Chapter 19 - Bab 19

AKU mengelap rambut yang basah dengan tuala putih. Jam loceng Hello Kitty di atas meja belajar kupandang. 5.30 petang! Waktu istirehat untuk penghuni asrama. Pukul 6.30 dah kena turun pergi makan di dewan makan. Maka ada satu jam la kami berehat-rehat. Nasib baik latihan sukan habis awal!

Aku duduk di katil kepunyaanku. Lihat di katil sebelah kanan, Aisyah sedang melipat baju dan seluar yang baru diambil dari ampaian. Rajin betul minah ni. Kukerling jiran disebelah kiri pula. Wana hanyut dengan lagu yang terpasang ditelinganya. Mentang-mentanglah dah buat spotcheck hari tu, senang lenang dia dengar lagu ya? Aku menggeleng kepala.

"Korang!" muncul D dan Iman dengan muka berseri-seri. Apa taknya? Baru mandi kan?

"Assalamualaikum," perliku. Aisyah menahan tawa. Wana tidak langsung ambil kisah. Dunianya hanya pada Ipod.

"Ops! Sorry waalaikumusalam." Iman tersengih malu. D mengambil tempat duduk disebelah Aisyah.

"Syah, minta satu ehem!" D berbisik di telinga Aisyah. Namun dia tidak tahu aku masih dapat mendengarnya. Aku teramat faham maksudnya.

"Kau punya habis eh?"

"Haah. Aku ingat dia datang next week tapi tak sangka cepat gila." D menggaru kepala. Satu sifat D yang kami kenal ialah dia suka garu kepala. Dalam susah ataupun senang, dia mesti akan garu kepala. Nak kata tak ada kutu, Wana dan Iman sudah kerjakan kepalanya minggu lepas. Siap beli sikat kutu sebab nak pastikan! Sekali tengok tak ada. Bila ditanya D menjawab itu memang habitnya. Tak boleh nak buat apa dah!

Aisyah melipat t-shirt lengan panjang yang penghabisan lalu meletakkan baju dan seluar tersebut di dalam almari. Kemas aje orang bernama Aisyah Raudhah ni. Suka tengok! Tulisannya juga cantik, kemas dan tersusun. Pendek kata perfect la!

"Nah." Aisyah menghulurkan ehem itu kepada D. D menyambut dengan senyuman lebar.

"Thanks!" dia berlari ke pintu dorm untuk ke bilik air.

"Cepat nanti bocor pulak! Susah nak berus!" perliku sengaja. Aisyah ketawa. D menjelirkan lidah.

"Yelah." Dia terus berdesup pergi.

"Korang hari ni no homework, right?" Iman bertanya memecahkan kebisuan. Entah tiba-tiba hari ni semua orang tak nak bercerita. Tak seperti selalu.

"Adalah!" jawab Wana.

Aku kalih pandang. "Eh! Hidup rupanya. Ingatkan dah terbang ke angkasa lepas." Sindirku.

Wana menjegilkan mata. "Walaupun aku dengar lagu tapi telinga aku tajam tau!"

Aku menjuih bibir.

"Tak sangka kau ada telinga bio-nik, Wana." Iman gelak kuat.

Aku dan Aisyah juga tak ketinggalan. Seronok dapat kenakan Wana. Hahaha!

"Sampai hati korang gelakkan aku...!" cemberut wajahnya.

"Nak ngadu kat Syafiq eh?" usikanku berjaya membuatkan air muka Wana berubah.

"Weh! Apa ni?" marah Wana. Sejak Wana menerima hadiah dari Syafiq kelmarin, kami selalu mengusiknya. Ada aje part usikan yang membuatkan air muka Wana berubah. Wana sudah boleh menerima kehadiran Syafiq ke? Terdetik soalan itu di hati masing-masing.

Kami ketawa sakan. Nah! Sebut pasal Syafiq terus malu-malu! Nasib baik orang lain tak dengar memandangkan blok ini hanya terdiri dua dorm saja. Dindingnya juga kedap udara. Maka tak ada apa yang nak dirisaukan. Apa nak takut? Dalam dorm ni cuma ada kami bertiga saja. Empat orang lagi pelajar yang berkongsi dorm dengan kami sudah bergerak ke dorm sebelah untuk berborak dengan kawan mereka. Mereka tak rapat sangat dengan kami melainkan seorang budak junior, Nana. Hari ni Nana ada kelas tambahan memandangkan dia bakal menduduki PMR. Kami pula tiada kelas tambahan untuk hari ni sebab cikgu nak balik cepat. Katanya nak tengok sinetron Upik Abu dan Laura! Cikgu layan ka? Aiyoyo...! Dan kami terus buat latihan sukan. Itu pun cepat! Rezeki Allah... oleh berehat hari ini.

"Dulu Mai sekarang Wana pulak dah!" Iman ketawa mengekek.

"Iman, baik kau tutup mulut longkang kau tu!" ugut Wana. Aik, marah ke kak? Atau suka? Hati macam mengiyakan. Benarkah aku sudah jatuh....? Bisik hati Wana.

"Itulah. Dulu suka kenakan aku. Sekarang turn kau pulak. Padan muka!" aku menaikkan ibu jari.

"Mai, jangan sampai aku buka hikayat kat sini kang! Nak semua tahu ke?"

Aku menelan liur. Mak aih...! Jangan ler...! Aku menggeleng laju. Isyarat diam aku tunjukkan padanya. Wana, kau memang nak makan kaki aku kalau buka hikayat tu!

"Hikayat? Apa tu hikayat?" tanya Aisyah memandang aku dan Wana silih ganti. Iman lantas berlari lalu duduk di birai katilku. Wajahku ditatapnya dengan penuh minat.

"Haah. Apa weh? Ceritalah!" gesa Iman.

Aku mengetap bibir. Aduhai.. masak aku macam ni! Rahsia nak bocor la pulak! Macam mana ni? Wana kukerling. Tengok tu! Sempat lagi dia senyum. Suka la tu tengok aku macam ni! Siap kau...!

