Chereads / Awanama Kosmos / Chapter 19 - Bab 19

Chapter 19 - Bab 19

SEJAK hari pertama lagi, Nora Yuhanis sudah menyusun segala bahan-bahan eksperimen yang telah diletakkan di dalam bekas kedap udara yang telah di meterai (seal). Bahan-bahan berkenaan yang mengandungi pelbagai kristal hablur protein, bakteria yang telah disejukbekukan, sel tumbuh-tumbuhan seperti serai wangi, padi dan daun ketum, robot mini yang diperkaya kecerdasan pintar (AI) yang dibekalkan oleh Xiaomi Malaysia, virus yang pernah menjadi pandemik dibumi suatu masa dahulu termasuklah virus Covid-19, virus Nipah dan beberapa sel kanser diletakkan di bawah keratan nipis berkaca lalu disusun dengan cermat di sekitar kawasan Makmal Columbus.

Sampel-sampel ini sebahagiannya akan dimasukkan ke dalam peti sejuk, ada sebahagian lagi diletakkan bersebelahan dengan penunu bunsen manakala bakinya akan diletakkan didalam bekas kedap udara. Secara kasarnya, terdapat enam segmen sub-bidang pengkajian yang akan dijalankan oleh Nora Yuhanis di ISS kelak. Ini termasuk segmen Biologi & Bioteknologi, segmen Bahan Bumi & Sains Angkasa, segmen aktiviti pembelajaran untuk pelajar, segmen penyelidikan manusia, segmen sains fizikal dan juga segmen teknologi robotik.

Segmen Biologi & Bioteknologi merangkumi bidang pengkajian mengenai kesan reaksi sel-sel tumbuhan terhadap persekitaran mikrograviti dan juga tahap dedahan sel terhadap pancuran sinaran radiasi bersumberkan bahan luar galaksi. Segmen ini lebih memfokuskan kepada sumber biologi yang boleh dikembangkan melalui kaedah alam semulajadi di orbit pada persekitaran tanpa oksigen dan graviti selain tahap dedahan sel tumbuhan terhadap sinaran radiasi semulajadi luar galaksi dan kesannya terhadap kualiti tumbuhan terbabit.

Segmen Bahan Bumi dan Sumber Daya Baharu pula merangkumi kaedah mengeksrakkan sampah-sampah angkasa yang terdiri daripada satelit, kapal angkasa mahupun pesawat pengangkut yang sudah tidak digunakan lagi untuk dikitar semula sebagai sumber daya baharu terutamanya untuk bahan selengaraan dan juga bahan-bahan logam berharga yang lain untuk kegunaan stesen angkasa kelak. Pada segmen ini juga, Nora Yuhanis ingin mengetahui sejauh manakah keberkesanan mengeksrak sumber-sumber logam yang terdapat pada sampah-sampah angkasa ini. Selain itu, program kitar semula (Reduce, Reuse, Recycle, 3R) logam-logam yang terdapat pada sampah angkasa dapat dilaksanakan tanpa sebarang kekangan.

Segmen Sains Angkasa pula lebih menjurus kepada bidang pengkajian tentang idea hakiki dalam memulakan kehidupan di angkasa serta penerokaan angkasa lepas melalui kajian dengan menggunakan teknik Extravehicular Activity (EVA) ataupun aktiviti pengkajian di luar stesen angkasa antarabangsa dan juga alatan Manned Maneuvering Unit (MMU) ataupun alat penggerak yang dilekatkan pada badan angkasawan ketika memakai sut angkasawan Orlan. Dengan kehadiran stesen angkasa GEMILANG-01 kelak, program penerokaan angkasa lepas akan menjadi suatu perkara yang tidak mustahil bagi sebahagian besar rakyat Malaysia. GEMILANG-01 bukan sahaja bakal menjadi platform untuk rakyat Malaysia menjalankan kajian di angkasaraya, malah stesen angkasa ini juga berperanan menjadi tempat penyimpanan segala jenis benih-benih tumbuh-tumbuhan dan juga padanan DNA haiwan yang ada di negara kita. Stesen ini juga berperanan sebagai pelan kontigensi untuk pemimpin-pemimpin utama negara sekiranya sesuatu yang tidak terjangka berlaku seperti perang nuklear, pandemik pembunuh yang menyerang manusia ataupun bumi sudah tidak boleh menjadi habitat manusia kelak.

Segmen aktiviti pembelajaran untuk pelajar pula adalah satu aktiviti sains angkasa yang lebih santai, menyeronokkan lagi menghiburkan. Nora Yuhanis akan  melakukan beberapa demonstrasi menggunakan daya apungan yang ada, eksperimen cecair, eksperimen pusingan gasing dan eksperimen tindak balas manusia terhadap situasi mikrograviti di ISS secara langsung yang dipancarkan terus melalui siaran LIVE di media-media utama dan juga media sosial agensi angkasa Malaysia.

