Chereads / Awanama Kosmos / Chapter 18 - Bab 18

Chapter 18 - Bab 18

SELEPAS proses penujahan kapsul Soyuz dari kawasan pelepasan ke angkasa, terdapat tiga fasa pemisahan antara kapal pengangkut Soyuz dengan beberapa bahagian pada roket pelancar. Dapat diperkirakan, terdapat tiga kali proses pembakaran pada ketinggian yang berbeza-beza. Momen-momen pelancaran kapal misi Soyuz-TMA-M 119 ke angkasa dimulakan dengan fasa pembakaran bahan bakar kerosene yang pertama. Hasil pembakaran telah menghasilkan daya tujahan yang cukup berkuasa pada sudut sembilan puluh darjah iaitu sudut menegak tepat ke arah langit. Daya tujahan membawa bersama jasad kapsul Soyuz berlepas dari Baikonur Cosmodrome ke arah angkasaraya. Asap berkepul-kepul dengan api marak muncul daripada bahagian bawah kapsul Soyuz memenuhi tapak pelancaran sebelum satu jasad aluminum angkasa berwarna putih meluncur terus menuju ke arah langit.

Fasa pertama proses pemisahan berlaku selepas dua minit pertama daripada tempoh masa pelancaran dan ini merupakan salah satu detik-detik yang genting dan kritikal untuk keseluruhan misi terbabit. Ini juga merupakan momen-momen paling ditakuti oleh kebanyakan angkasawan kerana kebanyakan kemalangan angkasa berlaku pada fasa ini. Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh ini. Tangki minyak meletup dan meleburkan keseluruhan misi, getah pemisah antara kapsul Soyuz dan kargo yang dibawa menipis, kebocoran oksigen serta lain-lain kemungkinan masalah yang lain boleh berlaku.

Semasa proses pemisahan yang pertama, dada Nora Yuhanis terasa seperti dihempap oleh satu beban yang cukup berat, dan beban ini ditandai dengan G-force seberat 5G. Dadanya seolah-olah dihempap oleh seketul batu-bata boulder konkrit yang cukup besar dan berat. Kadar denyutan nadinya tinggi sedikit kerana agak gugup. Walau bagaimanapun, berkat doa dan latihan intensif yang dilaluinya selama setahun di Pusat Latihan Yuri Gagarin, dia berjaya mengharungi fasa paling getir dalam hidupnya.

Empat komponen utama booster dan tangki minyak kerosene akan terpisah dahulu daripada badan kapsul Soyuz selepas dua minit dilancarkan. Komponen booster berperanan membantu dalam proses penujahan kapsul Soyuz ke angkasa. Pada waktu ini, kru-kru utama akan bergerak sepantas 8,300 kilometer sejam dan mencapai ketinggian 41 kilometer daripada permukaan bumi. Pada waktu ini, kapsul Soyuz dapat menelusuri perjalanan ke orbit dengan menggunakan bahan bakar kerosene yang telah tersedia dibahagian tangki pada fasa pembakaran kedua.

Sedikit hentakan berlaku semasa proses pemisahan kapsul Soyuz yang kedua pada siri pembakaran enjin yang ketiga. Namun, hentakan tersebut sudah dapat diagak dan dijangka terutamanya ketika proses simulasi dijalankan beberapa bulan yang lalu. Tangki minyak kerosene fasa ketiga pula terpisah daripada bahagian badan kapsul Soyuz apabila memasuki minit yang kelima selepas proses pelancaran. Kedudukan kapal pengangkut Soyuz kini pula berada pada ketinggian 176 kilometer dari permukaan bumi. Kapal pengangkut pula bergerak pada kelajuan 13,500 kilometer sejam. Selepas lima minit, kapsul Soyuz sudah bergerak sejauh 500 kilometer dari permukaan bumi pada sudut mengiring empat puluh lima darjah. Sudut ini akan di stabilkan pada ketinggian 450 kilometer ketika mengorbit bumi sebelum perlahan-lahan mendaki sehingga mencapai ketinggian 470 kilometer sebelum berlabuh di ISS.

Pada minit ke-9 pula, fasa ketiga proses pemisahan telah berlaku. Kali ini, kapsul Soyuz akan terpisah dengan kapal penujah induk lalu meninggalkan kapsul kecil yang akan mengorbit bumi dengan menggunakan daya tujahan angkasa daripada kapsul Soyuz dan dikuasakan cahaya matahari yang mendapat sumber tenaga daripada panel-panel solar yang berada di bahagian luar kapsul Soyuz terbabit.

Proses pemisahan ketiga akan menolak pergerakan Soyuz untuk berada pada kedudukan orbit yang telah ditetapkan iaitu pada ketinggian 350 kilometer daripada permukaan bumi. Selepas selesai sahaja kapsul Soyuz mengorbit sebanyak dua kali mengelilingi bumi iaitu selama enam jam pada kelajuan 28,800 kilometer sejam, barulah kru-kru utama dibenarkan untuk membuka tali pinggang keselamatan masing-masing.

Kemudian, Nora Yuhanis tiba-tiba dapat merasa ringan dan hampir sahaja terapung-apung seusai sahaja dia membuka tali pinggang keselamatan. Pen, buku nota, keychain, kunci, pokoknya segalanya peralatan yang tidak terikat dengan badan kapsul Soyuz berkenaan dilihat mula terapung-apung. Oleh itu, Nora Yuhanis mula sedar dia sudah memasuki kawasan orbit iaitu kawasan persekitaran mikrograviti.

