Tang Rou masih seorang pemain baru, jadi pastilah dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan Ye Xiu itu. Chen Guo pula hanya arif tentang kelas 'Launcher'. Walaupun dia banyak menonton video 'Battle Mage', dia tidak pernah menyelidik tentang kelas itu secara mendalam. Baru hari ini dia melayari internet dan mencari panduan tentang kelas itu. Pencariannya bergantung pada kata kunci 'Battle Mage' dan penulisnya sama ada Ye Qiu ataupun One Autumn Leaf. Dia telah memilih panduan yang difikirkan sesuai untuknya, tanpa berfikir terlalu banyak. Tetapi mereka baru bermula di mukasurat pertama dan Ye Xiu sudah memberitahu yang panduan itu sudah ketinggalan zaman!
9 tahun telah berlalu. Entah berapa banyak kali Glory telah berubah, dan pastilah banyak kelas watak telah berubah sama. Kalau tidak ada perubahan sepanjang tempoh 9 tahun, Glory tidak akan menjadi permainan yang sepopular sekarang.
"Betul ke apa yang kamu katakan itu?" tanya Chen Guo pada Ye Xiu.
"Betul!"
"Empat tempat yang mana maksud kamu?" tanya Tang Rou.
"Apa kata kamu berdua pergi makan malam dulu. Saya akan betulkan panduan itu untuk kamu," kata Ye Xiu.
Di antara mereka berdua, salah seorang sememangnya taksub dengan Glory, seorang lagi pula cuba untuk mendalaminya. Mereka telah menyelidik tentang Battle Mage bersama-sama sehingga terlupa untuk makan. Apabila Ye Xiu menyebut tentang makan malam, barulah mereka terasa lapar.
"Jadi, kita pergi makan dulu?" tanya Chen Guo pada Tang Rou.
"Okay. Minta maaf menyusahkan kamu," jawapan Tang Rou itu ditujukan pada Ye Xiu.
"Pergi, pergi!" Ye Xiu menghalau mereka berdua. Tidak lama selepas mereka duduk, Chen Guo berkata: "Kenapa makan malam hari ini mewah sangat? Siapa yang pesan?"
Rupa-rupanya Ye Xiu yang memesan makanan mewah untuk mereka. Chen Guo berkata: "Nampaknya dia memang tahu macam mana nak mengambil hati orang,"
"Ha ha!" Tang Rou ketawa.
"Kamu tak rasa susah hati ke, kalah berturut-turut?" Chen Guo berasakan yang Tang Rou tidak kisah kehilangan wang sebanyak 1100 yuan miliknya. Dia sudah bekerja selama dua tahun di kafe internet milik Chen Guo ini, dan Chen Guo memang ingin memberikannya gaji yang tinggi. Tetapi, Tang Rou tidak mempunyai tugas yang berbeza berbanding pekerja lain. Apa sangatlah yang boleh dilakukannya? Dia hanya boleh menjaga meja penyambut tetamu. Jadi, gajinya tidak boleh terlalu tinggi. Wang sebanyak 1100 yuan bukanlah jumlah yang kecil buat Tang Rou, tetapi nampaknya dia tidak kisah pun. Sifatnya memang berbeza dengan Chen Guo.
Disebabkan oleh populariti kafe internet milik Chen Guo, paling sedikit pun dia akan mendapat keuntungan sebanyak 100 ke 200 ribu yuan setiap bulan. Seribu yuan tidak banyak baginya. Tetapi, Chen Guo sedar yang bukan mudah baginya untuk sampai ke tahap ini. Disebabkan itu, dia tidak suka membazirkan wang. Melihatkan Tang Rou hilang seribu yuan dalam pertarungannya dengan Ye Xiu telah membuatkannya sangat sakit hati.
"Saya tak kisah!" kata Tang Rou.
"Kamu dah kehilangan banyak duit. Kamu nak makan apa bulan ni?" tanya Chen Guo.
"Kakak kan bertugas untuk beri kami makan?" Tang Rou tersenyum.
Chen Guo tidak terkata-kata. Janjinya untuk memberikan makanan dan tempat tinggal kepada para pekerja telah mengakibatkan ramai pekerjanya membelanjakan wang sehingga habis sebelum hujung bulan tiba.
"Cepat makan. Lepas makan nanti, kita tengok apa yang Ye Xiu dah buat," kata Chen Guo.
Sementara itu, Ye Xiu segera mengemaskini bahagian panduan yang sudah lapuk. Kemudian, dia melihat pada bahan rujukan yang dikumpulkan oleh Chen Guo buat Tang Rou. Nampaknya, Chen Guo hanya memilih panduan yang ditulis oleh Ye Qiu ataupun One Autumn Leaf sahaja. Ye Xiu tidak tahu dia harus ketawa ataupun menangis. Dia memadam apa yang tidak diperlukan, diulang-ulang ataupun yang sudah ketinggalan zaman. Dia kemudian menambah maklumat yang penting dan memperbaiki apa yang patut. Sedang dia sibuk melakukan kerjanya, Chen Guo dan Tang Rou kembali. Chen Guo melihat Ye Xiu memberikan sekilas pandangan terhadap panduan yang telah dicarinya dengan susah payah dan membuangnya ke dalam tong sampah!
