"Institut Ernst merupakan akademi ahli sihir nombor satu di dunia. Semua graduan Institut Ernst sekurang-kurangnya ahli sihir tahap enam, dan ada ramai juga yang berada di tahap ketujuh! Sekiranya puak Baruch dapat menghasilkan ahli sihir tahap ketujuh, sekurang-kurangnya kita akan berpeluang untuk mendapatkan semula harta pusaka nenek moyang."
Semasa bercakap, Hogg memandang Linley dengan penuh minat.
Linley dapat merasakan harapan yang diletakkan Hogg ke atas dirinya.
"Harta pusaka nenek moyang kita. Kehilangan pusaka nenek moyang kita merupakan satu penghinaan yang harus kita bersihkan." Hati Linley semakin memberat.
Sebagai keturunan puak purba Berdarah Naga, dia berasa bangga dilahirkan dalam leluhur purba dan perkasa. Namun begitu, puak Pahlawan Berdarah Naga kehilangan harta pusaka moyangnya. Suatu yang memalukan! Hogg dan orang-orang tua yang telah meninggal dunia pasti berasa malu apabila memikirkannya.
Malangnya, keluarga yang mengumpul pedang perang 'Penyembelih' tentu bukan keluarga sembarangan, sementelah puak Baruch kini terlalu lemah.
'Ernst? Maharaja Suci dari Gereja Cahaya yang menjadi legenda?' Doehring Cowart di sebelahnya terkejut.
'Kenapa, Atuk Doehring?' Linley bertanya. 'Saya pasti ratusan juta rakyat daripada enam kerajaan dan lima belas duci Kesatuan Suci semuanya tahu tentang Maharaja Suci Gereja Cahaya yang menjadi legenda.' Linley juga mengetahui peristiwa serta sejarah legenda Maharaja Suci Ernst.
Beliau telah menaikkan nama Gereja Cahaya dan mencipta Kesatuan Suci seorang diri.
'Atuk tidak menyangka budak Erns itu akan mencipta pencapaian setinggi ini. Malah dia juga dinobatkan sebagai Maharaja Suci Gereja Cahaya yang menjadi legenda!' Doehring Cowart mengeluh.
'Atuk Doehring kenal Maharaja Suci Ernst?' Linley agak terkejut.
Tetapi kemudian Linley terfikir.
Benarlah. Suatu ketika dahulu, sewaktu Empayar Pouant masih bersatu, Gereja Cahaja, Kultus Bebayang termasuk Pavilion Dewa-Dewi mempunyai banyak gereja di dalam empayar tersebut. Tetapi kesemua gereja itu di bawah pemerintahan Empayar Pouant.
'Sudah tentulah. Ernst memang seorang genius yang berjaya mencapai tahap Dewa walaupun usianya baru lima puluh tahun. Tetapi semasa zaman Atuk, pencapaiannya itu dianggap agak lewat.' Doehring Cowart berkata dengan tenang.
Sewaktu Doehring Cowart masih hidup, Ernst masih lagi memperkembang dirinya. Apabila Ernst akhirnya mencapai tahap Dewa, Doehring Cowart sudah lama mencipta nama di puncak tertinggi di benua Yulan. Malah, dalam kalangan pahlawan tahap Dewa, Doehring Cowart dianggap salah seorang ahli sihir yang terhebat.
Status Doehring Cowart di dalam Empayar Pouant terlalu tinggi hingga Ernst sendiri tidak mampu mengatasinya.
Jika Ernst berselisih dengannya, beliau perlu menunduk hormat kepada Doehring Cowart.
'Atuk tidak menjangka selepas kematian Atuk, Ernst akan berkembang menjadi seorang yang mengagumkan.' Doehring Cowart ketawa.
Linley tidak dapat menyangkal rasa hormat yang mendalam terhadap Doehring Cowart daripada terbit di dalam hatinya. Seorang Ahli sihir Agung tahap Dewa Empayar Pouant, dan salah seorang yang berkuasa di benua Yulan. Dan kini, Doehring Cowart dengan cermat melatih dirinya tentang sihir. Bertuah sungguh Linley!
Sepanjang mereka makan malam, perbualan semasa ahli puak Baruch agak rancak.
"Linley, dalam masa seminggu, Ayah akan mengarahkan Pak Cik Hillman supaya menguruskan pemergian kamu ke Kota Fenlai dan menghadiri acara pengujian ahli sihir dan pengambilannya." Hogg tersenyum memandang Linley.
"Baiklah, Ayah."
Linley mengangguk.
"Tuan Muda Linley, saya yakin kamu akan terpilih dan diterima masuk ke akademi yang terbaik." Pak Cik Hiri ketawa kecil.
"Yang terbaik. Oh, yang terbaik!" Tangan kecil Wharton diselaputi minyak makanan, tetapi dia masih lagi tersenyum berseri sambil melambaikan tangannya yang berminyak.
Hogg senyum nipis sambil berkata, "Menjadi ahli sihir bukanlah perkara mudah. Mungkin hanya seorang daripada sepuluh ribu orang yang berbakat. Syarat kemasukan ke Institut Ernst lebih tinggi. Hanya mereka yang mempunyai bakat sihir yang sangat tinggi sahaja akan diterima. Jika Linley dapat menjadi ahli sihir, saya sudah berpuas hati tidak kiralah akademi mana yang menerimanya."
