Bersebelahan dengan Banjaran Gunung Makhluk Ajaib terletak Kesatuan Suci dan Kesatuan Gelap. Dan kerajaan pusat Kesatuan Suci adalah kerajaan Fenlai!
Kota Fenlai pula ibu negara bagi kerajaan Fenlai.
Di samping itu, ia juga berfungsi sebagai 'Ibu Kota Suci' bagi Kesatuan Suci kerana Gereja Cahaja sendiri beribu pejabat di bahagian barat Kota Fenlai.
Seluruh Kota Fenlai dibahagi kepada dua bahagian; Kota Fenlai Timur dan Kota Fenlai Barat. Kota Fenlai Timur diperintah oleh Raja Fenlai sementara Kota Fenlai Barat diurus oleh Gereja Cahaya. Disebabkan Kota Fenlai ialah ibu negara kerajaan Fenlai dan juga kerajaan pusat Kesatuan Suci, kemewahan Kota Fenlai hanya mampu disaingi oleh beberapa kota di seluruh benua Yulan.
Wilayah Kota Fenlai sangat luas, dan terdapat lebih sejuta warga kota yang tinggal di kawasan tersebut. Ia dianggap sebagai salah sebuah daripada lima kota raya mega di benua Yulan.
Malam berlabuh, Linley dan Hillman baru sahaja memasuki Kota Fenlai.
"Wah."
Sebaik sahaja melalui Lebuh Pavilion Harum, jalan utama Kota Fenlai Timur, Linley terpesona. Si Tikus Bebayang kecil sudah diarahkan oleh Linley bersembunyi di dalam bajunya tetapi ia juga mengintai kawasan sekelilingnya, dan mula mendecit teruja.
Nasib baik seluruh jalan sibuk dengan pelbagai bunyi bising dan benda menjolok mata, jadi tiada sesiapa pun yang mendengar bunyi itu.
"Diam!" Linley dengan lembut menepuk si Tikus Bebayang kecil yang terus patuh dan diam. Akan tetapi melalui hubungan mental dengan Linley, ia berterusan menyatakan keterujaannya.
Seluruh Lebuh Pavilion Harum itu dibina daripada jubin batu kapur simetri, cukup luas untuk membolehkan beberapa kereta kuda untuk menyeberang serentak. Di setiap sisi jubin terdapat hotel, kedai menjual pakaian, kedai menjual senjata, kelab malam dan pelbagai tempat lain. Di samping itu, kedua-dua belah Lebuh Pavilion Harum dipenuhi dengan pepohon pain dan sipres.
Puan dan cik puan kaya masing-masing memakai pakaian baharu dan bergaya belaka, sedang berbual dan bertukar-tukar senyuman sambil berjalan di situ.
Melihatkan reaksi Linley, beberapa wanita bangsawan yang berdekatan ketawa tertahan-tahan sesama mereka sambil menunjuk ke arah Linley. Berdasarkan reaksi Linley, jelas sekali dia seperti rusa masuk kampung. Golongan bangsawan ibu kota memang bersikap meninggi diri terhadap orang kampung sepertinya.
"Hmph... Sungguh tak beradab." Linley berkerut, sungguh tidak berpuas hati melihat wanita-wanita bangsawan itu menunjuk ke arahnya dan mentertawakannya.
Dibesarkan dan diberi pendidikan oleh puaknya sejak dari kecil, Linley dengan segera dapat mengawal keterujaannya. Ekspresinya nampak tenang, sekurang-kurangnya dari segi luaran.
"Linley, apa pendapat kamu kepada Kota Fenlai? Ini kota terbesar Kesatuan Suci." Hillman berjalan seiringan Linley. Kadang kala dia terlihat beberapa orang pahlawan dan seorang dua orang ahli sihir melepasi mereka. Dia tidak dapat menahan keluhannya. "Linley, di Kota Fenlai, menjadi perkara biasa melihat ramai pahlawan perkasa dan ahli sihir yang mahir."