"Apa kamu buat tu?" tanya Chen Guo dengan garang.
"Ada banyak maklumat yang diulang-ulang dalam panduan yang kamu kumpulkan. Saya sedang membantu kamu untuk mengemaskannya," kata Ye Xiu.
"Betul ke?" Chen Guo tidak percaya. Walaupun Ye Xiu selalu membuatkan dia marah, Chen Guo terpaksa mengakui kemahirannya bermain Glory. Ye Xiu memang jauh lebih handal daripadanya.
"Kamu pasti ke? Semua panduan itu ditulis oleh Dewa Ye Qiu!" kata Chen Guo.
"Saya pasti. Saya juga pasti yang dia akan berterima kasih kerana memberikan saya peluang untuk mengemaskini semua panduan ini," kata Ye Xiu.
"Biar saya tengok panduan yang kamu buang tadi," kata Chen Guo.
"Kalau kamu boleh faham, silakan!" Ye Xiu ketawa.
Chen Guo bertukar muram. Dia memang tidak pernah bermain kelas Battle Mage. Dia hanya mempunyai pengetahuan yang sedikit sahaja tentang kandungan panduan itu. Tang Rou harus bergantung pada dirinya sendiri jika dia hendak maju dengan lebih pesat, fikir Chen Guo.
"Ye Xiu, kamu betul-betul boleh mengajar ke?" tanya Chen Guo.
"Boleh,"
"Kamu tahu semua tentang Battle Mage?"
"Semua saya tahu!"
"Kamu tak takut adik Tang akan tewaskan kamu lepas kamu ajar dia?"
"Ha ha ha ha!" Ye Xiu ketawa. "Tak mungkin semudah itu. Tok guru boleh membuka jalan, tetapi tergantung pada anak muridnya hendak belajar sebanyak mana. Kamu tak pernah dengar ke kata-kata ini? Teorinya semua sama, tapi sama ada kamu boleh belajar ataupun tidak, itu semua tergantung pada diri kamu sendiri. Kalau saya tak mengajar pun, kan semua panduan ini dipertontonkan kepada orang ramai. Kalau kamu luangkan masa, kamu pasti boleh mempelajarinya. Cuma, tunjuk ajar saya akan banyak menjimatkan masa kamu,"
"Ada betulnya kata kamu itu. Biar saya tanya kamu sesuatu, jika kamu hendak meningkatkan kelajuan tangan kamu, apa yang patut dilakukan?" tanya Chen Guo.
"Kelajuan tangan keseluruhan ataupun kelajuan tangan efektif?" tanya Ye Xiu.
"Sudah tentulah kelajuan tangan efektif," kata Chen Guo. Kelajuan tangan keseluruhan bermaksud berapa pantas seseorang boleh menekan papan kekunci dan mengetik tetikus dengan mata tertutup. Dalam pertarungan sebenar, kelajuan tangan semata-mata tidak penting langsung. Apa yang penting ialah kelajuan tangan efektif, iaitu kelajuan tangan yang berkaitan dengan aksi yang dilakukan dalam pertarungan.
Ye Xiu mencapai dalam poketnya. Dia mengeluarkan sesuatu dan memberikannya pada Chen Guo: "Cuba main benda ni,"
"Apa benda ni?" tanya Chen Guo sambil melihatnya. Rupanya ia sebuah papan plastik sebesar tapak tangan. Terdapat 10 kepala tikus pada papan itu. Ia permainan 'whack-a-mole' mini.
Chen Guo mula naik marah lagi. Dia nak bergurau dengan saya ke? Fikirnya dalam hati.
Ye Xiu memalingkan kepalanya dan berkata: "Cubalah!"
"Cuba apa?"
"Suis kuasa ada di bawah papan itu. Kamu boleh tukar tahap kesukaran. Cuba pada tahap paling mudah dulu. Saya sudah ubahsuai permainan itu, saya janji kamu akan menyukainya," kata Ye Xiu.
Chen Guo masih tidak percaya. Dia menghidupkan permainan itu dan kepala sepuluh ekor tikus itu bercahaya. Chen Guo pernah bermain permainan seperti ini suatu masa dahulu. Dia harus menekan mana-mana kepala tikus yang bercahaya. Tetapi permainan yang diberikan Ye Xiu ini lebih laju daripada apa yang dimainkannya sebelum ini. Chen Guo cuba untuk mengejar kepala-kepala yang bercahaya dan menekan-nekan dengan liar. Tak sampai sepuluh saat, kesemua kepala tikus itu telah bercahaya. Mereka mengeluarkan bunyi ketawa, seolah-olah mengejek Chen Guo. Permainan telah tamat.
"120 APM!" Ye Xiu ketawa.
Chen Guo bingung.
"Pemain dengan APM sebanyak 120 takkan mampu bertahan lebih dari 5 saat dalam permainan ringkas ini. Pergilah berlatih lagi. Ia akan membantu kepantasan reaksi kamu," kata Ye Xiu. "Jika kepantasan kamu tidak meningkat, ia disebabkan kamu gagal memberikan bertindakbalas dalam tempoh yang ditetapkan."