Aku hanya membuntuti kedua mereka dari belakang. Setiap langkahku seakan-akan merasakan sesuatu... perasaan itu aku tidak tahu kenapa hatiku berasa begitu gemuruh? Debaran jiwaku... lantas aku memegang dadaku untuk meredakan perasaan itu. Seketika kemudian, terhenti langkahku dan pandangan mataku sekali lagi terlopong melihat sebuah bangunan besar wujud di tempat terpencil ini.
"Revi Brilliant, selamat datang ke kolej Mania Theresa."
Kolej? Apa nama kolej.yang baru sahaja dikatakan oleh Henry sebentar tadi? Disebabkan nama itu kedengaran begitu pelik bagi diriku. Nicky pula sedang merenung ke arahku yang begitu terkesan pada saat ini.
"Kenapa bawa saya ke sini pula?"
Mereka tidak segera menjawab malah saling membalas pandangan antara satu sama lain. Inilah yang lebih membuat diriku terbeban dengan pelbagai persoalan dan prasangka. Apa yang sebenarnya mereka sembunyikan daripadaku?
"Inilah tempat awak, Revi. Di sinilah awak akan mengenali siapa diri awak, dan bagi mengetahui segalanya awak perlu mengkaji sendiri. Akan tetapi, identiti diri awak kena tukar mulai sekarang. Ingat, sebaik sahaja awak melangkah masuk ke dalam kolej nama awak akan ditukar kepada Brielle." Terang Henry dengan panjang lebar lalu memberikan aku sekeping kad berwarna kekuningan.
Kad itu aku mengambilnya dengan perasaan berbaur sambil mengerling ke arah Nicky. Aku benar-benar perlukan penerangan lanjut daripadanya. Diri ini seolah-olah telah ditipu mentah-mentah oleh sang jejaka yang berada dihadapan mataku ini. Katanya nak bawa aku ke satu tempat untuk merungkai segalanya. Namun yang berlaku adalah disebaliknya pula. Kecewa.. aku sangat kecewa kerana terlalu mempercayai akan kata-katanya itu.
"Revi... hanya sampai di sini saja yang mampu saya boleh membantu awak. Selebihnya awak kena mengkaji sendiri. Mencari cahaya itu dan sekaligus mencari bakat awak. Saya percaya awak akan mendapat kejayaan di tempat ini. Awak tidak keseorangan."
Sebak hati ini mendengar akan kata-kata Nicky itu... Aku tidak keseorangan? Berkaca-kaca mataku saat ini, tidak dapat menahan kesedihan mengenang nasibku. Ratapan air mata pada detik papa dan mama sudah tiada bersama disampingku di muka bumi ini. Kenapa? Kenapa aku harus mempunyai takdir kehidupan seperti ini? Tuhan, bimbing diriku ini sebab aku tidak boleh menghadapinya sendirian.
"Revi, percayalah... disini adalah tempat awak."
Belum sempat aku hendak menjawab secara tiba-tiba datang seorang perempuan bertegur dengan Nicky.
"Andrew..." sapa perempuan itu namun bebola matanya tertumpu tepat kepada wajahku.
Em, boleh tahan cantik juga perempuan ini. Lagipula dia memanggil Nicky dengan nama keduanya, Andrew. Mungkin kawannya, getus hatiku sendiri. Seperti Nicky sangat dikenali oleh semua orang di tempat ini.
"Oh, Prudens... saya sangat bernasib baik terjumpa awak kat sini. Saya nak minta tolong awak daftarkan ni pelajar baru."
"Pelajar baru? Saya ingatkan awak punya buah hati tadi."
Tergelak Nicky dan Henry mendengar kata-kata perempuan itu. Prudens namanya? Aku hanya mendiamkan diri kerana masih berada dalam keadaan yang tidak berpuas hati. Aku telah ditipu bulat-bulat. Lagipun, apa yang sedang perempuan itu merepek? Aku yang begini muda takkanlah boleh jadi si Nicky punya teman wanita pula?
