan. Roland hanya dapat berasa kehangatan yang lembut, seolah-olah dia sedang mencelupkan jari ke dalam air suam.