"Korang nak tahu tak.... Mai ni kan sebenarnya...."

"Wana!" jeritku.

Wana ketawa terbahak-bahak. "Tahu takut!"

Aku mengecilkan mata. Jahat tau! Kalau nak kenakan pun janganlah libatkan 'perkara' tu!

"Apa semua ni? Mai kenapa? Ada benda yang kami tak tahu ke?" Aisyah menyoal disambut anggukan Iman.

Aku semakin gelisah. "Err.. tak ada apa-apa la. Wana saja je main-main."

"Yeke?" Iman merenung tajam anak mata ini membuatkan aku tak keruan. Ya Allah, tolonglah hambaMU ini.

"Betul tak ada!" aku meyakinkan dirinya.

"Mai, baik kau ca..." belum sempat Iman menyambung ayat, telefonku berbunyi.

Aku segera bangkit. Huh! Lega. Nasib baik kau bunyi, telefon! Kalau tak, mati kejung aku kejap lagi! Gerutu hatiku.

Aisyah dan Iman menghela nafas. Ingat dapat tahu news tapi spoil pulak! Wana ketawa melihat wajah cemberut Iman.

Aku buat tak endah dengan rakan-rakan. Mata melihat alat telekomunikasi. Nama 'Mama' tertera di skrin. Aku mula tak sedap hati. Ada apa mama telefon? Penting ke? Dua hari lepas mama sudah telefon tanya perkhabaranku. Takkan hari ni nak telefon lagi kut? Duit makan dah bank-in oleh abah semalam. Abah hantar mesej beritahu. Kenapa ya? Cepat-cepat aku menekan butang hijau.

"Mai sihat sayang?" tanya mama setelah berbalas salam.

"Alhamdulillah. Mama?" tanyaku berbasi-basa.

"Sihat juga. Mai busy ke? Mama ganggu ke, sayang?"

Aku duduk bersila di katil. Rakan-rakan kukerling sekejap. Iman sudah kembali ke katilnya. Aisyah mengemas buku di meja belajar kemudian berjalan ke muka pintu dorm. Nak pergi tandas la tu! Wana pula kembali mendengar lagu di Ipod miliknya.

"Takdelah, ma. Tengah rest kat katil ni. Ada apa, ma?" Kenapa mama telefon ni? Ada hal penting ke? Soalan itu aku sambung dalam hati.

"Ni mama nak cakap sikit. Err.. benda ni... penting jugalah..." terhenti-henti percakapan mama. Badan terus tegak. Aiseymen, kebetulanlah pulak! Air liur ditelan.

"Penting?" dahi kukerutkan.

"Hmm. Mai tengah duduk dengan kawan ke sekarang ni?" soal Puan Husna di talian.

Aku mengangguk. Eh! Mama bukan nampak pun. Silap! "Dia orang buat hal sendiri. Masing-masing kat katil sendiri. Kenapa mama?" balasku. Kenapa mama ni? Siap tanya aku dengan kawan aku pulak? Benda penting apa sampai macam ni? Mama dapat jumpa Perdana Menteri ke? Ke mama dapat jumpa Lady Gaga? Pertanyaan demi pertanyaan berselirat dalam otak.

"Mai, mama cakap ni Mai jangan melenting ya sayang?"

Kata-kata mama agak menggerunkan jiwa. Berdebar-debar pula jantung kala ini. Berita tak baik ke? Mama jangan takutkan Mai!

"Opah sakit ke, ma?" soalku cemas. Jantung tiba-tiba berdegup kencang.

Terdengar tawa mama di talian. Ish mama ni! Sempat gelak tu! Jantung dah la tak seia sekata.

"Mama..." rengekku.

Iman menekup mulut menahan tawa. Gelihati tengok gaya manja Mai. Dengan keluarga aje dia dapat lihat Humairah berkata begitu. Dengan orang lain? No way! Wana senyum. Dia menyambung kembali tugasannya.

"Sorry. Bukan pasal Opah sayang. Opah dan semua orang sihat walafiat. Jangan risaulah."

"Habis tu pasal apa?" aku kembali lega. Huh! Mama ni suka buat suspen tau! Hari-hari kalau mama buat macam ni mahu aku duduk dalam hospital kerana lemah jantung. Wad first class aku tempah. Hahaha!

"Ni pasal Mai...."

Hmm... pasal aku ke? Ingat pasal apa tadi. Ni mesti cakap nak bawak pergi jalan-jalankan? Hari tu mesti tak sempat nak cakap. Yelah... beberapa hari lagi akan ada cuti. Seminggu pulak tu! Makanya, mama dengan abah mesti dah planned tempat yang best-best. Aku ketawa dalam hati. Hoorey!

"....dan pasal pertunangan Mai...." Sambung Puan Husna.

Aku terlopong. "Apa mama???!!!!!!!"

***

"SERIUS Mai?"

Soalan D membuatkan semua tarik nafas. Aku sudah mengeluh. Tersandar lemah badan ini di kepala katil. Wana dan Aisyah merapati lalu mengambil tempat di kanan dan kiriku.

"Dah Mai cerita tadi kan, mestilah serius. Apalah kau ni D! Berapa banyak kali nak kena bagitahu?" marah Iman.

D mencebik. Ek eleh! Marah aku pulak! Dah aku tak faham, aku tanyalah! Tu pun salah ke? Lagi pun siapa suruh rahsiakan benda alah ni. Kan dah kena soal jawab dengan mamarazi! Omel D dalam hati.

"Mai, kau tak apa-apa?" Wana mengusap bahuku perlahan.

Aku memejamkan mata. Allah! Hanya Tuhan saja yang tahu berat beban yang kupikul sekarang ni. Pinjamkanlah kekuatan kepada hambaMU ini, ya Allah. Aku mohon padaMU. Aku tak berdaya. DugaanMU terlalu berat untuk diriku. Rintihku.

"Mai, janganlah macam ni. Kau kena kuat." Aisyah memberi kata-kata ransangan.