Linley ketawa sambil mengangguk. "Buku-buku ada menyatakan Kota Fenlai merupakan pusat politik, ekonomi dan budaya bagi keseluruhan Kesatuan Suci."
"Ini syurga bagi mereka yang kaya dan mempunyai status." Hillman mengganguk dan kemudiannya mengeluh.
Lebuh Pavilion Harum sibuk dengan pelbagai aktiviti, kereta-kereta kuda mewah kerap kali melaluinya. Setelah berjalan menyusuri Lebuh Pavilion Harum untuk beberapa lama, Hillman dan Linley menuju ke arah rumah tumpangan untuk bermalam.
Terdapat sebuah restoran kecil berhampiran rumah tumpangan tersebut, jadi Linley dan Hillman memutuskan untuk makan malam di situ.
Malam itu, di dalam rumah tumpangan.
Linley dan Hillman tidur dalam satu bilik. Terdapat dua buah katil di dalam bilik. Sebaik sahaja memasuki bilik, si Tikus Bebayang kecil, Bebe, cepat-cepat melompat keluar dari dalam baju Linley dan mengelilingi Linley sambil mendecit kuat.
"Saya tahu, saya tahu, kamu lapar. Makanlah." Linley mencampakkan seekor itik panggang yang dibelinya dari restoran tadi ke atas lantai dan Bebe dengan teruja berlari ke arah itik panggang tersebut dan mula mengunyah.
"Linley, kamu berehatlah awal. Esok pagi, kamu akan mengambil bahagian dalam acara pengujian ahli sihir dan pengambilannya," arah Hillman.
"Baiklah, Pak Cik Hillman." Linley berjalan ke tingkap berhampiran sambil bercakap dan membukanya.
Rumah tumpangan itu mempunyai tiga tingkat dan Linley menetap di tingkat tiga. Di Pekan Wushan, langsung tiada bangunan tiga tingkat tetapi di Kota Fenlai, ini merupakan pemandangan yang biasa. Malah, ibu kota ini juga mempunyai bangunan tujuh ke lapan tingkat.
Mengintai dari tingkap, Linley dapat melihat jalan-jalan masih lagi dipenuhi orang ramai.
'Wah! Sudah lama rasanya saya tak ke kota besar.' Cahaya samar-samar terpancar dari cincin Naga Pusar, bertukar menjadi lelaki tua berjanggut putih. Doehring Cowart dan Linley berdiri bersama-sama sambil kedua-duanya memandang memerhatikan jalan di bawah mereka.
"Atuk Doehring." Linley segera menyapa beliau.
"Linley, apa perasaan kamu berada di kota besar?" Doehring Cowart ketawa sambil bercakap.
"Biasa sahaja." Linley memuncungkan bibirnya.
Doehring Cowart mengeluh penuh emosi. "Kamu belum lama tiba ke sini. Kamu tak tahu bagaimana kota-kota besar seperti ini beroperasi. Tempat ini mempunyai banyak tempat mewah untuk membelanjakan wang seperti lelongan besar, di mana beberapa usahawan terulung sanggup menghabiskan lebih ratusan ribu syiling emas atau mungkin berjuta-juta syiling emas untuk membeli hanya satu item sahaja."
"Berjuta-juta syiling emas?" Tekak Linley terasa kering.
Besar sungguh nilainya. Barang milik keluarganya, jika ditambah semuanya, mungkin tidak akan mencapai sejuta syiling emas.
"Ada banyak keluarga kaya di sini. Wang, kuasa, kecantikan… pertarungan untuk memiliki semua itu sangat sengit di sini. Setiap hari, ada saja orang yang mati. Buruh-buruh kasar miskin Kota Fenlai kerap menemui mayat yang berkemungkinan dari keluarga bangsawan."
Doehring Cowart ketawa tenang. "Tetapi untuk bertahan dalam dunia seperti ini, kamu mestilah memiliki kuasa tersendiri."
