Masa berlalu dengan pantas. Dalam sekelip mata, jam besar berdiri di ruang utama berdenting sebanyak 11 kali, menandakan sudah pukul 11 pagi.
"Hogg ada di rumah?" Satu suara jelas memanggil. Manor Baruch tiada pengawal. Ini bermakna orang itu sudah berada dalam kawasan manor.
Dahi Hogg berkerut. Dia meletakkan buku besar tebal di hadapannya. "Linley, pelajaran kita setakat ini hari ini." Hogg tersenyum nipis sebelum pusing ke belakang dan bergerak ke ruang tamu.
"Oh Hogg, sahabatku! Beberapa hari yang lepas saya terdengar kicauan burung pemintal kain dan saya terus tahu ada perkara baik akan berlaku. Benar telahan saya. Pada waktu tengah harinya, saya terima perutusan kamu. Sebaik saja saya membacanya saya menjadi sangat gembira."
"Philip, sahabatku. Saya juga sangat gembira melihat kamu. Hillman, cepat ambilkan saya arca batu 'Singa Bengis'. Philip, mari kita tunggu di ruang utama. Arca itu akan tiba sebentar sahaja lagi."
Mendengarkan kata-kata bapanya itu, hati Linley berasa seakan-akan ditusuk sembilu.
'Kita akan menjual lebih harta lagi?' Linley tahu arca itu merupakan salah satu benda yang sangat disukai bapanya. Namun, puak Baruch yang hanya mengambil sedikit sahaja cukai daripada penduduk Wushan. Keadaan ekonomi keluarga mereka dalam kesulitan.
Nasib mereka baik, puak Baruch merupakan puak purba dan disebabkan usianya, ia memiliki banyak barangan yang berharga dan jarang ditemui.
Malangnya, harta yang bertimbun tetap akan menyusut selepas berkali-kali lelongan dan jualan dijalankan. Jumlah barangan berharga milik puak kini sangat sedikit. Linley lantas menatap jam besar berdiri di situ. 'Agaknya berapa lama jam itu dapat bertahan sebelum ia turut dijual?'
Lelaki pertengahan umur berambut panjang keemasan dengan aura lelaki bangsawan melangkah masuk ke ruang utama bersama Hogg. Linley terus dapat meneka lelaki tersebut adalah Philip.
"Oh, budak comel ini tentu anak kamu, Hogg?" Philip melemparkan senyuman manis kepada Linley. "Linley Baruch, bukan? Boleh Pak Cik panggil kamu Linley?"
"Sudah tentu, Tuan." Linley meletakkan tangannya ke dada dan tunduk hormat.
"Manis sungguh kamu ini." Philip sangat menyenangi Linley.
Di sebelahnya, Hogg tertawa. "Philip, jangan bazirkan masa kamu dengan budak itu. Lihat, 'Singa Bengis' yang sudah lama kamu inginkan sudah sampai." Ketika Hogg berbicara, Hillman memikul arca tersebut ke dewan dan kemudiannya meletakkan ia ke lantai dengan mudah.
Berat arca batu itu hampir 100 paun tetapi dalam tangan Hillman, ia nampak ringan seperti barang mainan. Ini jelas menunjukkan kekuatan Hillman.
"Encik Hillman, kekuatan kamu mengagumkan saya. Tiada seorang pun orang saya yang segagah kamu, Kapten Pengawal meskipun saya mengawal dua belas buah pekan," kata Philip sambil tersenyum. Makna di sebalik kata-katanya jelas sekali. Dia mahu mempelawa Hillman bekerja dengannya.
Hillman berkata dingin, "Pekan Wushan rumah saya, Tuan."
"Maafkan saya." Philip segera memohon maaf.
Philip kemudian mengalih pandangan ke arah Hogg. "Begini, Hogg. Walaupun saya amat menyukai arca 'Singa Bengis' ini, hasil seninya bukan dalam kelas atasan. Apatah lagi jika dibanding dengan karya agung Pengarca Agung."
"Philip, kalau kamu tak mahu membelinya, tak mengapa," jawab Hogg dengan ringkas.
Mata Philip mengecil namun dia kemudian ketawa. "Haha… Janganlah marah, Hogg. Saya tak kata saya tak mahu membelinya. Saya cuma menyatakan kebenaran. Apa kata, saya beli arca ini dengan harga 500 keping syiling emas. Apa pendapat kamu?"
"500?" kerut Hogg.
Harga itu sangat rendah daripada yang diharapkannya. Dia berharap dapat menjualnya dengan harga 800 syiling emas.
Di benua Yulan, satu keping syiling emas bersamaan dengan 10 syiling perak yang juga bersamaan dengan 1000 syiling tembaga. Golongan pertengahan mampu memperoleh 20 hingga 30 keping syiling emas dalam masa setahun. Malah, kebanyakan anggota tentera mampu memperoleh lebih kurang 100 keping syiling emas.
"Harga itu terlalu rendah." Hogg menggelengkan kepalanya.
"Hogg, kamu tentu tahu, dalam tempoh lebih kurang 10 000 tahun, terdapat banyak arca yang dihasilkan di benua Yulan. Arca-arca ini dinilai dari aspek seninya. Jika arca ini dinilai dari aspek seninya. Jika dinilai dari aspek kesenian, saya hanya sekadar suka melihatnya. 500 syiling emas nilai paling tinggi dapat saya tawarkan. Jika kamu tak terima, kita lupakan saja."
