Chereads / Avatar Raja / Chapter 55 - Melebihi Panduan

Chapter 55 - Melebihi Panduan

"Adik Tang, kamu nak cuba?" Chen Guo menghulurkan permainan Whack-a-Mole itu kepada Tang Rou.

"Dia tidak perlukannya. Ia tidak akan banyak membantu dia. Kelajuan tangan efektif dia sudah mencecah lebih kurang 200, tetapi dia belum mahir dengan dunia Glory. Tanpa pengalaman, kebolehan dia untuk menilai keadaan sangat terbatas, dan ini memperlahankan kelajuan reaksinya. Dia ada banyak potensi untuk maju, tetapi dia harus berlatih perlahan-lahan dengan selalu bermain," kata Ye Xiu.

"Habis, kamu pula macam mana? Berapa laju tangan kamu?" tanya Chen Guo.

"Saya? Saya sudah lama melepasi tahap meningkatkan kelajuan. Kalau saya gunakan 60 APM pun dah lebih dari cukup untuk menewaskan kamu," kata Ye Xiu.

Chen Guo terkenangkan saat pertama kali dia melihat betapa perlahannya kelajuan tangan Ye Xiu. Sungguhpun perlahan, dia tetap mampu menewaskan Midnight Phantom Cat. Chen Guo berasa sangat hairan sekali. Apabila mendengarkan yang Ye Xiu mampu menewaskannya dengan kelajuan 60 APM sahaja, dia tidak marah langsung. Dia tahu Ye Xiu bukan calang-calang orangnya kerana dia mampu mengubah kelajuan tangan serta-merta. Ini perbezaan utama antara pemain profesional dan pemain biasa.

"Berapa lama lagi kamu perlukan untuk kemaskini panduan itu?" tanya Chen Guo.

"Sedikit lagi. Panduan yang ditulis oleh Ye Qiu ini tidak merangkumi semua aspek. Ada panduan-panduan lain yang agak bagus juga. Saya akan tambahkan sebentar lagi. Tapi sebenarnya, membaca panduan sebelum mula bermain tak berapa bagus. Lebih elok jika seseorang itu cuba bermain dahulu dan membiasakan diri dengan kemahiran asas sebelum mula membaca panduan," kata Ye Xiu.

"Kenapa? Kalau kita baca panduan terlebih dahulu, kan kita boleh mengelak daripada melakukan kesilapan? kata Chen Guo.

"Panduan hanyalah rumusan daripada pengalaman penulisnya. Kandungannya berdasarkan kepada pengalaman pemain pada waktu itu. Selepas setahun dua ataupun beberapa bulan, seseorang akan menjumpai kaedah yang lebih efektif daripada yang dinyatakan dalam panduan. Ini bukan sahaja kerana dunia permainan berubah-ubah, tetapi juga kerana tahap kemahiran seseorang pemain akan sentiasa meningkat. Tidak ada batasan apabila melibatkan kemahiran seorang pemain. Jadi, panduan ini hanyalah sebagai rujukan sahaja dan tak perlu diikut bulat-bulat. Kalau tidak, kamu tidak akan maju!"

Chen Guo terkedu mendengarkan kata-kata Ye Xiu ini. Dia sukar mempercayai kata-kata yang sebijak itu datang dari Ye Xiu yang seperti kebodoh-bodohan orangnya. Tambahan pula, Ye Xiu berani untuk mengkritik Dewa Ye Qiu! Chen Guo teringin mencekik-cekik dia, tetapi berasa agak tidak bertenaga sekarang.

"Kalau begitu, biar saya mula main dulu!" kata Tang Rou. Dia duduk di stesen komputer bersebelahan Ye Xiu dan memasukkan kad akaunnya.

Ye Xiu mengangguk dan berpaling ke arah Chen Guo.

"Saya….saya cuma main Whack-a-Mole saja?" Chen Guo tertanya-tanya sama ada dirinya sedang dipermainkan.

"Whack-a-Mole itu akan membantu meningkatkan kelajuan reaksi kamu. Kalau nak meningkatkan kelajuan tangan efektif, kamu harus berlatih dalam permainan sebenar," kata Ye Xiu.

"Okay, baiklah," Chen Guo mengangguk.

"Okay, jumpa kamu kemudian!" kata Ye Xiu.

Chen Guo berpaling dan beredar. Selepas beberapa langkah, akhirnya dia menunjukkan reaksi. "Eh siapa bos sebenarnya? Saya ke dia?!"

Dia berpaling semula ke arah Ye Xiu. Dia melihat Ye Xiu sedang mengemaskini panduan-panduan dengan begitu serius sekali. Dia tidak lagi kelihatan seperti orang separuh mati. Chen Guo tidak terkata-kata. Dia tidak ingin menganggunya. Dia melihat pada Tang Rou pula. Tang Rou sedang memberikan sepenuh perhatian kepada permainan. Dia melihat pada permainan Whack-a-Mole di tangannya dan berlalu pergi.

Tang Rou ada bakat terpendam. Ye Xiu pula sangat handal. Tetapi dia sendiri pula? Chen Guo duduk di meja penyambut tetamu dengan mindanya bercelaru. Dia sangat mencintai permainan ini dan ingin menjadi seorang pemain yang hebat, tetapi dia tahu sukar untuk dia berbuat demikian kerana usianya sudah 27 tahun. Dalam dunia permainan elektronik, usia ini waktu untuk merenung kembali pencapaian yang telah dikecapi, bukannya memikirkan masa hadapan.

