"Kau tak sunyi?"
"Sunyi?" Senyum dilempar sebelum jawapan diberi. Pintu dewan dibuka, memberi laluan kepada yang bertanya untuk mendahului. "Bukan ke hidup ni macam roda? Siang, malam. Susah senang. Ada masa aku nak beriuh, bersesak. Banyak masa aku pilih sunyi."
Mereka berdua bersaing menuju ke tempat letak kereta selepas dia mengalahkan Rina dalam perlawanan tenis. Dah jadi rutin kedua guru tersebut, setiap petang mereka akan melakukan aktiviti sukan bersama. Badminton atau tenis, berlari atau sekadar jalan kaki, yang penting keluar peluh.
Cuaca beransur mendung. Rina memandang ke langit. Setitis hujan menitis ke hidungnya yang mancung.
"Kalau kau tak ada aku sunyi."
Entah apalah yang difikirkan agaknya sampai suara jadi sayu. Sejak pagi tadi Rina perasan, ada sesuatu yang mengganggu kawannya itu. Tapi dia biarkan— dah kenal sangat— tak payah tanya, sampai masa, mesti Sophia sendiri yang akan buka mulut.
"Budak yang kau selalu cerita tu…" Kata-katanya setakat itu saja.
"Kita pergi dinner sambil tu nanti boleh kau cerita." Rina memberi cadangan. Di kepala Rina muncul muka Andrey, anak muridnya.
"Elok jugak. Aku pun malas masak malam ni."
"Good. Tempat biasa?"
"Aku sayang kau." Jawab Sophia. Kepalanya dilentokkan ke bahu Rina yang memandu.
Rina cukup maklum Tasik Biru Seafood Corner memang tempat makan kegemaran kawan baiknya itu. Suasana permai dan pemandangan tasik yang cantik menjadi tarikan tapi kalau nak bercakap tentang rasa, bagi Rina banyak lagi tempat lain yang lebih sedap. Walaubagaimanapun, untuk Sophia dia tak pernah kisah. Rina tahu, sejak kali pertama dia dibawa ke restoran tersebut, Sophia tak mahu yang lain lagi.
"Hari ni aku belanja." Kata Sophia, gembira.
Awan semakin kelabu dan akhirnya menitiskan gerimis. Gerimis bertukar renyai dan renyai menjadi hujan. Sedikit demi sedikit bertambah deras.
"Lepas sekolah tadi, hujan lebat. Ni sambung balik. Harap esok tak hujan. Tak kering baju."
"Banyak sangat ke baju kau basuh?"
"Yang tak basuh pun banyak."
"Yelah, baru balik vacation. Kalau baju tak kering, rumah aku ada dryer."
"Hmm, vacation sangat."
"How do you feel?"
"Sama je. Macam biasa."
"Tak nak ke tinggal dengan aku balik?"
Sophia menggeleng. "Bukan tak nak." Pendek jawapan yang diberi dan Rina mengerti dia ada sebab tersendiri.
"Kau tanya pasal sunyi. Kalau kau tinggal dengan aku, tak lah aku sunyi tinggal sorang-sorang."
"Roda hidup, kata kau tadi." Ada senyum tawar di hujung bibir nipis Sophia— terharu atas perhatian dan kasih sayang yang dicurahkan.
"Aku faham kau perlu privacy, tapi kau tau kan, berdua lebih baik?"
"Macam lagu tu?"
"Berdua denganmu, pasti lebih baik..." Rina menyanyi kecil, melontarkan bait-bait lagu yang dimaksudkan. "Kau boleh masuk bila-bila je kau nak." Sambung Rina lagi. Serius nadanya cuba meyakinkan keikhlasan hati. Dia tak pernah berhenti berharap semoga satu hari nanti Sophia tak akan menolak permintaannya. Mungkin itu perlukan masa dan Rina percaya, waktu akan membuka hati Sophia.
"So, apahal dengan budak tu?" Tanya Rina, tak sabar nak dengar cerita tentang Andrey, si sleepy head. Tangannya lincah mengasingkan udang dari kulit lalu diletakkan ke dalam pinggan rakan sejawat yang setahun tua darinya.
"Budak?"
"La… tadi kau macam nak cakap something je pasal budak tu."
"Budak mana?"
