BATU-batu kecil di sekitarnya dibaling ke dalam kolam di hadapannya. Seperti biasa, kehidupannya di situ cukup membosankan. Tanpa media sosial untuk dia berinteraksi. Tanpa internet untuk dia mencari maklumat. Tanpa barang elektronik yang canggih. Yang ada hanyalah kolam yang sememangnya sudah menjadi tempat hariannya melepak.
Biarpun dia tahu kolam itu begitu hampir dengan kediaman Shu Yan, tetapi dia tidak peduli. Kalau terserempak pun, dia hanya akan membutakan matanya sahaja. Dia sudah patah hati untuk meneruskan rancangan itu. Jadi lebih baik dia berdiam diri sahaja daripada membuat sesuatu yang menyakitkan hati lelaki itu.
Ying Hua duduk di atas rumput hijau itu sambil memeluk lutut. Masanya terlalu lapang sehingga dia tidak tahu hendak membuat apa. Sedangkan dahulu waktu tidurnya juga adalah separuh waktu kerja. Kerana mahu berjaya, dia mengabaikan kesihatannya. Sekarang adalah masa untuk dia berehat dari kesibukkan dunia itu. Tetapi terlalu rehat pun sudah buat otaknya tepu.
Dagunya diletakkan di atas lututnya. Matanya memandang ke arah kolam, melihat beberapa ekor ikan berenang. Jari jemarinya pula bermain rumput. Entah bila kebosanannya itu akan berakhir.
Dari jauh ada sepasang mata sedang memerhati. Kata-kata yang dilemparkan oleh Shu Xian sedikit sebanyak menyedarkannya. Tetapi egonya masih melangit. Melepaskan Wu Xiao Hua bukan satu pilihan yang terbaik.
Shu Yan melepaskan keluhan kecil. Menurut Yuan Zhen, Xiao Hua agak senyap selepas sesi luahan perasaan itu. Malah Xiao Hua juga tidak membuat apa-apa yang mendatangkan kemarahannya. Suara yang selalunya bising itu sudah tidak kedengaran. Wanita itu lebih banyak menghabiskan masa dengan termenung sendirian. Lebih dari biasa.
Dia tidak tahu apa yang Xiao Hua fikirkan. Tetapi sikap itu sudah tidak memeningkan kepalanya. Sedikit sebanyak perihal wanita itu membuatkan dia lega.
Perlahan kakinya melangkah menuju ke arah wanita itu. Sehingga dia berdiri di belakang pun, Xiao Hua masih tidak menyedari kedatangannya. Nampaknya fikiran wanita itu benar-benar melayang jauh.
Shu Yan membongkokkan tubuhnya dan berbisik perlahan di telinga wanita itu. "Saya rasa ada orang tu pernah cakap yang dia nak dapatkan hati Wang Shu Yan. Tapi rasanya tak ada apa-apa tindakan pun. Kenapa? Rasa menyesal ke?"
Serentak itu Ying Hua tersedar dan segera menjarakkan diri dari lelaki itu. Datang macam hantu! Langsung tak dengar bunyi tapak kaki. Hampir sahaja dia hilang nyawa dek bisikan itu.
Shu Yan membetulkan pakaiannya dan posisinya. Dia memeluk tubuh memandang reaksi wanita itu. Sebelah keningnya terangkat, bagaikan menunggu balasan daripada wanita itu.
Ying Hua menjeling meluat. Dia tidak ada mood untuk melayan kerenah putera itu. Sudah cukup malang mereka bertemu ketika itu. Diungkit pula kisah luahan perasaan itu.
"Wu Xiao Hua, mana pergi mulut bising awak tu?" tanya Shu Yan pelik. Rasanya dia sengaja menaikkan darah wanita itu tetapi masih tiada balasan seperti selalu. Selalunya mulut itu begitu bising. Tetapi anehnya, hari ini bagaikan bisu pula.
