Chereads / Suara. / Chapter 5 - Hukuman

Chapter 5 - Hukuman

Masa, tak mungkin terkejarkan. Semalam engkau di sana. Sedar tak sedar, hari ini engkau dah ke esok. Secepat itu jugalah dua minggu berakhir. 'Percutian' yang sepatutnya dinikmati dengan aman terganggu akibat tindakan cikgu Rina yang telah memisahkan dia dengan Aprilia. Semua yang direncanakan hilang macam mimpi. Tanpa motor, dia patah kaki. Nak ke tasik, menapak, memang jauh. Tak nak menapak, terpaksalah naik basikal, berkayuh turun naik bukit. Malas mengayuh, boleh naik bas atau teksi. Tapi, disebabkan mood dah hilang dirampas cikgu Rina, dia lagi rela bergulung atas katil. Berehat-rehat di rumah. Hari itu Andrey tekad, apa pun jadi, sampai sekolah nanti dia mesti berdepan dengan cikgu Rina.

Menggunakan pengangkutan awam semenjak Aprilia dikebas cikgu Rina tak sepatutnya menjadi rutin, namun hakikat buat masa ini, terpaksa juga ditelan. Walaupun keluarga mereka dilengkapi seorang pemandu, Andrey lebih selesa memilih alternatif ini. Bukan tak bersyukur, tapi dia malu bila dihantar dan dijemput macam menteri. Biarlah adik-adiknya saja menikmati keselesaan yang disediakan. Bagi dia, begini lebih sesuai.

Keluhan kecil dihembus keluar, bersatu dan menghilang bersama angin pagi. Ada sedikit kekesalan dengan hasil dendam. Inilah akibatnya tunduk pada hasutan hati. Amarah akhirnya memakan diri sendiri. Puas melampiaskan dendam bukannya abadi, semuanya sama seperti memuaskan nafsu-nafsu lain— nikmat sementara. Esok lusa bila hati disakiti lagi, entah apa pula akan jadi mangsa toreh. Jangan tangan sendiri, sudah.

Tiba-tiba Andrey rasa tindakannya itu sia-sia. Dia sendiri keliru dengan perasaannya yang berubah-rubah. Sekejap marah. Sekejap menyesal. Dendam. Dah berbayar ke dendam? Berbaloi ke? Bertubi-tubi dia dihenyak ketidakpastian. Cikgu Rina selalu toreh hati aku sampai mendarahkan dendam.

"Tak payah nak play victim sangatlah. Kau kira hati kau je kena toreh? Cam mana pulak dengan kereta dia yang dah kau toreh? Perasaan dia?" Akal yang memang suka mempersoalkan apa juga tindakan berasaskan desakan hati mula bersuara. Dia minta Andrey berfikir secara matang, itu Andrey cukup maklum. Namun hati licik menghasut. Katanya, "tak patut kau dera mental dan emosi sendiri. Tak kan nak biarkan perkara ni berlanjutan? Nak biarkan cikgu tu terus menjatuhkan air muka engkau depan orang ramai?" Logik suara hati dipersetujui, menyisihkan suara akal. 

Ekonomi bererti perang anxiety. Panik dengan mudah ambil kesempatan untuk menyerang. Darah naik dan turun serentak. Andrey tak boleh biarkan cikgu Rina terus menerus melemahkan jantungnya sehingga mematikan motivasi diri.

"Kau nak lari, tapi ke mana? Adakah dengan melarikan diri, cikgu Rina akan berhenti mengejar?" Akal fikir meninggalkan tanda tanya."Kalaupun cikgu Rina tak mengejar, tapi perangkap dah dia pasang, merata-rata. Belok kanan, kau tergolek. Belok kiri, kau juga yang tersadung." Tanda tanya tadi dilengkapi satu hipotesis.

Sepuluh minit berlalu, tiada satu bas pun muncul, malah sebuah teksi pun tak melintas. Andrey berseorangan di situ menunggu bas yang dah terlepas akibat kelewatan sendiri. Pukul lapan, maksudnya dua puluh minit lagi, dia perlu berada di bilik kaunseling, seperti mana yang tertera dalam surat yang dihantar cikgu Remy melalui pos.

