"Di mana-mana pun sama saja kan?" jawab Ye Xiu.
"Tapi tak lama lagi, mungkin ada sesuatu yang akan terjadi di sini. Jadi, lebih baik kamu menjauhkan diri," kata Endless Night.
Hati Blue River berdegup kencang. Dia tahu Endless Night sengaja berkata sedemikian supaya Blue River mendengarnya. Nampak gayanya, Tyrannical Ambition dan Herb Garden sudah pun mencapai persetujuan untuk bergabung. Persatuan Blue Brook pasti menghadapi masalah untuk berunding dengan mereka.
"Oh, begitu ke? Kalau macam itu kenapa saya dengar tempat kamu itu yang tidak selamat?" Kata Bound Boat dari Persatuan Blue Brook.
Perang psikologi.
Perang psikologi terbalik.
Perang psikologi terbalik terbalik.
Apabila Tiga Persatuan Utama bertarung, mereka sering menghadapi situasi ini. Ia membuatkan Blue River berasa jengkel, jadi dia lebih gemar untuk tidak berbuat apa-apa dan membiarkan orang lain yang menyelesaikan masalah itu.
"Oh, ya ke? Kamu nak kata Herb Garden akan mengkhianati kami? Kalau macam itu, kan lebih baik kalau kita bergabung?" kata Endless Night.
Bergabung atau tidak, itulah soalannya.
Blue River sakit kepala. Dia menghantar mesej kepada kedua-dua ketua persatuan: "Kamu berdua buat apa ni? Kamu berdua datang sini cepat!"
Ketua persatuan Herb Garden, Plantago Seed menjawab: "Saya tak buat apa-apa,"
Ketua persatuan Tyrannical Ambition pula menjawab: "Kan saya dah hantar orang saya?"
Mereka berdua enggan bekerjasama. Blue River semakin pening. Sebenarnya, dia berharap mereka bertiga boleh menghantar wakil masing-masing dan mencari jalan penyelesaian terbaik, tetapi nampak gayanya ia tidak akan berlaku. Dalam keadaan sekarang ini, sesiapa yang bertindak dahulu pasti akan ditikam dari belakang oleh musuh mereka. Entah sudah berapa banyak kali situasi ini terjadi. Apa gunanya mereka cuba untuk mencapai persetujuan jika persetujuan itu akan dipijak-pijak dalam sekelip mata sahaja? Lebih baik jangan bazirkan masa!
Ketiga-tiga Persatuan Utama memberikan perhatian penuh dalam menjaga imej mereka. Janji yang dibuat mereka sering dipandang tinggi dan reputasi mereka sangat kuat.
Tetapi apabila mereka bertanding, kesemua kaedah yang paling keji sekalipun akan digunakan. Janji dan kepercayaan hanyalah sekadar kata-kata manis sahaja! Semua ini disebabkan oleh nafsu mereka untuk mencapai kemenangan.
Ketiga-tiga persatuan utama tidak mungkin bekerjasama antara satu sama lain. Mereka akan merisik ataupun melindungi diri masing-masing sahaja. Begitulah hubungan antara mereka.
Blue River tahu hanya ada satu perkara yang boleh dijanjikan. Setiap kali bos liar muncul, ramai pemain akan mati!
Pada saat ini, Blue River merindukan waktu dia mengharungi 'dungeon'. Jika dibandingkan dengan pertarungan menentang bos liar, tak kira sesukar mana sesebuah 'dungeon' itu, ia tetap lebih baik berbanding bos liar!
Memandangkan Endless Night tidak berhenti-henti bercakap, Blue River bersedia untuk menghunuskan pedangnya. Sewaktu dia memanggil kedua-dua ketua persatuan untuk datang ke mari, dia sebenarnya telah merancang untuk membunuh mereka. Tetapi mereka tidak berani datang, jadi Blue River terpaksa berpuas hati dengan membunuh Endless Night seorang.
Tetapi belum sempat dia melakukan apa-apa, dia terdengar Ye Xiu berkata: "Hey, adakah itu Thousand Creations?"
Blue River berpaling dan melihat seorang Battle Mage menghunuskan belantannya dan meluru ke arah Blood Gunner Yagg.
Blue River tidak ingin mempedulikannya. Thousand Creations hanyalah seorang pemain yang tidak berdisiplin dan tidak teratur.
"Saya akan pergi membantunya,"
Blue River terkejut mendengarkan Lord Grim berkata sedemikian sebelum turut meluru menuju ke arah Blood Gunner Yagg. Ini sesuatu yang tidak dapat Blue River kawal.
