Chereads / Suara. / Chapter 2 - Terusan Tasik Biru

Chapter 2 - Terusan Tasik Biru

Andrey berjalan menuju makmal sains sendirian selepas waktu rehat. Seperti biasa dia bersendirian, tak ada siapa yang nak meneman. Rakan-rakan di sekolah semua ada klik masing-masing. Dia hanya ada dia. Walaupun kadang-kadang ada juga rasa tersisih, tapi hidup lepas bebas macam burung telah menutup perasaan negatif tersebut.

It's better this way. Ramai-ramai serabut.

Langkah kakinya terhenti bila dia terserempak dengan pengetua sekolah yang berserban. Dia dipanggil. Ini bukan kali pertama.

"Bila awak nak pakai tudung?" Tanya pengetua yang lagaknya lebih kepada seorang ahli Tabligh daripada seorang guru.

"Tengoklah."

"Berdosa macam ni."

Andrey diam. Apa yang dosanya, dia pun tak tau.

"Saya tak nak tengok awak pakai macam ni lagi."

Dia diam. Muka pak serban itu dia pandang kosong — kosong. Marah tidak. Benci tidak. Terganggu, ada sedikit. Cuma otaknya berfikir, kenapalah tak habis-habis hal itu yang dijadikan isu? Bukankah lebih baik menitikberatkan prestasi sekolah dari segi akademi, seni dan sukan?

"Nabi tak mengaku umat." Ayat yang sama diulang lagi.

Bukan sekali dua itu terjadi. Dah banyak kali. Dan bukan hanya pak serban itu, malah ada beberapa orang lagi guru yang menjadi orang suruhannya, kebanyakan daripada mereka, guru lelaki. Guru perempuan seakan tak ambil peduli sangat soal itu dan Andrey tetap dengan pendirian.

"Saya tak faham betul, kak…" Adunya kepada Kak Zu pada petang yang sama. Di situlah mereka selalu bertemu, meluah dan mendengar— di tepi sawah atau sungai dan gadis itu menjadi pengganti Andy, tempat dia meleraikan kekusutan. 

Dihimpit persoalan yang sama setiap hari, siapalah yang tak akan rasa terganggu, tertekan? Bagaimanapun, Andrey cuba bersabar, memandangkan tak lama lagi dia akan menduduki peperiksaan yang menentukan kelayakannya untuk menjejakkan kaki ke menengah tinggi. Itu lebih penting.

"Dulu, sebelum pengetua tu datang, tak ada masalah macam ni pun. Akak pun mana pakai tudung masa sekolah kat situ, kan?"

"Ha ah. Masa pengetua Ikhwan dulu, tak ada masalah. Cikgu pun ramai yang tak bertudung. Dia ni sampai huru hara jadinya. Tak patut betul."

"Dalam buku peraturan sekolah, mana ada tulis wajib pakai baju kurung, pakai tudung. Saya ni, kak, kalau boleh skirt ke pinafore ke pun saya tak nak pakai."

"Akak faham, Andrey. Akak faham sangat…" Gadis itu menggosok-gosok lengan Andrey, cuba memujuk untuk bertenang.

"Dia ingat sekolah pondok ke?"

"Dulu dia mengajar pondok kot, sebab tu terkejut beruk."

"Saya pernah bawak buku tu masa cikgu Roslan panggil datang bilik disiplin." Andrey teringat peristiwa beberapa bulan lepas.

"Dalam buku ni tak ada tulis pun pasal diwajibkan pakai baju kurung dan tudung." Dia cuba membela diri. Buku panduan pelajar yang memang siap sedia dibawa, dia buka dan dia tunjukkan kepada guru disiplin tersebut.

"Ini buku lama! Outdated."

Selang seminggu selepas itu, cikgu Roslan, guru disiplin, datang meluru menyerbu dia pada waktu rehat, di kantin. Ruang makan penuh dengan pelajar-pelajar yang berbilang bangsa. Kantin sesak, macam biasa. Andrey sedang minum pagi bila sebuah buku berwarna kuning tiba-tiba melayang depan mata sebelum mendarat atas meja.

"Ni updated version." Tengking cikgu Roslan tak semena-mena. Semua mata memerhati. Seketika kantin yang riuh menjadi senyap sunyi.

Melihat Andrey tidak menjawab, buku yang terbaring atas meja diambil, lalu ditonyoh-tonyoh ke muka Andrey. "Awak baca buku ni dan ikut apa saja peraturan yang terkandung dalam tu." Bentak cikgu Roslan tanpa rasa bersalah. 

Menjadi dirinya, hanya berdiam walaupun malu bila diaibkan begitu di hadapan pelajar lain. Tiada siapa yang ambil tahu. Tiada siapa yang datang meredakan kesedihan dan rasa kecewa akibat dimalukan sebegitu di khalayak ramai. Tiada siapa yang menunjukkan simpati termasuklah Ziana yang sewaktu itu duduk makan bersama kawan-kawannya yang lain. 

Andrey tak peduli semua itu. Dalam fikirannya hanya ada Kak Zu. Mee goreng dan sirap dia habiskan. Sebelum kembali ke kelas, dia singgah di telefon awam yang terletak dekat dengan bilik guru untuk menghubungi Kak Zu.

Saki baki matapelajaran selepas waktu rehat diteruskan dengan perasaan terganggu berikutan insiden di kantin tadi. Dia tak sabar tunggu loceng berbunyi untuk meninggalkan sekolah.

Seperti yang telah mereka janjikan, petang itu basikal Andrey kayuh ke petak sawah di mana Kak Zu sedang tekun dengan kerja-kerjanya. Dari jauh dia melambai Andrey.