"Bosan betul la..." Hatinya merintih. Muncul dan menghilang dari fikiran, berselang-seli dengan wajah Aprilia, tak dapat Andrey lupakan riak gembira di muka cikgu Rina ketika motosikalnya dirampas. Dua tahun berkepit, dua minggu tanpa Aprilia adalah dua dekad penyiksaan. Lantas sebatang rokok dinyalakan dengan harapan asap itu dapat mengusir bayang-bayang cikgu Rina yang semakin menghantui hidup.

"Be cool, Andrey..." Akal memujuk hati. Ya... cool sangat dah, sampai kena jumpa pengetua lepas soal jawab dengan cikgu Remy dan singa tu jap lagi.

Sisa-sisa rokok yang terselit antara celahan bibir diberi sedutan terakhir. Puntungnya di tonyoh ke tong sampah aluminium yang tersedia di situ. Ketika itulah, di seberang jalan, sebuah kereta hitam berkilat perlahan-lahan berhenti. Tanpa calar, tanpa coretan dendam di pintu. Cantik berkilat macam baru keluar kilang. 

Tingkap diturunkan. Hon dibunyikan. Dari jalan sebelah sana, seorang gadis melontar senyum. Kali ini nyata, bukan ilusi mahupun bayang. Kedengaran suaranya memanggil, "sini."

"Mata kau tak rabun. Tak pandai dia menipu. Telinga kau pun tak berbohong, Andrey." 

Seperti dipukau, Andrey bangun, patuh pada arahan, macam dalam kelas. Jalan raya dilintas, mendapatkan si singa gunung yang pagi itu tak bercermin mata. Hati tak henti berdoa semoga hari ini upacara penyerahan motosikal akan dijalankan tanpa perlu merayu.

"Morning! Care for a ride?" Seolah-olah tak ada apa yang berlaku, cikgu Rina menyapa dengan mesra.

"Cikgu, duit dah cukup. Kita boleh settle." Cuba mengekalkan budi bahasa, hormat dan bersikap sopan agar tak digelar biadab dan dipanggil kurang ajar, Andrey sampaikan berita gembira untuk melegakan hati cikgunya. Berita itu bagaimanapun disambut cikgu Rina dengan memaling muka. Bukan ke muka dia, tapi ke depan, ke muka jalan yang kosong. Ada senyuman di pinggir bibirnya. Senyuman yang seakan berkata, "you wish."

"Cikgu, saya perlu motor tu. Susah saya nak gerak pergi mana-mana. Nak pergi sekolah pun susah."

"Teruskan merayu. Suka saya dengar." Provokasi dihantar sambil mengerling.

Andrey menyeranah dalam hati. "Cikgu memang sengaja nak menyusahkan saya, kan?"

"Awak yang sengaja carik susah, jangan nak salahkan orang lain pulak. Hei, sebelum awak lambat jumpa cikgu Remy dan sebelum awak buat saya lambat, lebih baik awak masuk. Awak tunggu apa? Mana ada bas." Dia mengerling jam di tangan kanannya. "Sejam lagi baru ada." Tawaran itu berbunyi lebih kepada satu arahan sebenarnya.

"Tak pe. Terima kasih je la. Saya lagi rela jalan kaki."

"As you wish." Jawapan mudah dilemparkan sebelum tingkap kereta dinaikkan lalu pedal minyak ditekan, meninggalkan Andrey berdiri di sana sendirian, makan asap.

"Shit!!!"

#

Tiba di sekolah dengan menaiki teksi, Andrey lewat lima minit. Terkejar-kejar dia menaiki tangga ke bilik kaunseling. Di sana cikgu Remy dah menunggu.

"Jadi Adriana... Awak OK ke? Sihat, lepas kena gantung? Seronok?" Cikgu Remy memulakan perbualan.

"Mestilah seronok. Bukannya kena gantung sampai mati pun." Tanpa menghiraukan bahasa, dia menjawab. Cikgu Remy ketawa kecil sambil menggeleng kepala."Kopi?"

"Terima kasih. Saya dah minum."

Bilik kaunseling sunyi. Andrey memerhati sekeliling bilik yang tak pernah dia jejak selama ini. Baru dia sedar, banyak rupanya aktiviti-aktiviti dan program yang ditawarkan kelab kaunseling. Dia lantas mencapai salah satu brochure di atas meja cikgu Remy, membacanya sepintas lalu. "Boleh saya simpan?"