"Hmm, Phia… Andrey. Kau nak cakap pasal dia tadi, kan? Ke aku salah orang?"
"Andrey… Yes, of course, Budak tu. Sorry. Aku lupa langsung."
"Kenapa dengan dia?"
"Petang tadi aku jumpa dia kat kafeteria lepas sekolah."
"Kau kena replace cikgu Lee, kan?"
"Ha ah…" Sophia berhenti seketika. Hus tembikai dihirup sebelum bicara diteruskan."Apa kau pernah cakap dulu tu… kau betul…"
"So?"
"Aku tak tau." Jawab Sophia. Tangan kirinya memicit-micit dahi seakan pening memikirkan sesuatu yang berat. "Aku rasa sunyi… sebak sangat lepas berborak dengan dia tadi."
"Banyak cerita balik hujan, macam sekarang ni. Kau rasa sunyi lagi?"
"Kau ada. Aku rasa lega sikit. Bila tau kena ajar dia, aku nervous."
"Don't confuse nervousness with excitement."
"Kau kata, dia lain dari yang lain. Introvert. Tak campur orang."
"Ha ah… Dia macam suka berkhayal. Menung sana. Menung sini. Hmm… Macam unmotivated. Kawan pun tak de."
"Ohh…" Penjelasan Rina membawa ingatan Sophia ke Tanjung Bayu. "Kadang-kadang, orang pendiam macam dia tu bukan tak nak berkawan, tapi mungkin dia tak tau cara nak mula."
Rina ketawa. Panjang. Lesung pipit menyerlah dikedua belah pipinya. "Aku faham…" Di mata Sophia Rina nampak seraut wajah sedang tersenyum.
#
"Seni menyelesaikan sesuatu melalui manusia. Merancang, mengatur, memimpin, dan mengawal."
"Tidakkah itu membosankan?" Tak senang sang hati tengok sang otak selalu berusaha untuk memusatkan perhatian pada pembelajaran. Kalau boleh biar sampai otak tunduk kepada perintah hati yang selalu tak puas hati.
"Diam." Tegas tapi tenang, otak cuba menghalau hasutan hati. Tapi hati terlalu bijak. Dia diam namun dalam diam, dia menyucuk jarum. Sang pemilik masih tenang, cuba untuk tak mengendahkan kedua mereka. Baik otak, baik hati. Bertelagahlah. Buat apa kau orang suka.
Sesekali matanya mencuri pandang ke depan. Seluar hitam, blouse biru. Rambut diikat ringkas tapi kemas. Cermin mata yang tadinya berehat di atas rambut, diturunkan kembali ke tempat sepatutnya. Guru yang berdiri megah menjalankan tugas itu tak pernah gagal memerangkap dia dalam penjara kebosanan. Andrey cuba menangkap setiap butiran penjelasan yang diberikan dengan penuh dedikasi namun dalam masa yang sama dia merayu kepada waktu untuk melajukan langkah. Kelas senyap dan sunyi, seluruh perhatian berjaya ditawan.
Kalau ikutkan hati, memang tak ingin dia duduk di situ. Minatnya untuk mendalami matapelajaran ekonomi dah mati. Perempuan itulah yang dah membunuh semangat, siapa lagi? Itu, perempuan yang tengah mengajar depan kelas. Perempuan yang selalu kelihatan begitu bersemangat memikul tugas, lengkap dengan semua karisma— menurut desas desus di sekolah.
Rina. Cikgu Rina. Cikgu yang mata dan seluruh pancainderanya begitu peka kepada kesilapan Andrey, walau kesalahan yang tak dapat dilihat di bawah mikroskop sekali pun.
Tak ubah seperti kamera litar tertutup yang dipasang di segenap penjuru institusi, mata cikgu Rina seakan berada di mana-mana. Andrey selalu rasa diperhatikan. Setiap gerak dan geri. Setiap langkah dan jejak kaki. Dan umpama racun yang terpaksa ditelan, mata pelajaran ekonomi yang dulunya cuba diminati kini semakin tak menarik malah bertukar sebagai beban, sekaligus menimbulkan perasaan kurang senang atau mungkin lebih layak dipanggil benci.
