Nightingale meniti laluan sempit di tepi gunung itu dengan berhati-hati.
Laluan itu hanya seluas kelebaran bahunya sahaja. Di sebelah kanannya ada dinding batu curam manakala di seberang sana terdapat cenuram batu-batuan. Gaung gelap yang tidak berpenghujung terbentang luas di tengah kedua-duanya. Nightingale berjalan perlahan-lahan kerana takut tergelincir.
Apabila dia mendongakkan kepala, dia dapat melihat satu jalur cahaya nipis di langit, seperti sehelai benang perak yang terurai. Tetapi dia tahu waktu itu waktu tengah hari. Walaupun hari siang, dia masih perlu membawa jamung. Cahaya yang mengintip dari celah-celah batuan tidak cukup untuk menyinari jalan di hadapan. Laluan panjang itu membuat Nightingale berasa seolah-olah dia sedang berada di dalam gunung.
Satu-satunya kelebihan tempat ini, walaupun angin dingin bertiup kencang dan salji bertebaran di seluruh kawasan pergunungan, laluan sempit antara cenuram ini masih tidak terusik. Kadangkala ada beberapa emping salji turun dari langit tetapi sebelum ia sempat mendarat atas laluan sempit itu, ia akan terus cair menjadi wap. Suhu di sini berbeza daripada suhu di dunia luar. Dia juga dapat melihat gas panas melingkar keluar sekali sekala dari dalam jurang itu.
Jika tidak, dia tidak akan berani berjalan sendirian melalui Banjaran Puncak Langit semasa Bulan Kunjungan Iblis. Alam Kabus boleh menyembunyikan tubuhnya tetapi ia tidak dapat mengubah suhu. Dia tentu akan mati kesejukan dalam masa dua jam jika dia berani meredah angin kencang dingin ini.
Namun begitu Nightingale masih tidak sanggup berada di tempat ini lebih lama kerana dia berasa seolah-olah ada sesuatu sedang merenungnya di dalam kegelapan itu. Dia berasa seram sejuk.
Kalau boleh, Nightingale mahu membuat perjalanan ini di dalam Kabus. Malangnya dia tiada cukup kekuatan untuk melakukannya. Penggunaan kuasa yang berpanjangan akan membuatkan tenaganya lemah.
Nightingale mengangkat jamung lebih tinggi. Di seberang, cahaya terpantul dari batu ke batu mengikut nyala api kelam itu. Dalam kesuraman itu, kadangkala Nightingale dapat melihat bayang-bayang berbeza saiz di cenuram seberang. Dia tahu itu sebenarnya gua-gua yang begitu dalam sehingga cahaya pun tidak dapat menembusinya. Apabila dilihat sekali imbas, ia kelihatan seperti gugusan lubang hitam. Di cenuram yang tepat bertentangan dengan Nightingale, dia dapat melihat satu lohong yang sangat gelap.
Ini membuatkan dia teringat kepada khabar angin tentang lombong di Cerun Utara. Ia dikatakan sebagai sarang bawah tanah yang dihuni iblis. Dari sana ada banyak cabang-cabang terowong ke pelbagai arah yang dikatakan dikorek oleh iblis itu. Cerun Utara terletak di salah satu bucu Banjaran Puncak Langit. Mungkinkah gua-gua ini bersambung dengan cabang-cabang terowong itu?
Semua bulu romanya berdiri sebaik memikirkannya.
Di sebelah barat Banjaran Puncak Langit ada Tanah Orang Gasar yang tandus tidak berpenghuni. Siapa mampu mengorek ratusan gua merentasi banjaran sepanjang ratusan kilometer ini? Siapa lagi kalau bukan iblis raksasa yang mampu hidup di Tanah Orang Gasar yang gersang dan dahsyat.
Nightingale sudah tidak berani berfikir dengan lebih lanjut jadi dia hanya menumpukan perhatian untuk melangkah ke hadapan.
Akhirnya jalan di hadapannya mula berubah. Laluan tadi yang hanya seluas kelebaran bahunya kini berpecah menjadi dua, satu menaik sedikit dan satu lagi menjunam terus ke dalam kegelapan. Tiada siapa tahu apa yang berada di hujung jalan itu. Semasa di susur jalan, perasaannya semakin kuat mengatakan dia sedang diperhatikan, seolah-olah berpasang-pasang mata tanpa tubuh sedang merenungnya dalam gelap. Mulutnya terasa kering dan bulu di tengkuknya meremang.
Nightingale mengetap gigi, menyelak hijab Kabus dan meluru ke atas. Tidak lama kemudian, perasaan tidak senang tadi menghilang.
Semakin tinggi Nightingale mendaki gunung itu, suhu di sekelilingnya jatuh semakin rendah. Sinar cahaya nipis tadi semakin melebar di langit. Selepas setengah jam, satu gua besar ternganga di belah kanannya. Pintu gua itu hanya tinggi sedikit sahaja berbanding jalan itu. Dia memasuki gua itu dan boleh melihat kilasan cahaya api dari kejauhan.
Dia telah tiba di tempat persembunyian Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir.