Cikgu Remy mengangguk. Lalu dicapai lagi beberapa brochure dan dimasukkan ke dalam beg.

"Saya tak nak perkara camni berulang. Rekod awak bersih. Tak pernah buat hal. Prestasi pun boleh tahan. Awak best student dalam seni dulu, kan?" Pertanyaan cikgu Remy dianggukkan saja.

"Kenapa tak teruskan?"

"Entahlah cikgu."

"Kalau berminat nak sertai kelab kaunseling, pintu ni sentiasa terbuka."

"Terima kasih."

"Tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan dengan baik. Awak bukan menengah rendah lagi." Cikgu Remy yang bermisai nipis, senipis badannya, tenang memberi nasihat. "Saya harap awak amik iktibar atas apa yang dah jadi."

Anggukan kepala masih menjadi jawapan. Dalam hati, Andrey tak sabar nak perkara itu selesai hari ini. Apa pun keputusan, dia dah mengikhlaskan hati untuk terima. Hanya ada dua hal dalam fikirannya sekarang;

Kelas biologi— rugi kalau lewat. Cikgu Sophia mesti ternanti-nanti kehadiran pelajar kegemarannya.

Motor— dia nak cikgu Rina pulangkan hak miliknya.

"Awak boleh tukar subjek kalau ekonomi bukan minat awak. Jangan sia-siakan masa dengan sesuatu yang bercanggah dengan jiwa awak."

"Akan saya fikirkan, cikgu."

"Kenapa ambil ekonomi dulu?"

"Entahlah cikgu. Sebab nak belajar lah kot."

"Awak minat atau ada desakan?"

"Sejujurnya, saya pilih sebab nak lengkapkan lima subjek."

"Awak rasa cikgu Rina tu ke punca pemberontakan awak?"

"Kalau dia tak mengada sangat, takkanlah saya jadi macam ni."

Cikgu Remy ketawa. Kopi dihirupnya. "Mengada? Itu je masalahnya, sebab dia mengada?" Panjang ketawa cikgu Remy.

Andrey diam. Otaknya jadi kosong, tak ada jawapan. Dia mengerling jam ditangan.

"Macam saya cakap tadi, tak wujud masalah kalau tak dipasangkan dengan penyelesaian. Jalan tak pernah mati."

"Betul, cikgu." Jawabnya sekadar melengkapkan dialog.

"Saya rasa awak faham, masalah ni serius. Merosakkan, mencalarkan, apa lagi menulis perkataan yang tak sopan di kereta guru, boleh dikenakan tindakan. Kalau cikgu Rina nak, dia ada hak libatkan polis."

Sebuah fail dikeluarkan dari laci meja. Cikgu Remy menyelak fail tersebut. Dia mengetuk-ngetuk perlahan pen ke muka meja sambil membaca apa yang tertera dalam fail tersebut. Andrey masih tetap dengan dua nama dalam fikiran. Aprilia dan Sophia. "Saya ada berita baik. Awak tak payah jumpa pengetua." Fail ditutup. "Cikgu Rina minta perkara ni diselesaikan kat sini je. Maksudnya, antara awak dengan dia— secara peribadi. Andrey, awak patut berterima kasih kepada cikgu Rina, atas toleransi yang dia tawarkan."

Tersentak Andrey sampai terasa jantung bergetar. Singa gunung nak settle camtu je? Tak payah jumpa pengetua? Boleh percaya ke?

"Seriously?"

Cikgu Remy mengangguk. "Dia ada hak kalau nak bawak hal ni ke atas, ke abwah, ke tepi, ke tengah atau mana saja dia suka."

Berita baik itu sebenarnya telah memusnahkan harapan Andrey. Dia sebenarnya berharap sangat jenayah yang telah dia buat akan menyebabkan dia dikenakan tindakan tatatertib, supaya dapat berpindah ke sekolah lain atau berhenti sekolah terus. Kalau boleh, dia nak kerja. Melukis atau main muzik tepi jalan, kerja kilang, bawak teksi, bawak lori, jual nasik lemak, jaga lembu atau apa saja. Hidup macam ni, membosankan.