"Tunggu sekejap. Akak dah nak siap dah." Laung Kak Zu tapi Andrey tak mengendahkan. Dia yang memakai seluar pendek terus menjejakkan kaki ke dalam sawah, mendapatkan Kak Zu.

"Eh, apa melampau sangat? Dah gila ke cikgu Roslan tu? Dulu dia tak macam tu. Mana kisah langsung orang nak pakai baju kurung ke, skirt ke. Ni semua pasal cikgu besar baru tu lah, akak sure."

"Malu saya, kak."

"Abih tak ada orang backup engkau?"

Andrey menggeleng sambil membantu Kak Zu menjinjing sebatang cangkul.

"Ziana pun?"

"Dia dengan kawan-kawan dia tengok je."

"Huh, kalau akak ada kat situ tadi, memang kena dah cikgu Roslan tu. Tak respek orang langsung. Apa kenalah manusia sekarang ni? Senang betul orang berubah nak nak bila dah dibagi kuasa…"

"Rasa nak pindah je dari sini."

"Sekolah lain jauh pulak tu… Hmm, kau sabar banyak-banyak, ye. Akak percaya mesti ada sebab kau diduga macam ni."

"Kak, benda ni semua buat saya terfikir, saya ni satu dosa ke? Kenapa Tuhan jadikan saya macam ni? Tuhan tu tak adil…"

"Bagi akak, kau bukan satu dosa. Orang yang menghukum lebih berdosa. Tuhan tu adil. Akak percaya pada karma."

"Karma…" Dia terbayang wajah mak. Mak selalu bercerita tentang karma.

"Ye, karma. Setiap perbuatan, baik atau buruk, salah atau betul, ada pasangan dia nanti." Lembut suara Kak Zu cuba menyuntik keyakinan bahawa dia tak bersalah.

"Pakaian tak boleh tentukan hati seseorang, kan?" Tambah Kak Zu lagi.

"Yang penting apa ada kat dalam ni." Dia meletakkan tangannya ke dada Andrey.

#

Puan Asha membaca surat yang baru sekejap tadi diterima— surat dari Sekolah Menengah Pekan Mutiara, yang ditandatangani oleh Tuan Pengetua, Haji Idris Mahmud. "Amanda, mana Andrey?" Dia mematikan tumpuan anak gadisnya daripada sebuah buku di tangan.

"Surat apa tu, mak?"

"Panggil dia."

Amanda patuh. Dia terus ke bilik Andrey di tingkat atas rumah. Pintu terbuka luas. Andrey sedang tidur nyenyak macam ular sawa baru lepas telan ayam. Begitulah dia tiap tengah hari selepas makan. 

"Andrey… Andrey…" Amanda menggoncang bahunya perlahan. "Andrey…"

"Apahal kacau aku tidur. Mengantuklah…" Rungut Andrey. Matanya digosok-gosokkan dengan tapak tangan.

"Mak panggil."

Dengan malas, dia bangun lalu menyandarkan badannya di kepala katil. "Apa pulak halnya ni?"

"Entahlah. Tapi aku nampak ada surat."

"Surat?" Berkerut dahi Andrey kehairanan. "Surat apa pulak?"

Tak pernah dia dapat surat selama ini. Tanpa berlengah kedua beradik itu turun ke ruang tamu, mendapatkan ibu yang sedang menunggu.

"Apa kamu dah buat kat sekolah?

"Belajarlah mak, buat apa lagi? Kenapa? Saya tak ada buat hal."

"Kalau tak buat hal kenapa pengetua nak jumpa abah dan mak?"

Andrey mengambil surat yang terbaring di atas meja lalu membacanya. "Saya tak buat apa salah pun mak. Ni tak de lain lah ni, mesti sebab uniform…"

Perkara yang sebolehnya dia sembunyikan, kini bukan lagi rahsia. Gangguan yang menghantui di sekolah nampaknya semakin parah sampai melibatkan orang tua. Hati Andrey berdebar. Ada benci. Ada geram. Ada marah.

"Betul, mak. Saya pun selalu kena." Amanda menguatkan lagi pernyataan. Dia menyinggung perlahan kakinya ke kaki Andrey, menghantar isyarat supaya kakaknya itu buka cerita. 

"This is not right."

Andrey dan Amanda saling berpandangan. Mujurlah mereka mempunyai orang tua yang cukup memahami dalam soal seperti ini. Dan topik tersebut menjadi perbincangan di meja makan malam itu.

"Dah orang jemput, tak elok kalau kita tak pergi." Abah membuat konklusi dengan tenang.

"Inilah masalah bila agama dibudayakan." Sambut emak yang memang tak bersetuju sama sekali atas ketidakadilan yang menekan kedua anak mereka, terutamanya Andrey.

"Kat sekolah, orang panggil saya murtad." Alang-alang dah jadi isu, Andrey tak ragu-ragu lagi untuk mendedahkan permasalahan yang ditimbulkan oleh pengetua baru Sekolah Menengah Pekan Mutiara.

"See… so uncultured. Siapa bagi dia hak mempersoalkan kepercayaan kita? Kenapa dari awal tak ceritakan masalah ni pada mak dan abah?"

"Saya ingat ni soal uniform je mak, but… they said I'm a sinner, an apostate."

"As if they're free from sin? Untouched by sin?" Bidas Puan Asha yang tak menyangka sama sekali anak-anaknya berhadapan dengan masalah seperti itu di sekolah. 

"I'm struggling to put my beliefs into words. It feels like I've been tagged with a label I didn't choose... Honestly, it's pretty disheartening." Andrey menzahirkan pergolakan yang dialami. Semenjak dua ini, memang hatinya dipanggil-panggil untuk merungkai misteri kewujudan dan permasalahan yang timbul di sekolah menguatkan lagi gema panggilan itu. Dia mahu menyahutnya. Dia tau, dia perlu menyahut panggilan itu. 