Kadang-kadang dia sendiri pelik kenapa dia begitu tak selesa dengan cikgu Rina. Beza betul dengan cikgu-cikgu lain. Kemunculan cikgu Rina sering membawa sejenis tekanan hingga menimbulkan resah gelisah dalam dirinya. Setiap kali loceng berbunyi menandakan waktu dah tiba untuk aroma minyak wangi guru tersebut menusuk deria bau, semua organ yang mengisi tubuh kurus Andrey gagal berfungsi dengan gembira, seterusnya memilukan seluruh anggota badan. Di masa yang sama, semangat yang selalunya berkobar seperti obor sukan olimpik padam begitu saja, dihembus aura puting beliung seorang cikgu Rina. Malangnya, pilihan apa yang dia ada selain menghadirkan diri?
Beban kebosanan terlalu berat untuk ditampung mata. Berkali-kali dia menguap dan sekerap itu jugalah dia menggosok muka dengan kedua belah tapak tangan, cuba mengusir rasa mengantuk. Suara cikgu Rina masih bergema, mengisi seluruh ruang, memecah gegendang telinga. Bersemangat sungguh guru muda itu dengan kuliah yang disampaikan, bagaikan semangat itu membara semata-mata untuk menyeksa diri Andrey dalam api kebosanan.
Mata yang separuh terpejam tetap cuba pandang ke depan, berusaha untuk beri perhatian kepada cikgu ekonomi yang tak pernah letih membebel, macam wakil rakyat, cuba memperluaskan pengaruh. Sesekali Andrey perhatikan rakan-rakan sekelas. Semua mereka sangat teruja mendengar khutbah Cikgu Rina sedangkan tiada satu paradigma pun yang menganjak dalam dirinya.
"Unit sosial di mana dua atau lebih orang berinteraksi untuk mencapai matlamat bersama pada satu set matlamat." Kelas diteruskan dan kapur pun mendarat tepat di muka untuk kesekian kalinya sewaktu Andrey leka menconteng buku teks dengan tangan membantalkan kepala di atas meja.
"Datang depan!" Satu arahan berintonasi tegas keluar dari mulut cikgu Rina, melagakkan dominasi.
"Huh... What the hell?" Andrey tersentak. Laju mulutnya melatah dan sepantas gerak bibir, dia mendongak. Boleh mati terkejut aku kalau macam ni hari-hari. Ni bukan lagi sakit hati, tapi dah tahap sakit jantung. Kepada hati dia mengadu. Terasa seketul daging dalam dadanya berdetak laju sehingga berpeluh tapak tangan. Sarung kaki pun terasa basah. Nasib baik seluar dalam tak basah sama. Peluh turut timbul di dahi. Ketiak juga sama terkesan walaupun bilik itu dilengkapi penghawa dingin. Kerenah cikgu Rina yang memunculkan peluh di seluruh tubuhnya terpaksa dilayan. Terpaksa.
"Sini." Cikgu Rina menudingkan jari ke lantai di mana dia sedang berdiri. "Jelaskan apa yang dah saya terangkan kepada kelas tadi!" Cikgu Rina menuntut hak untuk perintahnya ditaati. Dada yang terlihat bengkak dengan keangkuhan itu tergambar jelas diraut wajahnya yang garang. Bangga sungguh dia dengan kemampuan untuk menguasai, mengetahui pelajarnya itu tidak punya apa-apa daya untuk mengingkari arahan.
Pedang matanya menusuk muka Andrey. Sepantas cahaya Andrey mengalihkan pandangan, tak mengizinkan diri turut dipukau seperti rakan-rakan sekelas. Mata itu kalau dilawan, bukan saja mampu merosakkan pengamatan malah akan turut mencederakan kewarasan. Begitulah hati Andrey membuat alasan. Hati yang marah ingin melawan, tapi otak segera memujuk— "dia cikgu, kau tu siapa? Dia tua, kau muda. Orang muda kena hormat orang tua selalu, tak kiralah kurang ajar macam mana pun orang tua tu." Akhirnya Andrey akur kepada nasihat otak— mengizinkan diri didominasi tanpa rela.
