Chereads / NAGA PUSAR / Chapter 9 - Makhluk Ajaib - Naga Veloci (Bahagian 2)

Chapter 9 - Makhluk Ajaib - Naga Veloci (Bahagian 2)

"Kapten, apa yang berlaku di sana?" bisik Lorry kepada Hillman.

Hillman tersenyum nipis. "Nampaknya ahli sihir misteri itu sedang bertengkar dengan mereka. Kita perhatikan saja dari sini. Tak perlu masuk campur." Hillman sendiri cuma seorang pahlawan tahap keenam. Sebenarnya, dia pun tidak berani untuk campur tangan.

Dia tidak mampu melawan Naga Veloci itu, apalagi ahli sihir misteri tersebut.

Kekuatan ahli kumpulan lelaki dan wanita di hadapan ahli sihir itu juga tidak boleh dipandang rendah. Lima daripada mereka ialah pahlawan manakala dua orang lagi merupakan ahli sihir. Ketua mereka bertubuh sasa dengan rambut merah yang kusut. Dia menunggang seekor lembu jantan besi berwarna hitam pekat. Dua tanduk tajam lembu jantan itu kelihatan bergemerlapan di bawah sinaran cahaya, hitam dan boleh membawa maut.

Mata merah darah milik lembu jantan itu mendedahkan sifat sebenarnya - "Lembu Besi Penghisap Darah", sejenis makhluk ajaib tahap kelima.

Dengan sekali dengusan, asap mula keluar dari hidung lembu itu.

Daripada tujuh pahlawan itu, empat orang daripadanya lelaki manakala tiga lagi ialah wanita. Kedua-dua ahli sihir itu ialah wanita, sementara wanita ketiga itu pula seorang pemanah. Selain daripada Lembu Besi Penghisap Darah tadi, ada seekor griffin besar yang terapung di udara.

"Griffin"- makhluk ajaib tahap keempat!

Ia berkepala singa dan memiliki sepasang sayap yang besar dan kuat. Dengan ahli yang terdiri daripada dua ekor makhluk ajaib dan dua orang ahli sihir, sekumpulan pengembara itu bukan calang-calang orang.

"Wahai orang muda, lebih baik kamu serahkan berlian bebayang d'Bero." Lelaki misteri yang menunggang naga Veloci itu mengulang kata-katanya dengan suara dingin.

"Tuan Ahli Sihir, kami tak mahu bermusuh dengan kamu tetapi kami telah menghabiskan banyak masa dan usaha untuk mendapatkan berlian bebayang d'Bero ini. Nilainya mencecah 100 000 syiling emas tetapi kamu, Tuan Ahli Sihir, mahu membeli berlian ini dengan harga 700 syiling. Kami tidak dapat memenuhi permintaan Tuan," kata ketua mereka yang berambut merah itu dengan serius.

Setelah mendengar perbualan mereka, Linley yang berdiri di sebelah Hillman kini memahami apa yang berlaku.

Ahli sihir misteri itu berniat membeli berlian yang bernilai seratus ribu syiling emas dengan harga 700 syiling emas.

'Wah, harga berlian itu…" Linley sangat terkejut. "Harganya yang tinggi bermakna berlian bebayang d'Bero itu sangat penting. Jika tidak, pasti ahli sihir ini tidak akan sanggup merendahkan dirinya untuk membeli berlian tersebut secara paksa.'

Tawaran 700 syiling emas untuk sesuatu yang seratus ribu. Patutlah kumpulan kecil itu tidak mahu menerima tawaran tersebut.

"Hum," dengus ahli sihir misteri itu.

"Saya hanya ada 700 syiling emas. Buat masa ini saya masih sanggup membelanjakan wang untuk membeli berlian itu daripada kamu. Jika kamu tak mahu mengalah dan menerimanya, kamu tak akan dapat sekeping syiling emas sekalipun malah nyawa kamu akan turut melayang," tegas ahli sihir misteri itu.

"Grrr..."

Naga Veloci yang lebih tinggi daripada kebanyakan rumah di pekan itu menggeram dengan kuat menyebabkan rumah-rumah berhampiran bergegar.

"Kapten, kita telah mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkan berlian bebayang d'Bero ini. Mana mungkin dengan mudah kita meromok di hadapan lelaki ini dan menyerahkannaya?" kata seorang wanita berpakaian serba hitam dengan dingin. Sebagai kumpulan pengembara berpengalaman, mereka bertujuh sudah biasa bertarung dan tidak akan mudah menyerah kalah.

Kapten berambut merah itu dengan serius berkata, "Tuan Ahli Sihir yang dihormati, saya daripada puak Cayley dari kerajaan Fenlai…"

Kapten itu mahu menggunakan latar belakangnya untuk menundukkan lawannya.

Malangnya, ahli sihir yang berkuasa lazimnya bersifat eksentrik dan tidak peduli tentang keluarga bangsawan.