"Arman, we must not let them. This is too much."

"Don't worry, sayang. We'll face him." Abah pandang mereka semua satu persatu— isteri dan ketiga-tiga anaknya. "It's love that unites us, not our beliefs." Tangan isterinya dipegang kemudian dia meneruskan kata-kata, "Look… As you all know, abah dan mak bagi kebebasan penuh kepada kamu semua untuk pilih jalan mana yang kamu nak, agama apa kamu nak anut asalkan tak memudaratkan kamu dari segi mental, spiritual dan moral. This is a personal choice."

"Belajar dulu sampai faham. Kaji dan teliti sebelum buat keputusan. Dalam soal memilih kepercayaan, mak dan abah bagi kebebasan penuh. Just don't follow blindly. Itu paling penting." Tambah Puan Asha, menyokong pendirian suaminya.

#

Andrey menemui Amanda yang duduk di bawah pokok menunggu sesi petang persekolahan bermula. Hari itu Jumaat. Amanda mengenakan baju kurung, tanpa tudung. Hanya pada hari Jumaat manakala hari-hari lain, seperti Andrey, dia lebih selesa mengenakan skirt atau pinafore.

"Abah dengan mak dah masuk tu. Apalagi agaknya lepas ni…"

"Entahla. Aku dah bosan dengan sekolah ni. Bilalah boleh blah dari sini…"

"Tengok je nanti."

"Aku balik dululah, bosan aku. Jumpa nanti dekat rumah."

Andrey meninggalkan adiknya yang mula dihampiri rakan-rakan. Terlihat kereta abah ada di tempat parkir, terus dia singgah sebentar untuk menyapa Uncle Black yang menunggu dalam kereta. "Uncle, lama dah ke mak dan abah masuk?"

"Dalam sepuluh, lima belas minit. Nak balik dah ke?"

Andrey mengangguk. 

"Jangan risau sangat. Balik tido. Taulah abah mak nak deal macam mana dengan pak lebai tu."

"Bilalah boleh pindah dari sini... "

"Soon."

Selepas berbual kecil dengan pemandu keluarga, Andrey mendapatkan basikalnya dan pulang terus ke rumah.

*

"Baik, cikgu. Kami faham peraturan tu tapi jelas Andrey tak melanggar peraturan sekolah hanya kerana dia memilih untuk tidak mengenakan baju kurung dan tudung. Mungkin Tuan boleh terangkan kenapa hal ni jadi isu besar sampai perlu panggil kami ke sini."

"IC Tuan, jelas menunjukkan Islam. Macam tu jugak dengan kedua anak Tuan. Tapi IC Puan, masih beragama Buddha. Ni tak betul ni." Tuan Haji Idris Mahmud memulakan perbincangan. "Mungkin perkahwinan campur yang dah buat Tuan berpaling arah." Haji Idris Mahmud mengabaikan pertanyaan yang diajukan.

Mendidih darah Puan Asha bila kata-kata itu dilemparkan tanpa rasa bersalah apaöagi menunjukkan rasa hormat. "Itu ke masalah yang nak dibincangkan?" Ingin saja dia berdiri, menentang penghakiman itu. Namun rasional menghalang. Lalu dia biarkan suaminya menyelesaikan masalah sebagaimana yang telah mereka persetujui.

"Kenapa kaitkan soal peribadi dengan masalah ni? Dua tahun lepas, tak jadi masalah pun anak saya pakai skirt atau pinafore. Kenapa sekarang pulak jadi hal?"

Tuan Arman tahu, kalau terus dilayan, perbincangan itu akan menyasar daripada tujuan sebenar. Tapi nampaknya perkara itu dah menjadi isu utama tuan pengetua. Sepertinya dia menjemput hanya untuk memberi khutbah agama. 

"Sebagai orang Melayu kita ni Islam. Betapa bertuahnya kita dilahirkan terus sebagai Islam. Kita mesti patuh pada ajaran Nabi. Berdosa anak Tuan berpakaian seperti orang kafir. Akidah dah terpesong. Dengan menggayakan imej lelaki, Nabi tak mengaku umat. Isteri Tuan pun tak menutup aurat. Dosa mereka, siapa yang akan tanggung?" Pengetua berserban itu tak mengendahkan pertanyaan Tuan Arman.

"Tak ada sesiapa yang akan menanggung dosa sesiapa." Tona suara Tuan Arman sedikit naik tapi dia segera mengawalnya. "Maaf, cikgu. Saya rasa kami datang ke sini untuk berbincang soal seragam sekolah Andrey, bukan untuk membicarakan perkahwinan saya. Latar belakang kami tak ada kena mengena dengan isu ini."

"Tuan salah. Sebagai ketua keluarga, Tuanlah yang bertanggung jawab atas dosa-dosa mereka. Isteri Tuan, sebagai saudara baru, harus dibimbing bukan biarkan dia membimbing Tuan. Tapi nampaknya, Puan pun belum tukar agama lagi."

Berdesing telinga Tuan Arman mendengar dakwah yang diberi. Walaupun tak bersetuju dan rasa dihina, namun dia tetap bersikap profesional dalam mengendali situasi dan emosi. Kepala ditoleh, wajah Asha diamati. Dia nampak suara di mata isterinya itu— suara yang berhak didengarkan. "Saya rasa ni dah melangkaui batas. Soal agama suami saya bukan urusan sesiapa, dan tak sepatutnya dibangkitkan dalam hal ni. Kami di sini bukan untuk diadili."

"Tuan Arman, Puan Asha, saya cuma nak memahami kenapa Andrey begitu sukar patuh pada peraturan Islam. Mungkin ini ada kaitan dengan cara dia dibesarkan. Sebagai orang Melayu Islam, kita ada tanggungjawab besar, tapi… saya rasa Tuan sendiri menolak ajaran Islam."

