RAMBANG mata Ying Hua melihat kiri dan kanan yang penuh dengan gerai. Walaupun tidak mewah seperti dunianya tetapi keadaan di situ begitu luar biasa. Barang kemas dijual secara terbuka. Jenis-jenis kain terpapar di situ. Segala macam benda dia boleh dapatkan di situ. Bukan hanya sekadar benda, tetapi juga makanan.
Matanya bersinar-sinar memandang sekeliling. Bangunan kiri kanannya membuatkan dia kagum. Itu adalah dunia realiti yang dia hadapi ketika ini. Bukan satu drama atau mimpi. Sehingga sekarang dia masih tidak percaya bahawa dia hidup di dunia asing itu.
Kehidupannya di situ terasa begitu tenang tanpa kesibukan. Hari ini dia benar-benar terasa puas kerana dapat menikmati pemandangan sebegitu. Dia rasa tenang tanpa kerjayanya yang terlalu sibuk. Dia tidak perlu sakit kepala memikirkan clientnya yang banyak kerenah itu. Apa yang dia tak pernah hargai selama ini, dia dapat pada kehidupannya di situ.
Shu Yan hanya mengekori tanpa bersuara. Hanya perlu memastikan wanita itu tidak terlepas dari pandangannya. Namun tetap jua bibirnya tersenyum kecil melihat keadaan itu. Tidak ubah seperti kanak-kanak yang baru menjengah ke dunia.
"Wah... cantiknya!" Mata Ying Hua sudah membulat melihat koleksi gelang di hadapannya. Satu gelang dari batu permata berwarna hijau itu menjadi tatapannya.
Pergh! Aku dapat tengok sendiri segala aksesori antik kot! Macam tak percaya. Desis hati Ying Hua sendirian.
Tangannya membelek-belek gelang batu jade itu. Dia berpaling ke arah Shu Yan yang berdiri di sebelahnya sambil menayang gigi.
Shu Yan mengambil gelang itu dan diletakkan semula ke tempat asal. Tangan wanita itu ditarik pergi dari situ.
"Saya nak yang tu!" Muncung mulut Ying Hua ketika itu sambil merunding jari ke arah gerai itu.
"Tak perlu."
Ying Hua merengus geram. Kedekut!
"Gelang yang awak pegang tu tiruan, bukan batu permata yang betul." Shu Yan cuba menerangkan keadaan sebenar. Dia bukan kedekut tetapi dia mahu selamatkan Xiao Hua dari ditipu.
"Ala... tiruan pun tetap cantik." Ying Hua mempertahankan pendapatnya. Di dunianya pun bercambah barang copy ori dari segala aspek. Tetap jua orang pakai. Tetap juga nampak bergaya.
"Saya akan beli untuk awak kalau awak nak. Tapi bukan yang tiruan."
Ying Hua sudah menayang gigi. Dia berjalan mengundur di hadapan Shu Yan, menatap wajah yang masih serius itu. "Wah... saya akan dapat hadiah dari suami saya."
Sejurus itu dia menarik tangan Shu Yan menuju ke satu gerai yang menjual dumpling. Jarinya sudah merunding ke arah dumpling sambil tersengih kecil.
Shu Yan hanya mengikut sahaja kehendak wanita itu. Entah mengapa melihat senyuman itu, dia rindu pada kenangan lalu. Apatah lagi tentang makanan kesukaan Xiao Hua, dumpling. Setiap kali mereka keluar bersama, setiap masa itu juga Xiao Hua tidak pernah terlepas dari membeli makanan kesukaannya.
"Xiao Hua, awak jangan makan terlalu banyak," pesan Shu yan sambil menghulurkan wang kepada pemilik gerai itu.
Ying Hua mengangguk. "Bukan senang awak nak bawa saya keluar. Jadi saya perlu habiskan duit awak hari ni."
Matanya melirik ke arah wanita itu. Tangannya terus mencapai bungkusan itu.
"Shu Yan!"