Pada kedudukan ini, Nora Yuhanis sudah mula dapat menjengah seketika ke tingkap kecil yang berada di sisi bahagian kanannya. Dia dapat melihat kegelapan namun terselah cahaya bintang yang samar-samar dibahagian atas namun apabila memandang ke bahagian bawah, dia dapat melihat benua-benua berwarna keperang-perangan hijau dengan lautan biru terbentang luas membentuk satu lengkungan gergasi. Pada tahap ini, dia sudah mempunyai bukti jelas bahawa bumi berbentuk sfera dan bukanlah mendatar seperti yang didakwa sebelum ini.

"Dan Dia yang menjadikan bintang-bintang untuk kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami sudah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu kepada orang-orang yang mengetahui."

(Surah Al-A'nam, ayat 97)

Setiap fasa yang berlaku pada pesawat pengangkut Soyuz misi Soyuz-TMA-M 119 ini akan dikawal rapi oleh pusat kawalan di Baikonur Cosmodrome dan juga di Houston. Tahap kesihatan kru-kru utama pula yang dihubungkan dengan sut angkasawan mereka terus ke pusat kawalan turut dipantau. Kadar degupan jantung, kadar penerimaan sinar radiasi daripada luar galaksi, kadar penerimaan oksigen di dalam badan dan pelbagai status kesihatan akan dipaparkan disatu skrin besar yang terpampang.

Selama tempoh 36 jam ini, mereka bertiga akan berada dalam kapsul Soyuz. Komander Andes Shkaplerov membuka penutup hac yang berada di bahagian atas kapsul Soyuz berkenaan. Hac tersebut bersambung dengan sebuah kompartmen kecil yang menempatkan tandas dan juga dapur mini untuk kegunaan selama 36 jam mengorbit bumi sebelum proses berlabuh dijalankan. Kompartmen dibahagian bawah kapsul pula menempatkan kargo barang-barang muatan seperti bahan-bahan ujikaji, stok makanan untuk dihantar ke ISS, barangan peribadi serta beberapa alat penyelenggaraan untuk proses selengara alatan di ISS.

Di dalam kapsul Soyuz tersebut, Nora Yuhanis menunaikan solat fardu 5 waktu di dalam kompartmen bahagian atas mengikut waktu di tapak pelepasan iaitu di Khazakstan. Dari segi kiblat pula, Nora Yuhanis akan menunaikan solat dengan mengadap ke arah bumi. Ini kerana adalah mustahil untuk mendapatkan lokasi tepat tanah suci Kaabah dengan kelajuan kapsul Soyuz selaju 28,800 kilometer sejam. Perkara ini menggunapakai amalan yang telah dilakukan sebelum ini ketika Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor terbang ke orbit pada tahun 2007. Pada ketika Nora Yuhanis melakukan ibadah, Komander Andes Shkaplerov dan juga flight attendant Marie Claire akan menutup pintu hac untuk memberikan privasi kepada angkasawan Malaysia terbabit.

Berada di dalam kapsul sempit dalam masa 36 jam bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Tidak ada sebarang aktiviti dapat dilakukan selain beberapa proses cerapan dan mengambil gambar-gambar permukaan bumi pada beberapa sudut angkasa yang menarik. Berada di dalam kapsul Soyuz yang bergerak laju seolah-olah mereka semua berada pada satu alam yang berbeza. Nora Yuhanis juga terasa seperti bermimpi apabila melihat keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa khususnya apabila mencerap keberadaan bintang-bintang, buruj dan permukaan bulan daripada kapsul Soyuz.

Selain itu, sepanjang perjalanan kapal pengangkut Soyuz yang berputar mengorbit bumi, mereka berjaya melalui beberapa stesen angkasa milik negara-negara utama seperti stesen angkasa milik Amerika Syarikat yang diberi nama 'PATRIOT' yang bermaksud 'perasaan cinta akan negara', stesen angkasa milik Rusia yang diberi nama 'ZEMLYA' yang bermaksud 'Bumi', stesen angkasa milik Britain yang diberi nama 'ELIZABETH' sebagai penghormatan kepada Ratu Elizabeth II, stesen milik China yang diberi nama 'YOUSHÉNG' yang bermaksud 'Kejayaan', stesen angkasa milik Jepun yang diberi nama 'TEIKOKU' yang bermaksud 'Empayar' dan stesen angkasa milik Korea Selatan yang diberi nama 'BYEOL' yang bermaksud 'Bintang'. Mereka juga dapat melalui beberapa satelit milik negara seperti TiungSAT-1, MEASAT-3, RazakSAT dan juga MEASAT-2.

***

Kini selepas 36 jam, tibalah masanya untuk kapsul Soyuz berlabuh di stesen angkasa antarabangsa (ISS). Proses pengiraan dan tahap kelajuan antara Soyuz dan juga ISS perlu selari dan tepat. Ini bagi mengurangkan sebarang masalah lain yang muncul. Segalanya dilakukan dengan automatik dan Komander Andes Shkaplerov hanya akan menerima arahan sekiranya berlaku masalah ataupun kecemasan.

Akhirnya, kapsul Soyuz bagi Misi Soyuz-TMA-M 119 berjaya berlabuh di ISS tanpa sebarang masalah!

***