Disebabkan kata-kata Nicky tempoh hari aku menjadi tidak bersemangat, tekanan kepala otakku memikirkan pelbagai persoalan. Di manakah tempat Nicky hendak membawaku? Walaupun dalam keadaan yang lemah tapi aku kena bertahan untuk beberapa waktu saja lagi. Dan, hari ini merupakan harinya, hari yang telah kunantikan ketibaannya. Nicky akan membawaku ke satu tempat, tempat misteri… untuk merungkai segala rahsia.
"Budak ni… tak makan, ke? Apasal lahap sangat ni?"
Soalan Nicky itu, aku hanya membiarkannya sahaja. Perutku tak berisi sejak semalam sebab menantikan ketibaan hari ini. Tiada seleraku hendak menjamah sebarang makanan. Akan tetapi, sekarang aku perlu mengisi perutku yang kelaparan.
"Dah lama tak merasa makanan sesedap ini!"
Tersenyum Nicky mendengar jawapan yang kuberikan. Memang benar kata-kataku itu, dah lama tak menjamah makanan sedap. Sejak aku tinggal bersendirian, hanya menikmati makanan yang ada sahaja.
"Awak akan mendapat kebahagian, tapi saya akan jadikan awak seorang yang kuat terlebih dahulu."
Kunyahanku terbantut sebentar dan merenung jauh ke dalam wajahnya. Kenapa dia suka sangat buat hati ini tertanya-tanya? Apa maksud si Nicky berkata sedemikian?
"Cepatlah habiskan makanan awak, nanti kita terlewat pula."
Aduhai, Nicky… apa sebenarnya yang awak nak lakukan ni? Ke mana saja destinasi yang kita nak tuju ni?
Usai sahaja aku makan, kami meneruskan perjalanan ke tempat yang dijanjikan dan begitu misteri buat diriku. Aku perlu bertenang biarpun aku sangat jelas dengan perasaanku sendiri, yang mana sangat tidak tenteram saat ini. Getaran jiwaku hanya Tuhan sahaja yang maha mengetahuinya. Namun segala persoalan yang terkubur tanpa jawapan bakal terungkai beberapa waktu dari sekarang. Aku tidak dapat berbuat apa-apa selain membiarkan Tuhan melaksanakan atas semuanya. Bagi memendam perasaan gementar itu, aku lebih banyak berdiam diri dan menikmati pemandangan sepanjang perjalanan yang kami lewati. Nicky juga sedang fokus dalam pemanduannya, tanpa mewujudkan sebarang tutur bicara. Namun, suasana inilah yang sangat aku suka kerana tenang fikiranku melihat pemandangan nan hijau. Em, tenang ke diriku? Mindaku masih lagi kusut dengan persoalan yang lepas, persoalan yang belum terjawab.
"Kenapa awak diam, Revi?" Tanya Nicky bagi memecahkan suasana senyap antara kami.
Aku mengalihkan sorotan mata ke arahnya, dia masih menumpukan perhatian sepenuh terhadap pemanduannya.
"Tak tau nak cakap apa? Sebab awak tak menjawab kepada sebarang pertanyaan saya pun." Jawabku jujur dengan nada sedikit tidak berpuas hati.
Dan, itulah antara sebabnya aku lebih suka berdiam diri. Nicky tertawa mendengar jawapan itu lantas mengusap kepalaku. Terdetik dihatiku segera teringatkan papa juga selalu mengusap kepalaku jika aku berada dalam keadaan tidak puas hati merangkap merajuk. Apabila Nicky memperlakukan seperti itu terhadapku, aku melihat tanganku sendiri. Alamak, meremang bulu romaku saat ini.
Dengan pandangan mata yang kehairanan Nicky bertanya, " Apasal tengok tangan sendiri macam itu pula?"
"Awak pegang kepala saya, berdiri terus bulu roma saya."
Kali ini kata-kataku itu disambut dengan gelak tawanya pula… seakan-akan hendak pecah perutnya ketawa. Aku segera memandang ke hadapan, tidak menoleh ke kiri atau ke kanan lagi. Apa yang lawak sangat? Aku hanya membiarkan dia puas mentertawakanku.
"Nampak serius akan tetapi sangat melucukan." Katanya setelah puas ketawa.
Nicky memang seorang yang sangat pandai dalam berkata-kata. Semuanya indah dalam pendengaranku. Kalau nak mengurat seorang perempuan pasti akan diterima dengan serta-merta sebab hati perempuan manalah yang tidak cair kalau dimadah oleh seorang jejaka seperti Nicky ini. Sudahlah pandai mengayat, kacak pula tu! Aku tersentak sendiri apabila baru sahaja memuji lelaki disebelahku ini di dalam hati.
"Betullah tu…" Sambungnya lagi.