Dalam hati dia terkenangkan Akademi Seni. Ada keluhan terhembus dari paru-paru. Dalam dan panjang. "Sabarlah Andrey." Akal memujuk, sedangkan Andrey diserang rasa malu yang beradun dengan seribu tanda tanya. Fikirannya terlayang ke kedai kopi. Peristiwa itu menebalkan lagi perasaan kebingungan. Cikgu Remy bagaimanapun tak berminat untuk menghuraikan apakah sebabnya cikgu Rina mengambil keputusan seperti itu. Barangkali dia tak ada jawapan. Mungkin dia juga hairan.

Pintu bilik kaunseling diketuk. Selepas mengucapkan selamat pagi, cikgu Rina terus mengambil tempat duduk di kerusi sebelah, memantulkan aura antagonis. Aroma minyak wanginya menusuk deria bau, sampai Andrey jadi pening, rasa nak muntah. Gementar dan marah kembali bergusti, memadamkan rasa syukur atas toleransi yang diberi.

"Setelah apa yang kita bincangkan dan seperti yang tercatat dalam fail kes kamu ni, Andrey, hari ni saya umumkan, cikgu Rina mahu perkara ini selesai di sini."

"Maksudnya?" Masih berada antara percaya dengan tidak, Andrey nak dengar dari mulut si singa gunung sendiri. Hujung matanya mengerling gadis di sebelah.

"Cikgu Rina, saya dah terangkan kepada Andrey tentang keputusan awak. Jadi, Andrey, saya rasa awak tau apa awak kena buat sekarang," ujar cikgu Remy. Cikgu Rina tak membuka mulutnya. Dia membiarkan cikgu Remy menjadi perantara. "Minta maaf dan berterima kasihlah." Terang cikgu Remy dengan suara tenang, membawa Andrey kembali ke realiti waktu.

"Ya, dah tentu… Dah tentu maaf, jabat tangan, bersyukur..." Hati mengeluh. Satu perkara yang sememangnya tak nak dibuat. Tapi dia terpaksa, bukannya nak. Biar aku ulang kuat-kuat... Aku terpaksa! Hidup ini sememangnya satu paksaan. Dipaksa melakukan perkara yang tak direlakan hati. Dan dalam keterpaksaan itu jugalah dia berdiri, membongkokkan sedikit badannya.

"Saya minta maaf sebab toreh kereta cikgu. Dan terima kasih atas tolak ansur cikgu dalam hal ni." Begitulah satu ucapan yang berbunyi dalam nada sumbang tanpa keikhlasan. Pada waktu itu Andrey benar-benar rasakan egonya jatuh di hujung tumit seorang wanita. Mengizinkan cikgu Rina mengecapi kemenangan bererti mencemar maruah sendiri.

"Apapun yang kau nak kata untuk membela diri, kesalahan tetap dipihak engkau." Akal menyokong nasihat cikgu Remy.

Senyuman puas hati yang terukir di wajah cikgu Rina menaikkan seri keangkuhannya sewaktu tangan Andrey disambut. Sengaja genggaman dikuatkan. Dia dapat rasa tapak tangan Andrey berpeluh. Suka hati cikgu Rina melihat Andrey kegugupan begitu. "Apology accepted." Kata cikgu Rina, pendek dan padat.

"Baguslah kalau macam tu. Sekarang saya harap kamu belajarlah dari kesilapan, Andrey. Jernihkanlah apa yang keruh." Pesan cikgu Remy sambil mengukir senyum.

"Ye." Andrey menjawab sepatah. Kepalanya ditolehkan ke muka cikgu Rina. Mata bertemu mata dan sebelum bontot diceraikan dari kerusi, sempat cikgu Rina melemparkan dia satu senyuman. Kemudian mata dialihkan kembali ke wajah cikgu disiplin di depan mereka. "Terima kasih, cikgu Remy. Macam yang dah saya tandatangani, fail tu boleh cikgu lupuskan." Dengan jelas arahan yang diberi berkumandang di telinga Andrey seolah-olah mahu memberitahu bahawa dialah yang menguasai permainan ini.

"Boleh saya pergi sekarang?" Cepat-cepat Andrey meminta izin sebaik saja cikgu Rina melangkah keluar. Tanpa menunggu kebenaran, dia meluru ke pintu, mengejar cikgu Rina yang berjalan tenang, seakan-akan memang menanti untuk dikejar.