Ying Hua bingkas bangun. Dia menepuk-nepuk kainnya yang terlekat rumput dan tanah itu. Matanya menandang tepat ke anak mata putera keempat itu tanpa perasaan.
"Xiao Hua takkan pernah dapatkan hati awak semula. Awak tahu jawapannya, Wang Shu Yan," ujar Ying Hua perlahan namun bernada tegas. Nampak seperti dia tidak mahu bermain dengan permainan putera keempat itu.
Shu Yan terkedu.
"Awak lebih tahu segalanya..." sambung Ying Hua lagi.
Kenapa masih mahu bertanya sedangkan lelaki itu sudah tahu jawapannya. Biarpun dia bukan Wu Xiao Hua tetapi tiada guna untuknya untuk dapatkan hati lelaki itu.
"Xiao Hua..." Nada Shu Yan sudah berubah lembut.
"Saya patut duduk diam kat sini kan? Jadi saya akan duduk diam sepertimana yang awak nak," potong Ying Hua pantas. Dia sebenarnya tidak mahu mendengar apa-apa dari mulut lelaki itu. Setiap apa yang keluar dari mulut itu, hanyalah menyakitkan hatinya.
"Awak dah ingat segalanya?" Shu Yan membuka matanya seluasnya. Melihat pada sikap lemah itu, dia merasakan Xiao Hua sudah kembali kepada sikap asalnya.
Ying Hua ketawa sinis. Matanya merenung tepat wajah Shu Yan. "Kenapa? Kalau saya ingat, awak nak buat apa? Nak bunuh saya lagi?"
Selepas tiada balasan dari lelaki itu, dia terus berlalu. Bergaduh pun tak guna juga. Akhirnya hanya menyakitinya juga.
Tangan wanita itu segera dicapai, menghalang daripada pergi. Pegangannya yang lembut itu bertukar erat seperti tidak mahu dilepaskan. Langkah Ying Hua terhenti namun dia tidak berpaling.
"Awak belum cuba dan belum tahu jawapannya. Awak dah mengalah sebelum mencuba?" Entah apa yang bermain di fikiran Shu Yan ketika itu sehingga dia menuturkan kata-kata seperti itu.
Ying Hua ketawa sinis. "Belum cuba pun dah tahu apa jawapannya."
Dia cuba melepaskan diri dari pegangannya itu namun sekali lagi Shu Yan menarik tangannya.
"Saya bagi peluang kedua untuk awak. Tapi bukan bermakna saya maafkan awak. Dan bukan bermakna saya tak bencikan awak. Walau macam mana jahat pun awak yang dulu, awak masih lagi isteri saya yang sah. Awak masih lagi puteri keempat wilayah Shuxia. Saya nak lihat bagaimana awak tebus kesalahan lalu awak," ujar Shu Yan tenang.
Ying Hua tergamam. Seakan-akan tidak pernah menyangka dia akan mendengar kata-kata itu daripada mulut putera yang ego. Apa yang dah berlaku sebenarnya? Adakah luahan perasaannya hari itu menyentuh perasaan lelaki itu?
"Betul?" Ying Hua segera berpaling dengan wajah ceria.
Shu Yan mengangguk dalam ego. Tangan wanita itu dilepaskan. Merasakan wanita itu tidak melarikan diri darinya lagi selepas mendengar tawaran itu.
"Awak takkan bunuh saya?" tanya Ying Hua lagi. Dia mahu memastikan bahawa kata-kata itu bukan ilusi.
Shu Yan mengangguk lagi.
"Awak akan benarkan saya keluar?"
Shu Yan menjeling. "Awak nak keluar ke mana?"
"Pekan! Xin Xin cakap pekan Shuxia sangat cantik. Saya nak tengok. Awak boleh suruh pengawal temankan saya kalau awak tak percaya," ujar Ying Hua bersemangat.
Beberapa hari lepas Xin Xin bercerita tentang luar kawasan kediaman Yan. Wilayah Shuxia sememangnya begitu cantik pemandangannya. Tempat mereka begitu aman damai tanpa peperangan. Penduduk-penduduk di situ pula sememangnya dapat hidup dengan bahagia.