"Aku dah tak boleh kuat dah, Syah. Aku dah agak lambat laun benda ni akan terjadi pada aku. Dan paling tak tahan waktunya adalah semasa aku tengah belajar sekarang." Lemahku berkata.

Aisyah dan yang lain memandang simpati terhadap diriku ini. Mereka terkejut apabila mendengar Humairah menjerit tadi sewaktu sedang berbual dengan mamanya. Lemah jantung melihat Humairah yang tak serupa orang tadi! Dan perkhabaran yang diterima dari mulut Humairah sendiri mampu membuatkan mereka tercekik dan sakit jantung.

"Pihak lelaki desak atau pun family kau?" soal D terus.

Aku mencelikkan mata. "Aku tak tahu."

Masing-masing mengeluh. Tak tahu nak buat apa lagi.

"Mai, aku nak tanya. Tapi soalan ni agak pedas sikit. Harap kau jawab dengan jujur."

Semua memandang ke arah D dengan tanda tanya. Aku dapat agak soalan yang akan dikemukakan. Allah, bantulah aku...!

"Apa kena kau ni D?" bingung Wana.

"Kenapa kau tak pernah beritahu kami pasal ni? Aku faham kalau kau nak rahsiakan benda ni sebab itu hak peribadi engkau but why you're hiding these from us? Sebab benda ni dah pecah depan kita orang? Kau tak percayakan kami?" D tidak mengendahkan Wana malahan dia terus menujukan soalan yang agak sentap kepadaku.

"D, tak baik la." Tegur Iman.

"Tak baik? Weh, kita kawan kan? Kau lupa ke apa yang kita janjikan dulu? Kita pernah berjanji akan sentiasa bersama tak kisah susah atau senang. Dah lupa? Kau mungkir janji, Mai!" Bidas D geram.

Aku terasa mahu menangis bila dituduh sebegitu. 'Maafkan aku D. Aku tak dapat ceritakan semua benda. Aku terpaksa sembunyikannya selama ni. Aku tak bersedia lagi untuk beritahu pada korang. Aku sendiri terluka dengan apa yang terjadi. Ini bukan pintaku! Kalaulah kau tahu kejadian sebenar, pasti kau akan turut sama merasainya.' Rintihku.

"Diana!" Mencerlung mata Wana memandang D. Kenapa timbulkan lagi masalah? Cukuplah Mai dah terseksa dengan masalah dia. Kalaulah kau tahu perkara sebenar, pasti kau akan terperanjat beruk! Bengang Wana.

"Mulut tu jaga sikit!" keras suara Wana.

"Why? Nak salahkan aku pulak? Tak betul ke? Aku sayangkan persahabatan kita. Aku ceritakan masalah aku kat kita semua bila aku down gila.Tapi kau, Mai? Apa yang kau buat? Sorokkan hal ni. Sorok dari semua orang. Yeah, its a privacy and as friends, kami tak layak ambil tahu! Macam tu ke? Selama ni kau anggap kami ni apa, Mai? Boneka? Bila nak main, kau tarik kami. Bila dah bosan, kau tinggalkan kami. Like that huh?" D tersenyum sinis. Dalam hatinya membara mengenangkan perangai Humairah. Aku sayangkan kau tapi ini yang kau balas?! Kau khianati janji!

"Puteri Diana Munirah, behave yourself! Jangan tambahkan kekusutan Humairah. Kita sebagai kawan kena bantu dia hadapi masalah ni. Bukan menimbulkan lagi masalah. Jangan dipertikaikan perkara lepas. Sekarang kita kena bantu Mai menghadapi krisis ni. Tolonglah." Nasihat Aisyah. Dia kasihan melihat Humairah yang tak habis-habis di serbu dengan pertanyaan dan kata-kata sinis D. Mengapa D berubah sedemikian? Tidak kasihankah dia melihat apa yang dilalui Humairah? Walaupun Aisyah juga baru mengetahu perkara ini tapi dia faham perasaan gadis itu. Tampak jelas Humairah tertekan dengan apa yang berlaku. Ini bukan kerelaan hatinya! Aisyah yakin.

D terdiam sesaat. "Fine! Korang bantulah Mai. Aku tak nak! Sebabnya dia tak pernah cerita masalah dia pada aku. Simpankan sajalah, Mai sampai bila-bila pun! Korang baik sangat kan? Korang aje la yang bantu dia. Jangan libatkan aku dalam hal ni!" D terus bangun keluar dari dorm dengan perasaan marah, meninggalkan kami berempat yang tergamam.

"Semua salah aku..." air mata sudah bergelinangan di tubir mata. Tak sampai dua saat, mutiara itu gugur.

***

KEINDAHAN ciptaan Tuhan aku lihat di jendela. Mengenangkan nasib diri yang bertimpa-timpa dengan masalah dan perhubungan dengan D juga semakin kendur. Sudah dua hari aku dan D tidak bertegur sapa. Semasa di kelas pun, D sikit tak toleh ke belakang. Dia suka buat hal sendiri. Sampaikan waktu rehat pun dia sanggup makan di taman mini berdekatan kolam ikan. Saat aku mahu bercakap dengannya, D pasti akan mengelak dan membuat kerja lain. Aku tidak dipedulikan. Aku bagaikan patung di hadapannya. Tampaknya kesalahan yang aku sudah lakukan memberi impak yang besar padanya.

"Mai, termenung jauh nampak?" tegur Aisyah sambil duduk di katilnya. Tudung hitam yang tersarung di kepala di tanggalkan lalu disangkut pada hanger. Rambutnya diikat ekor kuda menyerlahkan lagi keanggunannya.

Aku tersenyum cuma. "Tak adalah. Saja tengok panorama kat luar tingkap ni."

Aisyah tersenyum juga. "Haah kan? Melihat keindahan ciptaan Tuhan yang pelbagai buat hati rasa tenang dan damai. Besar sungguh kuasanya sehinggakan boleh mencipta bumi yang indah, pokok-pokok, langit, laut, bulan, bintang dan selainnya."

