Chereads / Maya Adelle / Chapter 3 - Permintaan Gila!

Chapter 3 - Permintaan Gila!

Mikael tersenyum nipis. Dia menggenggam sampul surat yang agak tebal. Di dalam hatinya dia agak gembira. Selepas ini, dia akan bebas. Berkat usaha, doa dan tawakalnya akhirnya dia berjaya mengumpulkan wang tersebut. Dia berjalan menuju tempat rehat Puan Ema.

"Mak!" Panggil Mikael sambil berlari ke arah Puan Ema. Dia mencium tangan wanita tua itu. Puan Ema tersenyum melihat anaknya.

"Jom," ajak Puan Ema. Dia sudah siap mengemaskan barang-barangnya, bersedia untuk pulang.

"Sekejap mak. Sebelum tu Kael nak pergi jumpa Cik Maya," pinta Mikael.

"Ohh…Kamu nak jumpa buah hati kamu, ya?" Usik Puan Ema. Dia tersenyum.

"Apa ni mak? Kael nak settlekan hal hari tu. Mak tunjukkan office dia." Kata Kael penuh mengharap. Bibirnya masih mengukir senyuman. Puan Ema memandang Mikael dengan rasa tidak puas hati.

"Kamu nak settle apa lagi? Bukan kamu setuju nak berkahwin dengan dia?" Tanya Puan Ema sedikit keras. Wajah cerianya sudah bertukar kelat.

"Apa yang mak merepek ni? Bila masa Kael setuju nak kahwin dengan dia? Mak lupa Kael dah ada Arissa?" Tanya Kael perlahan. Puan Ema menjeling ke arah anaknya. Daripada Arissa lebih baik Cik Maya yang menjadi menantu aku. Detik hati Puan Ema.

"Kael, kamu nak settle macam mana dengan Cik Maya? Duit yang perlu kita bayar balik bukan sikit tau," kata Puan Ema cuba mengingati Mikael.

"Mak janganlah risau. Kael dah ada duit. Kita dah tiada apa-apa hubungan dengan Cik Maya." Jelas Mikael. Dia menilik wajah maknya.

"Mak macam tak gembira bila Kael kata Kael boleh bayar semua hutang tu," kata Kael dengan nada yang lirih.

Kasihan pula Puan Ema melihatnya. Pasti anaknya sudah bersusah payah mencari wang tersebut. Hmm…melepaslah nak dapat menantu orang kaya. Bisik hati Puan Ema.

"Tak ada lah. Mak gembira tapi kalau kamu jadi kahwin dengan Cik Maya tu mak lagi suka. Tapi ikut suka hati kamu lah. Hidup kamu, siapalah mak nak melarang," luah Puan Ema. Mikael tersengih mendengar jawapan maknya.

"Mak janganlah cakap macam tu. Mak lah segala-galanya dalam hidup Kael," luah Mikael.

Tipu kalau dia kata dia tidak pernah berasa hati terutama kejadian yang berlaku sekarang ini. Hatinya yang sakit hanya Tuhan saja yang tahu. Bukan dia tidak pernah terfikir kenapalah emaknya selalu mementingkan diri sendiri tapi seburuk-buruk perangai Puan Ema, wanita itu tetap ibu kandungnya dunia akhirat yang perlu dia sayang dan hormati. Dia tidak mahu menjadi anak yang derhaka. Selagi dia mampu menegur kesalahan emaknya, dia akan tetap menegur emaknya itu sampai ke akhir hayatnya.

"Yalah tu. Kalau mak dengan Arissa. Kamu pilih Arissa kan?" Tanya Puan Ema dalam rajuk yang dibuat-buat.

"Alah mak. Arissa tu bab lain. Tak comel kalau mak masam. Mak senyum sikit. Kael nak tengok senyuman mak, baru manis. Hehehe…" Canda Mikael. Puan Ema tersenyum.

"Pergilah cepat. Kata nak jumpa Cik Maya. Kamu tanya saja pada pekerja dekat bahagian menyambut tetamu nanti dia tunjukkan pada kamu mana bilik Cik Maya," arah Puan Ema.

"Okay, mak. Kael pergi dulu. Mak tunggu kat sini. Nanti Kael datang." Kata Mikael. Dia segera berjalan ke arah tempat yang ditunjukkan oleh Puan Ema.

MAYA ADELLE membuka laci meja dan mengambil dua biji ubat penadol yang sudah tersimpan rapi. Dia menelan ubat tersebut. Kepalanya yang pening dan berdenyut kencang sebentar tadi diurut perlahan-lahan dengan jari jemarinya yang runcing. Sakit kepalanya hanya Tuhan saja yang tahu.

Kata-kata Tan Sri Malek di telefon sebentar tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Desakan Tan Sri Malek tanpa henti menyebabkan hati wanitanya meraung kesakitan. Kenapalah daddy sanggup buat Maya macam ni? Fikirnya.

