Chereads / Suara. / Chapter 1 - Kepompong

Suara.

owlsoul
  • 14
    chs / week
  • --
    NOT RATINGS
  • 348
    Views
Synopsis

Chapter 1 - Kepompong

Mountain Bike berwarna biru dikayuh tenang. Dengan berhati-hati basikal itu dibawa menyusuri tali air dan batas-batas yang memisahkan petak-petak sawah. Tanah elok kering tak berlecak, tapi kalau salah langkah boleh jatuh tercebur dalam air. Batas laluannya kecil sangat, cukup-cukup untuk sebuah basikal. Kalau berselisih, terpaksalah salah satu bagi laluan.

Andrey menghentikan kayuhan bila sampai di sebuah wakaf berhampiran sebatang sungai berdekatan sebuah jambatan kayu yang menghubungkan dua buah kampung— Kampung Nilam dan Kampung Zamrud. Dengan cermat dia menongkat basikal kesayangannya kemudian wakaf dihampiri.

Beg galas denim berwarna biru navy yang dah hampir memutih diletakkan di atas pangkin kayu. Bertahun sudah beg galas itu setia berkhidmat membawa peralatan lukisannya— berus, warna, palet, easel, kanvas.

Tangan didepangkan. Nyaman hembusan nafas fauna yang menghias Kampung Nilam dihirup dan dilepaskan semula. Di seberang sungai terdapat kebun-kebun kecil yang diusahakan penduduk setempat. Dari jauh kelihatan beberapa orang petani, lelaki dan perempuan sedang tekun mengerjakan kebun. Sayup-sayup kedengaran suara mereka bergurau dan ketawa sesama sendiri— gembira berjasa kepada tanah. Keringat yang jatuh meresap dihirup bumi bagai meniup nyawa kepada benih-benih yang disemai.

"Elok cuaca hari ni." Satu suara menyapa mesra dari arah kiri. Seorang gadis berseluar track dan kemeja lusuh lengan panjang berkotak-kotak hitam-merah menghampiri. Tangan kanannya menjinjing sebuah bakul rotan. Topi besar yang menutup kepala dibuka. "Hai..." Senyuman dilempar dan disambut dengan mesra.

"Kak Zu.,. Apa khabar akak hari ni?"

"Kalau sakit tak ke sawah, dik."

"Tak lama lagi musim menuai dah."

"Sayang, Andrey tak ada kat sini dah masa tu."

"Eh, lajunya internet. Bukan kampung ni line pun tak berapa nak ada ke?"

Kak Zu ketawa kecil sambil meletakkan bakul di atas lantai wakaf. "Mulut makcik-makcik kampung lagi laju daripada broadband." Dia merehatkan punggung di sebelah Andrey.

"Camnilah kak, nasib anak askar. Bukan macam anak ketua kampung."

"Tapi best la dapat tengok tempat orang. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Budak kampung, kat sini ajelah kita," balas anak ketua kampung Nilam yang lebih kurang 4 tahun lebih tua dari anak pegawai tentera di sebelahnya.

"Tunggu orang masuk minang."

"Pandai je kau ni."

"Dapat calon laki kerja askar nanti boleh la merata pergi."

"Kalau askar nak macam Tuan Arman."

"Ha, dapat anak nanti letak nama Andrey, ye."

Kak Zu pandang muka Andrey. Ada senyuman di bibir gadis itu. "Dulu pendiam masa kenal, sekarang pandai dah bergurau. Tapi nak pindah pulak. Baru ingat nak mengorat."

"Dia punya gurau lagi dahsyat."

"Untunglah nanti dapat jumpa orang baru."

"Kadang-kadang letih jugak kak, asik kena pindah sekolah je."

"Jumpa ramai orang, dapat ramai kawan."

"Kenalan je."

"Akak ni, kenalan ke kawan?"

"Kakak."

"Nak lukis apa hari ni?"

"Lukis akak, boleh? Jadi model petani moden. Ratu Cantik Pekan Mutiara."

"Akak cantik ke?"

"Cantik."

"Pandai ambik hati. OK lah, akak balik dulu. Nak singgah kedai beli koyok. Badan sakit ni." kata Kak Zu sambil menepuk belakang badannya sendiri.

 "Kena urut tu, kak."

"Sebelum pindah nanti jumpa akak tau."

"Kenapa, nak mintak urut?"

"Amboi... pandai ke?" Kak Zu mengerling lalu Andrey ditinggalkan sendirian dengan kanvasnya.