"Jangan berharap untuk bergantung pada kemurahan hati orang lain. Semuanya bergantung kepada diri kamu, cukup hanya diri kamu sendiri." Deohring Cowart memandang Linley.
Sejujurnya, darah naga yang mengalir dalam tubuh Linley membuatnya dahagakan pertempuran dan darah.
"Jika ada sesiapa yang mengancam saya atau keluarga saya, saya akan bunuh mereka." Linley berkata dengan tegas. Setelah membaca pelbagai buku sejarah tentang kegemilangan dan kejatuhan keluarga bangsawan, Linley sangat jelas menunjukkan belas kasihan kepada musuh sama seperti tiada belas ehsan kepada diri sendiri.
Jika kamu melepaskan musuh, kemungkinan besar meraka akan datang dan membunuh keluarga kamu.
"Walau bagaimanapun, sekarang kuasa saya sangat lemah." Linley tidak dapat melupakan bagaimana wanita-wanita bangsawan itu memandang rendah terhadap dirinya sewaktu dia pertama kali masuk ke Kota Fenlai. Pada pandangan orang yang berstatus tinggi, dia cuma seorang budak kampung miskin.
Dengan senyuman tenang, Linley duduk di atas katil dan mulakan sesi bertafakur untuk mengumpul tenaga.
Sesi bertafakur merupakan cara yang baik untuk melatih tenaga spiritual seseorang. Ia berfungsi dengan cara menggunakan pelbagai kaedah untuk menghabiskan tenaga spiritual seseorang hingga mencapai tahap minima kemudian menggunakan rehat sebagai proses pemulihan!
Di dalam pusat tenaga dada...
Jerebu berkabus berwarna tanah berhembus di dalam pusat tenaga. Jerebu berkabus ini merupakan daya sihir diperolehi daripada intipati unsur tanah semula jadi. Berdasarkan ajaran Doehring Cowart, daripada tahap pertama sehingga keenam, daya sihir muncul dalam bentuk jerebu. Apabila kuasa ahli sihir berkembang, kualiti daya sihir mereka akan meningkat dan begitu juga dengan kepadatannya.
Sebaik sahaja mencapai tahap ketujuh, daya sihir seseorang ahli sihir akan bertukar kepada bentuk cecair.
Oleh hal demikian, antara tahap keenam dan ketujuh, terdapat lonjakan besar yang harus dilakukan!
'Budak Linley ini seorang yang sangat rajin. Waktu sudah malam tetapi dia masih lagi berlatih tenaga mentalnya.' Melihatkan Linley duduk bersila dengan mata yang terpejam, Hillman diam-diam memujinya. Tenaga mental amat penting bagi kedua-dua ahli sihir dan pahlawan!
…
Awal pagi keesokannya, di Lebuh Daun Hijau Kota Fenlai Timur, salah sebuah laluan utama Kota Fenlai, bangunannya dibina di setiap sisi jalan dibina dan dihias mewah. Sesetengah bangunan ini ialah milik kerajaan. Dan bangunan yang paling tinggi? Adalah Katedral Gereja Cahaya.
Gereja Cahaya mengawal seluruh Kesatuan Suci, yang merangkumi tujuh kerajaan dan lima belas duci.
Maharaja Suci Gereja Cahaya mempunyai status yang sangat tinggi. Baginda mempunyai kuasa untuk memecat mana-mana raja dari mana-mana kerajaan! Sebab itulah di Kota Fenlai, bangunan yang paling tinggi merupakan Katedral Gereja Cahaya.
Pagi itu, ramai orang berkumpul di laluan masuk Katedral Gereja Cahaya. Sebahagian besar orang yang berkumpul di situ ialah golongan bangsawan yang berpakaian mewah. Banyak kereta-kereta kuda memenuhi perkarangan Gereja Cahaya dan ramai bangsawan berbual-bual antara satu sama lain.
Linley dan Hillman juga sudah tiba di sana.