Philip ketawa sambil menoleh ke arah jam besar berdiri di ruang utama. Matanya bercahaya lalu dia berkata, "Hogg, kalau kamu mahu menjual jam kuno itu, saya sanggup bayar seribu syiling emas."
Wajah Hogg serta-merta bertukar dingin.
"Baik, dua ribu syiling emas jika kamu mahu menjualnya. Itu tawaran saya yang paling tinggi," cepat-cepat Philip berkata.
Hogg menggelengkan kepalanya. "Jam besar berdiri itu bukan untuk dijual! Tentang arca itu pula, 600 syiling emas. Terima atau lupakan sahaja."
Philip memerhatikan riak wajah Hogg buat seketika lalu ketawa kecil. "Baiklah, Hogg. Saya bagi muka kepada kamu. 600 keping syiling emas. Pengurus, bawa 600 keping syiling emas ke mari," Pengurus manor Philip yang sejak tadi menunggu di luar bergegas membawa syiling emas itu kepadanya.
Enam guni syiling emas.
"600 syiling emas, Hogg. Kira jika kamu mahu," kata Philip sambil tersenyum.
Hogg menimbang angkut guni-guni itu. Berdasarkan berat setiap guni itu, Hogg yakin di dalamnya terdapat 600 keping syiling emas, di mana setiap guni berisi 100 keping syiling emas. Hogg tersenyum sambil mengangguk. "Philip, kamu mahu makan malam bersama kami?"
"Tidak mengapa, Hogg. Saya ada urusan lain di rumah." Philip ketawa.
Penjaga rumah Philip kemudiannya mengarahkan dua orang pahlawan yang berbadan sasa untuk mengangkat arca itu. Mereka mengalami kesukaran untuk membawanya.
Selepas Philip dan para pengiringnya berangkat pulang, Hogg merenung guni emas itu dengan wajah yang muram. Kali ini dia menjual arca. Lain kali apa pula? Sungguhpun masih banyak lagi barangan berharga di manor itu, lambat laun tiada apa yang tinggal.
"Ayah, saya mahu belajar menjadi pengukir!" tiba-tiba Linley berkata.
Linley tahu hasil karya pakar pengarca benua Yulan mencecah 10 ribu syiling emas setiap satu. Nilai sesetengah arca boleh mencecah 100 ribu keping syiling emas. Selain aspek kekayaan, kedudukan sosial mereka juga sangat tinggi.
'Jika aku menjadi pakar pengarca, Ayah… Ayah tak perlu menjual barangan keluarga kita lagi,' detik hati Linley.
"Mengarca?" Hogg memandang sekilas ke arah Linley, wajahnya sangat dingin.
"Linley, tahukah kamu dalam ratusan juta penduduk Kesatuan Suci, terdapat kira-kira sekurang-kurangnya beberapa juta orang yang mempelajari seni arca. Namun, jumlah pakar pengarca yang benar-benar mahir di Kesatuan Suci boleh dikira dengan sebelah tangan. Lagi pula, jika kamu tak mempunyai guru yang betul-betul mahir, kamu tak akan berjaya dengan sendiri."
"Golongan dalaman pengarca tak boleh disertai oleh orang biasa. Kamu hanya menyaksikan penilaian tinggi untuk karya pakar tapi tahukah kamu majoriti pengarca hanya mampu memperolehi beberapa dozen syiling emas pada setiap tahun?"
Keras sungguh nada Hogg.
Linley yang ketakutan terus melutut. Dia hanya berkata sedemikian kerana dia fikir pengarcaan dapat membantu meringankan beban kewangan keluarganya. Dia tidak menyangka bapanya akan berkhutbah panjang dan memarahinya.
"Sudah. Dewan pusaka perlu dibersihkan. Selepas makan tengah hari, kamu pergi bersihkan," ujar Hogg dengan nada yang dingin.
"Baik, Ayah," Linley menjawab dengan penuh hormat.
Melihat Linley, Hogg mengeluh di dalam hatinya. 'Pengarcaan? Anakku, tahukah kamu Ayah juga pernah belajar seni arca? Ayah menghabiskan 10 tahun mempelajarinya. Malangnya, hasil arca Ayah tak bernilai walaupun satu sen.' Hogg juga pernah memiliki impian sia-sia untuk menjadi pakar pengarca agar dia dapat membantu ekonomi puaknya suatu masa dahulu.
Di sudut hatinya, dia berasa sungguh tidak berdaya. Walaupun dia menghabiskan masa 10 tahun mempelajari seni arca, hasil arca buatannya tetap tiada nilai. Bidang pengarcaan ibarat sebuah piramid.
Pakar pengarca terkenal berada di tangga teratas piramid. Mereka menikmati status yang tinggi. Setiap hasil seni arca mereka bernilai ratusan dan ribuan syiling emas.
Namun, nilai arca yang dihasilkan pengarca kelas bawahan di tingkat piramid paling rendah ialah sangat rendah. Kebanyakan hasil seni arca mereka dibeli oleh orang biasa dengan nilai beberapa keping syiling perak untuk dijadikan hiasan rumah mereka.