Ring! Ring! Bunyi deringan telefon membuatkan sakit di kepala Maya Adelle semakin kuat terasa dan dengan tangkas dia mengangkat ganggang telefon tersebut.     

"Ada apa Kelly?" Tanya Maya Adelle dengan tegas. Kepalanya semakin sakit dan berdenyut-denyut. Sepatutnya dia berehat selepas makan ubat tetapi otaknya masih aktif memikirkan masalah yang melanda.

"Ada orang nak jumpa dengan Cik Adele." Jawab Kelly.

"Siapa Kelly? Kalau tak penting minta dia berjumpa dengan saya esok saja. Saya sakit kepala, nak rehat." Kata Maya Adelle lagi. Dia tidak larat nak melayan karenah manusia ketika itu.

"Sekejap Cik Maya. Dia kata ni urusan yang penting. Nama dia Mikael." Balas Kelly.

Mendengar saja nama lelaki itu membuatkan hati Maya Adelle berdegup kencang. Lupa sekejap sakit kepala yang dirasainya sebentar tadi.

"Mikael? Hmm..suruh dia masuk ke pejabat saya." Arah Maya Adelle.

Setelah itu dia meletakkan ganggang telefon tersebut. Dia tersenyum kecil. Dia tidak tahu mengapa hatinya senang apabila mendengar nama lelaki itu. Mungkin dia sudah jatuh suka kepada lelaki itu.

Dia akui mungkin perasaan ini terlalu awal bagi dirinya kerana dia hanya mengenali jejaka itu dari jauh saja. Tidak pernah dia menduga bahawa hatinya akan terpaut kepada lelaki itu. Pada mulanya, dia hanya sekadar memerhati gerak geri lelaki itu yang sentiasa menghantar dan mengambil ibunya pulang dari tempat kerja. Kadang-kadang tercuit hatinya melihat tingkah anak-beranak itu. Sedar dalam tidak sedar akhirnya, dia mula menyukai lelaki itu dalam diam. Dia akui Mikael tidak berpelajaran tinggi tetapi keperibadiannya membuat hati Maya Adelle terpaut kepada lelaki itu.

Mikael mengetuk pintu bilik yang tertera nama Maya Adelle Malek. Dia melangkah masuk ke dalam apabila dia mendengar suara perempuan memberi kebenaran kepadanya untuk masuk ke dalam bilik yang agak mewah pada pandangan Mikael.

Dari pintu masuk, Mikael dapat melihat dengan jelas raut wajah Maya yang tersenyum melihatnya. Dia tidak menafikan majikan ibunya itu sangat cantik orangnya tetapi dia bukan seorang lelaki yang mudah goyah dan tergoda apabila berhadapan dengan seorang wanita yang berpenampilan seperti Maya Adelle. Baginya ketika itu, Maya Adelle bukan tandingan untuk Arissa. Cehh…apa motif dia buat perbandingan sebegitu? Lupakan sajalah. Meaningless. Bisik hatinya.

"Have a seat, Mikael," pelawa Maya Adelle dengan senang hati.

Bibir Maya Adelle masih mengukirkan senyuman tetapi wajah wanita itu sedikir pucat pada pandangan Mikael. Mikael tidak membalas senyuman wanita itu kerana niatnya bukan untuk berbaik-baik dengan wanita itu tetapi untuk menyelesaikan urusan yang telah menyesakkan hidupnya.

"Tak apa lah. Saya datang ni sekejap je. Saya nak bagi benda ni pada Cik Maya," kata Mikael sambil meletakkan satu sampul surat yang agak tebal di atas meja berhadapan dengan Maya Adelle. Maya terkesima.

"Ini untuk apa Mikael?" tanya Maya Adelle sedikit ragu.

Dia dapat menganggak isi kandungan di dalam sampul surat tersebut tetapi saja dia bertanya begitu. Macam mana dia dapat duit tersebut? Hati Maya Adelle tertanya-tanya.

Selepas dia datang ke rumah Mikael tempoh hari, dia berhenti sekejap daripada mengekori lelaki itu kerana dia menyangka bahawa urusan ketika itu sudah selesai malahan pada masa yang sama dia agak sibuk dengan urusan keluarga. Dia yakin Mikael akan menerima tawaran dia.

"Ini duit 30 ribu yang emak saya berhutang dengan Cik Maya. Saya rasa sekarang urusan kita sudah selesai. Lepas ni kalau emak saya nak pinjam duit dengan Cik Maya lagi, saya mohon kerjasama Cik Maya jangan sesekali bagi satu sen pun kepada emak saya. Kalau Cik Maya seorang yang murah hati Cik Maya tak akan guna cara yang kotor ni. Satu lagi jangan cuba nak perangkap keluarga saya dengan duit yang Cik Maya ada tu," kata Mikael dengan penuh sinis.