"Apa saya cakap tadi?" Sorotan mata cikgu Rina yang lebih kurang 5 sentimeter lebih tinggi dari Andrey mengikut setiap pergerakan sehingga langkah dimatikan untuk berdiri di depan mukanya, membelakangkan papan hitam. Andrey tunduk, bukan tunduk hormat tapi saja nak tengok kasut apa cikgu tu pakai. Kenapa tinggi sangat? Hmm… Ingat pakai heels. Perlahan-lahan Andrey mengangkat muka, cuba menentang mata cikgu Rina. "Pengurusan, cikgu." Jantung masih laju. Peluh terasa menyerap kemeja biru yang menyalut badan.
"Define."
Bahu diangkat. Mata pandang meja. "No idea."
"Orang datang kelas nak belajar, awak membuta. Awak ni umur berapa?" Sengaja cikgu Rina menyoal sedangkan jawapan dah ada salam kepala.
"19."
"19!!! See, 19. Bukan 9 tahun!" Suara ditinggikan. Nampak sangat cikgu Rina memang sengaja cari bahan nak menghentam. Semua mata tertumpu ke arah mereka berdua seolah-olah sedang menyaksikan persembahan teater. Masing-masing dengan mulut rapat terkatup. Suasana begini menambahkan lagi darjah kebencian di hati Andrey untuk terus berada di situ. Di institusi itu secara keseluruhannya. Aku ni kena paksa, kau apa tau. Kau tau nak malukan aku je. Guman Andrey dalam hati yang geram. Nak rasanya dia menzahirkan kekecewaan itu tapi tak berani.
"Kalau sekolah rendah ke, menengah rendah ke, mungkin saya boleh faham, boleh tolerate tapi awak ni sekarang ambil A'Level tau? A'Level! Sedar tak? Awak faham tak apa maksudnya A'Level?" Tangan menyilang tubuh. Suara direndahkan tapi matanya seperti tak kenyang-kenyang menjamah muka pelajarnya itu.
Kedengaran akal berbisik, cuba memujuk hati "mungkin dia ni sunyi, kurang kasih sayang, sebab tu dia jadi garang, jarang senyum dan berceria."
Pertanyaan cikgu Rina diabaikan. Kata orang, api jangan dicurah minyak nanti menyambar, sendiri yang terbakar. Jadi Andrey memilih untuk diam.
"Bukan sekali dua awak membuta dalam kelas saya. Prestasi? Corot! Teruk! Tak malu ke? Tak ada kesedaran ke nak majukan diri? Apa tujuan awak datang sekolah? Menyusahkan mak bapak bayar yuran beribu-ribu sebulan?"
"Tak payahla sebut mak bapak pulak." Petik nama mak bapak, mana boleh dia diamkan. "Nak marah saya, saya ajelah."
"Memang sedih kalau mak bapak tau perangai awak camni kat kolej." Cikgu Rina tak mempedulikan kata-kata Andrey. Leteran diteruskan tanpa menyedari dia sedang membuat luka di hati pelajarnya itu. "Orang buat A'Level untuk persiapan nak masuk universiti. Yang awak, tak. Amik A'Level tapi buat perangai macam budak baru masuk tadika. Awak sepatutnya serius sebab ini yang akan menentukan masa depan awak esok. Itupun kalau awak serius tentang masa depan." Cikgu Rina membebel lagi. Bukan sekali dua dia cakap benda yang sama. Depan kelas. Depan budak-budak sekelas. Skrip dia pun semua orang boleh hafal.
Telinga yang tak gatal digaru kemudian kolar baju kemeja dibetulkan sebelum berdiri senang diri, tanda sedia menerima maki hamun lagi.
"Nineteen..." Si guru menggeleng. "Awak tau tak, ada antara kawan-kawan sekelas awak ni baru lapan belas? Apa awak buat setahun lepas O'Level? Buang masa? Membuta? Dah tua bangka bukan budak lagi dah boleh jadi..." Ayatnya terhenti di situ. Cikgu Rina rasa bersalah. Aku ni over sangat ke? Punggungnya disandarkan ke meja. Tangan masih memeluk tubuh. Muka Andrey tetap dibaham bulat-bulat.
"Jadi apa, cikgu? Go ahead. Say it. Say it to my face." Hati yang mula membengkak dibelasah kata-kata cikgu Rina menolak pujukan otak untuk bertenang. Kalau berani sangat, cakap aje lah apa kau nak cakap.
