Thousand Creations pemain daripada Persatuan Blue Brook. Walaupun dia telah dimalukan oleh Ye Xiu, dia dianggap sebagai seorang jaguh handalan di antara kesemua pemain. Kekuatannya tidak kurang berbanding dengan Lima Jaguh Terulung di dalam persatuannya.
Untuk menjadi seorang pemain yang setaraf dengan Lima Jaguh Terulung, seorang pemain perlulah mempunyai kekuatan yang menakjubkan. Mereka juga perlu menjadi popular. Apabila mereka mempunyai ramai penyokong, terbentuklah Lima Jaguh Terulung. Tetapi Thousand Creations pula, dia memang popular, tetapi popular kerana sebab yang buruk: dia suka mencuri bunuh.
Persatuan Blue Brook salah satu daripada Tiga Persatuan Utama. Disebabkan ini, mereka meletakkan harapan dan standard yang tinggi untuk setiap ahli mereka. Kelakuan mencuri bunuh dilarang sama sekali oleh persatuan kerana ia perbuatan keji dan tidak bermoral.
Malangnya, Thousand Creations mempunyai hobi sebegini. Jika bukan disebabkan oleh kemahirannya sebagai seorang jaguh handalan yang jarang dijumpai, Persatuan Blue Brook pasti sudah lama menyingkirkannya. Tetapi pada akhirnya, mereka rela menutup sebelah mata asalkan tidak kehilangan bakat seperti Thousand Creations. Mereka bertuah kerana Thousand Creations juga pandai menyembunyikan perbuatannya. Setiap kali dia melakukan perbuatan keji itu, dia tidak akan meletakkan nama persatuannya supaya pemain yang dibulinya tidak akan berdendam dengan Persatuan Blue Brook.
Sewaktu server kesepuluh dibuka, tidak ada pemain dari Persatuan Blue Brook yang menyedari Thousand Creations telah mencipta akaun baru untuk membuli pemain-pemain di server ini. Sungguh Thousand Creations belum pernah menyebabkan masalah besar lagi, perangai buruknya itu seperti bom jangka masa yang akan meletus bila-bila sahaja. Ketua Persatuan Blue Brook berasa lega atas keputusannya ini, dan dengan rela hati menghantar Thousand Creations ke server kesepuluh untuk diuruskan oleh Blue River.
Blue River menangis mendengarkan keputusan ini! Sudah tentulah perangai buruk Thousand Creations akan lebih terserlah di dalam server baru yang kebanyakan pemainnya akan sibuk membunuh raksasa untuk menaikkan tahap. Bom jangka masa ini mempunyai kadar yang tinggi untuk meletup!
Nasib baik, server baru ini penuh dengan pemain yang gemar mencuri bunuh. Perbuatan buruk Thousand Creations itu belum disedari lagi. Blue River merancang untuk memasukkan Thousand Creations di dalam kumpulannya supaya dia dapat mengawasi perbuatannya dengan teliti dan mengurangkan perangai buruknya itu.
Tetapi pada akhirnya, bom jangka masa itu sudah pun meletup pada hari kedua. Bukan sahaja ia meletup, tetapi ia meletup pada bakat yang paling penting dalam pandangan mereka, Lord Grim!
Blue Grim berasa cukup marah. Persatuannya telah memberikan peringatan berulang kali yang bakat Lord Grim ini harus dimenangi. Jika ada ahli persatuan yang terserempak dengan Lord Grim, mereka harus mencuba untuk berkawan dengannya. Thousand Creations sepatutnya telah membaca mesej itu, tetapi cara dia berkawan ialah dengan mencuri bunuh? Apa ke jadahnya?
Blue River sedar yang dia harus memperbaiki keadaan. Dia tidak boleh menyembunyikan hakikat yang Thousand Creations salah seorang ahli Persatuan Blue Brook. Jika dia berpura-pura tidak mengenalinya, bagaimana dia hendak menjelaskan keadaan jika satu hari nanti Lord Grim bersetuju untuk menyertai mereka?
Blue River berlari ke arah Lord Grim. Dia ketawa dan berkata: "Eh kebetulan! Abang pun ada di sini juga?"
"Saya tengah menaikkan tahap!" jawab Ye Xiu.
"Ha ha. Jangan pedulikan si bodoh Thousand Creations itu. Dalam dua hari yang lepas, semua orang dalam persatuan kita bercakap dan memuji abang tak henti-henti. Si bodoh itu mungkin tak puas hati, jadi dia sengaja mencari abang untuk membuat kacau," jelas Blue River.