"Bukan lah, Prudens. Ini saya kenalkan, Brielle."
Aku hanya mampu menggigit bibir apabila mendengar nama baruku yang disebut oleh Nicky. Brielle... Brielle... kenapa dia nak bagi aku dengan nama sebegitu? Brielle...
"Cantik nama, Brielle... dan saya Prudens Mitchella." Katanya sambil mengunjukkan tangannya untuk bersalaman.
Aku menyambut tangannya sambil tersenyum hambar. Tiada maknanya nak tersenyum saat ini.
"Kalau begitu saya tinggalkan dia dengan awak, Prudens. Saya masih banyak urusan lagi.."
"Baiklah..."
Hah, tanpa keraguan aku ditinggalkan bersendirian dengan perempuan ini? Nicky... terlalu banyak persoalan yang awak belum selesai berikan aku jawapan. Tidak lepas mataku memandang ke arahnya... berbahang jiwa ini.
"Revi... be good, okay?" Bisik Nicky di telingaku sebelum pergi meninggalkan aku.
Terkedu hatiku saat ini... kenapa Nicky? Awak membawa saya ke tempat terpencil ini?
"Jom, Brielle... saya nak daftarkan awak sekarang."
Tempat apakah ini? Sungguh luas dan besar ruang di dalamnya. Terdapat ramai orang juga namun mereka kelihatan tidak mempedulikan orang disekeliling. Ketat sahaja muka tanpa sebarang senyuman. Wow, kolej ini betul-betul sangat tegas pada pandanganku!
"Brielle, boleh saya pinjam kad nama awak sebentar?" Pinta Prudens.
Aku menganggukkan kepala lalu memberikan kad namaku kepadanya.
"Brielle Avriella... cantik nama awak!"
Hah? Begitu pula namaku yang tertera pada kad namaku itu? Sememangnya Nicky sangat hebat dalam memberikan nama. Brielle Avriella..? Buat pertama kali dalam kamus hidupku, namaku dipuji. Berbeza sekali dengan Revi Brilliant... pasti semua orang akan mentertawakanku.
"Akan tetapi, nama itu hanyalah sebagai lambang diri kita supaya dikenali orang lain. Yang indah itu lahir daripada hati kita yang suci, baik dan ikhlas."
Tergamam hatiku, wanita ini bukan calang-calang orangnya. Dia baru sahaja membuka mindaku, katanya itu ada betulnya juga. Selama ini, orang lain sentiasa mentertawakan namaku.
"Jujurnya, saya tidak pernah dipuji kerana mempunyai sebuah nama yang cantik. Awaklah yang pertama."
Kerutan pada dahi Prudens itu sudah menunjukkan dia begitu terperanjat mendengar kataku. Brielle Avriella memang satu nama yang cantik, kan? Andai sahaja dia tahu Revi Brilliant adalah namaku yang sebenarnya? Mungkin dia juga seperti kebanyakan orang yang mana akan turut sama mentertawakanku. Tapi, itu aku menolaknya ke tepi buat masa sekarang... mungkin Nicky ada betulnya juga. Dan, aku kena menyiasat perkara itu secara perlahan-lahan. Dalam masa yang sama aku akan meneruskan pengajian di kolej ini.
"Tak apalah... nama tetap nama. Kadangkala nama yang diberikan oleh orang tua ada maksud disebaliknya. Brielle Avriella, saya dah daftarkan awak dalam jurusan perniagaan."
"Pengurusan Perniagaan?!"
Kenapa? Bagaimana boleh...? Adakah Nicky mengetahui segala isi hatiku ini? Sehingga cita-citaku diketahuinya juga?
"Ada apa-apa masalah, ke?"
"Tak ada." Laju saja aku menjawabnya.
Adakah ini tempat aku sebenarnya? Nicky... hanya dengan bisikan boleh mendengar rintihan suara hatiku....