Dari nada yang dialun, semua orang pun boleh menyambung kata-kata cikgu Rina tadi. Andrey menempelkan biji matanya ke muka guru itu, menghantar keinginan untuk mendengar ayat yang lengkap. Mungkin tak tahan dipandang seperti itu, cikgu Rina mengalihkan cengkaman matanya. "Apa awak cakap sebelum ke depan tadi?" Licik topik diubah tapi masih sempat mengerling sambil tangannya mengemas beberapa buku di atas meja yang kemas. Kesian pulak… tak patut aku cakap macam tu. Dia pun nampaknya mengantuk sangat, macam tak sihat. Tapi tak kan lah hari-hari tak cukup tidur, tak cukup zat?
"What the hell." Dengan sopan dan laju Andrey jujur bagi jawapan. Gelagat cikgu Rina diperhatikan. Seketika kemudian dia palingkan pandangan ke luar tingkap, cuba cari ayat yang sesuai untuk menanyakan satu soalan yang dah lama berlegar di benak. Satu soalan yang memerlukan jawapan telus dari seorang cikgu yang dah menyemai benih kebencian dalam diri— mengapa engkau suka marah aku? Jauh dalam kewarasan, Andrey ingin sekali mengajak cikgu Rina berbicara mata ke mata, hati ke hati.
"Now you can get the hell out of my class!"
Tapi baru je hati nak ajak berbicara dengan aman, dah kena halau. Ambil kau!
Jawapan yang diberi sekelip mata mengubah rasa kasihan dan simpati di hati cikgu Rina. Budak macam ni kalau bagi muka nanti naik kepala. Cikgu Rina cuba meyakinkan hati sendiri bahawa tindakannya itu betul. Pelajar yang tak ada disiplin, tak reti hormat cikgu, tak boleh dibagi muka.
Menyampah benar Andrey rasa nak belajar ekonomi sampai dia menyesal pilih subjek itu. Hari-hari hadap muka cikgu Rina benar-benar menyakitkan jiwa. Otaknya dah mula mencongak-congak untuk lepaskan saja subjek tersebut. Tapi hati pula selalu memujuk. Katanya, "kenapa pasal cikgu Rina kau nak mengalah sedangkan kau yang pilih sukarela?" Jadi dia ikut nasihat hati. Ego dan maruah harus dipertahankan.
Kalau boleh, nak saja Andrey cakap terus kat muka cikgu Rina supaya berlembut sikit. Sikit pun jadilah. Jangan mengada, jangan berlagak, jangan poyo sangat. Tapi dia tak berani. Si singa gunung itu terlalu kuat. Kekuatan itu mampu buat Andrey menangis kebosanan dan secara langsung memaksa dia mencari alasan untuk tidak menghadirkan diri dalam kelas ekonomi.
Malangnya, dia ibarat mentimun, cikgu Rina, durian. Menghadirkan diri adalah satu kewajipan. Hadir dengan kekecewaan, sudah tentu dan kerana itulah dia sering cari kesempatan untuk lari, ikutkan kata hati. Peluang kena halau keluar dari kelas memang ditunggu-tunggu walaupun pada hakikatnya amat memalukan. Dah tentulah tak wajar untuk dijadikan rutin.
"Tunggu apa lagi, Andrey, blah la lekas, apa lagi kau pandang-pandang singa gunung tu?" Terdengar satu suara mendesak dari dalam. Entahkan hasutan hati, entahkan dorongan otak. Satu yang dah tentu, suara itu wajib dipatuhi. Segera dia angkat kaki dan kembali ke meja yang terletak di tempat duduk paling belakang.
Setelah mengemas buku-buku yang berterabur atas meja dan menyumbat semuanya ke dalam beg, dengan pantas kelas yang dijajah oleh singa gunung bercermin mata tersebut dia tinggalkan.
Macam anjing dapat tulang, Andrey bersiul-siul ke kafeteria, cuba menuam bengkak di hati sendiri dengan secawan kopi. Beberapa kerat pelajar kelihatan duduk minum di situ. Ada yang baca buku, ada yang duduk berbual-bual. Ada yang dating. Dia orang ni kena halau dari kelas jugak ke, macam aku?
Bersama secawan kopi ditangan, Andrey terus ke belakang sebuah bangunan lama berhampiran dewan. Di bawah sebatang pokok, dia rehatkan otak sambil merawat hati yang dicela cikgu Rina sementara menunggu loceng berbunyi menandakan tamatnya kelas ekonomi.