Sempat lagi dia menyindir wanita itu. Setelah itu, dia segera berpaling untuk pergi. Sampai di muka pintu langkahnya terhenti apabila mendengar namanya dipanggil.

"Mikael! Siapa kata urusan kita dah selesai? Urusan kita belum selesai. It's done when I say it's done. It's me to decide it, not you!" Kata Maya dengan rasa marah. Dia menghampiri lelaki itu.

Tiba-tiba perasaannya mula membara. Sakit kepala yang dirasai sebentar kembali terasa, mencucuk-cucuk seolah dia mahu rebah di situ juga tetapi dia kuatkan juga jiwanya berhadapan dengan lelaki itu. Bukan semudah itu, Mikael boleh melarikan diri daripadanya.

Mikael berpaling menghadap wajah Maya Adelle. Hatinya mula panas. Tidak jadi dia hendak keluar dari bilik itu. Ketegangan mula dirasai.

"Apa masalah awak sebenarnya ni, Cik Maya? Saya dah pulangkan semua duit tu. Apa yang awak nak lagi?" Tanya Mikael dalam kegeraman.

"Awak jangan buat-buat lupa Mikael. Duit yang saya pinta adalah pada hari saya datang ke rumah awak bukan sekarang. Saya dah jelaskan, kalau awak tak boleh lunaskan duit yang saya pinta pada hari tu awak kena kahwin dengan saya. Tapi awak tak ada kan? So, jangan jadi pengecut. Awak kena juga kahwin dengan saya. Itu yang telah kita persetujui bersama," kata Maya dengan sekeras-kerasnya.

Mikael tertawa geli hati mendengar kata-kata Maya Adelle. Terdesak sangat perempuan ni nak berlaki. Kutuk Mikael di dalam hati.

Maya Adelle terasa dirinya seperti dihina pula apabila mendengar tawa Mikael memenuhi ruang biliknya. Walaupun tidak keras tawa lelaki itu tetapi ia tetap berbekas di hati Maya Adelle.

Dia juga berasa malu dengan kata-katanya sendiri seolah-olah dia umpama perigi mencari timba. Hanya Tuhan saja yang tahu wajahnya ketika ini sudah setebal pintu kayu jati. Hah…persetan semua tu. Kata orang tua, alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang dia dah termalu sendiri biar sampai kebas muka dia menahan malu. Janji aku dapat apa yang aku nak.  Bisik hati Maya Adelle. Sudah tekad. Dia tidak peduli kalau pandangan lelaki itu mula negatif terhadap dirinya. Lagipun, memang dari awal lagi Mikael tidak pernah memandang dirinya sebagai wanita yang baik-baik. Fikir Maya Adelle.

"Cik Maya jangan buat lawak dengan saya boleh tak? Perjanjian apa? Untuk pengetahuan Cik Maya, mulut saya tak pernah keluarkan apa-apa janji. Cik Maya saja yang lebih-lebih. Buat sesuka hati. Cik Maya ingat saya ni barang? Objek? Sedarlah diri, Cik Maya. Kalau orang dah tak suka jangan dipaksa. Ramai lagi lelaki kat luar sana yang suka dan sesuai dengan Cik Maya. Saya tak tahu apa motif Cik Maya. By the way, saya bukan barang permainan Cik Maya," putus Mikael.

Dia sudah cakap sehabis baik yang boleh. Tidak mahu menggunakan kata-kata yang menyakitkan hati wanita itu lagi. Kalau boleh dia mahu selesaikan perkara ini dengan cara yang baik.

Maya Adelle mengeluh mendengar jawapan Mikael. Kata-kata Mikael tidak pernah buat dia tidak terasa hati. Ada saja kata-kata lelaki itu yang menjerut tangkai hatinya. Akan tetapi dia tidak salahkan Mikael. Ada benarnya juga apa yang diperkatakan oleh lelaki itu.

"Saya sedar diri saya siapa. Memang ramai lelaki kat luar sana tapi mata saya ni asyik nampak awak je." Luah Maya Adelle dengan sayu. Dia berjeda seketika.

Mikael terkesima mendengar jawapan Maya Adelle. Macam luahan hati pada pendengarannya. Biar betul, Cik Maya ni? Bisik hati Mikael. Dia dengan Maya Adelle tidak pernah kenal antara satu sama lain. Bagaimana Maya Adelle boleh suka kepadanya? Musykil dia dibuatnya.

"Awak tak sukakan saya?" Tanya Maya Adelle dengan berani.

Dia mendekatkan wajahnya sambil merenung mata Mikael sedalamnya menanti jawapannya lelaki itu. Mungkin jawapan lelaki itu akan mengecewakan dirinya tetapi dia tiada pilihan. Kalau cara kekerasan tidak jalan terpaksa dia menggunakan cara yang lembut walaupun gayanya ibarat orang kata hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Dia tidak kisah. Mikael saja harapan dia buat ketika ini.