"Saya tidak akan menghampakan Ayah," ucap Linley dengan penuh keyakinan.
Kerana sebenarnya Linley, sudah pun menjadi ahli sihir tahap pertama.
…
Masa terus bergerak ke hadapan dan dalam sekelip mata tujuh hari telah berlalu.
Linley sedang berbaring di atas rumput berhampiran halaman belakang, sementara si Tikus Bebayang kecil sedang melompat-lompat di sekeliling Linley. Ia mendecit tanpa henti namun Linley tidak mengendahkannya.
Si Tikus Bebayang kecil membulatkan matanya, kemudian berdiri dengan kaki belakangnya sambil meletakkan kaki hadapan di atas badan Linley.
"Decittt." Tikus Bebayang itu melahirkan rasa kurang senangnya.
Linley mengusap kepala si Tikus Bebayang kecil itu. "Baiklah, berhenti berbuat kecoh. Esok, saya akan meninggalkan rumah untuk pergi ke ibu kota. Selepas acara pengambilan ahli sihir tamat, saya akan masuk ke dalam akademi. Saya bimbang kita tidak mempunyai peluang untuk bertemu lagi selepas itu."
Tidak mungkin dia boleh membawa si Tikus Bebayang kecil itu masuk ke akademi ahli sihir.
Tiada seorang pun pelajar akademi ahli sihir itu seorang yang biasa, dan ramai antara mereka merupakan ahli sihir yang kuat. Jika mereka menemui si Tikus Bebayang kecil itu, kemungkinan besar mereka akan menawan dan menjinakkannya. Ahli sihir tahap ketujuh dan kelapan juga ada di dalam akademi. Menangkap si Tikus Bebayang kecil bukanlah sesuatu yang sukar bagi mereka.
Lagipun, dia masih belum membina ikatan dengan si Tikus Bebayang kecil, jadi sesiapa sahaja boleh menawan dan menjinakkannya.
"Senguk, senguk..." Mendengarkan bicara Linley, si Tikus Bebayang kecil turut tersenguk-sengak dengan suara yang rendah.
"Kamu tidak faham pun apa yang saya katakan," Linley menggelengkan kepalanya.
"Saya tidak tahu berapa lama masa yang perlu saya habiskan di akademi ahli sihir atau berapa tahun saya akan berada di sana. Adakah kita akan berjumpa lagi?" Linley mengusap bulu si Tikus Bebayang kecil, bagaikan tidak mahu berpisah dengannya. Selepas sebulan bermain dengan si Tikus Bebayang kecil itu, dia benar-benar telah jatuh sayang kepadanya.
Si Tikus Bebayang kecil itu berasa seronok diusap begitu hingga matanya semakin mengecil sambil mendecit perlahan tanda berpuas hati.
…
Selepas makan tengah hari keesokan harinya, keluarga Baruch berkumpul di halaman hadapan.
Hogg berdiri di situ, tegak seperti tiang. Sambil merenung tepat ke mata Linley, dia berkata, "Linley, pekan Wushan terletak tidak jauh dari ibu kota, cuma dalam 90 kilometer. Kamu sepatutnya tiba di ibu kota sebelum malam berlabuh. Ingat, apabila kamu tiba di sana, jagalah kelakuan kamu. Terdapat ramai orang kaya dan berkuasa di ibu kota."
"Baik, Ayah." Linley berkata sambil menunduk hormat.
"Hillman, saya serahkan Linley dalam jagaan kamu." Hogg memandang Hillman yang berada berhampirannya.
Hillman senyum sambil berkata, "Tuan Hogg, jangan bimbang."
"Baiklah, kamu boleh bertolak sekarang." Hogg ketawa.
"Selamat tinggal, Ayah." Linley berkata penuh hormat dan kemudiannya melemparkan senyuman kepada si kecil Wharton. "Wharton, Abang pergi dulu, ya?"
Si kecil Wharton segera mengecilkan matanya ketika melihat Linley. "Selamat tinggal, Abang!"
Linley menoleh ke arah halaman belakang, sambil berfikir sendiri, 'Aku bimbang tiada siapa yang akan memberi daging kepadanya beberapa hari ini.' Hillman yang berada di sisinya berkata, "Linley, ayuh!"
"Baik, Pak Cik Hillman."
Linley berhenti memikirkannya dan segera menurut langkah Pak Cik Hillman keluar dari manor.
"Decit." Di atas bumbung ruang tamu manor puak Baruch, si Tikus Bebayang kecil memerhati Linley dan Hillman bertolak. Timbul pelbagai pertanyaan di minda si Tikus Bebayang kecil itu. Dari pandangan matanya, ini ialah waktu Linley memburu arnab liar. Mengapa dia membawa beg dan berlalu pergi dengan seseorang?
Si Tikus Bebayang kecil itu sangat menyukai Linley.
Sepanjang sebulan lepas, si Tikus Bebayang Kecil yang tidak mempunyai kawan itu benar-benar menganggap Linley sebagai keluarganya.
"Decit!"
Badan si Tikus Bebayang kecil itu meliuk-liuk dan dalam sekelip mata, ia lenyap dari cucur atap manor Baruch. Dalam dua atau tiga pergerakan, ia bergerak dan muncul semula di atas bumbung rumah seorang orang kampung, masih memerhatikan Linley dan Hillman. Ia mengekori Linley dari belakang dan akhirnya si Tikus Bebayang kecil itu meninggalkan pekan Wushan.