Kata-kata yang dilontar lebih baik diberi layanan bisu. Ini bukan kali pertama Tuan Arman berhadapan dengan persoalan sebegini— tentang agama dan kepercayaan. Walaupun dia ada sebab dan alasan, tapi hak dan kebebasan untuk memilih disekat. Apa yang tertera atas kertas tak lain hanyalah tulisan manusia, bukan perjanjian antara dia dan Pencipta.

Sinar di mata Asha mengembalikan nostalgia sewaktu dia melamar ibu kepada anak-anaknya. Sinar itu jugalah pembakar semangat dalam mempertahankan peribadi dan prinsip hidup.

"I am drawn to you for who you truly are. This is the foundation upon which I build my beliefs and decide what to embrace."

"How about your family?"

"They will understand."

"Do I have to convert?"

"You don't need to. Not for anyone. Your beliefs are yours to hold. All I ask for is your genuine love, unwavering and true, until the end of our days... Till death do us part."

Perkahwinan Arman dan Asha didaftarkan sewaktu masih belajar di Ireland. Sekembali ke tanah air, mereka adakan majlis sekali lagi, atas permintaan keluarga. Majilis resepsi dibuat mengikut adat budaya Melayu, bukan secara Islamik. Apa yang penting bagi kedua pasangan itu, perkahwinan mereka sah mengikut undang-undang sivil. Asha mengekalkan nama pertama dan menjadikan Shariff sebagai nama keluarga.

Pasangan Shariff langsung tak berniat untuk melabelkan status perkahwinan mereka dalam konteks Islam yang memerlukan Puan Asha memeluk agama Islam. Itu semua demi memastikan perkahwinan mereka dapat didaftarkan semula mengikut hukum syarak di Malaysia— sesuatu yang tak masuk akal bagi keduanya.

"Dua tahun anak saya, Andrey, sekolah kat sini. Dua tahun bawah naungan pengetua Ikhwan. Sekali pun isu ni tak pernah timbul. Kenapa bila cikgu ambil alih, hal ni jadi masalah?"

"Sebab cikgu Ikhwan tak ikut ajaran agama Islam yang betul. Saya diberi tanggungjawab ini oleh Tuhan untuk membetulkan apa yang tak betul. Untuk menyedarkan masyarakat tentang akidah."

Tuan Arman tarik nafas panjang. Dia tahu tak ada gunanya bertekak dengan seseorang yang tahu tentang segala-galanya. Seseorang yang telah ditentukan tempat dalam syurga hingga layak melempar orang lain ke dalam neraka.

"Untuk mengenal seseorang, bukan dengan membaca kertas tapi hati." Terpancul baris itu dari mulut Tuan Arman, perlahan. "Kerana hatilah Tanah Suci tempat Dia tinggal, sebuah tanah yang telah dijanjikan untuk mereka yang benar-benar merasakan kewujudanNya." Wajah isterinya dipandang. Tatapan mata yang lembut itu bagai memberitahu bahawa masa lebih berharga.

"Kita boleh bawa hal ni ke PPD kemudian ke Kementerian. Kalau nak ke Mahkamah Syariah pun, silakan. Saya tunggu." Dengan tenang Tuan Arman memberi kata putus. 

Untuk beberapa ketika, Tuan Haji Idris Mahmud mendiamkan diri, sebelum bersuara, "kalau boleh diselesaikan cara baik, kita buat cara baik. Tak perlulah meleret-leret sampai ke atas. Saya cuma nak selamatkan Tuan dan keluarga Tuan. Bawa ke jalan yang lurus. Ke jalan Tuhan sebagaimana yang Nabi junjungan kita ajarkan."

Tuan Arman bangun dari kerusi. Tangan dibawa menyentuh lengan si isteri. Sambil menggenggamnya erat, Tuan Arman berkata dengan tegas, "kalau nak selesaikan hal ni dekat sini, tolong jangan tekan anak-anak saya. Biar mereka fikir sendiri dan buat dengan ikhlas rela hati. Atau kita boleh jumpa di mahkamah."

#

Terusan Tasik Biru. Perpindahan ke sini adalah satu rahmat bagi Andrey. Nikmat yang menyimpan seribu satu maksud tersirat. Bandar ini syurga buatnya selepas beberapa tahun terbelenggu dalam satu putaran. Keputusan abah mengisytiharkan Terusan Tasik Biru sebagai rumah kekal mereka adalah sebuah laungan kemerdekaan. Satu pembebasan. Sebuah penghijrahan. Hari yang selayaknya disambut sebagai satu tanda penghargaan dan mengenang peristiwa yang mesti dihormati. Memori menerjah lagi. Semuanya indah. Malah, yang pahit juga bertukar manis bila dikenang.

Dia bertuah. Bukan semua orang diberi keistimewaan untuk mengecapi pengalaman seperti ini— berpindah-randah, pergi tempat orang. Dengar macam-macam cerita. Tengok berbagai-bagai kerenah. Semua itu sedikit sebanyak telah membantu menghapuskan kejanggalan dan ketakutan dalam hidup. Dan disebabkan sering bertukar-tukar tempatlah dia cepat menjadi 'dewasa', berpeluang mengenal sikap manusia.

Terletak berhampiran kampung halaman bapanya, Terusan Tasik Biru adalah sebuah bandar berkonsepkan taman, jauh daripada kesesakan dan himpitan hutan batu, dekat dengan suara alam dan keindahan semulajadinya— tasik, sungai, hutan dan bukit bukau. Gabungan sempurna hijau dan biru serta merta mengikat hati Andrey, namun ada sesuatu yang seakan menyeru-nyeru semangatnya untuk percaya bahawa jiwanya ada di sini. Mungkin jawapan ada tersembunyi di satu sudut kewujudan yang masih belum dia terokai.