"A..a..apa yang Cik Maya tanyakan ni?" Tanya Mikael sedikit gugup. Segan dibuatnya.

Mikael mengalihkan pandangannya ke sisi. Tiba-tiba dia gelabah semacam dan jantungnya berdetap laju apabila ditenung oleh wanita itu. Terasa dunia ini memang sudah terbalik agaknya. Seperti  dia pula Si Dara yang sedang dingurat oleh Si Uda.

Maya Adelle ketawa kecil melihat reaksi spontan Mikael itu. Tidak sangka dia Mikael bereaksi seperti itu. Lain yang diharapkan, lain pula jadinya. Suasana yang agak tegang sebentar tadi kembali tenang.

"Comel juga awak ni kan?" Usik Maya Adelle dalam tawanya.

"Cik Maya jangan mainkan saya," kata Mikael dengan rasa tidak puas hati.

"Eh! Mana ada. Saya cakap benda yang betul. Tak akan saya nak permainkan awak. Awak kan cinta hati saya," kata Maya Adelle dengan selamba.

Sudah hilang rasa malunya terhadap lelaki itu. Mikael yang mendengarnya pula rasa termalu sendiri. Berani betul wanita ini mengusik jiwa mudanya.

"Cik Maya, berhati-hati sikit apabila berkata-kata. Tapi kalau betul Cik Maya ada hati dengan saya. Saya minta maaf. Saya terpaksa tolak cinta Cik Maya." Kata Mikael. Dia cuba menolaknya dengan baik. 

"Bagus sangatkah Arissa tu?" Tanya Maya Adelle dengan perlahan. Diabaikan kata-kata Mikael sebentar tadi.

"Apa maksud Cik Maya? Jangan cuba nak hina dia." Dia cuba memberi amaran. Suara Mikael sudah menaik tinggi.

"Nope. Jangan salah sangka. Saya tak berniat nak hina dia. I'm just asking. Curious to know. Apa istimewanya dia di mata awak?" Tanya Maya Adelle dengan nada yang mendatar. Direnung mata coklat air milik Mikael.

"Mind your own business, Miss. I don't think that I have a obligation to answer your question. It's simple. I love her. That's it!" Jawab Mikael cuba menamatkan perbualan tersebut.

Maya Adelle mengeluh mendengar jawapan pemuda itu. Bagaimanakah reaksi yang akan ditunjukkan oleh Mikael jika lelaki itu mengetahui bahawa wanita yang dipuja selama ini tidak sebaik yang dibayangkan? Masihkah ada rasa cinta lelaki itu untuk wanita sebegitu?

"Mikael, kalau awak tolak lamaran saya, saya yakin Arissa tetap tak akan kembali kepada awak. And she is not the kind of girl that you think she is." Kata Maya Adelle lagi tidak mahu mengalah.

"Cik Maya, please stop it. Kenapa Cik Maya nak ganggu hidup saya? Apa salah saya pada Cik Maya?" Tanya Mikael dengan rasa sebal. Dia cuba mengawal kemarahannya.

Maya Adelle mengeluh kecil. Sukarnya dia mendapatkan hati lelaki itu. Hahaha...hati Maya Adelle ketawa kecil. Bodohnya dia, kalau Mikael seorang yang mudah berubah hati lagilah haru jadinya. Tak mungkin dia akan memilih lelaki itu menjadi suaminya. Adakah dia hanya perlu berterus terang saja??

"Kael silap awak adalah kerana kewujudan awak telah mencuri perhatian saya," jelas Maya.

"Sejujurnya memang saya perlukan seorang suami untuk waktu terdekat ini. Saya tahu saya tak layak dengan awak dan saya tak seperti wanita idaman awak iaitu Arrisa. Tapi sekarang ni saya ada masalah dan saya tak nampak orang lain selain awak untuk bantu saya. Saya tau permintaan saya terlalu berat tapi saya mohon tolong pertimbangkan permintaan saya. Anggap ini satu pertolongan dari seorang wanita yang tidak berdaya. Saya janji, lepas kita kahwin awak bebas untuk lakukan apa saja yang awak mahu, bahkan kalau awak nak teruskan niat awak untuk memperisterikan Arrisa, saya izinkan." Sambung Maya Adelle dengan penuh yakin.

Maya Adelle tidak percaya dia boleh berkata seperti itu dengan tenang. Dia tahu apa yang dikatakan kepada Mikael ada risiko tapi dia terpaksa.

Tercenggang Mikael mendengar kata-kata Maya Adelle. Ayat terakhir Maya Adelle betul-betul membuat dirinya terkesima. Permintaan yang gila!