Segmen penyelidikan manusia pula adalah forté dalam bidang pengkajian Nora Yuhanis. Segmen ini memerlukan dia untuk mengkaji kesan tisu, hablur protein, virus-virus dan juga zarah sel kanser pada persekitaran sifar graviti dan juga sifar oksigen. Kajian ini juga bagi mengetahui tindak balas sampel-sampel terhadap pancaran sinaran radiasi yang dilepaskan oleh planet-planet disekitar sistem orbit bima sakti. Eksperimen saintifik yang bakal dijalankan termasuklah sel kanser leukemia, sel kanser hepatoma, sel kanser osteoblastoma, bakteria, motile lipase, non-motile lipase dan protein kristal lipase. Dengan latar belakang dalam bidang perubatan yang ada, bolehlah sedikit sebanyak membantu Nora Yuhanis untuk menjalankan kajian melalui bahan-bahan eksperimen yang ada. Nora Yuhanis mempunyai tujuan yang murni iaitu dengan aktiviti dedahan sampel-sampel ini di persekitaran sifar graviti dan oksigen dibantu berkat doa kepada Allah SWT, dia berharap agar berjaya menemui penawar bagi menyembuhkan banyak penyakit suatu hari nanti termasuklah penyakit kanser, penyakit demam Nipah dan juga pandemik Coronavirus (Covid-19).

Akhir sekali adalah segmen teknologi robot. Pada segmen ini, robot yang telah diperkaya dengan kecerdasan pintar (AI), realiti terimbuh (AR) serta penderiaan jauh (remote sensing) akan digunakan bagi melihat sejauh manakah robot ini berfungsi  dalam membantu sistem pengoperasian ISS kelak. Robot yang dilengkapi dengan sistem dron terbina ini juga boleh berperanan sebagai satelit untuk mencerap sebarang aktiviti pembalakan haram, kejadian banjir serta aktiviti pembakaran hutan. Aktiviti-aktiviti yang memusnahkan alam sekitar ini bakal dicerap melalui robot AI berkenaan hanya dari ISS ataupun stesen angkasa GEMILANG-01 kelak, dan data-data pencerapan ini akan dihantar terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan yang bertanggungjawab dan juga pasukan keselamatan agar tindakan yang lebih proaktif dapat diambil.

Kebanyakan eksperimen-eksperimen ini nanti akan diselia oleh angkasawan-angkasawan di ISS dan juga barisan saintis yang terdiri daripada agensi di bawah ROSCOSMOS, NASA, European Space Agecy (ESA), Agensi Angkasa Jepun (JAXA) dan juga Korean Aerospace Research Institute (KARI). Setiap eksperimen akan dilakukan dengan berhati-hati kerana eksperimen-eksperimen ini mudah tercemar dan rosak sekiranya tidak dikendalikan dengan cermat. Bahan eksperimen yang tercemar akan memberikan keputusan yang tidak tepat, mempunyai kesalahan serta pada masa-masa tertentu, boleh memberikan tindak balas yang luar biasa akibat kadar persekitaran yang beradiasi pada graviti dan oksigen yang sifar.

Namun, mengikuti jadual yang telah dirangka oleh ROSCOSMOS dan juga pihak NASA, eksperimen-eksperimen di makmal Columbus ini hanya akan dimulakan seawal minggu ketiga kelak. Minggu pertama dan kedua, Nora Yuhanis akan melakukan eksperimen-eksperimen dibawah segmen aktiviti pembelajaran. Eksperimen berkenaan termasuklah demonstrasi tindakan bahan bendalir dan cecair lain dalam persekitaran mikrograviti, Gerakan Persepsi Manusia dalam situasi Mikrograviti (Body Motion of Perception, BMOP) dan juga memusingkan gasing pada situasi mikrograviti (Twisting Orbital Platform, TOP).

Gasing yang dibawa ke angkasaraya ini adalah merupakan gasing yang diperbuat daripada kayu merbau dan di kikir dengan logo 'Angkasawan Malaysia' terpampang di bahagian pemusing. Gasing kayu merbau ini di raut, di pahat dan di garik di negeri Kelantan manakala talinya di perbuat daripada daun pandan sabut yang dianyam, dipintal dan disaring dengan kemas.

Demonstrasi eksperimen ini dipancarkan terus dari stesen ISS dengan menggunakan beberapa buah kamera yang telah diletakkan di sekeliling kawasan modul ISS. Kamera-kamera ini akan merakamkan segala demonstrasi yang dilakukan oleh Nora Yuhanis secara langsung. Nora Yuhanis akan berputar, berpusing, bergerak ke atas dan bawah, menelusur dan pelbagai lagi gaya dipersembahkan pada situasi mikrograviti. Siaran langsung ini dipancarkan secara terus menerus terus ke bumi dan disaksikan kepada lebih 50 juta rakyat Malaysia.

***