"Ini orang-orang yang awak pilih?" tanya Roland. Dahinya berkerut bila dia melihat kumpulan orang-orang berbaju compang-camping di hadapannya dan dia cuba menahan rasa kecewanya.
"Tuanku, mereka dipilih berdasarkan syarat yang Tuanku sendiri tetapkan." Carter mula mengira dengan jarinya. "Pertama, lelaki. Kedua, tiada rekod jenayah. Ketiga, melebihi usia 18 tahun tetapi tidak lebih daripada 40 tahun dan keempat, sihat tubuh badan. Saya sudah pastikan mereka memenuhi semua syarat itu."
Ya, Roland tahu dia tak patut beri harapan yang terlalu tinggi. Lagipun dunia pada zaman ini masih terlalu daif sehingga tidak semua orang yang mampu mengisi perut mereka, apatah lagi memakai pakaian yang rapi. Sebagai ahli keluarga diraja, Roland tidak pernah tahu kewujudan orang yang mengemis dan meminta sedekah hanya untuk mendapat secebis roti. Malah di pusat bandar Graycastle, ada juga orang yang bekerja sebagai pengutip mayat. Mereka mengutip dan membakar mayat orang-orang yang tiba-tiba mati tengah jalan akibat kelaparan melampau.
"Jadi apa kaedah perang pada zaman ini?" Roland menutup mata dan cuba berfikir. Rasanya ia hanya lebih teratur sedikit berbanding pergaduhan samseng belakang lorong. Biasanya bila seorang tuan tanah mahu mengisytiharkan perang, (tidak, bukanlah hingga ke tahap perang, fikir Roland. Mereka tak tahu berperang pun, mereka hanya tahu berlawan) biasanya tuan tanah itu akan mengumpulkan semua keluarga bangsawan dalam kawasannya. Ketua keluarga bangsawan itu pula akan mengumpulkan keluarga rakyat lain dalam kawasan mereka masing-masing. Contohnya, seorang duke akan mengumpulkan semua earl bawahnya dan selepas itu seorang earl akan mengumpulkan semua viscount bawahnya. Viscount itu akan mengumpulkan semua baron bawahnya pula dan begitulah seterusnya.
Biasanya keluarga bangsawan ada angkatan kesateria dan pembunuh upahan mereka sendiri. Merekalah watak utama dalam sesebuah perlawanan kerana mereka berkemahiran tinggi dan pandai bermain senjata. Pada masa yang sama, mereka mengupah pula orang kebanyakan lain untuk menyertai perlawanan mereka. Sebenanrnya tugas orang kebanyakan adalah untuk mengangkat bekalan bagi angkatan tentera dan berlawan di barisan hadapan. Jadi golongan yang paling banyak kehilangan nyawa adalah golongan picisan ini. Bagi golongan kesateria keluarga bangsawan pula, jika mereka tidak mati semasa berlawan, mereka akan ditangkap dan diberi layanan balik kerana mereka boleh digunakan untuk menuntut tebusan.
Roland tidak berharap keluarga bangsawan di Pekan Sempadan akan berjuang bagi pihaknya. Malah mereka tiada kaitan langsung dengan Pekan Sempadan. Pangkat baron mereka dikurniakan oleh Tuan Duke Kubu Longsong dan tanah bidang kuasa mereka juga adalah hak milik Kubu Longsong.
Pada zaman ini, mahu membentuk satu platun tentera yang dianggotai orang-orang biasa memang agak mustahil untuk dicapai. Mereka masih buta huruf dan tidak tahu membaca dokumen atau mengikut arahan. Mereka juga tidak pernah menerima sebarang latihan rasmi. Memang jauh panggang dari api dengan golongan kesateria yang sudah dilatih bermain pedang sejak usia 10 tahun.