Aku segera memandangnya, "Apa yang betul?" soalku pula.
"Saya memang handsome, kan?" balasnya selamba.
Hampir terjatuh rahangku mendengar ayat yang baru meluncur keluar dari mulutnya. Macam mana dia boleh tahu apa yang ada dalam hatiku? Atau dia dengar…? Aku segera memegang dadaku… iyalah, manatau berlubang sebab itulah dia boleh tahu yang aku memujinya dalam diam.
"Tapi, awak tak boleh jatuh cinta dengan saya."
Sepertinya aku hendak menghentak kepala ini, perasan betullah makhluk Tuhan yang ada disebelahku ini. Bila masa pula aku ada perasaan suka terhadapnya?
"Jangan nak perasan, lah!" Bentakku yang betul-betul tidak berpuas hati dengannya.
"Eh, gurau aje la.."
Nicky terkekek menahan ketawa, entah apa yang lawak sangat bagi dirinya? Jadi sekarang aku disini duduk dengan senyap sahaja. Mesti ada saja bahannya hendak mengusikku. Dan sekali lagi, fikiranku menggamit kenangan bersama dengan Eric, yang juga seperti Nicky tidak pernah serik untuk menyakitkan hatiku. Iya, sudah lama agaknya kami tidak berjumpa. Apa khabar dengan dirinya sekarang? Cemerlang juga ke keputusan SPM dia?
"Eh, mengelamun lagi… kenapa? Teringatkan seseorang, ke?"
Hebatlah si Nicky ni… boleh membaca setiap perkara penting yang terlintas di dalam fikiranku. Siapakah dia yang sebenarnya ni? Tidak pernah salah dalam menganalisa data dari mindaku.
"Eric..." jawabku perlahan.
"Oh, dia rupanya... kenapa?"
"Tekalah... awak kan hebat membaca minda saya?" Soalan aku itu ada sedikit sarkastik.
Tersengih Nicky mendengarnya lalu hanya menjongketkan bahu. Eleh, nak berdolak-dalih lagi rupanya?
"Baiklah, kita dah sampai!"
Dah sampai, ke? Aku mengamati setiap perincian tempat itu... sebuah kawasan yang sangat jauh daripada kebingitan kota raya. Di kelilingi dengan pokok-pokok yang tumbuh merimbun, aku dapat merasakan kedamaian di sini. Kereta Nicky betul-betul berhenti di sebuah kawasan yang sangat luas, mataku tidak boleh terlepas daripada melihat semua ini kerana ia benar-benar indah dihadapanku. Betapa hebatnya sang pencipta, bersyukur sekali berpeluang menyaksikan keindahan ini. Saat ini tergambar sebuah taman bunga yang tumbuh merimbun dengan dihiasi bunga-bunga mekar daripada pelbagai warna. Hatiku tenang berada di sini... sangat-sangat tenang. Ditambah lagi dengan kesegaran udaranya.
"Nicky...!" Panggil satu suara.
Sesusuk tubuh sedang berjalan menghampiri kami berdua. Terleka dengan keindahan alam, aku hampir terlupa akan faktor utama kami datang ke tempat ini.
"Henry.."
Saling mengenali rupanya mereka berdua ni, aku hanya melihat mereka bersalaman seperti sahabat lama yang tidak berjumpa.
"Dia ni mesti awak punya..."
Kata-kata Henry segera terhenti di sana sebab Nicky memintasnya. Terasa pelik di dalam hatiku melihat gelagat kedua mereka.
"Dia... Revi Brilliant." Jawab Nicky.
"Oh ya, hai Revi? Awak apa khabar?" Sapa Henry lalu mengunjukkan tangannya untuk berjabat denganku.
Aku menyambut tangannya sambil tersenyum. Sebenarnya disebalik senyumanku itu menyimpan kekalutan yang tengah melanda diri ini. Sorotan mataku masih tertumpu kepada Nicky, banyak persoalan yang belum terjawab dalam benakku. Terlalu banyak kiranya tidak tertanggung oleh batinku sendiri.
"Kita masuk ke dalam dulu, Revi." Pelawa Nicky yang memang sangat memahami maksud disebalik pandangan mataku kepadanya.
Satu hembusan nafas yang sangat kuat sengaja kuhelakan cuba untuk menenangkan diriku sendiri. Di mana lagi mereka hendak membawaku ini? Tidak terkawal tekanan yang ku alami saat ini. Tempat apakah ini yang sebenarnya? Mengapa Nicky beria-ia sangat membawaku ke sini? Andai sahaja aku tahu begini keadaannya yang akan terjadi, memang sejak awal lagi aku sudah menolak tidak mahu mengikuti Nicky. Akan tetapi, dia hendak merungkai segalanya kepadaku.