"Hey hey! Kenapa kamu lari? Saya belum habis cakap lagi!" kata Endless Night.
Blue River menghunuskan pedangnya menggunakan kemahiran Sword Draw dan menetak Endless Night. Tetapi, Endless Night seolah-olah sudah lama bersedia. Dia berguling ke belakang untuk mengelakkan tetakan itu.
"Oh, ketua persatuan menyerang hendap!" Endless Night mengejek.
Blue River mula mengejar. Dengan serta-merta, beberapa orang pemain di sebelahnya turut bertindak bersama-sama, tetapi Endless Night telah melarikan diri. Tyrannical Ambition mengerahkan anggotanya untuk bersedia bertarung, jadi Persatuan Blue Brook terpaksa berundur.
Mereka tidak ingin bertarung dengan Tyrannical Ambition kerana Herb Garden akan mengambil kesempatan untuk menyerang hendap!
Tiga Persatuan Utama menyekat pergerakan masing-masing. Sementara itu, lebih ramai pemain telah terkorban di medan pertarungan. Sebuah kumpulan yang pada asalnya terdapat 10 orang pemain telah tinggal sebanyak 5 orang sahaja. Setengah daripada mereka telah mati.
Sewaktu Ye Xiu mendekati Blood Gunner Yagg, dia mendengar kumpulan 5 orang itu menjerit: "Tunggu apa lagi? Cepat bunuh!"
Nampaknya para pemain ini tidak menyedari apa yang sedang berlaku. Jika mereka gagal membunuh Blood Gunner Yagg, mereka akan mati. Jika mereka hampir membunuh Blood Gunner Yagg, Tiga Persatuan Utama akan membunuh bos liar itu terlebih dahulu sebelum membunuh para pemain ini. Tak kira apa pun, mereka pasti mati.
"Saudara! Masuk kumpulan kami!" Mereka berlima menjerit ke arah Thousand Creations. Mereka menghantar jemputan padanya tetapi dia menolaknya!
"Saya nak masuk!" kata Lord Grim sambil menuju ke hadapan dan keluar daripada kumpulan Blue River pada masa yang sama.
"Apa yang dia buat ni?" Blue River bingung. Dia keliru kenapa Lord Grim meninggalkan kumpulannya dan menyertai kumpulan yang entah apa-apa itu.
"Kalau Lord Grim hampir membunuh bos itu, kita akan curi bunuh atau tidak?" Bound Boat tiba-tiba bertanya.
Blue River tergamam.
Adakah Lord Grim fikir yang Tiga Persatuan Utama tidak akan mencuri bunuh kerana rasa hormat padanya?
Naif sekali pemikirannya! Walaupun Tiga Persatuan Utama menganggap dia sebagai seorang bakat handalan, situasi ini berbeza sama sekali. Tiga Persatuan Utama tidak akan berundur daripada bos liar semata-mata kerana Lord Grim seorang!
Sementata itu, Thousand Creations bergerak ke sana dan ke mari, menunggu peluang yang terbaik untuk menyerang.
Kelima-lima pemain lain sedang dikejar dan diserang oleh Blood Gunner Yagg. Tetapi sebaik sahaja Ye Xiu menyertai pertarungan, keadaan berubah serta-merta.
Dengan menggunakan serangan Sky Strike, Lord Grim telah berjaya melambungkan Blood Gunner Yagg ke udara. Lord Grim berjaya menemui ruang untuk memukul bos itu serta-merta, berbanding dengan Thousand Creations yang masih gagal berbuat demikian meskipun menunggu sekian lama.
Tiba-tiba, serangan Falling Flower Palm pula digunakan!
Blood Gunner Yagg diterbangkan jauh. Disebabkan dia merupakan bos liar yang jauh lebih kuat dari bos biasa, serangan Sky Strike tadi tidak melambungkannya terlalu tinggi. Tetapi Falling Flower Palm itu masih mengenai sasaran dengan tepat sekali.
Tubuh Lord Grim bergetar, dan tiba-tiba, terdapat dua tubuh Lord Grim yang muncul. Satu di tempat asalnya, manakala satu lagi berdiri di belakang Blood Gunner yang telah dijatuhkan.
Teknik Shadow Clone!
Sudah pastilah tubuh di belakang Blood Gunner itu tubuh sebenar. Dia menggenggam Blood Gunner dan melemparkannya.
Kemahiran Grappler: Fling
Sekali lagi Blood Gunner dilontarkan jauh.
Para pemain Herb Garden menjadi kecoh. Kenapa Blood Gunner semakin dekat dengan mereka?