 

#

 

Kampung Nilam terletak dalam mukim Pekan Mutiara, dikelilingi tiga empat kampung lain yang dipisahkan oleh sungai kecil dan tali air. Bersiar-siar dengan basikal dah jadi rutin Andrey setiap petang. Tak senang hatinya kalau sehari tak keluar ambil angin. Dia suka mendengar cerita-cerita alam sambil menghirup dan menghela udara segar yang berganding dengan panorama indah buat santapan mata untuk dibingkai kemas dalam ingatan.

Nyaman. Pekan itu bukan saja miskin dengan pembangunan tapi juga miskin dengan pencemaran. Tak ada cacat celanya pekan itu. Hanya manusialah yang selalunya mencacatkan kesempurnaan.

Mengagumi megahnya bentangan padang yang menghijau dan menguning selari musim, Andrey suka menyusur tali air ke tali air yang lain. Seronok dia bila dapat menghabiskan petang menangkap ikan di sawah sambil berbual dengan para petani— tak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda. Andrey kagum dengan semangat mereka— bertungkus lumus mengerjakan bendang dan ladang demi kelangsungan hidup. Melihat usaha keras yang didedikasi, keinsafan dan motivasi timbul di jiwa Andrey yang masih merangkak dalam menuntut ilmu kehidupan.

Setelah puas memerhati sekeliling dan memilih subjek, Andrey mula menyediakan peralatan melukisnya. Petang itu, dia berhasrat untuk mengabadikan sinar jingga di horizon yang bercantum dengan hijau pepohonan dan air sungai yang membiaskan cahaya langit. Minggu ini minggu terakhir dia di situ.

"Tak lama lagi, tempat ni jadi sejarah."

Terngiang di telinga ungkapan abah dua bulan lepas. Sewaktu berita itu disampaikan, dia sedikit pun tak merasa terkejut— dah biasa. Malah dia bersyukur kerana akhirnya dapat keluar dari pekan kecil tersebut. Tapi lebar senyuman abah membawa satu lagi kejutan. Katanya, "kali ini ke rumah sendiri, bukan kuarters kerajaan lagi."

Mereka empat beradik saling berpandangan sesama sendiri. "Ke mana kita lepas ni?" Andrian, saudara kembarnya meminta penjelasan. Teruja betul mereka, tak sabar-sabar lagi nak tahu destinasi seterusnya dalam pengembaraan hidup.

*

Merenung refleksi di permukaan air yang tenang, satu per satu kenangan dan pengalaman terbias. Ada suara bergema dalam hati. Katanya, "hidup ni macam sungai. Nampak tenang kat permukaan. Apa jadi kat bawah, orang tak tau. Tapi tetap jugak mengalir tak kira tengkujuh atau kemarau— nak pergi laut."

Begitulah Andrey mengibaratkan dirinya— mata air yang baru belajar meleleh dari legeh. Membawa sama apa saja yang terjatuh ke dalamnya. Mengalir menjadi anak sungai cetek sebelum hanyut lebih jauh, mengangkut lebih banyak tumpangan. Ranting, daun, kayu, perahu, haiwan— bernyawa atau tidak. Apa saja. Semakin dalam, semakin banyak yang karam. Yang terapung hanyalah hampas-hampas ringan, hanyut di bawa arus.

Lahir di situ, merangkak di sini. Berjalan di sana, berlari di tempat lain. Tidur di timur, jaga di barat— lapan penjuru bumi yang dilewati, tak ada satu yang tak meninggalkan kesan. Seawal usia lima tahun, Andrey sudah mula mendalami banyak perkara, terutamanya tentang kepelbagaian bangsa, budaya, kepercayaan, dan tradisi. Apa yang paling ketara adalah perbezaan status, taraf, serta cara dan gaya hidup. Setiap lokasi dan komuniti baru banyak membantu dalam memperluaskan perspektif dan masa telah mengajar dia untuk menghargai setiap peluang dan kesempatan.

Hidup ini penuh dengan variasi, satu kesimpulan mudah dicatatkan dalam sebuah puisi. Lebih banyak menggunakan telinga daripada menggunakan mulut, Andrey dah terbiasa mengamati cara dan pemikiran orang sekeliling. Semua itu dizahirkan dalam lukisan dan tulisan.

Pemandangan petang hampir siap diwarna atas kanvas. Andrey meneguk air sambil menganjak beberapa tapak ke belakang untuk melihat karyanya dengan lebih jelas sebelum memberi sentuhan terakhir. Dia tersenyum, puas hati dan bangga dengan hasil seninya.