Aku mengangguk mengerti. Memang benar apa yang diperkatakan Aisyah. Betapa besar rahmat yang dikurniakan Allah kepada hamba sekalian alam.

"Kadang-kadang aku sendiri terfikir macam mana Allah jadikan semua ni. Namun aku tak ada jawapannya, Mai. Puas aku fikir siang malam. Sampai aku tanya umi dan walid aku. Dia orang pun tak tahu tapi dia orang kata itulah kekuasaan Allah yang tak dapat ditandingi sesiapapun makhluk ciptaannya."

Aku mendengar saja kata-kata Aisyah. Memang betul. Aku juga pernah terfikir benda yang sama sehinggakan aku memarahi otak kerana tak dapat jawapan untuk itu. Masa tu budak lagi! Sekarang dah besar, dah tahu tentang semua ni sikit-sikit. Keluarga dan para guru disekolah banyak mengajar. Rakan-rakan juga turut membantu.

"Habis tu apa kata kau pulak?" soalku.

Aisyah tersenyum. Manis sangat.

"Aku terdiam masa tu. Tak tahu nak cakap apa dah. Cuma aku teringat satu pesanan umi yang membuatkan aku kagum sehingga ke hari ini." Kata-kata Aisyah menarik minatku.

"Apa?"

"Hanya perkataan 'Kun fayakun'. Maka jadilah ia. Kau nak tahu tak, dulu masa aku kecil dalam lapan sembilan tahun macam tu la, aku sebutlah 'Kun fayakun' macam yang umi aku sebut tu. Tapi tak jadi apa-apa. Banyak kali aku sebut dan tak hasilnya tetap tiada. Aku tanya kat umi, kenapa tak jadi apa-apa? Umi aku jawab, hanya Allah yang berkuasa. Kita manusia, hanya makhluknya saja. Walau kita ucap sejuta kali ke berbillion kali ke tetap takkan jadi apa yang kita mahukan. Masa tu baru aku tersedar, sungguh besar kuasa Allah SWT. Hanya perkataan tu saja DIA boleh mencipta apa jua yang DIA mahukan." Aisyah memejamkan mata.

Aku tersenyum melihatnya. Aisyah ni boleh jadi ustazah lepas habis sekolah nanti. Kata-katanya penuh makna dan penghayatannya menyeluruh. Kalau sebut tentang sesuatu pasti akan relate dengan agama. Aku ingin sekali menjadi seperti Aisyah. Kuat, tabah, cekal dan sentiasa sabar dalam menghadapi dugaan. Beruntungnya gadis bernama Aisyah ini. Teringat pula pesanan Opah di kampung.

"Jikalau kita berada dalam kesusahan mahupun kesenangan, hendaklah kita mengadu pada Allah. Bukan pada manusia mahupun haiwan. Mengadulah pada Allah kerana setiap apa yang kita lakukan berkaitan dengan Allah. Bersyukur pun kita ucap nama Allah. Kita bersedih pun ucap nama Allah. Jangan pernah lupakanNYA. Jangan bongkak, takbur, riak, bangga diri kerana itu tergolong dalam syirik khafi. Itu semua akan membuatkan Allah tidak memberkati hidup kita. Allah mendengar setiap permintaan kita. Ingat, Allah tak pernah makan, tak pernah tidur. DIA sentiasa memerhatikan kita dari atas. DIA tengok, umat aku ni selalu minta doa pada aku. Perangainya elok, tutur katanya lembut, hormat ibu bapa, akhlak mulia. Senang-senang saja Allah makbulkan doa kita. Dan senang juga masuk syurga. Tapi ingat, senang juga umatnya masuk neraka. Tanpa Allah, kita takkan wujud di alam yang fana ini, cu. Maka hargailah dan syukurilah nikmat pemberianNYA." Pesan Opah suatu masa dulu.

"Mai..." Aisyah memetik jari membuatkan aku tersedar.

"Mengelamun pulak ya?" usik Aisyah.

Aku tersengih malu. Kantoi pulak! Aisyah bangun dari katil. Tudung hitam disarung kembali ke kepala.

"Aku nak buang air kejap. Nak ikut?" ajak Aisyah.

Aku menggeleng. "Nak pergi bilik air pun nak ajak orang ke?" sindirku.

Aisyah mencubit pipiku sebelum bergerak ke bilik air. Aku ketawa kecil. Nakal betul Syah ni! Tahu la pipi aku chubby! Ops, jangan bangga Mai.

Aku mencapai Mp3 di bawah bantal. Butang on kutekan. Lagu tema movie Lizzie McGuire, What Dreams Are Made Of dipopularkan penyanyi antarabangsa, Hillary Duff berkumandang di telinga. Bosan bila ditinggalkan seorang diri dalam dorm. Wana dan Iman pergi main bola jaring. Aisyah pula pergi toilet lepas pulang dari discussion pasal pengawas. Siapa lagi leadernya kalau bukan Farhan! Ahh! Nama itu yang kuingat. Nama yang membuatkan hidupku tunggang langgang dan hubungan dengan kawanku, D. Aku memejam mata ingin merehatkan minda.

Bunyi tapak kaki manusia mencelikkan mataku. Kelihatan D berjalan ke almarinya. Ya tak ya juga! Satu hari suntuk aku tak tengok dia. Kat sekolah memang tak bertegur la. Lepas tu aku balik aspuri dengan member yang lain. D tidak kelihatan tadi.

Melihatkan D baru membaringkan tubuh, aku melangkah ke arahnya.

"D..." panggilku perlahan. D membuka mata.

"Kau masih marahkan aku?" aku bertanya perlahan. Sebak pun ada.

D tidak menjawab sebaliknya memusingkan tubuh ke kanan. Bantal empat segi diletak ke telinga. Barangkali tidak mahu mendengar apa yang akan aku ucapkan.

