Chereads / Avatar Raja / Chapter 61 - Hunting Yagg (1)

Chapter 61 - Hunting Yagg (1)

Dalam dunia Glory, had pemain untuk setiap kumpulan ialah 10 orang.

Setelah Ye Xiu menyertai kumpulan Blue River, dia menyedari terdapat tepat-tepat 10 orang dalam kumpulan ini. Dia mengenali kebanyakan daripadanya: Blue River, Bound Boat, Flower Lantern, Thundering Light, Lunar Grace, Returning Cloud. Mereka semua turut mengenalinya, jadi satu-persatu mereka memberikan salam. Dia tidak pernah melihat tiga orang: Blowing Clouds, seorang pemain kelas Spitfire, Endless Flow, pemain kelas Launcher and seorang yang menggunakan nama yang agak lucah, Groping Haven, seorang pemain kelas Cleric.

Blue River memperkenalkan mereka satu demi satu. Terdapat dua lagi kumpulan yang berjumlah 20 orang kesemuanya, tetapi Blue River tidak mempedulikan mereka. Sebenarnya, 10 orang sudah cukup untuk membunuh Blood Gunner Yagg, tetapi mereka sengaja membawa lebih ramai orang demi meningkatkan peluang mereka untuk mencuri bunuh bos liar itu. Persatuan Blue Brook membawa kesemua jaguh handalan mereka untuk pertarungan ini. Kesemua 30 pemain tersenarai dalam papan pendahulu server kesepuluh ini.

Ye Xiu bertanya: "Adakah saya mengambil alih posisi Thousand Creations?"

Blue River terkejut. Dia tidak menyangka Ye Xiu memberikan perhatian terhadap perkara ini. Benar sekali sangkaan Ye Xiu itu. Thousand Creations sebahagian daripada rancangan Blue River untuk membunuh Blood Gunner Yagg, tetapi memandangkan dia telah mencari pasal dengan Lord Grim….. Blue River memutuskan untuk berkata: "Jangan pedulikan dia. Kita buat hal kita sendiri saja,"

"Bila Blood Gunner Yagg muncul?" tanya Ye Xiu pada Blue River.

"Kita terima maklumat itu 5 minit lepas, jadi kami segera kumpulkan semua pemain handalan. Selepas semua orang sudah tiba, kami bergegas datang," jawab Blue River.

"Perlu ke kita bawa orang seramai ini?" Ye Xiu ketawa. Biarpun untuk tujuan mencuri bunuh, mereka tidak perlukan pemain seramai ini. Dengan begitu ramai pemain mengerumuni sasaran, ada pemain yang tidak akan mendapat ruang untuk mengenakan pukulan pada bos tersebut pun.

"Perlu, untuk kita mengelakkan sebarang masalah!" jawab Blue River.

Ye Xiu tahu yang 'masalah' itu bukanlah berpunca daripada serangan bos liar, tetapi untuk melindungi ahli persatuan mereka daripada gangguan pemain persatuan lain.

"Memandangkan kita sudah menerima maklumat, saya pasti Herb Garden dan Tyrannical Ambition turut menerima maklumat yang sama," kata Blue River. Selain daripada berebut rekod 'dungeon', Tiga Persatuan Utama turut memberikan perhatian kepada rekod bos liar. Persatuan masing-masing telah memberikan peringatan tentang betapa pentingnya rekod bos liar sejak awal lagi.

"Mereka sudahpun tiba," Ye Xiu memandang ke arah kiri dan kanannya. Dia melihat sekelompok pemain bergegas datang, tidak jauh dari arah mereka. Mereka menuju ke arah yang sama dengan para pemain Persatuan Blue Brook.

"Jahanam!" Blue River menyedarinya juga. Dia mengenalpasti nama-nama mereka. "Nampaknya mereka itu dari Herb Garden,"

Ye Xiu agak kagum dengan keupayaan Blue River untuk mengenalpasti semua nama-nama pemain. Ternyata Blue River seorang yang sangat berpengalaman dan cukup mengenali pihak lawannya.

Blue River menerima mesej daripada ketua persatuan Herb Garden di server kesepuluh, Plantago Seed. "Blue River tua, kalau kamu seorang yang bermoral, kamu pasti sedar yang kami semua tiba di sini terlebih dahulu,"

Kedua-dua pihak tahu akan lokasi Blood Gunner Yagg. Sekarang ini, Herb Garden berada di tempat yang lebih dekat berbanding Blue Brook. Memandangkan senjata dan tahap kedua-dua persatuan ini agak sama, peluang untuk Blue Brook memperolehi kelebihan tidak tinggi.

"Berambuslah!" jawab Blue River. Peluang membunuh bos liar bukannya 'siapa datang dahulu, dia yang dapat', tetapi Plantago Seed gemar bercakap yang bukan-bukan.

"Berapa orang kamu bawa?" tanya Plantago Seed.

"Lebih kurang sama ramai dengan kamu," jawab Blue River.