 "Mesti aku rindu tempat ni." Katanya perlahan. Namun fikirannya beralih pula ke sekolah— satu tempat yang selalu cuba dielak tanpa pernah berjaya. "Akhirnya dapat jugak aku lari dari sekolah tu." Bisiknya lagi. Ada gembira di hujung nafas.

 

Pekan Mutiara adalah saksi kehidupan awal remaja seorang Andrey. Rutin hariannya berkisar antara rumah dan sekolah—bangun pagi, ke sekolah, pulang tengah hari, makan, dan siesta. Petang pula, biasanya diisi dengan aktiviti pilihan sendiri seperti berkebun, bermain muzik, melukis, atau menulis, yang dirasakan lebih produktif. Andrey cepat letih bila beramai-ramai dan bersesak-sesak.

Di pekan kecil itu jugalah bermulanya pengembarannya dalam mengenal dan mencari diri. Tahun pertama dan kedua, dia masih belum mengerti dengan jelas apa yang sedang dia alami tapi bila meningkat usia 15 tahun, dia mula sedar sekolah itu sebenarnya sedang mengadili dia.

 

"Kau dah nak pindah. Jangan lupa tulis surat untuk aku." Pesan Ziana kepadanya semasa mereka menghabiskan waktu rehat bersama.

"Telefon ada, nanti boleh borak. Lagi senang."

"Bil mahal."

"Gunalah public phone."

"Kampung ni ada dua je pondok telefon, Andrey. Kalau rosak kena pergi pekan. Aku manalah boleh keluar jauh-jauh."

"Pekan pun jauh? Aku jalan kaki pun sampai."

"Jauhlah kalau bapak kau letak limit."

"Hmm... Tak pe. Kalau ada chance call je la. Bukan nak borak lama-lama pun. Kau bukan awek aku." Jawab Andrey dalam nada gurauan. Dia pandang muka Ziana, tak ada reaksi. Mungkin dia tak faham apa yang cuba Andrey sampaikan.

"OK... Tapi aku suka tulis surat." Ziana tersenyum sambil membetulkan tudung dan senyuman itu meleret ke arah seorang budak lelaki yang melintasi mereka. Andrey tahu, Ziana ada hati dengan pelajar tingkatan 5 itu.

"Ikut kaulah. Tapi jangan kau tunggu posmen hari-hari pulak."

"Aku doakan akan terbuka pintu hati kau untuk terima hakikat hidup ni. Harap tempat baru dapat mengubah engkau." Ziana mengulang doa yang sama lagi. Lali dah telinga Andrey dengar semua tu.

"Aku selesa dengan diri aku, kenapa kena berubah? Apa yang nak diubah pun?"

"Kau tengok diri kau... Cara kau berpakaian pun dah menyimpang jauh dari ajaran agama."

Andrey akui, pengetahuannya dalam bidang agama masih terlalu cetek. Oleh kerana itu dia memilih untuk diam, tak mahu menyangkal dan tidak pula sama sekali bersetuju. Perkara besar seperti ini perlukan masa untuk melihat, merenung dan memikir. Ziana mungkin lebih arif tentang agama, memandangkan dia datang dari keluarga orang-orang yang 'beragama'. Jauh sama sekali berbeza jika hendak dibandingkan dengan Andrey yang dibesarkan dengan cara dan prinsip berbeza.

Ziana muncul dalam hidup Andrey seperti sebatang lilin yang menerangkan sebuah ruang gelap— satu-satunya kawan di Sekolah Menengah Pekan Mutiara yang tidak menganggap Andrey sebagai bahan hinaan. Di saat rakan-rakan sekelas lain mengata dan meminggirkan dirinya, Ziana datang dengan senyuman manis melantunkan kata-kata mesra— menunjukkan sokongan. Dan umpama lilin jugalah, kehangatannya mencair, cahayanya memalap, dan akhirnya terpadam. Tebu yang ditanam di pinggir bibir menjadi buluh berbisa menikam hati.

"Kau ingat elok ke kau pakai macam ni? Buruk kau tau tak? Kau tak rasa berdosa ke?" tanya Ziana suatu petang ketika mereka sedang duduk di sebuah warung. Nadanya yang tajam tak akan dapat ditopengkan dengan kelembutan suara yang dibuat-buat.