Tang Rou memasuki permainan dengan megahnya, tetapi selepas beberapa ketika, dia sudah menghadapi masalah. Kelajuan tangan 200 APM miliknya tidak mampu menyelesaikan masalah ini. Ye Xiu turut menghadapi masalah ini, begitu juga dengan Chen Guo sewaktu bermain menggunakan akaun tahap rendahnya kelmarin. Masalah itu masalah terlalu ramai pemain di kawasan permulaan!

Dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk menerima sebuah 'quest' dan mengambil masa yang panjang juga untuk membunuh raksasa. Dengan sebegitu ramai orang di 'Beginner's Village', tak kira selaju mana gerakan tangannya, sangat sukar baginya untuk membunuh raksasa. Tang Rou dicampak ke sana dan ke mari dan dibelasah teruk, tetapi dia tetap bersabar. Selepas setengah jam, akhirnya dia meningkat dari tahap 1 ke tahap 2.

Tang Rou mengeluh dan melihat ke arah Ye Xiu. Dia masih mengemaskini panduan-panduan dan kekal fokus seperti sebelumnya. Ini membuatkan Tang Rou berasa kagum.

Sedang dia melihat, Ye Xiu meletakkan tangan kirinya ke dalam poket dan mengeluarkan sekotak rokok. Dia menggoncangkannya sebanyak dua kali dan sebatang rokok melompat keluar ke mulutnya. Matanya sedikit pun tidak berganjak dari skrin komputer, begitu juga tangan kanannya yang tidak berhenti bergerak.

Dia baru sahaja hendak menyalakan rokok apabila Tang Rou menegurnya.

"Kamu tak boleh merokok di sini, nanti Guo Guo marah!" Tang Rou memberikan amaran.

"Oh….." tabiat merokok Ye Xiu sesuatu yang berlaku tanpa kesedarannya. Selepas amaran daripada Tang Rou, barulah dia sedar yang ada sebatang rokok pada bibirnya. Tempat duduk mereka sekarang terletak di sebuah sudut dan agak jauh dari meja penyambut tetamu. Tidak ada orang lain di situ selain dia dan Tang Rou.

"Dia tak nampak! Jadi saya nak hisap sebatang. Jangan beritahu dia," Ye Xiu menyalakan sebatang rokok. Dia kemudian berpaling dan bertanya dengan sopan: "Nak sebatang?"

"Tak nak. Terima kasih,"

"Kamu pernah merokok?" tanya Ye Xiu.

"Saya pernah cuba, tapi tak suka," jawab Tang Rou.

"Oh," Ye Xiu mengangguk. Dia melihat ke arah skrin Tang Rou. "Sudah tahap berapa?"

"Baru tahap 2," kata Tang Rou.

"Kamu boleh lakukannya Tang Rou!"

"Nama kamu dalam permainan adalah Lord Grim, betul?" tanya Tang Rou tiba-tiba.

Ye Xiu melihat pada rekod 'dungeon' di server kesepuluh pada skrin Tang Rou. Nama Lord Grim tertera dalam empat senarai.

"Kamu bercadang nak pecahkan rekod saya ke?" Ye Xiu tersenyum.

"Rekod 'First Clear' sudah tak boleh dipecahkan lagi kan?" tanya Tang Rou.

"Ya, sudah tak boleh," Ye Xiu mengangguk.

Tang Rou mengalihkan pandangannya pada rekod Hutan Fros.

"Rekod Hutan Fros itu, kamu takkan boleh pecahkannya sendirian," kata Ye Xiu.

"Ya, saya perlukan empat orang teman lain, betul?" kata Tang Rou.

"Tak lama lagi, kamu akan bertemu rekod yang memerlukan sampai 10 orang, 20 orang dan lebih lagi!" kata Ye Xiu.

Tang Rou hanya terdiam. Banyak perkara yang difikirkannya.

"Saya sudah siapkan panduan ini. Kamu nak saya letak di mana?" dengan bantuan rokok, akhirnya Ye Xiu menyelesaikan proses kemaskini panduan itu.

"Letak saja di 'Desktop', tapi kamu boleh buat macam ini…." Tang Rou pergi ke komputer Ye Xiu untuk menunjukkan sesuatu. Semua komputer di kafe internet akan mati dengan sendirinya pada waktu tertentu, tetapi para pekerja boleh menggunakan akaun pentadbir untuk mengelakkan ini daripada berlaku.

Kelembutan dan kelincahan jari-jemari Tang Rou jelas kelihatan melalui pergerakannya.

"Saya nak tanya, macam mana jari-jemari kamu boleh begitu laju sekali?" tanya Ye Xiu tiba-tiba.

Tang Rou berhenti apabila mendengarkan soalan itu. Ye Xiu menyedari perubahan reaksi wajahnya.

"Saya tak pernah berlatih. Saya memang lahir begini," jawab Tang Rou.

"Ya ke?" Ye Xiu tersenyum dan tidak bertanya apa-apa lagi. Dia bangun dan memberikan kerusinya kepada Tang Rou.

"Kamu duduk di sini! Kalau ada apa-apa soalan tentang dunia Glory atau tentang panduan, tanya saja pada saya," kata Ye Xiu.

"Terima kasih. Kamu pula nak ke mana?" Tang Rou melihat Ye Xiu hendak beredar.

"Saya nak pergi ke kawasan merokok. Di sana lebih selamat!" jawab Ye Xiu.