Aku menahan sendu. Kelakuan D mengguris hati. D tak seperti dulu. D sekarang adalah D yang bisu dan sentiasa mengelak dari kami. Aku bangun dari katilnya lalu berjalan ke katilku semula. Air mata yang mengalir kusapu dengan jari.

'Sampai hati kau D...!' hatiku menangis.

D melihat dari celahan bantal yang menutupi muka. Sayu hatinya melihat Humairah mengesat air mata di pipi. Rasa bersalah melilit tangkai hati.

'Maafkan aku, Mai.' Mutiara jernih mengalir jua.

***

"MAI, kau nak naik dah ke?" soal Wana ketika kami berada di astaka selepas penat bermain bola jaring pada hari berikutnya.

"Hmm... penatlah. Letih. Nak naik mandi lepas tu gosok baju dengan tudung. Malam ni kan ada program." Ucapku mendatar. Oh, baju kurung lagi! Tak apa. Bisik hatiku. Suprise!

"Oh! Hmm tak apalah. Kau naiklah dulu. Kami nak duduk sini kejap. Nanti aku naik." Ujar Wana bersama anggukan yang lain.

Aku menjulingkan mata ke atas. "Whatever." Aku terus berlalu pergi. Entah apalah budak ni nak buat kat astaka. Tak penat ke? Selalu lepas main terus masuk dorm. Ni tak. Ahh! Mandi aje la. Aku terus mendaki anak tangga untuk ke dorm.

"Mana minah sekor ni? Lambat macam siput ar." rungut Iman. Tangan yang gatal digaru. Kemudian tengkuk pula dan seterusnya pipi.

"Sabarlah. Ada kejap lagi tu. Kalau dah sampai kang, sesah terus. Kau garu aje la tempat yang gatal tu dulu." selamba ayat Wana. Dia membuang ranting kayu yang terlekat pada seluar trek hitamnya.

Iman terkedu. Cis! Sempat lagi dia kenakan aku!

"Hah! Itu pun dia." Aisyah menunjukkan sekumpulan pelajar perempuan yang baru saja habis bermain badminton. Ni budak-budak dorm sebelah ni! Jaja, Widad dan beberapa pelajar yang dikenali melambaikan tangan ke arah mereka bertiga kecuali seorang. Semua kalih pandang kepada minah bertiga di cendawan.

"Hah! Tu pun budaknya. Iman pergi tarik dia ke sini!" arah Wana.

Iman membuat tabik hormat, sedia menjunjung perintah. Dia berlari ke arah D yang sedang bergelak tawa dengan Widad. Eh! Eh! Boleh pulak gelak-gelak? Dengan kami masam mencuka aje! Ni yang nak marah ni! Sabar Iman.

"Apa ni?" marah D. Lengannya yang ditarik Iman ditepis beberapa kali namun tak berjaya. Jaja, Widad dan beberapa rakan lain sudah mendahului D ke dorm. Nak tak nak terpaksa la dia berjalan mengikut langkah Iman. Mereka berdua menuju ke satu pondok cendawan warna coklat. Kelihatan Wana dan Aisyah menunggu dengan sabar. Sampai saja di sana, D disuruh duduk dengan kasar.

"Nah! Apalagi? Jom sesah!" Iman menyinsing lengannya.

D membulatkan mata lalu menelan liur. Sesah? Oh my...! Habislah aku!

"Apa kena kau ni, Iman oii? Apesal kau nak kerjakan budak ni pulak? Adoi...." Wana memegang kepala. Pening ada kawan macam ni!

Aisyah menahan tawa. Iman mengerut dahi.

"Bukan kata nak sesah dia ke tadi?" Iman blur.

"Bukanlah! Kita nak bincang. Sesah dengan cara bincang. Diskus!" Wana menjegilkan mata kepada Iman.

Iman mencebik. Marah pulak? Tembak dengan senapang gajah baru tau! gumamnya.

"Okey, firstly kami ada hajat besar dengan kau, D." Aisyah memulakan bicara bila semua mata memandang ke arahnya.

"Hajat apa?" soal D.

"Hajat untuk berkawan seperti biasa semula." sampuk Wana pula.

D ketawa jengkel.

"Bukan kita kawan ke?"

"Memang berkawan tapi tu dulu sebelum hal Mai berlaku. Kau dah tak cakap dengan kita orang lagi sekarang. Dah buat hal sendiri. Dekat sekolah buat macam tak kenal sampaikan budak aspura tanya dan beberapa cikgu tegur." Geram Iman. Mahu ditumbuk minah depan ni! Lepas tu buat sambal tumis! Nyum nyum...! Iman melalut.

D tersenyum sinis. "Kan aku dah cakap. Aku tak nak terlibat dalam hal Mai. Korang tak faham bahasa ke?"

Wana seraya berdiri. "Eh minah ni! Kang ada yang kena lepuk dengan aku kang!" berangnya.

D terperanjat dengan suara keras Wana. Jantungnya berdegup kencang mendengar suara Wana seakan-akan marah. Tambahan lagi gayanya macam nak belasah orang. Oh no...! Mana boleh seorang lawan tiga? Tak aci betullah dia orang ni! Suka buli aku macam ni...! bebel D.

"Wana, calm down. Jangan terburu-buru." Aisyah menarik Wana supaya duduk semula.

"Entah! Tadi kata tak nak sesah sekarang dia pulak lebih-lebih." gerutu Iman.

"Eh Iman! Kau boleh diam tak?! Aku dah la tengah baran ni. Tak habis-habis dengar kau mengomel!" bentak Wana. Memang cari nahas la minah Kedah ni!

Iman memalingkan muka. Hmmph! Malas nak layan. Asyik aku aje yang kena! Nyampah mak....!

D dan Aisyah yang melihat berusaha menahan ketawa. Kang kalau terlepas naya je!

"Kalau korang nak bergaduh jangan panggil aku ke sini." D mencelah.

Automatik Wana dan Iman senyap. Aisyah tersenyum.