Blue River telah mengawal keadaan dengan baik sekali. Mulanya, dia menutup niat Thousand Creation untuk mencuri bunuh. Dia mengatakan yang Thousand Creations cemburu dengan Lord Grim yang kuat dan terkenal, kerana itulah dia sengaja mencari pasal. Pada masa yang sama, dia menunjukkan yang persatuannya cukup mengagumi Lord Grim. Dia telah mengampunya tanpa sedar.
Malanya, Ye Xiu telah tahu akan niat Thousand Creations dari awal lagi. Selepas itu, dia mencabar Lord Grim pula. Syukurlah Ye Xiu tidak berminat hendak melibatkan diri dalam perkara kecil seperti ini, jadi dia hanya menjawab: "Budak itu agak nakal!"
"Betul, betul! Tengok, dia siap lari lagi, takut saya marah dia," kata Blue River. Jika ahli yang mencari pasal dengan Ye Xiu itu orang lain dan bukannya Thousand Creations, Blue River akan mengarahkannya untuk datang dan meminta ampun. Tetapi disebabkan ini Thousand Creations, seorang yang berkepala batu dan degil, tidak ada gunanya dia berbuat demikian.
"Um, abang nak menaikkan tahap dengan kami tak?" tanya Blue River.
"Tak payah, saya sendiri dah cukup," kata Ye Xiu.
"Sebenarnya, kami bukan datang nak menaikkan tahap," kata Blue River.
Senja semakin menjelang. Tak mungkin Blue River dan rakan-rakannya masih mempunyai kredit untuk memasuki 'dungeon' Laman Tulang lagi. Jadi, jika mereka bukannya datang untuk menyelesaikan 'dungeon' atau menaikkan tahap, mungkinkah….
"Kami datang untuk Blood Gunner Yagg," jawab Blue River.
"Memang betul sangkaan saya!" kata Ye Xiu dalam hatinya.
Blood Gunner Yagg ialah boss liar Laman Tulang.
Bos liar lebih berharga daripada bos tersembunyi kerana ia hanya akan muncul sebanyak 3 kali dalam seminggu.
Bos liar turut mempunyai papan pendahulunya sendiri. Ada 'first clear' dan juga jumlah pembunuhan. 'First clear' hanya akan diberikan kepada satu kumpulan sahaja, manakala jumlah pembunuhan sama seperti 'clear record'. Papan pendahulu akan menunjukkan tiga tempat pertama.
Pada waktu ini, masih belum ada bos liar yang dibunuh di server kesepuluh. Pada tahap kebanyakan pemain sekarang, cuma ada dua bos liar yang boleh dicabar. Mereka adalah Blood Gunner Yagg di Laman Tulang dan satu lagi adalah Goblin Merchant Lorraine di Hutan Fros. Tidak ada bos liar di Beginner's Village.
Ye Xiu turut berminat untuk mencabar bos liar, tetapi dia tidak boleh melakukannya seorang diri. Perkara paling penting yang harus diketahui apabila mencabar bos liar…...bos itu harus dicuri bunuh! Walaupun bos liar teramat kuat, apa yang lebih bahaya ialah para pemain yang turut sama mencuba untuk membunuhnya. Keadaan akan menjadi huru-hara apabila kesemua pemain mencuba beramai-ramai untuk membunuh bos liar itu, dan hanya pemain yang melakukan pukulan terakhir akan mendapat ganjaran.
Walaupun Ye Xiu mempunyai kemahiran dan kekuatan untuk menewaskan bos itu, mustahil baginya untuk mencuri bunuh apabila berhadapan dengan seluruh persatuan serentak. Tambahan pula, bos liar mempunyai jumlah nyawa yang jauh lebih tinggi berbanding bos-bos biasa. Para pemain memerlukan masa yang panjang untuk membunuhnya. Tak kira sekuat manapun seorang pemain, mustahil baginya untuk melakukan jumlah 'damage' setinggi seluruh persatuan yang menyerang serentak.
"Abang berminat tak nak melihat keadaan?" tanya Blue River.
"Boleh juga!" Ye Xiu bersetuju.
Blue River ketawa dan menghantar jemputan kumpulan.
Setelah Lord Grim menyertai kumpulan mereka, Blue River berkata dengan nada kesal: "Kalau saya tahu awal-awal, kan lagi baik kalau abang tak tinggalkan persatuan kami,"
Dalam dunia Glory, seorang pemain perlu menunggu selama lima hari untuk menyertai persatuan baru selepas membuat keputusan untuk meninggalkan sesebuah persatuan.