Shu Yan hanya mengangkat tangan bersama bungkusan itu lalu meneruskan langkahnya dengan wajah selamba. Manakala Ying Hua sudah terjengket-jengket ingin dapatkan bungkusan itu. Sememangnya dengan ketinggiannya yang begitu, sampai bila-bila pun dia tidak boleh dapatkannya.
Serta merta Ying Hua tersenyum nakal. Terus dia memeluk erat tubuh itu membuatkan tangan yang memegang bungkusan itu turun. Laju tangannya mencapai bungkusan itu dan melarikan diri.
"Xiao Hua!" Shu Yan sudah membeliakkan matanya, tidak menyangka Xiao Hua begitu berani. Laju langkahnya mengejar Xiao Hua yang melarikan diri di antara orang-orang awam sekitar itu.
Dari jauh mata memandang dengan penuh senyuman bahagia. Biarlah dia mengekori pasangan bahagia itu dari jauh. Ketika ini matanya dapat menilai rasa kasih putera keempat terhadap Puteri Yan itu. Dia tidak mahu melihat putera keempat hidup dalam kebencian. Harapannya ketika ini hanya ingin melihat pasangan bahagia itu kembali seperti dahulu.
********************
LAMA Shu Yan merenung wajah yang menyandar di bahunya. Mata itu terpejam rapat kerana terlalu letih bersiar-siar di pekan. Hembusan nafas wanita itu begitu lembut sekali. Muka itu masih kelihatan begitu suci. Manja itu tidak ubah seperti sikap yang dahulu.
Hatinya berbelah bahagi. Dia sangat menyayangi Xiao Hua. Kasih sayang yang dia berikan kepada wanita itu tiada belah bahagi. Setianya hanya pada yang satu. Tetapi Xiao Hua mengkhianatinya. Berlaku curang di belakangnya dengan abangnya sendiri. Dia masih tidak dapat menerima hakikat itu.
Setiap hari dia mengharapkan semua itu tidak benar. Dia mengharapkan dia hanya salah faham tentang Xiao Hua. Dia ingin tahu apa yang berlaku. Tetapi Xiao Hua memilih untuk tidak menerangkan kepadanya. Wanita itu lebih memilih untuk membunuh diri.
Fikirannya kacau bilau. Dia tidak mengerti apa yang berlaku sebenarnya. Kerana tindakan Xiao Hua, dia jadi benci. Kebencian itu melupakan segala kenangan manis mereka.
Perlahan dia mengusap lembut wajah itu. "Xiao Hua... patutkah kita lupakan segalanya?" Dia bersuara perlahan.
Patutkah dia lupakan apa yang berlaku dan mulakan hidup baru? Xiao Hua sudah tidak ingat apa yang berlaku. Biarpun keadaan banyak berubah tetapi dia masih melihat Xiao Hua begitu menyayanginya. Gelak ketawa dan senyuman itu, dia masih mahu melihat hingga ke akhir hayat. Dia mahu bersama dengan Xiao Hua sehingga akhir hayatnya.
Tangan wanita itu digenggam erat bagaikan tidak mahu dilepaskan. Kalaulah dia mempunyai kuasa, dia mahu menghentikan masa itu. Dia tidak mahu keluar dari saat-saat indah itu. Kerana itulah kali pertama dia melayani wanita itu dengan baik selepas kejadian lalu. Dia berasa begitu tenang.
Ketika kereta kuda itu berhenti, Shu Yan tersedar bahawa mereka sudah tiba di pintu utama kediaman Yan.
"Xiao Hua... kita dah sampai." Shu Yan mengejut lembut dengan menyentuh wajah wanita itu.
"Emm?" Ying Hua masih mamai namun tidak mengangkat kepalanya lagi.
"Wu Xiao Hua..." panggil Shu Yan lembut.
Mata Ying Hua sudah terbuka. Dia memandang sekeliling. Kereta kuda yang dinaiki mereka sudah tidak bergerak. "Dah sampai ke?" tanyanya sambil menenyeh matanya.
