Chereads / NAGA PUSAR / Chapter 11 - Tarian Ular Berapi (Bahagian 2)

Chapter 11 - Tarian Ular Berapi (Bahagian 2)

Ketujuh-tujuh ular berapi itu terbang dengan kelajuan yang sangat pantas dan setiap rumah-rumah batu berhampiran yang dilaluinya terbakar. Api menjulang ke langit umpama malapetaka. Melihatkan rumah mereka yang musnah dari jauh, penduduk pekan Wushan yang telah lama melarikan diri dan bersembunyi berasa sedih dan berdukacita.

Di hadapan tujuh ular gergasi tersebut, rumah batu mereka kelihatan seperti mainan. Rumah mereka dimusnah dengan mudah. Api yang menjilat bangunan rumah-rumah itu menjulang ke langit.

"Lari!" Pemanah wanita itu tidak lagi peduli dengan perkara lain. Dia mengarahkan griffin tunggangannya untuk terbang lebih tinggi.

Terdapat had terhadap jarak kawalan ahli sihir unsur api ke atas tujuh ekor ularnya. Jika pemanah itu berjaya dapat melepasi had tersebut, dia akan terselamat.

"Woooshhh." Dua ekor ular api mengelilingi dua orang ahli sihir wanita dan Lembu Besi Penghisap Darah. Bunyi daging bergemertak dan terbakar daging dengan serta-merta dapat didengari. Linley fikir dia terhidu bau rambut terbakar.

"Abang Kerry! Selamatkan kami!" Kedengaran laungan pilu dua ahli sihir wanita itu, penuh dengan kesakitan dari tengah lingkaran ular api tersebut.

"Dengus. Dengus." Mata Lembu Besi Penghisap Darah itu merah membara. Setiap ototnya menggeletar tanpa henti. Ia berterusan mengaum marah, mahu melepasi lingkaran ular berapi itu. Malangnya, kuasa halangan setiap ular terlalu hebat.

"Louisa!" Pahlawan berambut merah itu menjerit marah. Suaranya sungguh hiba.

Tidak lama selepas itu, kedua-dua wanita sihir dan Lembu Besi Penghisap Darah itu akhirnya menjadi abu. Pahlawan berambut merah tidak punyai masa untuk bersedih. Dia dan dua orang pahlawan lagi perlu berhadapan dengan ular berapi itu. Di hadapan ular berapi itu, mereka kelihatan seperti kanak-kanak yang tidak mampu untuk berlawan.

Mereka punya kuasa untuk memecahkan batu yang besar dengan sekali tumbukan tetapi apa gunanya sekarang? Apabila berhadapan dengan ular api yang besar, apa sahaja yang boleh mereka lakukan?

"Ahhhh!" Dikelilingi ular api yang besar, tiga pahlawan itu hanya mampu meraung terseksa.

Sebaik sahaja mereka menjerit, Qi-tempur mereka juga turut lenyap. Bunyi daging terbakar sekali lagi kedengaran. Otot-otot muka tiga pahlawan itu mengerenyet. Mata mereka terbeliak. Dalam sekelip mata, seluruh bulu yang terdapat pada badan mereka terbakar diikuti dengan kulit, daging dan juga tulang mereka. Tiada apa yang dapat bertahan dengan suhu tinggi ular api itu.

Dalam masa yang singkat, ketiga-tiga pahlawan itu akhirnya menjadi abu.

"Huff… Huff..."

Pemanah wanita itu rasa sukar untuk bernafas. Akhirnya dia berjaya melarikan diri keluar dari sempadan Tarian Ular Api itu.

"Luke, Louisa., Abang Kerry, aku akan menuntut bela atas kematian kamu. Aku pasti." Pemanah wanita itu menangis kepiluan sambil mengarahkan griffinnya terbang dengan lebih tinggi.

"Zzzzt!"

Satu kilat besar menyambar dari langit yang cerah tidak berawan, menyerang pemanah wanita yang tidak bersedia itu. Keseluruhan badannya terbakar menjadi abu sementara griffinnya juga turut hangus. Kedua-duanya jatuh dari langit, merempuh bumbung kayu dan memasuki sebuah rumah.

"Mahu melarikan diri?" Ahli sihir misteri itu mendengus dengan kuat.

Lebih seratus meter dari situ, Hillman menelan air liur. Hatinya diselubungi perasaan takut. "Dia bukan sahaja ahli sihir tahap kelapan tetapi dia juga merupakan ahli sihir dua unsur!"

'Mantera itu dipanggil Tarian Ular Berapi?' Linley yang masih berdiri di situ benar-benar kagum.

Ular-ular api gergasi dan api dahsyat yang dihasilkannya ialah kejutan terbesar dalam hidup Linley. Rupa setiap ekor ular itu sangat menggerunkan seperti rupa naga Veloci. Melihat ketujuh-tujuhnya pada masa yang sama? Ular-ular api itu malapetaka yang maha dahsyat. Rumah-rumah batu turut musnah dijilat apinya.

Dalam sekelip mata, empat orang pahlawan yang gagah perkasa, dua orang orang ahli sihir dan seorang pemanah serta dua ekor makhluk ajaib teman mereka binasa begitu sahaja kecuali griffin.

Ketujuh-tujuh ular berapi itu kini telah lenyap tetapi Linley masih dapat merasakan kehadiran dan getaran serta kuasanya dari kawasan tersebut. Seluruh medan pertempuran telah musnah. Yang tinggal hanyalah serpihan-serpihan halus. Semua serpihan tersebut menghasilkan bahang yang sangat panas, memberi kesaksian pertarungan dahsyat yang baru sahaja berlaku.