"Okey apa kata korang terus cakap tentang tujuan korang panggil aku. Tak payah nak buat iklan. Buang masa." Serius wajah D. Dia memeluk tubuh.

"Kenapa kau buat Mai macam tu? Kau tak kesiankan dia ke?" soalan pertama Aisyah menyentak tangkai hati D.

Terlerai pelukan tangan di tubuhnya.

"Kau tak ada perasaan sayang akan sahabat ke, sahabat?" Iman pula. Perkataan 'sahabat' ditekan.

D terkedu.

"Atau kau dah terikut-ikut dengan kata-kata hasutan Diva Babe?" Giliran Wana pula.

"Wo! Wo! Jangan tuduh melulu eh!" bantah D. Sesuka hati tuduh aku macam tu. Ikut Diva Babun tu? Kirim salam la. Iman masih kukuh di dada. Akal masih waras lagi!

"Dah tu kau diam aje tandanya betullah kan?" selar Iman. Dia menyilangkan kaki. Penat duduk macam tadi. Aku rasa macam nak baring aje! Letih sangat ni. Nasib baik tak ada latihan sukan today. Kalau tak berdouble letih! Omel Iman.

D menjeling. Sibuk aje!

"Aku sakit hati dengan apa yang dia dah buat."

"Hey, dia tak cerita hal peribadi pada kau, kau nak sentap sampai tak bertegur apesal?" bengang Wana. Entah pape entah budak nama Diana ni! Hal tu bukan nak amek hati. Amenda entah!

D mengeluh.

"Aku rasa aku bukan kawan yang baik untuk dia. Jadi buat apa aku ambil tahu pasal dia lagi. Dia pun dah tak perlukan aku." Terang D.

Serentak tiga dara menepuk dahi.

"Ya Allah! Kenapa kau fikir bukan-bukan D oii? Bawa mengucap weh! Bila masa pulak Mai tak perlukan kau? Dia perlukan kita semua la!" Iman memegang dahi. Boleh demam aku macam ni!

"D, jangan terlalu menghukum. Kau tak tahu cerita sebenar. Kami pun tak tahu cerita sebenar. Tapi setidak-tidaknya jangan menunjukkan yang kau tak puas hati masa dia tengah susah hati. Dia tertekan tahu tak? Tolonglah, D. I'm begging you." Aisyah merayu.

D terpanar. Aisyah sanggup merayu kerana tak mahu kami terputus persahabatan. D rasa bersalah.

"Kalau korang semua nak tahu, aku dah lama tahu hal ni." Wana berkata membuatkan mereka hampir tercekik.

"What?!!" serentak tiga dara berdiri mencerun ke arah Wana.

"Aku dah tahu lama sebelum kita balik rumah 2 minggu lepas." Sambung Wana.

"Sampai hati kau tak bagitahu aku...! Macam ni kawan?" Iman memeluk tubuh. Oh my...! Ni yang nak merajuk ni!

"Jahatnya kau...!" D punya turn. Dia memandang tajam Wana.

"Kenapa rahsiakan Wana?" tanya Aisyah.

Wana menghela nafas sebelum memulakan bicara. "Macam ni...."

***

MALAM sudah menjelma. Para penghuni aspuri dan aspura sedang bersiap untuk ke surau sekolah kerana majlis tahlil dan bacaan yassin selepas menyudahkan solat maghrib. Kan hari ni hari khamis maka amatlah baik untuk sama-sama membacakan yassin untuk para muslimin dan muslimat yang masih hidup atau telah meninggal dunia semoga akan dikurniakan ganjaran pahala dan syurga.

"Amboi! Serba hijau kakak kita malam ni," usik Iman.

Aku menjeling.

"Menjeling-menjeling ku bertentang... mata kita sama memandang..." Iman siap menyanyi membuatkan aku geram. Aisyah dan Wana tergelak sakan di katil masing-masing. Beberapa pelajar lain tersenyum gelihati memandang Iman yang tak habis-habis mendendangkan lagu tersebut. Siap menari tu yang tak boleh blah!

"Jom turun. Nanti kena tinggal pulak." Ajak Aisyah sudah lengkap pakaiannya. Wana dan Iman sudah siap terlebih awal. Malas berfesyen katanya! Tapi siap lilit-lilit selendang tu bukan fesyen ke Makcik Iman oi! Kalau Wana aku faham, dia memang seorang yang simple. Pakaiannya terlalu senang. Baju ungu plain berkain corak kotak-kotak dan mengenakan tudung putih. Simple but nice! Kena dengan jiwanya. Aisyah tak payah cakap la. Apa dia pakai semua cantik! Jeles mak...!

"Orang tukan tadi bukan main lagi mandi awal. Tup tup dia yang lambat," perli Wana.

Aku menjeling Wana. "Tadi emergency case la. Tak tahan!"

"Hahaha!!"

Tengok tu, boleh dia gelakkan aku? Jahat betul! Ahh! Jahat budak jahat! Tetiba pula lagu Stacy masuk line. Hahaha!

"Cepat la!" gesa Iman. Dia sudah bersandar di muka pintu. Tunggu minah ni memang azab sungguh! Padahal dia tahu Mai akan mengenakan tudung yang simple.

Aku bergerak ke cermin yang disediakan dalam dorm ini. "Korang gerak dulu nanti aku turun. Tunggu kat bawah."

"Alahai lama lagi ke kak?" usik Aisyah.

Aku tersengih. "Lama lagilah. Ni tudung pun belum pakai lagi."

"Okey, lambat seminit makanan kau aku punya!" gertak Iman sambil ketawa. Wana dan Aisyah tak terkata. Makan aje tau budak kenit ni!

Aku membeliakkan mata. "Hey, tu kejam sangat!"

Meledak tawa Iman. "Okey turun dulu." Dan mereka bergerak meninggalkan dorm Angsana. Aku lihat dari cermin, Nana, junior kami sudah siap berpakaian serta tudung dan dia mengorak langkah meninggalkanku sendirian dalam dorm. Alahai kena tinggal lagi! Ingat nak ajak saing...!