Wilayah Shuxia juga terkenal dengan aktiviti perdagangan. Jadi begitu banyak barangan unik dari luar negeri untuk didapati. Dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu. Agak rugi dia hidup di situ tanpa melalui semua itu.
Shu Yan menggeleng kepala. "Awak hanya dibenarkan keluar di sekitar kediaman Yan sahaja. Saya takkan benarkan awak keluar dari sini." Tegas dia bersuara. Dia boleh bertolak ansur tentang hal lain tetapi tidak untuk keluar dari kediamannya.
Panjang muncung Ying Hua, tanda merajuk. Sombong! "Baiklah. Saya tak berminat dengan semua tawaran awak. Awak boleh bunuh saya sekarang."
"Baiklah." Shu Yan sudah mengeluarkan pedang dari sarung pedangnya membuatkan mata Ying Hua sudah terbeliak.
"Eh tak tak tak! Saya bergurau. Saya bergurau..." Ying Hua tersengih kecil sambil menolak tangan kanan yang memegang pedang itu. Rupanya tak boleh dibawa main juga putera itu. Silap-silap boleh hilang nyawanya.
Shu Yan memasukkan semula pedangnya. Bibirnya mengukir senyuman mengejek.
Ying Hua merapatkan jaraknya dengan lelaki itu. "Kalau saya keluar dengan awak, boleh?" Dia tersengih-sengih kecil, lagak cuba menggoda.
"Tak boleh," jawab Shu Yan tegas.
"Hah? Dengan awak pun tak boleh?" Ying Hua membulat matanya. Apa yang kejam sangat sampai dia tak boleh keluar langsung?
"Takkan tak boleh..." Muncung mulut Ying Hua, mahu merajuk kononnya. Dipegang hujung lengan baju Shu Yan sambil digoyang-goyangkan.
Shu Yan hanya mempamerkan wajah ketat sambil menggeleng kepala.
"Boleh la. Saya janji takkan buat kacau." Ying Hua masih tidak berputus asa untuk memujuk.
Shu Yan menghela nafas lalu memandang tepat wajah manja itu. "Emm... saya akan fikirkan semula. Bergantung pada sikap awak. Kalau awak bersikap baik, saya akan bawa awak keluar."
"Yey!" Ying Hua sudah bersorak gembira lalu memeluk tubuh itu. Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya mendengar jawapan itu. "Terima kasih Wang Shu Yan!"
Shu Yan tergamam seketika. Tubuhnya kaku tidak bergerak. Pelukan erat itu membuatkan dia terkejut. Tidak pernah dia menyangka wanita itu akan bersikap demikian.
"Ah!" Ying Hua akhirnya tersedar akan kelakukannya lalu segera melepaskan pelukan itu dan menjauhkan diri. Kemudian dia tersenyum kecil sebelum melarikan diri dari situ. Tangannya melambai-lambai tanpa berpaling ke belakang. Itulah saat yang paling menggembirakan buatnya.
Mungkin itu satu langkah untuk dia mendapatkan hati Wang Shu Yan semula. Seperti yang dia sangka, lelaki itu masih menyayangi isterinya. Dia tidak boleh salahkan lelaki itu kerana melayaninya tidak baik sebelum ini. Kekecewaan lelaki itu begitu mendalam. Dan mungkin juga lelaki itu sebenarnya tidak mahu membencinya.
Wu Ying Hua! Selepas ni kau boleh hidup dengan aman kat sini. Tiada lagi ugutan membunuh. Tiada lagi layanan yang teruk! Misi pertama kau dah berjaya! Desis hati kecil Ying Hua dengan bahagianya.
Shu Yan hanya membisu di tempat dia berdiri. Matanya hanya melihat kelibat wanita itu yang kian menghilang dari padangannya. Senyuman yang penuh kegembiraan itu membuatkan hatinya terpaku.