#

Andrey duduk menghirup teh panas di balkoni bilik tidurnya. Pemandangan luar biasa cantik terpampang seakan lukisan yang berbingkaikan jendela dan pintu kamar. Lukisan yang hidup itu sentiasa berubah-rubah sesuai dengan peredaran waktu, cuaca, siang dan malam. Setiap petang tak pernah dia lepaskan peluang menyaksikan matahari mengucup kaki langit. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada siang, ia jatuh lalu menghilang di balik bukit bukau yang mengelilingi bandar di lembah ini, memberi laluan kepada gelap mempamerkan wajah indah alam. Dan bila pagi menjelang, kabus bergabung dengan awan, menyembunyikan bukit bukau, tapi perlahan-lahan menghilang seperti tabir yang dibuka lalu menyerlahkan kembali cantuman warna hijau dan biru.

Bandar ini cukup sederhana, tapi lengkap dengan semua kemudahan. Ia tak sebising dan sehebat kota-kota besar ataupun sesunyi dan serba tiada seperti pekan-pekan kecil persinggahan hidupnya yang terdahulu. Terusan Tasik Biru boleh jadi membosankan bagi mereka yang dah terbiasa dengan hiburan bandar, yang mana bagi Andrey, bukan satu keperluan. Asalkan ada sungai dan tasik, hutan dan bukit, dah lebih dari cukup. Itulah definisi kesempurnaan menurut interpretasinya. Tak banyak yang dia perlu untuk gembira.

Kecintaan pada alam semulajadi mendorong Andrey meneroka setiap sungai dan tasik, sama seperti yang dia lakukan di pekan-pekan dan bandar-bandar persinggahan yang lain. Pada sebelah petang, dia akan keluar berbasikal bersiar-siar untuk membiasakan diri dengan bandar ini dan mencari lubuk terbaik untuk dijadikan tempat bertapa.

Sejarah Terusan Tasik Biru menarik minat Andrey. Menurut sumber di galeri sejarah yang terdapat di perpustakaan awam, kebanyakan tasik di sini merupakan tinggalan lombong bijih yang dikomersialkan dan Tasik Biru adalah satu-satunya tasik semulajadi. Di situlah bandar ini mendapat namanya. Dulu, ianya berfungsi sebagai sumber utama ikan air tawar kepada penduduk setempat. Begitu jugalah jasanya mengalirkan air melalui terusan-terusan kecil yang dibina untuk kegunaan harian. Arus permodenan dan teknologi sentiasa menaik taraf infrastruktur. Kini Tasik Biru dijadikan kawasan rekreasi dan perkhemahan sebagai daya tarikan pelancongan.

Jauh ke timur laut bandar, menyusur jalan raya yang bengkang-bengkok, di situ mengalirnya sungai-sungai yang dikelilingi hutan hujan. Jika ingin berkelah atau berkhemah berhampiran air terjun, masuk saja ke perut hutan. Flora dan fauna akan menyambut dengan mesra. Kalau mahukan suhu rendah, memandulah terus ke utara. Jalan raya membelah bukit elok berturap walaupun lenggang-lenggoknya seperti ular kena palu. Di atas sana, terdapat banglo-banglo bekas peninggalan kolonialis. Tanah tinggi itu juga merupakan kawasan pelancongan yang cukup nyaman dan indah.

Sewaktu menghirup udara pagi Terusan Tasik Biru buat pertama kali, Andrey sematkan satu keazaman kemas-kemas dalam hati. Apapun kata orang, apa juga tohmahan, hinaan atau permasalahan yang bakal dia terima, akan dia kunyah hanya untuk diludah, selepas zat-zatnya ditelan dan dicerna. Dia membuat janji kepada diri sendiri— tak akan sekali-kali membiarkan tanggapan tak berasas manusia memesongkan hatinya.

Sesat, Andrey tak takut. Mengapa perlu takut bila tersesat? Bukankah pencarian bermula di situ? Kalau ada jalan masuk, mesti ada jalan keluar. Asalkan berani, asalkan tak mudah ditakutkan sunyi dan tidak berputus asa dengan masa.

Lain halnya kalau terpesong kerana itu satu pilihan. Bila sukarela memilih untuk membelok, tersimpanglah semua jalan. Yang luas terbuka hanyalah jalan mati. Pengakhiran tak sepatutnya bermula di situ.

Terusan Tasik Biru —

Di sini ada kedamaian, di sini ada harapan.

Di sini mimpi menghias lena. Di sini terlakar cita-cita.

Di sini aku membina impian dan di sinilah aku belajar tentang kehidupan.

Bandar ini jiwa aku, di mana perjalananku bermula.

~ Andrey, 25 Disember 2000

#

 

"Did abah mention that he has chosen the best school for all of you?" Mak bertanya sewaktu makan malam di rumah baru mereka. Abah tak dapat menyertai atas urusan kerja. Andy pula di asrama.

"Nope." Ketiga-tiga anaknya menjawab serentak.

"TBC."

"TBC?"

"It's a private school— the best in town. Mak ke sana tengah hari tadi. Nanti tengoklah brochure atas almari depan tu."

"Wow, private school. Means, no uniform?" Teruja Amanda mendengar penjelasan ringkas emak. Anis yang baru berusia sepuluh tahun tak menghiraukan sangat perbualan mereka. Tak sempat soalan itu dijawab, Andrey pula bertanya, "but why not public school, as usual?"

"Simply because it's available. Pekan dulu mana ada private school, kan?"