Aku masih lagi belum memakai tudung. Aku ingin membuat satu kelainan. Dia orang tak pernah nampak aku berfesyen kan? Hari ni aku nak tunjuk skill. Muahahaha! Gelak jahat aku dalam hati.

Sedang aku mengenakan tudung di kepala, terdengar tapak kaki manusia berjalan memasuki dorm. Daripada cermin ini, dapat aku lihat wajah D yang siap berbaju kurung sedang mencari sesuatu dalam lacinya. Kemudian dia berdiri di sisi katilnya.

Hairanku dengan sikapnya. 'Dia tunggu apa? Dah siap turunlah. Mungkin tunggu budak sebelah kut.' Fikirku.

Selepas siap pakai tudung, aku melangkah ke arah pintu tanpa memandangnya.

"Mai!"

Terhenti kakiku betul-betul di pintu. Selangkah aje lagi nak keluar. Panggilan suara yang dah lama tak didengar.

"Maafkan aku?" pinta D.

Aku berpaling. Kelihatan D berjalan dari katilnya menuju ke tempat dimana aku berdiri. Tanpa disangka, tubuhku dipeluknya erat. Terdengar sendu tangisnya di bahuku.

"Jangan nangis," aku cuba memujuknya. Hailah... dah lah aku ni tak reti cara memujuk! Hentam keromo aje ler!

"Aku bersalah dengan engkau. Aku tuduh kau. Aku salahkan kau. Aku minta maaf, Mai." D tersedu-sedan.

Aku menggosok badan belakangnya. Sebak pulak dengar apa yang dia cakap. Tambahan pula melihat air matanya sudah membuat aku sedih.

"Aku yang patut dipersalahkan. Aku rahsiakan 'benda' tu daripada korang. Memang patut aku cerita kat korang dulu tapi aku..."

D memintas dengan cepat. "Bukan salah kau. Its a private. Aku yang tak faham! Aku salah!"

Aku tersenyum lantas mengesat air matanya. "Dah tak mahu nangis. Aku ni tak pandai pujuk orang." D ketawa.

"Tak apa. Maafkan aku tak?"

Aku mengusap dagu. Memikir sama ada nak maafkan atau tak. Saja je nak main-main!

"Mai!" cemberut wajah D.

"Hahaha!!"

"Mai..." rengeknya. Alahai manjanya! Lama aku tak tengok dia manja-manja macam ni..! Rindu!

Aku tersenyum hingga menampakkan lesung pipit yang selama ini disembunyikan. "Maaf diterima!" jeritku girang.

D ketawa melihat gelagatku lalu memeluk tubuhku erat. Aku membalasnya dengan senyuman.

'Ya Allah, aku bersyukur padaMU kerana telah menyatukan hubungan persahabatan kami ini. Alhamdulillah...' aku mengucapkan syukur.

"Mai..." seru D.

"Hmm?" aku menoleh ke arahnya.

"Kau cantik sangat malam ni." pujinya seikhlas hati.

Aku tersengih malu. Alahai... merah muka mak, nak oii!

***

"NAMPAK Mai tak?" Wana menyoal Widad.

"Tak nampak pulak. Kenapa? Bukan dia ikut korang ke tadi?" soal Widad kembali.

Wana sudah keluh kesah. Manalah budak bertuah ni pergi? Risaukan aku aje la! Gumamnya.

"Jumpa Mai?" muncul Iman di pintu surau bahagian wanita.

Iman menggeleng.

"Aduhai.. mana dia pergi? Aku dah tengok kat aspuri tapi takde!" Iman memandang kiri kanan.

"Budak ni bagi orang risau je la! Mana dia pergi?" Wana dan Iman bagai kehilangan anak kecil. Mata meliar ke kiri ke kanan. Puas suah mereka mencari Humairah tapi bayang tak nampak langsung! Kena sorok bunian ke apa?

"Assalamualaikum...! Hai geng...!" sapa seseorang membuatkan Wana dan Iman kalih pandang. Terlopong dia melihat sahabatnya. Kalau gajah masuk pun muat tu!

"Satu.. dua... tiga... empat...." aku mengira bilangan syaitan yang berlumba-lumba masuk dalam mulut mereka. Automatik mereka berdua ketap mulut. Aku ketawa.

"Mai ke?!" soal Iman tak percaya. Matanya dibulatkan lebih besar!

Aku ketawa. Soalan tak berapa cerdik! Dalam pada waktu itu, semua tidak perasan akan seseorang yang memerhatikan diriku ini dibalik tembok yang memisahkan pelajar lelaki dan perempuan untuk mengambil air sembahyang.

"Apesal? Nampak aku macam alien ke?" baju dibadan kutelek. Mana tahu kut pakai baju terbalik ke kan tapi tadi aku tengok tak ada pulak. Cantik lagi adalah! Mai! Kau suka sangat bangga diri. Pantas aku istighfar.

"Mai!!" Wana melulu mendapatkanku. Tubuhku lantas dipeluknya.

"Weh! Weh! Apa ni?" rimas aku dibuatnya.

"Gaya aku baru balik dari haji aje. Happy sangat ni apesal?" soalku terpinga-pinga.

Wana terpegun. "Ayunya kau! Bila masa kau mula berfesyen ni? Cantik!" pujinya.

Aku tersenyum malu. Alahai... malu-malu kucing pulak! Tadi D dah cakap, ni Wana pulak! Aku rasa macam artis aje gayanya! Hahaha!

"Aku belajar dengan adik aku, Yana." hujung tudung aku pintal.

Wana tersenyum-senyum. Malu la pulak Kak Maira kita ni!

"Ecececeh... Mai dah cun sekarang ni! Hai... mesti ramai yang minat nanti. Tengoklah! Kalah Heliza Helmi. Lelaki perempuan akan minta autograf!" usik Iman.

Aku menjegilkan mata. Mengekek-kekek Iman ketawa.