'He.. Hebat.'

Nafas Linley mulai stabil. Bayangan ketujuh-tujuh ular berapi itu bermain-main di mindanya. Ia muncul di medan pertempuran bersama kuasa yang membencanakan.

Jika dibandingkan dengan bayangan itu, naga Veloci tidaklah begitu mengagumkan.

Pandangan Linley tiba-tiba beralih ke arah ahli sihir yang duduk di belakang naga Veloci. Berdasarkan penampilannya, ahli sihir itu kelihatan kecil dan lemah.

'Ada… Adakah dia yang membaca mantera Tarian Ular berapi tadi?' sukar untuk Linley mempercayainya. Lelaki bersaiz lebih kecil daripada Pak Cik Hillman mampu membaca mantera sedahsyat itu.

Hati Linley tiba-tiba diselubungi ketakutan apabila dia merenung susuk tubuh di kejauhan sana.

'Inikah dia ahli sihir?' Buat pertama kalinya, konsep sebenar ahli sihir kini tercatat di mindanya.

Pada masa yang sama…

Linley tiba-tiba mempunyai keinginan yang besar untuk menjadi ahli sihir yang kuat.

'Jika suatu hari nanti saya mempunyai kuasa menyerang seperti itu…' Sewaktu membayangkan perkara itu, Linley merasakan darahnya meluap-luap. Dia sangat teruja.

Pada masa itu?

Linley sedar haluan yang mahu diambilnya pada masa hadapan.

Mengejar kemuncak kuasa.

"Ayah!" Ayah Linley, Hogg muncul. Sebagai pemerintah pekan Wushan, dia berasa sungguh tidak berdaya apabila melihat keadaan pekan yang habis musnah.

"Jangan buat sebarang bunyi." Hogg menyampaikan amaran itu kepada Linley dengan lirik matanya.

Hogg memandang ahli sihir itu. Hatinya dipenuhi dengan kekesalan. "Dia sebenarnya ahli sihir tahap kelapan. Dia juga merupakan ahli sihir dua unsur! Di seluruh kerajaan Fenlai, mungkin hanya segelintir sahaja yang lebih berkuasa daripadanya. Seseorang sehebatnya datang ke pekan kita…"

Ketika itu, satu-satunya harapan Hogg ialah ahli sihir misteri itu meninggalkan pekan Wushan dengan segera dan memberi peluang pekan Wushan untuk pulih seperti sediakala.

Ahli sihir misteri itu tiba-tiba melompat turun dari belakang naganya. Dia turun dari ketinggian dua tingkat hanya dengan sekali lompatan sahaja.

Melangkah ke arah abu pahlawan berambut merah itu, ahli sihir misteri itu melibaskan tangannya dan abu itu pun berterbangan. Berlian violet yang lut cahaya itu muncul. Ahli sihir misteri itu menggerakkan tangannya sekali dan berlian bebayang d'Bero berada dalam milikannya.

"Haha… Berlian bebayang d'Bero yang aku cari sejak 10 tahun yang lalu. Siapa sangka hari ini aku bercadang untuk melalui pekan ini dan secara tak sengaja berjumpa kamu? Haha... Heyman, kini aku telah miliki berlian ini. Sebaik sahaja aku memasangnya ke tongkat aku, aku ingin melihat bagaimana kamu dapat menentangku nanti. Haha..." Ahli sihir misteri itu ketawa terbahak-bahak.

Hogg dan penduduk yang memerhatikan dia dari jauh tidak berani bersuara. Mereka takut jika akan ahli sihir misteri itu marah.

"Pekan Wushan... Siapa yang memerintah pekan ini?" tiba-tiba ahli sihir itu bertanya.

"Ayah…" Linley terkejut.

Kali ini, Hogg tiada pilihan selain memberanikan diri dan tampil ke hadapan. Dengan penuh hormat, dia berkata, "Tuan ahli sihir yang gagah, sayalah pemerintah pekan ini."

"Oh." Wajah ahli sihir misteri itu masih lagi diselubungi jubah violetnya, menghalang orang lain daripada melihatnya. Dia lalu berkata, "Pekan kamu mengalami kemusnahan yang dahsyat hari ini. Saya telah bunuh kesemua ahli kumpulan pengembara tadi. Pada badan mereka, pasti ada banyak kepingan syiling emas. Tentu ada daripada syiling emas itu yang cair disebabkan tarian ular api saya tetapi ia masih mempunyai nilai. Kamu ambil saja. Anggap ia pampasan atas kerosakan yang dialami pekan ini."

Hogg berasa lega apabila mendengar kata-kata ahli sihir misteri itu.

Rasanya ahli sihir misteri itu tidak akan membunuh lagi.

"Saya, Hogg mewakili seluruh pekan Wushan, berterima kasih atas kebaikan Tuan Ahli Sihir." Hogg berkata sambil tunduk hormat.

Ahli sihir misteri itu mengangguk lalu berpaling dan menuju ke arah naganya. Naga Veloci itu merendahkan badannya, meregangkan kaki hadapannya. Ahli sihir itu naik ke atas kaki naga Veloci, berjalan dua langkah dan dengan mudah melompat ke belakang naga tersebut.

"Hum." Naga Veloci itu mendengus malas. Kelihatan dua asap putih dihembus dari lubang hidungnya.

Kemudian, naga Veloci itu mula berjalan. Langkahnya menggegarkan bumi. Melihat makhluk gergasi dan ahli sihir misteri di belakangnya melangkah pergi dan semakin menjauh, semua penduduk di pekan Wushan barulah dapat menarik nafas lega.