Shu Yan mengangguk. Dia terus keluar dari situ dan menghulurkan tangan ke arah wanita itu.
Ying Hua terus mencapai tangan Shu Yan dan turun dari kenderaan itu. Dia mengeliat kecil sebaik sahaja kakinya menjejak tanah. Perjalanan hari ini sudah tamat. Seluruh tubuhnya benar-benar terasa begitu letih.
Ketika Ying Hua menguap, Shu Yan segera menutup mulut yang terbuka luas itu dengan tangannya. Mata Shu Yan sedikit terjegil melihat perlakuan kurang sopan itu. Ying Hua terus tersengih.
"Wah... pasangan ni dah berbaik semula ke?" tegur satu suara yang muncul dengan tiba-tiba.
"Putera mahkota Nian." Yuan Zhen terus menunduk hormat sebaik sahaja melihat putera mahkota itu bersama beberapa orang pengawal di sisi.
Wajah Shu Yan terus berubah. Tidak menyangka abangnya akan muncul di hadapannya saat ini. Namun kerana tidak mahu dikatakan biadap, dia menunduk hormat kepada putera mahkota itu.
Ying Hua pula hanya terkebil-kebil melihat situasi itu. Sudahlah dia masih mamai. Matanya digosok perlahan.
"Puteri Yan." Shu Yan menegur sambil membuat isyarat menunjuk ke arah Shu Nian.
"Hah?" Ying Hua bingung.
"Xiao Hua..." Shu Nian tersenyum penuh makna.
"Awak siapa?" tanya Ying Hua sambil memandang lelaki asing itu. Mudah sahaja lelaki itu memanggil namanya begitu. Pakaiannya juga kelihatan mewah seperti Shu Yan tetapi warnanya agak terang berbanding dengan Shu Yan. Lebih menyerlah dan nampak lebih garang.
Serta merta Shu Nian ketawa. Memang berita itu benar. Wu Xiao Hua hilang ingatan. Melihat wajah polos itu, dia hampir sahaja tidak percaya bahawa Xiao Hua sudah tidak mengenalinya lagi.
"Puteri Yan, tunduk hormat pada putera mahkota." Shu Yan bersuara tegas.
Ying Hua terus menunduk hormat dalam keadaan teragak-agak. Kemudian dia berdiri rapat di sisi Shu Yan apabila merasakan mata lelaki asing di hadapannya itu menatapnya tanpa henti. Entah mengapa dia rasa tidak sedap hati.
"Maafkan Puteri Yan, putera mahkota. Puteri Yan masih belum pulih ingatannya. Harap putera mahkota tidak ambil hati." Shu Yan bersuara bagi pihak Xiao Hua.
Sebenarnya dia yakin kemunculan putera mahkota di kediamannya bukan sekadar perjumpaan biasa. Inilah kali pertama dia bertemu semula dengan abangnya selepas dia dapat tahu Xiao Hua berlaku curang di belakangnya bersama abangnya.
Shu Nian tiba-tiba menepuk tangannya bersama senyuman sinis. "Putera Yan masih lagi berpihak kepada Xiao Hua biarpun isterinya berlaku curang."
Shu Yan sudah mengepal jemarinya menahan geram. Sudah lama dia menahan amarahnya. Hari ini dia cuba untuk melupakan segalanya tetapi kemunculan Shu Nian memusnahkan segalanya.
Ying Hua mengigit bibir. Mengapa putera mahkota itu tahu segalanya? Untuk seketika dia terkedu apabila sudah sedar. Putera mahkota adalah kekasih gelap Wu Xiao Hua! Macam mana dia hampir terlupa tentang itu!
"Wu Xiao Hua... saya Wang Shu Nian, kekasih gelap awak," ujar Shu Nian selamba memperkenalkan dirinya sebegitu.
"Putera mahkota!" Shu Yan mencelah tegas. Dia tidak suka dengan cara abangnya itu.