Gabungan asap kopi dan asap rokok cukup menenangkan. Otak rasa cergas. Selepas sebatang rokok diabukan dan cawan kopi dikosongkan, dia bingkas bangun meninggalkan bangunan lama yang jarang-jarang dijejak warga sekolah. Sebaik saja melintasi tempat letak motosikal untuk kembali ke kafeteria, matanya seakan dipanggil memandang tempat letak kereta yang dikhaskan untuk para guru. Dari jauh, kelihatan kilauan kereta hitam milik si singa gunung terparkir kemas di situ.
Hmm... Aku rasa singa tu patut diajar. Hari-hari nak malukan aku depan kelas je kerjanya. Sepatutnya kerja kau jadi cikgu, bukan buli aku! Hati, memang kadang-kadang terlalu panjang akalnya. Macam kilat, satu inspirasi kurang sihat menjelmakan diri.
Termakan dorongan dan pujukan sang hati yang pandai memanipulasi emosi, mata Andrey liar memerhati sekeliling. Ke kafeteria, ke kaki lima, ke padang, ke deretan bangunan dan kelas di seberang tempat letak kereta. 360 darjah kepalanya berpusing untuk memastikan keadaan selamat dan terkawal bagi melunaskan sebuah niat jahat. Waktu-waktu macam ni, semua pelajar dan guru masih sibuk dengan kelas masing-masing. Matanya kini tertumpu semula pada kereta cikgu Rina. Kilauannya seakan menyeru-nyeru untuk didekati.
"Kau jangan carik masalah." Otak bagi amaran.
"Ah, singa betina tu memang saja cari pasal!" Bantah hati. "Tak ingat apa dia cakap, apa dia buat selama ni?"
"Itu salah sendiri. Tidur dalam kelas, cikgu mana yang suka perangai macam tu?" Akal tetap dengan pendiriannya untuk tidak membela. Tapi hati terlalu bijak mencetus luapan. Dibawanya ingatan menerjah ke satu hari ketika kebosanan mencapai tahap tertinggi dan cikgu Rina perlu untuk mengadakan kuiz.
Rakan sekumpulan tak puas hati bila Andrey gagal menjawab. Bosan dengan permainan itu, kuiz diabaikan. Cikgu Rina pun datang menghampiri. Telescopic pointer kegemarannya menyentuh lengan Andrey dengan agak kasar.
"Apa ni cikgu?" Dia meninggikan suara. Menyenget senyum cikgu Rina seakan mempersendakan tindakannya menggosok lengan. Rakan-rakan sekelas berbisik dan tertawa sesama sendiri. Semua dalam kelas tu penyokong tegar cikgu Rina, bukan dia tak tahu. Kalau ikutkan geram hati, memang nak aje Andrey rampas pointer tu, biar pointer makan tuan. Bukan kat lengan, tapi kat bontot!
Suara cikgu Rina kembali bergema. "Awak ingat ni hotel? Nak membuta, balik rumah atau tidur je dalam tandas, mana je awak suka, tapi bukan dalam kelas saya! Kalau tak berminat nak belajar, tak payah datang buat habis duit mak bapak! Datang pun ganggu kelas aje, tak bagi kerjasama. Tak tahu apa-apa langsung pasal topik yang kita bincangkan. Apa tersekat dalam kepala otak awak? Kotak kosong?"
Kata-kata yang diludah tepat ke muka masih jelas terngiang. Ayat keramat yang telah membenihkan kebencian dan menaikkan semangat untuk meneruskan apa yang diajak dendam. Dia bingkas berdiri. Kotak kosong ye, Rina? Sakit hati dah jadi benci. Benci jadi dendam dan longgokan dendam itu mendambakan pembebasan. Andrey rasa tak adil kalau biarkan cikgu Rina terus memperbudakkan dia, seolah-olah dia seorang manusia paling teruk, bodoh, tak berdisplin, paling bermasalah di sekolah.
Patuh pada hasutan hati, berbekalkan dendam, dia melangkah perlahan mendekati tempat letak kereta sambil memerhati lagi ke setiap sudut, untuk memastikan tiada sesiapa yang pasang mata.