"Isn't it cool, Andrey? Tak payah pakai uniform lagi." Kegembiraan terpancar dari ungkapan Amanda yang mengerti akan konflik yang dihadapi kakaknya itu. Selalu dia nampak Andrey dicemuh dan dipulaukan di sekolah. Malah pernah dia saksikan Andrey dimarahi guru disiplin depan warga sekolah di kantin. Walaupun menghadapi tekanan yang sama, tapi Amanda tak ada masalah untuk mengenakan baju kurung walaupun dia enggan bertudung.

Selesai makan malam, mereka tiga beradik berehat-rehat di ruang tamu. Andrey mula membelek-risalah-risalah yang dimaksudkan emaknya tadi. Menarik. Sophisticated. Minda mula membayangkan suasana di sekolah itu. Teman-teman baru. Guru. Dah tentu kebanyakan penuntutnya datang dari golongan berada.

Satu perasaan melintasi hati lantas melayangkan ingatan Andrey ke wajah-wajah mesra yang pernah bertukar salam, bertegur bersapa sewaktu dia berbasikal, merayap di sekeliling pekan dan kampung. Wajah-wajah yang menghuni rumah-rumah papan, yang menuai padi di sawah, yang memetik petai di hutan. Wajah-wajah yang membanting tulang di ladang. Kenalan-kenalan yang berjalan kaki ke sekolah, yang hanya membawa bekal nasi goreng atau lempeng untuk mengalas perut di waktu rehat.

 

"Ni... Baca." Risalah-risalah tersebut diserahkan kepada Amanda sebelum dia melangkah keluar untuk mengambil angin malam.

Matanya memerhati sekeliling. Dalam dan luar— membandingkan apa yang ada depan mata dan apa yang pernah dia lihat dan alami di pekan-pekan persinggahan sementara hidupnya yang terdahulu— kuarters kerajaan tak akan dapat menandingi teratak orang tuanya itu. Persekitaran taman perumahan senyap sunyi. Hanya kedengaran suara cengkerik berlagu berlatarkan suara katak. Jarak antara rumah ke rumah agak jauh. Pohon-pohon rendang, yang memagari kawasan, menambahkan lagi privasi. Terasa seperti mahligai yang berdiri megah di atas bukit itu hanya ada dia. Tak ada sesiapa yang lain.

 "Aku dah masuk 16 tahun. Tahun depan O'Level." Dia mengeluh. Minggu depan sesi persekolahan bermula. Hatinya resah bila otak tak henti berfikir tentang TBC. Ini sering terjadi setiap kali bertukar sekolah. Gelisah. Sekali lagi dia terpaksa akur pada kelemahannya dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Daya ketahanan mental mesti tinggi, lebih-lebih lagi orang macam dia— tak pandai membina rangkaian.

 

"Orang ingat, bila dah biasa tukar sekolah, pindah tempat, mesti tak kekok. Ramai kawan, ramai kenalan. Cakap hal tu, saya angkat tangan, kak."

"Susah nak sesuaikan diri dengan sekolah baru?"

"Itu tak jadi hal sangat. Nak buat kawan tu yang payah."

 

Andrey mengimbas semula perbualannya dengan Kak Zu, malam sebelum dia sekeluarga meninggalkan Pekan Mutiara. Permintaan Kak Zu untuk bertemu sebelum berpindah dapat disempurnakan. Kak Zu belanja Andrey makan malam di pekan. Sebungkus hadiah diberi dan sebagai balasan, Andrey hadiahkan lukisan terakhirnya di Kampung Nilam.

 

"Gambar ni tajuk dia Ratu Cantik Pekan Mutiara." Usik Andrey. Pehanya dicubit.

"Cantik lukisan ni. Kau memang berbakat." Kak Zu memberi pujian ikhlas. Matanya tersenyum melihat lukisan di atas kanvas berukuran 40×50cm itu. "Nanti kalau ada kesempatan turun bandar, boleh kita jumpa, kan?" Tanya Kak Zu, memantulkan senyuman di mata ke bibir.

"Boleh je. Nanti saya bagi alamat dan nombor telefon."

"Bosanlah akak, tak ada kawan lagi nak tangkap ikan, memancing, mandi sungai... Ermm…Mesti rindu engkau."

Tersentuh hati Andrey bila mengenangkan saat-saat manis yang mereka cipta bersama. "Jangan cakap cam tu... sedihla…"

Kak Zu pandang tepat-tepat ke dalam mata Andrey seakan mahu memberitahu, apa yang baru sebentar dia sebut datangnya Ikhlas dari hati. "Macam musim, semuanya perlukan masa." Katanya, perlahan.

"Macam berkebun, bersawah, kan? Macam padi."

Kak Zu mengangguk. "Nak sesuaikan diri dengan kenangan, masa, tempat. Semuanya. Dengan hi, dengan bye." Muram di wajah Kak Zu tak dapat Andrey hindarkan. Hatinya turut merasa sayu, lalu dia cuba menceriakan perbualan. "Ingat tak masa kita mula-mula kenal dulu? Masa akak jatuh basikal dengan ikan bersepah atas tanah?"

Malam terakhir di Kampung Nilam, Pekan Mutiara dihabiskan dengan mengenang kembali detik-detik pertemuan yang telah membungakan kemesraan. Kak Zu tempat Andrey meluah rasa tanpa perlu membina batasan.

"Mana pun kau pergi, apa pun kau buat, jangan pernah lupa pada padi. Makin berisi, makin menunduk." Pesan Kak Zu. Tangan Andrey masih dalam genggaman tangannya. "Jangan sesekali jadi pagar makan padi."

Tiga tahun meneroka Pekan Mutiara; bukan sekadar pekan saja, malah kampung-kampung yang mengelilingi pekan kecil itu juga. Banyak yang dah dia pelajari, baik daripada alam mahupun manusia sendiri. Mana mungkin dapat melupakan semua pengalaman, terutama bersama Kak Zu— kehadiran yang banyak memberi inspirasi.