"Cikgu, tunggu!" Laungan yang agak kuat itu berjaya mematahkan langkah cikgu Rina. Dia berhenti tapi tak menoleh sikit pun, seperti mengisyaratkan Andrey untuk melutut di kakinya—sesuatu yang tak mungkin terjadi.

Kau kena pulangkan balik maruah aku dengan cara paling terhormat. Andrey kini berdiri betul-betul depan muka cikgu Rina. "Macam mana dengan motor saya?"

Cikgu Rina diam.

"Berapa cikgu?"

Dia terus diam.

"Duit dah ada. Saya bagi sekarang."

Tetap mendiamkan diri.

"Dah dua minggu. Cikgu pun dah tutup kes. Saya hormat, saya sanjung budi baik cikgu. Terima kasih banyak. Tapi tolonglah, cikgu. Bagi balik motor saya. Kalau tidak, apa saya nak jawab dengan mak abah saya nanti? Please…" Akhirnya didesak kebimbangan, Andrey merayu. Namun cikgu Rina masih berkeras mahu terus didodoi rayuan. 

"Cikgu..."

Tiada jawapan. Sebaliknya, dengan senyuman meleret cikgu Rina berlalu meninggalkan Andrey berdiri tercegat kat situ macam orang bingai. Aku suka dengar kau merengek, merayu macam ni, sayang. Hati cikgu Rina terasa sangat lapang pagi itu sedangkan Andrey hanya mampu menghantar dengan pandangan geram sampai bayang-bayang cikgu Rina hilang dalam perut bilik guru. Nak saja rasanya dia ikut masuk buat kecoh dalam bilik tu bagi cikgu Rina malu.

"Tak payahlah kau bersusah payah nak memalukan diri sendiri. Karang lain hal pulak jadinya." Akal memberi nasihat lagi.

Sia-sia. Betul-betul sia-sia.

Maka, dengan rasa dipersia-siakan itu Andrey melangkah menuju makmal biologi, tempat dia memujuk hati. Tempat di mana jiwanya selalu dibelai.

#

Cikgu Sophia sedang menulis di papan hitam, tangannya menggerakkan kapur putih yang meninggalkan jejak halus di permukaan gelap. Cahaya petang yang menerobos masuk melalui tingkap makmal biologi memantulkan siluet tubuhnya yang kecil molek, membuatkan setiap gerak-gerinya kelihatan seperti lukisan hidup.

Blaus merah jambu dipadankan dengan chinos maroon— minimal tapi cukup menonjolkan keanggunan seorang wanita penuh karisma. Rambut ikalnya diikat kemas. Lembut wangian bunga melati di luar kelas menyelinap di udara, melengkapkan sebuah pemandangan indah di dalam ruang itu.

Andrey memerhatikan setiap inci pergerakan cikgu Sophia dengan dada berdebar. Baginya, Cikgu Sophia adalah ciptaan Tuhan paling sempurna— definisi kecantikan dalam sebuah puisi nyata. Wajahnya bersih, sentiasa dihiasi senyuman, seperti matahari menghangatkan embun pagi. Senyuman cikgu Sophia adalah sebuah bahasa rahsia yang berbicara langsung dengan jiwanya.

Pertemuan pertama mereka di satu petang berdendangkan suara hujan, membuka mata Andrey kepada sebuah hakikat— dialah gadis yang selama ini dicari. Cikgu Sophia mungkin tak sedar apa yang dah dia lakukan hanya dengan sekilas tatapan. Setiap lontaran senyuman dari bibir dan matanya selalu memberi Andrey kebebasan yang boleh dipercaya. Sesaat berada di dalam makmal, rasa macam seribu tahun di syurga. Tak pernah Andrey rasa lesu apalagi mengantuk. Cikgu Sophia buat dia terasa lebih hidup. Andrey menundukkan wajah, menahan perasaan yang menggelegak.

"Dia multivitamin aku," gumamnya perlahan, suara itu hanya untuk dirinya sendiri.

Bayangkan bagaimana rasanya selepas berlari di bawah terik matahari, tiba-tiba terjumpa sungai, siapa ada air oren berendam dalam airbatu. Macam tulah dia buat aku rasa. Nyaman, sejuk dan tenang seperti dikelilingi hutan hujan dan air terjun.