Ying Hua masih terkaku di tempatnya. Lelaki yang dipanggil putera mahkota itu sememangnya berani. Wajah itu kelihatan garang tetapi seperti penuh dengan agenda tersembunyi. Jika hendak dibandingkan ketampanan dua beradik itu, Shu Yan lebih kacak dengan wajahnya yang tampak bersih dan tenang.
Sayangnya, Wu Xiao Hua dibutakan matanya. Memilih orang yang tidak sepatutnya. Adakah kerana Wang Shu Nian adalah putera mahkota? Ah! Dia makin tidak mengerti mengapa Wu Xiao Hua sanggup menduakan Shu Yan.
"Xiao Hua... awak sanggup lupakan saya." Shu Nian tiba-tiba mempamerkan wajah sedih.
Ying Hua terus menyorok di belakang Shu Yan. Erat dia memegang hujung lengan pakaian lelaki itu. Wang Shu Nian begitu menjijikkan di matanya. Dia merasakan lelaki itu ada agenda tersembunyi. Seperti sengaja cuba untuk menaikkan api kemarahan Shu Yan.
"Putera mahkota." Shu Yan menegur keras. Cukup tidak elok putera mahkota itu berkelakuan sebegitu di hadapan pengawal yang lain.
"Shu Yan, Xiao Hua patut ingat apa yang berlaku. Walaupun dia lupa ingatan, dia tetap perlu tahu siapa sebenarnya orang yang berada di dalam hatinya." Shu Nian sengaja mengejek putera keempat itu.
Tidak kira macam mana Shu Yan cuba mengelak sekalipun, Xiao Hua tetap sudah berubah hati. Lelaki itu masih tidak mahu menerima hakikatnya.
Ying Hua mencapai tangan itu dan digenggam erat. Dia tidak mahu emosi Shu Yan berubah kembali hanya kerana kata-kata itu. Dia hanya mahu Shu Yan yang tidak lelah melayan kerenahnya. Bukan lelaki yang memandangnya penuh kebencian.
Namun serta merta Shu Yan merentap tangannya. "Awak patut kembali pada orang yang awak sayang." Sinis Shu Yan berkata lalu meninggalkan wanita itu di situ. Dia terus melangkah masuk ke kediamannya tanpa berpaling ke belakang.
"Shu Yan! Tunggu saya..." Ying Hua ingin berlalu namun tangannya ditarik, menghalang untuk dia pergi.
Wang Shu Nian! Ying Hua memandang tajam ke arah lelaki itu. Tangannya cuba ditarik namun pegangan lelaki itu terlalu kuat.
"Xiao Hua, dia takkan pernah maafkan awak," ujar Shu Nian dengan nada mengejek. Betapa bahagianya melihat wajah Shu Yan yang berubah itu. Dia sememangnya menantikan api kemarahan Shu Yan membara. Itu adalah satu kemenangan buatnya.
Ying Hua segera merentap tangannya dengan kuat. "Saya tak ingat siapa awak! Awak jangan ganggu saya lagi! Apa pun yang berlaku pada masa lalu kita, saya harap awak dapat lupakan segalanya. Saya hanya mahu setia pada Wang Shu Yan!" balasnya garang. Sejurus itu dia terus masuk ke kediaman dengan perasaan geram.
Wang Shu Nian perosak segalanya! Sakit hatinya!
Shu Nian hanya tersenyum sinis sebelum bertukar tawa besar. Geli hatinya mendengar kata-kata Xiao Hua. Sedikit pun dia tidak sakit hati. Cuma dia ingin melihat sejauh mana Xiao Hua boleh hidup dalam keadaan begitu. Hidup dalam kebencian Shu Yan yang berpanjangannya.
"Jom!" Shu Nian segera berlalu dari kediaman Yan. Hatinya sudah puas dapat melihat drama di situ. Akan datang, masih ada banyak lagi perkara yang dia perlu lihat. Dia takkan sesekali melepaskan peluang untuk melihat kemusnahan perkahwinan adiknya itu.