"Walaupun sekolah macam penjara, tapi ada akak kat sini, dengan alam semulajadi, saya tenang, saya bebas."

"Hidup ni tak selalu hitam putih. Ada banyak kelabu kat tengah-tengah. Yang penting, kau jujur dengan diri sendiri, kau tak sakiti orang lain… Akak nampak lelaki dalam diri kau, tapi itu tak bermakna kau kurang sebagai seorang perempuan. Kau unik, Andrey, dan itu anugerah." Kau Zu berhenti seketika. Muka Andrey dia pandang. Sejak saling mengenal, dia dah rasa serasi dan dia nampak siapa Andrey di dalam Adriana. "Sini memang susah, dik. Orang dah biasa dengan normaliti. Lain sikit, semuanya pelik."

"Ziana kata, saya kena berubah. Teruk sangat ke saya ni, kak?"

"Apa yang teruknya? Akak tak nampak pun kat mana yang teruknya... mungkin sebab mata akak tak 'kero' macam mata Ziana tu..." Mereka sama-sama ketawa mendengar jawapan Kak Zu. "Tak ada salahnya jujur pada perasaan, Andrey. Benda datang dari hati, tak betul kalau nak pertikaikan salah ke betul."

"Kalaulah semua orang berfikiran terbuka macam akak..." Bisik Andrey. Dia senyum memandang Kak Zu yang selalu positif. Selalu bagi dorongan dan selalu ada masa untuk dia.

"Benda ni boleh fikir sendiri kot. Bukan kita tak ada otak."

"Saya tak pernah ada makwe pun, kak. Tapi orang tetap panggil saya lesbian. Saya benci betul perkataan tu."

"Tulah akak nak jadi makwe, tak nak, barulah valid dorang nak panggil kau lesbian." Kak Zu mengusik lagi. "Tapi sapelah nak kat kita ni kan, orang kampung keje sawah je. Tua pulak tu."

"Alah, Kak Zu hot. Sekali petik, sepuluh datang," puji Andrey dan pujian itu bukan sekadar nak ambil hati tapi ikhlas dari hati. Kak Zu seorang gadis kampung yang sederhana, manis dengan kulit sawo matangnya, mesra dalam kematangannya. Sikap Kak Zu yang terbuka telah memberi keselesaan kepada Andrey untuk menyandarkan rasa percaya. "Nanti dapat result STP silap-silap terbang pergi England jugak ikut jejak Kak Long, dapat pakwe hidung mancung."

"Ameen, dik..."

 

Andrey tersengih sendirian mengenang perbualan mereka berdua. Kak Zu betul. Macam musim, semuanya perlukan masa. Setiap fasa perlu ditempuh, jangan dielak— Andy juga tak salah. Semua ini bukan beban tapi satu di antara tanggungjawab yang harus dipikul dalam meniti peralihan zaman. Dalam meniti dan memahami hidup, pada dasarnya. Jadi dia tunduk, mengikhlaskan hati untuk berguru dengan waktu kerana hanya bersama waktulah keberanian terbentuk di teras kewujudan manusia.

 

"It's exhausting to live like a wanderer chasing the wind, right?"

Terdengar sapaan dari belakang. Puan Asha menghampiri Andrey bersama dua cawan teh panas di tangan. "But I want you to take it as an advantage to develop skills that can be beneficial, personally and socially. Professionally." Katanya sambil meletakkan cawan teh tersebut di atas meja. Dia cukup mengerti akan kegelisahan yang mengganggu ruang fikir di celahan hati anaknya itu.

"Rugi rasanya tak explore kampung mak ni dari awal." Balas Andrey, cuba melencongkan arah perbualan.

"Tak berkesempatan, kan? Sekarang waktu dah sampai. So, how do you find this place?" Wanita berusia lingkungan 45 tahun itu melabuhkan punggungnya di atas kerusi bertentangan.

"Interesting tapi turun naik bukit, sakit sikit la kayuh basikal."

Senyuman di bibir Puan Asha menyambut jawapan yang diberikan. Senyuman yang membawa satu berita gembira buat Andrey. "Tahun ni dah boleh ambil lesen."

"Naik basikal tak payah lesen."

"Tapi kalau motor, taklah sakit turun naik bukit."

"Seriously?"

"I talked with your dad, and he's on board with getting you a motorcycle."

Melonjak gembira hati Andrey. Itulah yang dia nanti-nantikan. Anganan untuk memilik sebuah motorsikal kini menghampiri kenyataan. "Aprilia, mak?"

"Anything you wish." Puan Asha meninggalkan anaknya sendirian melayan fikiran.

 

Merenung malam, tak lupa Andrey panjatkan kesyukuran atas kesempatan yang diberikan untuk memahami hidup— untuk semua nikmat-nikmat yang dia kecapi juga atas semua kekurangan yang mendewasakan hati. Andrey yakin kekurangan-kekurangan itulah yang akan membantu dia menjadi lebih baik.

 

#

 

"Hopefully, the kids manage it well. Macam mana dengan pejabat tu, OK tak?"

"Perfect. Now, I can finally grow the business how I've always wanted. Thanks for bringing us back home."

Tuan Arman meletakkan buku yang sedang dia baca ke meja sisi bila Asha datang menyertainya di atas katil dalam bilik serba ungu itu. "I love this town. It's where everything started for us. Remember?" Dia mengajak isterinya menyusur denai memori di Terusan Tasik Biru.

"How could I possibly forget? It's where I found the best thing ever happening to me." Puan Asha memandang wajah suaminya lalu dia melentokkan kepalanya ke bahu lelaki itu.

"I've always dreamed of this since I fell for you."

"You know how to be a romantic at times."

 Sambil membelai rambut Asha, Arman berbisik, "It's an honour to make you happy."