Jurnal yang selalu dikepit ke mana-mana menjadi saksi lagi. Betul, Cikgu Sophia pembakar semangat, pencetus inspirasi untuk dia kekal cemerlang. Kerana wanita itu jugalah TBC menjadi tempat paling indah selain rumah dan Tasik Biru itu sendiri.

"Morning... Sorry, I'm late." Andrey menyapa mesra. Cikgu Sophia menoleh, memandang dengan senyuman. Sepasang mata milik gadis berkulit kuning langsat itu telah mencairkan hati Andrey yang beku. Senyuman bertukar. Cair. Andrey cair lagi. Fenomena yang terjadi pada hari pertama memandang wajah cikgu Sophia berulang lagi.

"Pagi, Andrey. Dua minggu, lama tu... Macam mana?" Serentak ucapan itu, kaki mereka melangkah untuk merapat, berdiri saling bertatapan seperti sepasang kekasih yang ingin melepaskan rindu setelah lama terpisah. Andrey memberi penjelasan ringkas atas kelewatan yang tak disengajakan. Dalam imaginasi, dia membuka ikatan rambut Cikgu Sophia yang lebih cantik bila gelombangnya jatuh sempurna ke bahu, seperti helaian sutera yang dirawat penuh kasih. Andrey dapat merasakan jari-jarinya berlari lembut membelai wajah dan rambut guru biologinya itu sambil menampalkan ciuman rindu di dahi.

Ini sering terjadi. Banyak kali, dalam angan-angan. Dalam mimpi-mimpi. Realitinya, dia cuba membersihkan luka di hati setelah dicederakan singa gunung sebentar tadi. Dua minggu kita terpisah, Sophia. Aku rindu. Semuanya pasal kawan kau, si singa gunung tu.

"Andrey, awak OK?"

"OK, cikgu. OK. Saya seronok. Siapa yang tak enjoy cuti." Jawapan itu membuat cikgu Sophia tertawa. Matanya menjadi kecil menandakan hatinya turut ketawa. Andrey merasa lapang bila tengok cikgu Sophia begitu mesra setiap kali mereka berbual.

"Tapi dua minggu ni dah banyak awak missed." Ujar cikgu Sophia agak perlahan sambil menyelak beberapa fail kertas.

"And the one I missed the most is you." Bisik Andrey ke mata cikgu Sophia. Dalam hati. "Lepas kelas nanti boleh saya ambil bahan dari cikgu?"

"No problem."

"Terima kasih, cikgu."

"Andrey..." Cikgu Sophia menghentikan langkah Andrey yang dah bersedia untuk mengambil tempat duduk. Segara dia merapati. Tak mungkin akan dia lepaskan setiap peluang untuk menatap penuh seraut wajah yang selalu dirindu.

"Saya…"

"Kalau awak nak, kita boleh bercakap pasal kes dua minggu tu nanti." Cikgu Sophia berbisik.

Menipukah telinga, atau akukah yang sedang bermimpi?

Kalau memang aku sedang bermimpi, tolong jangan kejutkan aku.

#

Rina berdiri di taman kecil yang terletak di bahagian tepi rumahnya, bersebelahan garaj. Bersama secawan teh di tangan yang masih berasap, dia memandang motosikal Andrey. Senyum nipis melengkung dibibir. "Lebih sangat aku ni agaknya," bisik Rina kepada dirinya sendiri. "Tapi dia yang mintak."

Insiden di kedai kopi tak mungkin luput dari ingatan. Rina sendiri tak menyangka semudah itu dia biarkan emosi menguasai diri. Bibir Andrey, wajahnya yang keliru, batang tubuhnya yang membeku sewaktu mata, tangan, mata dan bibir Rina menggarinya— semua itu bagaikan mimpi yang enggan dikejutkan.

Apa yang aku buat? Mata dipejamkan. Nafas ditarik dan dilepakan nafas perlahan-lahan— dalam dan panjang. Emosi yang dia pendam selama ini— geram, kagum serta keinginan untuk mengawal situasi telah mencetuskan ciuman spontan itu. Jelas salah, tapi Rina tak menyesal malah dia puas walaupun di sebalik kepuasan itu, ada sesuatu yang lain— rasa malu.