Carter menghampiri Roland dan berbisik, "Tuanku, saranan Tuanku ini berkemungkinan akan gagal. Tuanku tengoklah mereka. Mahu angkat pedang pun macam tak larat. Nanti bila tengok saja makhluk iblis itu, Patik takut mereka akan terus lari bertempiaran. Ini akan mengganggu barisan pertahanan dan menjejaskan angkatan tentera kita sendiri. Patik cadangkan kita ambil pembunuh upahan profesional dari Bandar Raya Willow atau bandar-bandar lain untuk mempertahankan tembok kota kita itu. Orang-orang ini boleh digunakan untuk kerja rencam lain."
"Tidak, Beta mahu gunakan mereka." Roland menolak cadangan Carter mentah-mentah. Dia tidak suka pembunuh upahan yang meragut nyawa demi duit. Lagipun dia bukan membentuk pasukan tentera awam ini hanya untuk melawan makhluk iblis. Menurut sejarah, angkatan tentera yang paling ditakuti adalah pasukan yang terdiri daripada rakyat biasa yang bekerjasama, dan sudah ada banyak rekod tentera feudal, moden, mahupun kontemporari yang membuktikan teori ini.
"Baiklah. Perintah dijunjung, Tuanku," kata kesateria itu dengan nada mengalah. "Jadi mahu Patik mula melatih mereka main pedang? Walaupun Patik rasa ia sia-sia…"
"Main pedang? Tidak. Awak patut arahkan mereka untuk berdiri dan berlari mengikut formasi." Roland berhenti bercakap separuh jalan. Dia baru terfikir mungkin ketua kesaterianya sendiri tidak ada pengalaman dalam kaedah latihan seperti ini. Jadi dia menyambung, "Panggilkan pemburu yang awak bawa menghadap Beta sebulan lepas. Awak berdua akan lihat apa yang Beta akan lakukan."
*******************
Semua perkara menakjubkan yang disaksikan Van'er pada hari ini saja sudah lebih luar biasa berbanding pengalaman hidupnya selama 20 tahun.
Dia melihat Putera Roland dengan mata kepalanya sendiri! Putera itu berjalan melintasi dia dan malah memberi senyuman pada Van'er! Dia sudah mabuk atau apa?
Tiga hari lalu, semasa Putera Roland membuat perisytiharan baginda di dataran pekan, dia sudah tahu musim sejuk kali ini akan berbeza daripada tahun-tahun lepas. Mereka takkan berhijrah ke Kubu Longsong tetapi sebaliknya mereka akan mengharungi musim sejuk tahun ini di Pekan Sempadan. Kata-kata putera itu yang selebihnya tidak begitu difahami Van'er tetapi dia masih bersetuju dengan usul baginda. Adik Van'er kehilangan nyawa dua tahun lalu semasa duduk menumpang di Kubu Longsong. Selama sebulan tak ada secebis makanan pun yang masuk dalam perut mereka. Dia hanya mampu berkongsi roti kelat yang dia beli dengan duit gangsa upah dia memunggah kargo di jeti sungai bersama adiknya. Tetapi musim sejuk tahun itu sangat dahsyat. Angin mencuri masuk melalui setiap retak dalam pondok tempat mereka tinggal dan kedinginannya menusuk hingga ke tulang. Mereka tidak mampu memanaskan tubuh mereka. Adiknya tidak sedarkan diri selepas diserang penyakit dan tidak bangun-bangun lagi selepas itu.
Di Pekan Sempadan, sekurang-kurangnya dia ada rumah batu yang dibina atas tanah, jadi dia tidak perlu risau jika salji turun dengan banyak. Dia juga melihat ada gandum yang dibawa dari tempat lain dikumpulkan di jeti sungai dan dibawa berbondong-bondong ke istana. Sebab itu sebaik sahaja Van'er mendengar Putera Roland mencari anggota untuk pasukan tentera awam, dia serta-merta menyahut panggilan baginda.
Namun sebab sebenar yang menarik minat dia untuk meninggalkan kerjanya di kuari dan memasuki pasukan tentera adalah gajinya, iaitu setinggi 10 keping perak setiap bulan! Itu sudah menyamai gaji seorang tukang batu berpengalaman! Dia pun bukannya muda lagi dan musim bunga depan, dia merancang mahu melamar Sheryl, pelayan muda di kedai minum pekan itu jadi dia mesti mula mengumpul duit dari sekarang.