"Kamu semua telah memilih kematian." Ahli sihir itu menyeringai.

"Jaga-jaga." Sepantas kilat, ketujuh-tujuh ahli kumpulan itu meningkatkan kewaspadaan mereka. Empat orang pahlawan bertanggungjawab di bahagian hadapan, pemanah wanita di bahagian belakang pula mengeluarkan panahnya yang paling kukuh manakala dua orang ahli sihir wanita itu pula menyediakan mantera untuk digunakan.

"AUMMM!"

Naga Veloci gergasi itu membuka mulutnya dan bebola api besar yang dilepaskan keluar melalui taringnya menuju tepat ke arah kumpulan itu.

Apabila api itu menghampiri, jalan berbatu di bawahnya meleding, merekah dan berkecai akibat daripada bahang yang cukup panas. Seluruh jalan tersebut bertukar hitam.

"Jaga-jaga."

Ketua berambut merah itu mengingatkan anak buahnya. Badannya kini bermandikan Qi-tempur berwarna merah. Tiga pahlawan yang lain turut mengaktifkan Qi-tempur mereka.

Ketua berambut merah itu menggenggam pedang claymore bersaiz besar di kedua belah tangannya. Dia menghayunk ke arah dinding batu berhampiran dengan pantas. Berdentum dinding-dinding batu itu runtuh menghasilkan beratus-ratus ketulan batu yang bergolek ke lantai dan debu yang meletus ke luar.

Pada masa yang sama, api daripada naga Veloci menyelubungi keempat-empat lelaki itu. Mereka menggunakan Qi-tempur mereka untuk menentangnya.

"Hah!"

Lelaki berambut merah menendang batu besar yang panjangnya hampir setengah meter ke arah ahli sihir itu.

Ketiga-tiga pahlawan yang lain turut melakukan perkara yang sama. Mereka menendang batu-batu besar dengan kepantasan dan kekuatan seperti sebuah tarbil gergasi. Empat biji batu itu membelah udara berpecah dan menderu menuju ke arah ahli sihir yang sedang duduk di atas naga Veloci itu.

* Swish! Swish! Swish! *

Satu persatu batu itu bertalu-talu membedil ahli sihir itu. Dengan sekelip mata, semua batu daripada tembok yang runtuh tadi telah habis digunakan.

Linley yang melihat pertarungan itu dari jauh menggenggam erat penumbuknya.

'Sungguh menakjubkan. Mereka berani menggunakan kaki mereka menendang batu-batu besar itu.' Linley berasa sangat kagum melihat empat lelaki itu tidak henti-henti menendang batu-batu besar tadi. 'Sungguhpun begitu, naga Veloci itu lebih menakutkan!'

Linley memerhatikan naga itu mengibas ekor yang seakan-akan belati miliknya, menari-nari di hadapannya.

* Prap! Prap! Prap! Prap! *

Satu persatu batu-batu itu dipecahkan hingga berkecai. Tiada satu pun batu yang dapat menghampiri ahli sihir di belakang naga tersebut apalagi mencederakannya.

* Swoosh! * Tiada suatu pun yang dapat menghalang ekor naga Veloci itu. Panjangnya meliputi kawasan yang sangat besar. Apabila ia melalui sebuah rumah batu, ia akan membelahnya seolah-olah rumah itu diperbuat daripada lumpur. Batu-batu akan hancur dengan mudah. Satu persatu rumah di situ runtuh menyebabkan batu-batuan bergolek di sana sini. Seluruh kawasan itu diselubungi debu.

"Aummm!" Biarpun di tengah-tengah ribut debu, gegak-gempita ngauman naga itu masih dapat didengar. Ia memuntahkan bebola api dari mulutnya tanpa henti.

Sepanjang masa itu, dua ahli sihir wanita tadi menggumam mantera ajaib secara berterusan. Mantera sihir yang digunakan mereka berbeza dengan bahasa yang digunakan di benua Yulan. Ia sukar dan terlalu kompleks untuk disebut. Tidak lama selepas itu, mereka berdua selesai membaca mantera ajaib.

"Perisai Karapas Berais!"

Kedua-dua ahli sihir itu menjampi dengan suara yang rendah. Cahaya terang keluar dari badan mereka. Empat sinar cahaya melindungi empat pahlawan dengan perisai jernih lut cahaya.

Ketua berambut merah berasa gembira. Dengan adanya Perisai Karapas Berais digabung dengan Qi-tempurnya, dia kini lebih yakin dalam pertarungan ini.

"Serang!" arah pemimpin berambut merah itu.

Keempat-empat pahlawan itu melemparkan empat ketul batu pada masa yang sama, dengan serentak menyerang ahli sihir itu. Sejurus selepas itu, bagaikan anak panah yang dilepaskan dari busur, mereka meluru menuju ke arah naga Veloci.