Melampau sangat ke aku?

"Kau kena tau… ," kata Rina kepada dirinya sendiri. "Ahhh…why can't I stop thinking about you?"

Wajah Andrey bermain difikiran. Dia teringat bagaimana Andrey selalu cuba mengelak setiap kali mata mereka bertemu. Dia terkenangkan tutur katanya, suaranya. Senyumannya yang jarang-jarang terukir, menjadikan budak itu semakin menarik untuk didekati.

Memori menerjah lagi.

"Hari pertama dah lewat?" Rina menyapa tegas sebaik saja kakinya berhenti di meja paling akhir dalam kelas ekonomi. "Awak Andrey, kan?" Tambah Rina. Suaranya mendatar tapi cukup untuk membuat Andrey bergetar. Kepala diangguk, muka ditundukkan sambil mulut menyatakan sebab,"adahal dengan cikgu Fauzi," jawab Andrey, ringkas tapi jujur.

Hari berganti minggu, situasi antara mereka menjadi semakin tegang. Kalau tak datang lambat ke kelas, Andrey tak datang langsung dan bila datang, budak itu jarang bagi perhatian. Tidur dalam kelas dah jadi rutin. Sementara suara Rina bergema di latar belakang, kepala Andrey sedap berbantal di lengan yang beralasakan buku teks ekonomi.

Rina cuba untuk bersabar. Pada awalnya dia hanya memerhati tapi lama-kelamaan, sikap Andrey semakin menguji batas.

"Andrey," tegur Rina suatu pagi, ketika dia melihat Andrey terlentok di meja. "Kita tengah membincangkan bagaimana keseimbangan pasaran dicapai. Asyik sangat menatap tingkap, ada makwe awak kat situ?" Suaranya sarat dengan sindiran. "Kalau awak tak minat nak belajar, awak tak perlu datang ke kelas saya."

Andrey memandang Cikgu Rina dengan wajah kosong. "Saya penat," katanya pendek dan pelan.

"Penat? Awak tau tak, kalau awak terus macam ni, awak takkan lulus. Awak bukan saja buang masa awak, tapi masa saya juga," balas Rina dengan nada agak keras— kesabaran yang tercabar telah melangkau batasnya.

"Kalau awak rasa Ekonomi tak penting, awak boleh keluar dari kelas saya sekarang!" Kalimah itu meluncur laju, mengejutkan pelajar lain. Suasana menjadi tegang. Semua mata tertumpu kepada Andrey, menunggu reaksi. Terasa darah mengalir ke muka, seluruh tubuhnya menjadi panas. Dia berdiri perlahan, menghadap Cikgu Rina dengan pandangan yang penuh beban. Tanpa berkata apa-apa, beg digalas lantas kaki dihayun keluar dari kelas. Dentuman pintu memecah kesunyian, meninggalkan Cikgu Rina dengan tanda tanya— Apa masalah budak ni sebenarnya? Apa yang buat dia jadi macam ni? Atau aku ke yang salah pendekatan? Fikirannya terusik semenjak kejadian itu kerana dia tak melihat pelajarnya hanya sebagai angka dalam senarai kehadiran.

Aprilia milik Andrey Rina selimutkan dengan sehelai kanvas biru sebelum melangkah masuk ke ruang tamu. Teh diteguk kemudian dia menyandarkan dirinya ke sofa. Soal jawab tak berakhir di situ. Dia dihenyak pertanyaan— apakah tindakannya itu benar-benar tentang mendisiplinkan Andrey, atau ada sesuatu yang lebih dalam— sesuatu yang belum bersedia untuk dia akui?

Suara hatinya meminta untuk dilagukan dalam nada paling indah tapi dia sedar tindakannya salah— sebagai seorang guru, sebagai seorang dewasa yang sepatutnya lebih matang berbanding Andrey yang masih muda— seorang pelajar yang sedang membina jati diri.

Aku dah langgar etika.

Beragam alasan tercipta tapi ada satu yang tak dapat dia nafikan— Andrey telah memunculkan bintang-bintang yang tak dapat dihitung di langit tak berpenghujung— bintang-bintang yang menjadi cerminan dirinya satu ketika dulu— seorang pengembara yang tersesat tapi penuh potensi.