Andrey mengangkat bahu, menjamah rojak di hadapannya. "Aku selesa macam ni."

"Tuhan tak terima perempuan yang menyerupai lelaki atau lelaki yang menyerupai perempuan. Nabi tak mengaku umat. Kau tak takut nanti kat akhirat kau kena bakar?" Ziana menambah, sambil menguyah goreng pisang.

Soalan itu bukan pertama kali diajukan, sampai telinganya dah lali mendengar. "Tuhan lagi tau apa Dia buat," jawab Andrey ringkas tapi padat, cuba mengelak daripada memanjangkan perbualan.

Perdebatan itu tidak pernah selesai. Hampir setiap hari, Ziana akan membuka topik yang sama. Kadang-kadang dengan pujian berbaur sindiran— "Kau tak malu ke orang pandang kau pelik? Kalau kau pakai baju kurung, mesti kau nampak lebih cantik." Selalunya dia menggunakan agama untuk menekan— "Kau percayalah, Allah tu adil. Kalau kau pakai tudung, tutup aurat, jadi perempuan betul, Allah akan bagi kau apa saja kat syurga. Kat sana nanti kau boleh dapat apa je kau nak, apa yang kau tak dapat kat dunia ni."

Mungkin Ziana menyifatkan kata-katanya itu satu kewajipan sebagai seorang Muslimah tapi bagi Andrey, ia terasa seperti luka yang digarami. Ziana bercakap dengan penuh keyakinan, seolah-olah dia memiliki kebenaran mutlak sedangkan Andrey hanya menyimpan butir bicara itu untuk rujukan hari esok. Kata nasihat orang tuanya selalu dijadikan panduan— kaji dan faham sesuatu sebelum buat kesimpulan. Itulah yang dia praktikkan— dia tahu dia tak tahu, lebih baik diam berfikir daripada senyap bercakap.

Setiap kali Ziana berbicara tentang Tuhan dan syurga, semakin besar keraguan di hati Andrey. Bagaimana mungkin Tuhan yang dikatakan penuh kasih sayang, menciptakan hambaNya hanya untuk menghukum, jika bakulNya tak diangkatkan? Bagaimana mungkin Tuhan peduli tentang apa yang dia pakai, sedangkan dia merasa seperti satu kesilapan, malah sering tersesat dalam tubuh sendiri, mencari identiti yang diredhai? Soalan itu sering berlegar di minda, menagihkan sebuah kepastian.

Walaupun kata-katanya pedas, Andrey cuba bertahan dan menghormati Ziana. Dalam dunia yang penuh dengan pandangan sinis, senyum manis sering kali terasa pahit. Kebenaran akhirnya menunjukkan diri. Semakin lama, semakin ketara penerimaan yang dipamerkan Ziana hanyalah sandiwara dunia— cermin masyarakat yang menghina.

Bila mata dan telinga menjadi saksi, tiada penghakiman diperlukan lagi.

"Aku kawan dengan dia sebab aku kesian. Kau tau kan, dia tu pelik… siapa nak kawan dengan dia? Pegangan agama pun terumbang-ambing. Mak dia tu, entah Islam entah tidak. Aku dengar mak dan ayah dia tak nikah pun cara Islam. Bapak dia murtad." Merdu suara Ziana mendendangkan lagu sumbang kepada telinga-telinga tuli nada yang menyanjung keperibadiannya sebagai seorang Muslimah contoh di sekolah.

Tanpa dia sedari, Andrey mendengar dengan cukup jelas dari balik pintu kelas. Bila semua yang lain bersurai membawa hal masing-masing, Andrey bersemuka dengan Ziana untuk mempertahankan maruah. "Kau tak kenal keluarga aku, kenapa kau cakap macam tu?"

Ziana tidak mengelak malah menegakkan niatnya. "Aku cakap apa yang betul. Semua orang tau, kan? Hakikat apa yang kau nak sorok lagi?"

"Itu hal peribadi."

"Aku cuma tak nak kau terus tersesat. Cara hidup kau dan keluarga kau ni dah menyimpang, terpesong jauh dari landasan Islam. Aku cuma nak kau kembali ke jalan yang lurus."

"Jalan lurus untuk siapa?" Getar suara dikawal, hati yang panas cuba disejukkan. Kata nasihat abah dan mak Andrey mainkan di ingatan "Untuk kau? Untuk Tuhan kau? Atau untuk semua orang yang tak peduli pun tentang agama?"