"Eh Mai ke?" seorang pelajar perempuan menegur ketika menjejakkan kaki di surau. Aku, Wana dan Iman menoleh.

"Ni Humairah kelas 5 Al-Bukhari tu? Cantiknya kalah pelakon!" seorang lagi rakan yang tidak dikenali menegur.

Aku sudah menelan liur. Habislah aku kali ni....! Menyesal pulak cakap macam artis tadi! Mulut masin sangat!

"Ni ke Mai? Serius kau lawa gila malam ni!"

"Eh ajarkanlah aku macam mana cara kau bertudung ni. Ajarlah ek? Cantik gila!"

Pelajar perempuan berkerumun di sekeliling membuatkan aku lemas namun pura-pura melemparkan senyuman. Haiya... inilah padahnya kalau mencuba fesyen bertudung. Mesti akan ditegur punya! Lepas tu berkerumun macam lalat! Huwargghh! Panaslah! Yana, tolong akak! Jeritku dalam hati.

Wana dan Iman yang berada di tepi pagar surau hanya memerhati sambil tersengih. Aku mengisyaratkan mereka supaya menolong namun tidak diendahkan malah Iman sempat menaikkan ibu jari kanannya kepadaku. Ahhhh!! Asalahe punya kawan...

"Famous kawan kita sekarang, Man."

Iman gelak. "Tahu tak apa. Kalah artis!" Wana ketawa.

"Bahhhhhhh!!!!"

Kemunculan D di hadapan Wana dan Iman secara mengejut membuatkan dua gadis itu terkejut besar. Iman sudah menjerit ketakutan. Wana mengurut dada. D membuat simbol 'good' sambil tersengih.

"Uish! Kau ni kalau tak muncul mengejut tak boleh ke?" marah Iman. Dadanya digosok perlahan. Dah lah pakai serba putih! Dari tudung sampai kasut pun putih! Nak gugur jantung. Ingat hantu mana! Dah lah malam ni malam Jumaat. Seram tengkuk! Kalau dia gol tadi, dia datang cekik D!

"Entahnya! Suka mengejutkan orang!" geram Wana.

D ketawa mengekek-kekek. "Amacam? Takut tak?" usik D seraya angkat kening.

Iman mencebik. "Kalau kau buat lagi, jangan harap dapat jumpa aku lagi kat dunia yang fana penuh dengan keindahan alam yang mendamaikan ini..." Iman mula berfalsafah.

D dan Wana segera menutup telinga dengan tangan. "Jom masuk, D! Jangan layan minah suka berangan ni!" Wana pantas menarik tangan D masuk ke surau Raudhatus Sakinah. D ketawa mengekek-kekek.

Iman tercengang. Berani dia tinggalkan aku kat sini?! Kurang asam! Iman ingin masuk ke dalam namun dia terhenti bila teringat sesuatu. Dia berpusing balik ke arah kumpulan perempuan yang mengerumuni Humairah. Lantas Iman berlari masuk ke dalam sambil menarik tanganku dari dikerumuni pelajar perempuan. Syukurlah aku terselamat atas bantuan Iman! Kalau tak memang nahas betul! Huh! Lega.

Aku duduk dengan tenang di sebelah Wana di bahagian belakang sekali. Tarik nafas! Lepas...! Tarik! Lepas...! Huh! Berpeluh-peluh...! Cantik-cantik jadi busuk pulak dah.

Wana ketawa melihat diriku yang bagaikan artis dikejar peminat!

"Penat ek kak? Kesian dia kena kejar dengan fanatik." Wana mengusik.

"Diamlah!" aku menumbuk bahunya. Wana ketawa sakan.

Aku tersandar di dinding surau. Aduh.. masak aku macam ni! Dia orang ni memang macam ni ke? Aku baru pakai tudung fesyen ala-ala muslimah sikit. Nampak lain sikit. Dah macam artis datang kampung pedalaman! Taubat dah nak pakai macam ni lagi. Esok-esok aku pakai tudung bawal biasa aje. Tak kena kejar macam artis jumpa peminat fanatik! bebelku.

Terasa bahu kanan dicuit membuatkan aku berpaling.

"Mai, kau nampak anggun dengan gaya macam ni. Seriously beautiful my lady! Aku suka." Aisyah tersenyum manis.

Aku tersengih malu. Kepala tak gatal kugaru. "Biasa je la." Aisyah ketawa kecil. D yang terdengar terus pusing ke belakang.

"Comel kan kakak kita ni? Kalau headprefect nampak ni memang confirm dia ambil kau jadi tunang. Tak payah kona-kona buat dalih lagi." sakat D yang berada di depanku. Sengih macam kerang busuk!

Iman dan Wana mendengar terus saja mengekek ketawa. Aku panas betullah!

"D, kau teringin nak makan penumbuk aku gamaknya!" aku menjegilkan mata ke arahnya. Janganlah sebut nama dia! Setelah mereka semua tahu mengenai 'rahsia' itu daripada Wana, aku kian diusik.

D menjelirkan lidah. Aku geram betul tau! Lantas pinggangnya kucuit. Apalagi? Cik Diana kita ni melatahlah. Makin galak Iman dan Wana ketawa sampai menekan perut. Hailah.. sesungguhnya ini yang kami mahukan! Keceriaan kembali bersinar. Alhamdulillah....

"Ish! Jangan cuit situ. Sensitip!" D pula mencerlung mata ke arahku. Aku buat dono aje. Lagi aku cuit. Terjerit-jerit D di tempatnya membuatkan beberapa orang terdekat memandang ke arahnya. D memukul tanganku berkali-kali. Aku tergelak aje. Tak sakit pun!

"Shhh!! Ustaz dah mula tu." Aisyah mengisyaratkan diam. Serentak kami berempat menutup mulut.

Kedengaran Ustaz Farid menyuruh semua duduk di tempat masing-masing. Siapa-siapa yang membawa botol air boleh membuka penutupnya. Bacaan yassin akan dimulakan dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim.

Dan semua pelajar mula membacakan yassin...