"I dah bagitau Andrey pasal lesen dan motor tu. So, untuk Andy... motor jugak ke?"

"Ha ah. Baru adil, kan?"

"Sukalah diorang tu nanti."

"I nak budak-budak tu explore bumi Tuhan ni. Nak convoy ke apa ke. Lepas O'Level nanti, baru sama-sama boleh ambil lesen kereta pulak. Tapi itu kena tengok performance. I harap dua-dua dapat buat IB. Senang esok kalau sama-sama dapat pergi overseas. Ada teman."

"Kalau tak dapat macam mana?"

"Form six."

"Tapi... kan banyak universiti dan kolej-kolej swasta?"

"Anak-anak kena faham tentang nilai baru dorang boleh hargai hidup."

"OK, darling. You are the boss." Asha mencium pipi suaminya.

"Sabtu ni, apa kata kita bawa budak bertiga tu explore tempat ni. I cuti."

"Elok jugak tu. Boleh tengok tempat lama kita..." Lelaki yang telah meneman hidupnya sejak lebih 20 tahun, dipeluk erat. "I'm thankful that our dreams have all come true."

"Thanks to the amazing woman who's always got my back."

"Andrey is so much like you, Arman."

"You mean reserve, aloof, difficult to get along with?"

"Minat dia pada alam. Suka explore. Camping. Yeah, of course, those traits you mentioned too."

Arman ketawa lalu menarik rapat isterinya dalam pelukan. "Minat dia pada seni dan muzik tu turun dari you, kan? Our children are great..." Tuan Arman memetik padam suis lampu tidur.

"Yes, they are." Ciuman demi ciuman mula dihinggap ke seluruh wajah Asha. "But, sayang, I think four is enough."

"Betul... but I can't get enough of you."

 

#

 

Tasik Biru College atau lebih dikenali dengan panggilan TBC menempatkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan enam atas. Kolej ini juga turut menawarkan program A'Level. Lain benar suasananya saat pertama kali Andrey menjejakkan kaki di situ.

Namun satu yang paling melegakan Andrey, TBC memberi kebebasan berpakaian. Ini memudahkan gerak geri dan personalitinya yang memang rimas bila mengenakan seragam sekolah. Pakaian perempuan, tepatnya. Memakai pakaian perempuan samalah seperti memakai topeng. Dia mahu bebas. Bebas menjadi dirinya sendiri. Tidak dikongkong peraturan ciptaan manusia. Peraturan-peraturan mengarut yang membelenggu dan mendera.

Bagaimanapun, dalam isu ini, ada satu perspektif yang cukup dia hormati. Pakaian seragam, walaupun sering membebankan emosi, namun sebenarnya itu satu idea yang bagus. Miskin, kaya, sederhana, semuanya sama bila mengenakan pakaian seragam sekolah. Tidak seperti di TBC. Pakaian melambangkan status sosial. Pemakaian membezakan darjat. Itulah hakikat.

 

Diiring seorang kakitangan bahagian pentadbiran, Andrey dibawa ke kelas barunya. Begitu juga dengan Amanda yang kini menuntut dalam tingkatan dua sementara Anis dibawa Puan Asha ke sebuah sekolah rendah, juga bawah naungan nama yang sama.

 

Pintu diketuk. Perhatian yang diberikan para pelajar kepada pelajaran terhenti seketika.

"Selamat datang," sambut seorang guru lelaki dengan mesra. "Saya guru kelas ni. Cikgu Izlan."

Perkara wajib setiap kali bertukar sekolah— kenalkan diri pada kelas. Benda paling malas dia nak buat. Tapi kali ni ada bezanya. Dia rasa lebih santai dan relaks. Tak dikongkong lagi oleh pakaian seragam, tidak lagi dipenjara pakaian perempuan yang melemaskan, yang merosakkan individualiti dan identiti. Dia rasa diterima walaupun kekok bila memandang mata-mata yang memandang.

Elok ke apa aku pakai ni? Sesuai ke? Bila melihat wajah-wajah baru yang berada di depan mata, dia rasa kecil. Semua di depannya kelihatan mewah bergaya. Baju, aksesori. Dia? Jeans lusuh dan kemeja T warna biru. Rambut lurus yang mencecah bahu diikat ala kadar. Ah, lantaklah.

"Pekan Mutiara tu tak silap saya 500 kilometer dari sini. Jauh. Pekan kecik je, kan?" Tanya cikgu Izlan selepas Andrey memperkenalkan diri.

"Betul cikgu."

"Saya pernah ke situ. Cantik. Inspiring. So, what brought you there?"

"My father was stationed there."

"He must be somebody."

Andrey hanya menjawab andaian guru itu dengan senyuman. Seketika kemudian dia terpanggil untuk melepaskan nafas bangga, "Terusan Tasik Biru is my hometown."

"I see. Welcome home, then! Well, awak cakap tadi hobi awak melukis. Kalau berminat, boleh join Kelab Seni. Saya boleh bawak awak jumpa presiden Kelab Seni dan Kebudayaan, cikgu Fairuz."

"That's great. Terima kasih, cikgu."

"No problem. Sila ambil tempat duduk." Balas guru yang mengajar matapelajaran Sejarah itu.

 

"Sini kosong." Satu suara menegur sewaktu dia berjalan ke belakang kelas untuk mencari tempat duduk. Seorang pelajar perempuan tersenyum mesra sambil menarikkan kerusi. Boleh tahan.

"Arni." Tangan dihulur.

"Andrey." Salam diterima.

"Tadi dah kasi tau." Arni ketawa. "Welcome to TBC. You know what it stands for?"

"Tasik Biru College. Obviously…"

Arni tersengih menampakkan sebarisan giginya yang didakap besi. "Tak."

"Habis tu apa?"

"To be continued."