Ziana hanya menggeleng, cuba menyorokkan sebuah kepalsuan dengan mencipta kesalahan orang lain. "Kau ni salah faham. Sebab tu elok kau dalami agama betul-betul. Aku doakan kau sekeluarga tak lebih tersesat. Murtad, menyekutukan Allah… beristighfarlah, Andrey."

Kata-kata itu adalah titik perpisahan mereka. Andrey mula menjauhkan diri, dan Ziana, seperti biasa, memilih untuk bersama kawan-kawan yang 'normal'.

Loceng berbunyi menandakan berakhirnya waktu rehat. Seperti selalu, membiarkan kata-kata Ziana lenyap bersama angin adalah pilihan paling bijak. Ziana menuju ke kelasnya— sebuah kelas yang memberi status cukup membanggakan dari kaca matanya sendiri, sementara Andrey segera melangkahkan kaki ke bilik seni— sebuah bilik comot, tempat di mana kedamaian meresap dalam hati dan jiwanya.

Di situ, Andrey mengukir dinding pertahanan sendiri. Perasaan dan fikiran adalah warna yang dicurahkan ke atas kanvas. Lukisannya penuh dengan metafora— burung yang terkurung dalam sangkar emas, rama-rama yang terbang dengan sayap patah, dan wajah-wajah manusia yang tidak pernah lengkap. Dia juga sering meluahkan dirinya dalam puisi dan lagu yang tak pernah didengar sesiapa.

Tertutupnya persahabatan dengan Ziana, maka terbukalah pintu mengenali diri sendiri. Dia tidak lagi cuba mencari penerimaan orang lain, kerana dia semakin mengerti, itu adalah usaha yang sia-sia. Kawan? Hanya Kak Zu yang layak setakat ini. Ziana? Kawan sejati akan menerima siapa pun kita tanpa usaha untuk mengubah apalagi mencerca. Tak. Ziana hanyalah satu pengalaman. Hakikatnya bersendirian itu lebih baik daripada bertemankan seseorang yang hanya suka merosakkan kepercayaan.

Sunyi bukan musuh sebaliknya ia adalah guru— memberi ruang untuk mencari kebenaran yang tidak pernah diajarkan oleh Ziana, cikgu-cikgu di sekolah atau masyarakat sekeliling. Bersendirian telah menemukan Andrey dengan sesuatu yang baru— kekuatan untuk berfikir sendiri. Kalau manusia sering beranggapan bahawa sunyi itu menyakitkan, bagi Andrey, itulah kebebasan. Sunyi... Kadang-kadang dia tak tahu apa maksudnya. Apa yang pasti, sunyi itu sama seperti berdikari— satu perkataan yang kedengaran sunyi. Sunyi seperti malam. Seperti gurun tak berangin. Sunyi boleh jadi amat menakutkan.

Ramai orang berlari mencari tempat untuk berlindung dari kesunyian kerana tanpa itu, sunyi akan datang meneman macam hantu. Sibuk mencari, manusia terlupa bahawa sunyi itu datang dari dalam. Sama seperti berdikari, menghadapi sunyi perlukan keberanian dan kekuatan itu tak datang dari luar.

Sibuk dengan soal jawab di minda dan dan di dada, Andrey tak ada masa untuk melayan sunyi. Buku-buku falsafah dan keagamaan menjadi teman— bukan untuk mencari Tuhan, tetapi untuk mencari diri sendiri. Dalam buku-buku itu, Andrey menemui jawapan kepada soalan-soalan yang tidak pernah diajukan di sekolah atau dalam ceramah agama. Soalan tentang apa itu jiwa, apa itu identiti. Adakah makna kehidupan ini ditentukan oleh jasad atau jiwa yang mendiami jasad?

Soalan dan jawapan diabadikan dalam lukisan-lukisan. Semakin suram, semakin dalam. Setiap garis, setiap warna adalah perlambangan kepada kebingungan, amarah, dan harapan seperti mana dia menitipkan puisi menggantikan doa kepada Tuhan—

"Jika Kau mendengar, beritahu, siapa aku ini? Adakah aku bayangan yang Kau cipta, atau pantulan dari jiwa yang hilang?"