"Nak bergabung tak?" tanya Plantago Seed lagi.

"Apa maksud kamu bergabung?" kata Blue River.

"Memandangkan kita berdua dah sampai, jadi tak lama lagi Tyrannical Ambition pasti sampai juga. Kita hantar beberapa orang pemain kita untuk menghalang mereka, kemudian kita bergantung pada kekuatan kita sendiri untuk menewaskan bos itu, macam mana?"

"Okay!" jawab Blue River tanpa berfikir panjang.

"Kita nak hantar berapa orang?"

"Setengah daripada jumlah kita!"

"Okay…."

Selepas 30 saat….

"Mana orang kamu?" tanya Plantago Seed.

"Orang kamu pula?" jawab Blue River.

"Saya dah pilih, saya sedang menunggu kamu!"

"Saya yang sedang tunggu kamu!"

30 saat lagi berlalu.

"Nampaknya kamu tak percayakan saya. Tak apa, saya pergi bergabung dengan Tyrannical Ambition kalau macam itu," kata Plantago Seed.

"Pergilah. Sebenarnya, saya sudah ada perjanjian dengan Tyrannical Ambition. Mereka sedang menunggu untuk menyerang hendap kamu. Jaga-jaga," jawab Blue River.

Plantago Seed tidak membalas.

Kedua-duanya tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Ini bukan kali pertama mereka bertemu. Tiga Persatuan Utama sudah bertarung selama bertahun-tahun, jadi mereka faham akan perangai masing-masing. Jika mereka bergabung, mereka pasti akan bergaduh kemudian. Mustahil mereka boleh bekerjasama melalui proses rundingan singkat. Mereka tidak mempercayai satu sama lain!

Persatuan Blue Brook sekarang berada sedikit sahaja di belakang Herb Garden, tetapi jarak mereka tidak terlalu jauh. Namun, mereka agak was-was untuk memulakan pertarungan kerana khuatir Herb Garden akan menyerang dari arah belakang. Walaupun mereka boleh berkomunikasi seperti kawan-kawan, sebaik sahaja mereka bertarung, tidak ada pihak yang akan memberikan belas kasihan. Begitulah lumrah permainan ini.

Kedua-dua persatuan itu mengekalkan jarak mereka dan akhirnya tiba di lokasi Blood Gunner Yagg. Namun, sudah ada ramai pemain lain yang menunggu apabila mereka tiba. Tyrannical Ambition rupa-rupanya sudah tiba dari awal lagi, tetapi mereka masih belum bertindak. Pada ketika ini, ada sekelompok pemain yang tidak dikenali sedang bertarung dengan Blood Gunner Yagg. Nampaknya, mereka hanyalah pemain-pemain biasa yang kebetulan menemui bos ini dan memutuskan untuk mencuba nasib bertarung dengannya.

"Mereka mencari nahas!" kata Blue River.

Blood Gunner Yagg memakai baju perisai berwarna putih. Wajahnya yang berwarna kelabu asap tidak menunjukkan sebarang ekspresi. Ternyata, ia juga sejenis raksasa seperti zombi. Ia memegang pistol revolver pada kedua-dua belah tangannya dan bergerak dengan sangat pantas. Dia berlari ke sana ke mari dan menembak tanpa henti. Para pemain yang mencabarnya terkena tembakan dan masing-masing menjerit ketakutan. Mereka tidak mampu berlawan dengannya.

Tyrannical Ambition sudah lama tiba, tetapi hanya berdiri sambil melihat keadaan. Mereka memastikan yang mereka berada di luar jarak serangan Blood Gunner Yagg. Herb Garden dan Blue Brook turut melakukan perkara yang sama. Mereka tidak peduli jika pemain-pemain lain hidup atau mati, mereka tidak melihat ke arah Blood Gunner Yagg pun. Mereka hanya fokus terhadap satu sama lain.

Melihatkan ketibaan dua persatuan lain, seorang pemain daripada Tyrannical Ambition berjalan ke arah Blue Brook secara senyap-senyap.

"Dia nak berunding dengan kami ke?" fikir Blue River.

Dia melihat ke arah Herb Garden. Mereka tidak bergerak, sebaliknya memberikan sepenuh perhatian pada pemain Tyrannical Ambition yang sedang menuju ke arah Blue Brook itu.

Baru sahaja Blue River hendak menyapa pemain itu, dia menjerit: "Lord Grim, kenapa kamu berada di sini?"

"Untuk turut sama terlibat dengan kekecohan yang bakal berlaku!" jawba Ye Xiu.

"Kamu berada di tempat yang salah. Marilah sini, kenapa kamu tidak sertai kami?"

Rupa-rupanya pemain yang tidak tahu malu ini adalah Endless Night.

Blue River hampir meletup kemarahan. Endless Night menganggap dia dan persatuannya seolah-olah tidak wujud.

"Persatuan kami ialah tempat yang salah? Pergi jahanam dengan persatuan kamu!" fikir Blue River.