Dia mengabaikan senarai tugas anggota pasukan tentera yang tertulis di notis itu. Habis-habis pun dia hanya perlu angkut senjata untuk kapten mereka atau tolong meronda keliling pekan. Takkan mereka perlu melawan makhluk iblis yang bakal mengancam tembok kota itu, bukan?
Syarat kelayakannya sangat ketat. Van'er agak gementar melihat pandangan tajam kesateria dengan baju perisai yang berkilat itu. Mujurlah dia melepasi pemilihan itu kerana badannya agak tegap kerana kesateria itu menyingkirkan ramai pemohon yang bertubuh kurus. Akhirnya hanya tinggal kira-kira 100 orang sahaja.
Tetapi Van'er tidak pernah menyangka Yang Amat Mulia Putera Roland sendiri yang akan melatih mereka.
Orang-orang yang melepasi tahap pemilihan itu dibawa ke sebuah padang rumput di arah barat Pekan Sempadan. Di belakang mereka adalah tapak pembinaan tembok kota Pekan Sempadan sementara di hadapan mereka pula adalah Hutan Kabut.
Putera itu mengarahkan semua orang berdiri dalam barisan dan baginda pula berdiri di tepi. Hujan yang turun beberapa hari lalu membuatkan tanah menjadi becak dan berlumpur. Kasut Van'er menjadi lembab kerana menyerap air daripada tanah lembik itu dan membuatkan dia berasa geli-geleman. Postur yang diarahkan Putera Roland pula agak lain daripada biasa. Mereka diarahkan berdiri dengan tangan tergantung lurus di sisi mereka dan memastikan belakang mereka kekal tegak.
Baru suku jam berlalu dan Van'er sudah berasa lenguh. Ini lebih memenatkan daripada kerja mengorek batu di kuari. Tetapi dia mengetap giginya dan cuba bertahan kerana Yang Amat Mulia Putera Roland berkata orang yang bergerak semasa latihan ini tidak akan mendapat telur semasa makan tengah hari nanti. Sudah berzaman Van'er tidak dapat merasa makan telur. Mungkin itulah fikiran orang lain juga kerana mereka pun nampak seperti cuba bertahan sedaya-upaya mereka.
Sebaik sahaja Putera Roland bertitah semua orang boleh berehat, baru Van'er sedar dia sudah bermandi peluh walaupun baru berdiri selama setengah jam. Ada orang yang tumpas di tengah jalan dan mereka nampak begitu kesal kerana tidak berpeluang merasa makan telur.
Van'er tidak nampak apa gunanya latihan seperti ini. Bolehkah mereka mengangkat lebih banyak beban jika mereka berdiri seperti ini?
Kalau bukan sebab Yang Amat Mulia Putera Roland sendiri yang melatih mereka, sudah lama Van'er akan mencemuh dan berkata ini hanya membuang masa saja.
But after the rest, the second order His Highness made was even stranger. He commanded that everyone should continue standing in formation. If no one moved this time, each one would have one more egg at lunch. However, this time if even one person gave up, everyone would lose their chance of adding one more egg to their meal.
Selepas mereka berehat, titah kedua Yang Amat Mulia Putera Roland adalah lebih pelik lagi. Baginda mengarahkan semua orang sambung berdiri dalam formasi tadi. Jika tiada siapa bergerak kali ini, setiap orang akan mendapat dua biji telur semasa makan nanti. Namun kali ini, jika ada seorang pun yang bergerak, semua orang takkan dapat telur langsung.
Van'er terdengar seseorang menelan air liur.
Inikah cara golongan diraja menghiburkan diri? Mengumpan-umpan orang miskin dengan makanan dan ganjaran? Van'er enggan menurut cakap seperti seekor monyet suruhan.
Tetapi bagaimana jika semua orang boleh melakukannya? Nanti dia akan dapat makan dua biji telur!
Ganjaran itu terlalu menarik. Mulut Van'er mula kecur dan dia memutuskan untuk mencuba yang terbaik.