 #

Nadi Andrey mendenyutkan cinta yang mengalir dari anak sungai Arman Shariff ke lautan Asha Lee— mencantumkan dua dunia— dua budaya, dua kepercayaan, dua jalan yang bertemu di satu arah. Ibunya, Asha, seorang wanita Eurasian yang lembut tutur kata, percaya pada hukum karma dan roda samsara. Bapanya, Arman, seorang pegawai tentera yang tegas, di lahirkan dalam budaya Melayu yang mengadaptasi kepercayaan padang pasir, tapi lebih menghargai falsafah Alam. Di tengah-tengah kekuatan dua arus itu, Andrey diajar membina sebuah bahtera melawan deru ombak dalam mencari tempat berpijak di lautan takdir yang bergelora.

Keluarga Shariff adalah lingkungan kebebasan sebuah doktrin. Meskipun selalu berpindah randah, Tuan Arman dan Puan Asha menjadikan setiap persinggahan sebagai satu tempat di mana anak-anak mereka dibenarkan menjadi apa saja yang mereka mahu. Tiada peraturan ketat tentang agama, tiada paksaan untuk menjadi sempurna. Bagi Tuan Arman, seorang pegawai tentera Melayu yang sinis terhadap dogma agama, ajaran-ajaran itu tidak lebih daripada rantai yang membataskan pemikiran kritis.

Katanya, hidup ini seperti alam semesta— tak ada sempadan. Dia dan Asha lebih menggalakkan refleksi diri dalam membina hubungan semula jadi dengan ketuhanan. Aspek-aspek kerohanian lebih diutamakan supaya hidup dapat dilihat dan dinilai dari pelbagai sudut.

Mereka mengajar anak-anak mereka tentang pentingnya memupuk pemikiran terbuka, menggalakkan soal jawab, berkongsi pandangan dan pendapat. Hidup perlu diteroka. Kesimpulan bergantung kepada penaakulan sendiri, begitu juga dengan keputusan. Perbezaan pemikiran dalam soal inilah sering dihubung kait orang sebagai punca masalah yang dihadapi Andrey di Sekolah Menengah Pekan Mutiara.

"Ideologi tu macam baju. Pakai kalau sesuai, buang kalau tak," kata Tuan Arman suatu malam kepada anak-anaknya, ketika mereka duduk berbincang, ditemani asap kopi yang melingkar seperti mimpi yang tak pernah habis.

Pernyataan itu disokong Asha, ibu yang berpegang pada falsafah Buddha, percaya bahawa manusia harus menentukan nasibnya sendiri. "We steer our own vessels through the vast ocean of existence." Semangat dihembuskan ke dalam hati empat nyawa yang mereka cipta, agar kuat dalam menghadap dunia yang sering kejam.

Namun, kebebasan di rumah tidak melindungi Andrey dari penjara dunia ciptaan manusia di luar sana. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena— jasad dan jiwa rasa tak sepadan, tak selari. Dia tahu dia bukan seperti Amanda, adik perempuannya yang suka bermain dengan anak patung dan menggayakan dress anggun di depan cermin sambil berlatih memakai gincu.

Aku bukan perempuan.

Tapi bagaimana untuk menjelaskan perasaan itu kepada dunia yang tidak memahami bahawa manusia tidak hanya diciptakan dalam dua kotak?

Sejak usia tiga tahun, Andrey tahu— tidak dengan kata-kata, tetapi dengan rasa—bahawa tubuhnya seperti baju yang dipinjam, terlalu sempit dan langsung tak sesuai. Perasaan itu bukan sekadar bayangan; ia adalah duri yang menusuk perlahan setiap kali dia dipanggil 'adik atau anak perempuan' atau kakak, setiap kali rambutnya dijalin, setiap kali dia dipaksa mengenakan baju kurung yang mengurung seperti rantai besi membelit tubuh.

Kehidupan seorang anak tentera tidak pernah memberinya masa untuk memahami kesakitan itu. Hidup mereka adalah siri perpindahan seperti menonton wayang dengan babak-babak yang berlalu begitu pantas tanpa konteks. Sekolah-sekolah hinggapnya merupakan sekolah awam kerajaan, penuh dengan manusia yang terbiasa dengan satu definisi— lelaki adalah lelaki, perempuan adalah perempuan. Dunia di antara kedua template itu adalah kekeliruan yang meruntuhkan moral, memesongkan akidah dan berakhir dengan dosa dan azab.

"Kenapa kau macam lelaki?" Suara seorang pelajar perempuan pernah menyergahnya di lorong sekolah, menarik seluruh mata tertuju kepadanya. Andrey hanya senyum dan berlalu tanpa menjawab.