Gunung berapi pun pandai meledak, inikan pula aku— manusia yang ada hati dan perasaan. Aku ada maruah dan kau dah pijak-pijak maruah aku. Kau ingat aku nak diamkan?!
Masanya dah tiba untuk letupan. Tak kira apa pun akibatnya, punca itu nyata.
Menyelinap di belakang deretan kereta, Honda City milik cikgu Rina kini di depan mata. Kereta berwarna hitam itu terparkir kemas di antara dua kereta lain, seakan bersedia membantu memudahkan kerja-kerja menunaikan hajat tanpa usaha keras, tak seperti menjawab kertas soalan ekonomi. Dia duduk mencangkung di pintu pemandu. Poket beg galas diseluk. Swiss Army Knife kesayangan yang selalu dibawa ke mana saja kini kemas digenggam. Tanpa berfikir panjang, sebaris kebencian di pintu kereta cikgu Rina berjaya diguris.
"U sucks." Pesanan ikhlas itu ditoreh betul-betul di pintu pemandu. Andrey cukup sedar, tak akan susah bagi cikgu Rina untuk mengesan angkara siapakah yang mencemar pintu kereta dia— jenayah pertama Andrey di TBC. Apa pun hukuman, dia dah bersedia. Kalau boleh, biarlah sampai kena buang sekolah.
"Lantaklah kalau perkara ini sampai ke pengetahuan mak abah sekalipun, tak aku heran. Polis? Ahhh... Pergi mampos! Duduk dalam penjara atau pusat pemulihan lagi baik dari menghadap kerenah cikgu Rina hari-hari." Endorphins dan dopamine menyentak ke seluruh urat saraf. Kepuasan hakiki yang mengalir lancar dalam pembuluh darah, nikmatnya bagaikan bisikan syaitan yang menggoda manusia ke syurga dunia.
Selepas menghias dendam di pintu kereta cikgu Rina, Andrey buat keputusan untuk menghabiskan baki sesi persekolahan pada hari itu di tepi tasik. Dalam erti kata paling senang nak faham— memonteng— perkara yang dah biasa dia buat bila malas dah merasuk waras. Selepas menyelesaikan satu misi yang hebat, akal, hati dan fikiran berhak untuk berehat.
Merenung ke dalam diri, dia bertanya lagi, kenapa A'Level? Mengapa perlu dikaji lima subjek lagi selama dua tahun di sekolah yang sama? Ahhh … Semuanya sebab abah. Abah yang memutuskan semua ini. Bukan mak, bukan aku. Permintaan dan arahan abah, siapa yang berani lawan? Mak mungkin selalu dapat memujuk abah, tapi tidak dalam soal ilmu dan pendidikan.
"Your result is very disappointing." Kertas keputusan peperiksaan dibaling ke mukanya. "This is not what I expected. Memalukan!"
Andrey tergamam, sedih dan pedih mendengar kata-kata abah. Sakitnya bagaikan luka disimbah cuka. "Saya nak sambung belajar kat Akademi Seni. There's always another option if I don't deserve university. A better option, indeed." Seikhlas hati dia cuba membela diri, berharap akan diberi peluang memilih. Namun, senyum sinis bapanya yang disertai renungan tajam telah menembusi tangkai hati lalu menewaskan mata hingga jatuh menyentuh lantai. Mulut terkunci, menghindar diri dari menyuarakan hasrat apatah lagi untuk menunaikan hajat.
"My wings may be broken but abah, flying is not an option." Andrey berbisik antara dengar dengan tidak.
"Pilih salah satu antara dua. Terus belajar di situ, buat A'Level atau kamu boleh keluar dari sini, tentukan hidup sendiri."
Mahu saja Andrey sahut cabaran itu. Dah selalu dia fikir, dia boleh jadi pelukis atau pemuzik jalanan untuk menampung hidup demi kepuasan peribadi. Dia yakin dia mampu hidup berdikari tapi mampukah kehidupan seperti itu memberi keselesaan seperti mana yang dia kecapi selama ini?
Kata putus abah mendahului. Andrey ditinggalkan tanpa dapat mempertahankan diri apalagi harapannya. Nak tak nak dia terpaksa akur, terpaksa terima. Separuh hati. Hati yang hampir mati.
Dan hati yang mati itu berhak untuk dibangkitkan semula.