Nightingale melangkah keluar ke dunia zahir dari dalam Kabus dan dengan serta-merta dilihat oleh ahli sihir yang mengawal mulut gua itu. Satu tembok asap hitam muncul di hadapan dia tetapi terus ghaib. Dari dalam kegelapan, kedengaran satu suara girang. "Awak sudah balik!"
'Akhirnya saya sudah balik', fikirnya dalam hati dengan gembira. Tetapi sebaik sahaja melihat dua jalur kain putih yang terbalut pada lengan ahli sihir pengawal itu, kegembiraannya terus lenyap. "Jadi dua orang saudara kita lagi telah…"
Ahli sihir pengawal itu terdiam seketika. "Ya, mereka… Airy dan Abby. Mereka terkorban lima hari lalu dan tidak selamat mengharungi Hari Kematangan mereka," katanya lagi dengan senyuman pahit. "Sudah semakin kerap terjadi pula, bukan? Tidak, tak perlu jawab soalan itu. Pergilah ke kem kita. Wendy asyik bercakap tentang awak."
Airy dan Abby ialah pasangan kembar yang dilahirkan dalam keluarga kaya-raya di Rabung Naga Maut, tetapi akhirnya nyawa mereka diragut di dalam gua terpencil di tengah gunung dingin. Kadang-kadang Nightingale terfikir mungkinkah dia tersilap membuat keputusan? Jika dia tidak membawa pasangan kembar itu ke sini, sekurang-kurangnya mereka boleh menikmati kehidupan mewah dan selesa dan tidak perlu bergelandangan dengan orang asing hingga ke nafas terakhir mereka.
Tetapi sebaik sahaja memikirkan Wendy, hatinya rasa girang kembali. Jika Wendy tidak membantunya, dia masih akan menjadi boneka yang diperalatkan dan boleh dibuang bila-bila masa. Nightingale mahu memberitahunya tentang berita baik itu secepat mungkin. Dia juga mahu memberitahu ahli-ahli sihir lain yang mereka sudah tidak perlu hidup bersembunyi seperti tikus lagi. Ada orang sudi menerima kehadiran mereka. Mereka boleh menghabiskan Hari Kebangkitan mereka setiap tahun dengan selesa sepanjang hayat mereka!
Sebaik memasuki kem itu, Nightingale melihat satu susuk tubuh yang cukup dikenalinya bercangkung di sebelah unggun api sambil mengacau periuk masakan. Ahli-ahli sihir lain tiada di situ. Dia tidak dapat menahan kegembiraannya dan menjerit, "Wendy! Saya sudah balik!"
Wendy tersentak. Dia mendongak dan menguntumkan senyuman yang cukup dirindui Nightingale. "Veronica, selamat pulang."
Wendy seorang wanita berhati mulia yang merupakan salah seorang ahli terawal Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir. Dia sudah berusia 30 tahun tetapi wajahnya masih cantik tanpa sebarang cela. Rambutnya berwarna perang kemerahan dan mengurai panjang sehingga ke pinggang. Dia kelihatan matang dan penuh kasih sayang seperti seorang kakak. Dialah yang menjaga semua ahli sihir dalam persatuan itu. Tidak kira sama ada nasihat dalam situasi harian mahupun bantuan kerohanian, dia sedia membantu sedaya-upayanya. Jika bukan disebabkan Wendy, persatuan itu tidak akan dapat mengumpulkan sebegitu ramai ahli sihir dalam masa yang singkat.
Disebabkan dialah Nightingale membulatkan tekad untuk lari daripada keluarganya dan mengembara untuk mencari Gunung Suci. Wendy juga salah seorang daripada segelintir orang yang tahu nama sebenar Nightingale.
"Sudah berapa kali saya kata, saya bukan budak pengecut itu lagi," kata Nightingale sambil menggelengkan kepala tetapi masih tersenyum. "Sekarang saya sudah jadi ahli sihir berkuasa dan Veronica sudah tidak wujud lagi."
"Sejarah awak masih sebahagian daripada diri awak. Awak boleh singkirkan mimpi ngeri daripada masa silam awak, tetapi tidak bermaksud membuang diri awak yang dahulu," balas Wendy dengan lembut. "Tetapi jika awak mahu terus berbuat demikian, saya tidak kisah. Dah lama saya tunggu awak pulang. Tentu awak penat setelah berjalan jauh."
"Boleh tahan juga." Nightingale melangkah ke arah Wendy dan memeluk wanita itu. "Terima kasih."
Selepas beberapa ketika, Wendy bertanya, "Apa terjadi kepada budak perempuan itu? Awak tak sempat selamatkan dia?"
Apabila mendengar soalan itu, Nightingale serta-merta berasa teruja. Dia memegang tangan Wendy dan berkata riang, "Tidak, dia tidak perlu diselamatkan. Sebaliknya, dia yang akan selamatkan kita semua!" Kemudian Nightingale menceritakan pengalamannya di Pekan Sempadan. "Pemerintahnya bernama Roland Wimbledon, Putera Keempat Kerajaan Graycastle. Baginda mahu menerima dan menjaga kita. Baginda juga berjanji kelak Baginda akan membiarkan ahli sihir hidup bebas dalam kalangan rakyat biasa juga."