Andrey sedar, dirinya sering dipilih sebagai tajuk untuk dibincangkan hingga melarat-larat jadi gosip dan buah mulut orang. Tak perlu susah payah meminta-minta, dia berjaya mendapat perhatian warga sekolah sehingga mereka memilih untuk menghakimi— penghakiman berasaskan apa yang dilihat mata, bukan didengar telinga apalagi dirasakan oleh hati. Diimbangi rasional dan logik? Jauh sekali.

Manusia cukup gemar melakukan itu— menilai sesuatu dari permukaan. Manusia cenderung mengadili berlandaskan apa yang dilihat mata, tanpa menilai personaliti inikan pula menitik beratkan individualiti. Ramai manusia yang teringin benar nak jadi Tuhan hingga menafikan hak manusia lain untuk memilih seolah-olah memaksa dan menghukum itu adalah satu kewajipan yang dosanya tak mungkin ada pengampunan jika tak dilaksanakan.

"Berdosa tak tutup aurat." Itulah ayat yang sering diguna Tuan Pengetua Haji Idris Mahmud setiap kali terserempak dengan Andrey di koridor sekolah.

"Insha Allah." Dan dua perkataan itu Andrey gunakan sebagai jawapan yang biasanya akan dijadikan sebab untuk memanjangkan khutbah. Tekanan tak berakhir di situ. Dari orang terpenting di sekolah hinggalah ke murid termuda, dia sering ditegur dengan kata -kata sinis dan sarkastik yang dianggap gurauan.

"Kau ni jantan ke betina?" tanya seorang pelajar lelaki suatu hari di padang sekolah. Suaranya nyaring, cukup untuk menarik perhatian yang lain. Andrey hanya memandang, diam, walaupun hatinya memberontak. Bagaimana dapat dia menjelaskan sesuatu yang dia sendiri masih belajar untuk memahami?

Guru disiplin sekolah, Cikgu Ramli, sekutu Tuan Pengetua, tak lengkap harinya jika tak menegur Andrey. "Bila awak nak pakai baju kurung, tudung? Pinafore dan skirt untuk orang bukan Islam. Awak kan perempuan Melayu. Hormat sikit budaya kita," katanya dengan nada tegas.

Andrey menyembunyikan bantahannya dalam anggukan kepala. Melawan tak akan selesaikan apa-apa. Jadi dia membuat satu rumusan— untuk bertahan di sekolah itu, dia perlu membenamkan dirinya lebih dalam, sepertimana berlian yang harus digali oleh orang yang benar-benar menghargai.

Dari dimensi itu, mata Andrey terbuka untuk melihat wajah-wajah di sebalik topeng. Ramai. Banyak. Ada yang memakai topeng atas dasar ikut-ikutan. Ada yang memakainya atas desakan satu kuasa. Bagi Andrey, mudah. Kalau rela, kalau selesa pakai topeng, pakailah. Tapi tak akan sesekali dia menopengkan diri demi memuaskan hati orang lain, supaya jadi macam orang lain— supaya padan dengan yang lain. Hatinya membantah keras. Akal fikiran tak pernah bersetuju lalu keduanya sebulat suara mempersetankan peraturan ciptaan manusia.

#

"Kalau tak suka tak payah buat. Lagipun, buat benda tanpa rela, mana datang ikhlasnya?" Satu respon ringkas tapi padat diberikan Adrian sewaktu pertama kali konflik itu diceritakan.

"Aku nak tukar sekolah tapi mana nak pergi? Kau senanglah, duduk asrama kat bandar. Aku ni tak boleh pergi mana."

"Itula. Dulu Dapat offer masuk asrama kau tak nak. Kena bangun pagilah, disiplin ketatlah... Sekarang ni kau anggap je semua ni satu challenge." Abang yang tua beberapa minit darinya itu memberi nasihat.

 

"Masuk asrama pun bukan aku boleh pakai bebas. Lagi banyak rules."

"Tau pun kau."

"Perhimpunan pagi tadi, cikgu disiplin suruh aku berdiri luar dewan. Dia cakap aku tak layak duduk dalam dewan tu."

"Hah? Gila ke? Apa alasan dia?"

"Apa lagi... Aku heran kenapa hari-hari nak persoalkan identiti aku? Aku pakai pinafore pun jadi masalah. Entah apa-apa entah. Ikut hati, itu pun aku tak nak sarung kat badan ni. Terpaksa je."

"Dress code, bro."

"Yang nak belajar otak bukan baju."

Adrian merasa tidak setuju dengan apa yang adiknya alami di sekolah. "Ni discrimination. Mana punya undang-undang dia pakai?" Ada geram digetar suaranya.