"Pak Cik Hillman, ramainya orang di sini hari ini. Ramai golongan bangsawan membawa anak mereka bersama." Linley ketawa ke arah Himan. Pada masa ini, si Tikus Bebayang kecil, Bebe sedang bersembunyi di dalam baju Linley, ada kalanya mengintai untuk melihat kawasan sekelilingnya.
Hillman ketawa tenang. "Golongan bangsawan? Setiap pelajar di Institut Ernst dengan mudah diangkat sebagai earl di mana-mana kerajaan."
"Seorang earl di mana-mana kerajaan?" Linley segera faham.
Tidaklah sukar untuk mendapatkan gelaran bangsawan di mana-mana kerajaan tetapi untuk menjadi bangsawan empayar amatlah sukar. Lagipun, mana-mana empayar daripada empat empayar terbesar menyamai seluruh Kesatuan Suci. Kerajaan Fenlai tidak dapat menyaingi mereka.
"Oh, Lord Doyle (Dao'er), kamu juga datang?"
"Eber (Xi'bo), saya berada di sini tentulah kerana anak saya. Hess (He'si), mari perkenalkan diri Pak Cik Eber."
Tidak jauh dari situ, terdapat sekumpulan bangsawan yang sedang berbual sesama mereka. Yuran bagi acara pengujian ahli sihir dan pengambilannya adalah sebanyak sepuluh syiling emas. Dan jika diterima masuk ke dalam akademi ahli sihir, yurannya pula adalah lebih tinggi. Kebanyakan akademi ahli sihir mengenakan bayaran sebanyak beribu-ribu syiling emas pada setiap tahun! Keluarga biasa tentu tidak mampu untuk membayar yuran tersebut. Tetapi jika anak mereka dipilih, selalunya akan ada golongan bangsawan yang akan menjadi penaung untuk membayar yuran mereka.
Bagaimanapun begitu, tidak semua akademi ahli sihir mengenakan yuran yang tinggi.
Contohnya, akademi ahli sihir nombor satu, Institut Ernst. Disebabkan mereka mengambil pelajar dalam jumlah yang sedikit, mana-mana pelajar yang datang dari Kesatuan Suci tidak perlu membayar yuran langsung! Sudah tentulah, mereka yang diterima masuk ialah orang-orang genius. Pada masa akan datang, kemungkinan mereka tidak terbatas.
"Hmph. Orang kebanyakan dan orang kampung pun datang. Agaknya mereka ini cuma berangan-angan?" Sekumpulan bangsawan jauh di sana ketawa.
Terdapat beberapa orang biasa dalam kalangan mereka yang berkumpul di dataran dan terdapat juga golongan bangsawan desa seperti Linley. Lazimnya, golongan bangsawan yang datang dari desa juga dipandang rendah. Bangsawan di ibu kota sangatlah sombong dan sering memandang rendah terhadap orang lain.
"Linley, jangan pedulikan mereka." Hillman berkata dengan suara yang rendah.
Sekilas pandang ke arah sekumpulan bangsawan itu, Linley ketawa perlahan. "Pak Cik Hillman, saya langsung tidak kisah akan golongan seperti mereka." Di bawah tunjuk ajar bapanya, Hogg, Linley tidak peduli akan golongan bangsawan yang mementingkan diri dan sombong seperti itu.
Seluruh kawasan dataran jelas disempadankan kepada dua golongan. Golongan bangsawan yang sedang bersembang dan satu lagi terdiri daripada golongan orang biasa serta golongan bangsawan dari desa.
Pada ketika itu, dua pahlawan berperisai berdiri di hadapan Katedral Cahaya, menghalang semua jalan masuk.
Agak lama kemudian, seorang pegawai berjubah hitam melangkah keluar dari pintu katedral. Berhenti di hadapan pintu, dia tersenyum sambil berkata dengan nada yang ceria, "Upacara penilaian sihir akan bermula. Semua perekrut dari pelbagai akademi ahli sihir juga sudah turut bersedia. Semua yang datang untuk mengambil bahagian dalam ujian ini, sila ikut saya ke dewan utama."