"Undang-undang padang pasir. Saja nak malukan aku kot. OK, aku faham, dresscode tapi kenapa nak persoalkan identiti aku sampai menekan aku hari-hari? Sampai tahap menghina? Nak paksa aku pakai baju kurunglah, tudunglah apa."

"Itulah... Pinafore, skirt pun uniform rasmi jugak."

"Itupun last choice. Nak harap aku pakai yang lain, sorry lah..."

"Tak salah jadi diri sendiri. Tapi nak buat orang faham, bukan senang. Tambah lagi bila dah libatkan undang-undang camni. Kita ni hidup dalam penjara buatan manusia. Tindakan dia buat macam tu memang melampau."

"Kau pun tau, kita bukan macam diaorang tu, regarding belief. Bangsa bukan agama. Dan agama tak menentukan bangsa." Andrey melontarkan suara tenang, cuba meluahkan sesuatu yang kerap dia fikirkan sejak akhir-akhir ini.

"Tapi manusia suka jadi Tuhan, kan?"

"Terus terang, aku tak berminat langsung dengan dogma-dogma macam ni. Kita ni, dibekalkan dengan otak, bukan manual."

 

Suara hati dan akal fikiran saling bersahutan. Minda yang masih terlalu mentah itu tak pernah penat mencuba untuk memahami punca manusia melakukan apa yang mereka lakukan. Apa yang mereka anggap wajar dan waras. Mengapa dan apa sebabnya mereka bersikap, berfikiran hingga bertindak sedemikian? Adakah kerana masih kolot lantaran jauh dari kemajuan kota? Atau ianya berpunca daripada kecenderungan membudayakan agama? Mentafsir pemikiran manusia hanya berasaskan tempat, itu tidak adil. Sama halnya jika nak menghubung-kaitkan soal pegangan dan kepercayaan. Itu semua hak individu, pilihan peribadi.

Tanda tanya itu dia biarkan dalam hati seperti mana Adrian hanya mampu memberikan masa dan telinga mendengar keluhannya. Andy sama sekali tak menyokong tindakan dan desakan guru-guru di sekolah adiknya itu, tapi apalah yang dapat dia buat? Undang-undang kena ikut. Sekolah awam, macam tu lah...

"Aku tengok kat sekolah ni, banyak mentaliti masih belum cukup ke depan."

"Kau rasa sebab apa?"

"Entahlah. Subjektif."

"Ada kau bagitau abah mak pasal ni?"

 Andrey menggeleng. "Tak. Aku tak tau apa nak cakap. Mak abah pun tak kan setuju, aku tau, tapi kalau aku mengadu pun, dorang mesti cakap sama macam kau cakap. Lagipun mana ada pilihan sekolah lain dekat pekan ni?"

"Kau kenalah tahan je sekarang ni sampai kita pindah dari sini."

"Memang itulah yang tengah aku buat."

"So?"

"It's all about personal choice, right?" Andrey memandang muka abangnya, mencari keyakinan.

"Of course! No one has the authority to intrude on our thoughts. Aku faham, hal ni boleh tahan berat. Tapi masalah kena kita hadap, bukan lari."

"Bukan nak lari. Tapi bila hari-hari kena kejar, kena tekan, kena khutbah pasal dosa pahala, pasal hukum hakam, diaorang buat aku rasa macam aku ni dah beli rumah dalam neraka. Bersih sangat agaknya diorang tu. Bebas dosa."

Adrian atau lebih mesra dengan panggilan Andy menepuk-nepuk perlahan bahu adiknya. "Sabar. Ni satu chapter yang kau kena analisis elok-elok. Aku percaya benda ni bukan kosong."

 

Pengalaman yang dicedok di Sekolah Menengah Pekan Mutiara tersimpan kemas dalam ingatan. Senario ini perlu diamati dan didekati dengan fikiran terbuka. Mulut memang malas, tapi otaknya rajin cari jawapan.

Itulah titik permulaan di mana kecenderungan bersoal jawab dengan diri sendiri dan mencari jawapan dalam buku-buku di perpustakaan mula terbentuk. Dia nak memahami kewujudan. Tumbuh minat untuk mencari kebenaran antara dosa dan pahala— nak kenal apa itu syurga, apa itu neraka. Nak tau segala-galanya tentang kepercayaan. Dan akhirnya Pekan Mutiara tak lain hanyalah satu lagi kenangan.