Chereads / AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 59 - Tidak Dapat Melihat Chang’an

Chapter 59 - Tidak Dapat Melihat Chang’an

Negeri Zhao terletak di bahagian selatan Wilayah Selatan yang bersambung dengan benua kecil Barat. Kedua-dua daerah ini sebahagian daripada tanah Syurga Selatan yang dipisahkan oleh Laut Bimasakti dan berkemungkinan pada masa dulu, tanah Syurga Selatan tidak terpisah seperti ini.

Bagi menjelaskan lagi keadaan ini, Negeri Zhao berada di tepi Wilayah Selatan yang terletak jauh dari laut. Hanya dengan melepasi banyak gunung, barulah Laut Bimasakti dapat dilihat.

Negeri Zhao tidaklah terlalu besar dan padat. Namun, ibu kota itu merupakan tempat yang sibuk. Meskipun udara petang dipenuhi dengan salji yang turun, rumah disinari dengan cahaya tanglung yang menghangatkan seisi warga di dalam.

Sesiapa yang tidak memiliki rumah dan berjalan-jalan di malam yang bersalji akan berasa kesepian yang tidak terungkap.

Meng Hao berjalan menyelusuri jalan di bawah dada langit yang gelap. Ramai orang yang biasanya dapat dilihat pada siang hari tidak kelihatan. Sesiapapun yang bergerak pasti memakai topi buluh yang lebar dan menundukkan kepala ketika mereka bergegas berjalan.

Melihat jauh ke hadapan, Meng Hao hanya dapat melihat bentuk bangunan yang besar dan terkemuka. Ia sebuah menara pagoda.

Menara Tang.

Ketinggiannya mencecah hampir tiga ratus meter dan ia kelihatan seperti gunung yang mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang berada di dalam kota. Salji mengelilinginya tetapi tidak dapat menyembunyikan bukti penjagaan istimewa yang dilakukan oleh Raja Zhao, para sarjana dan lain-lain yang telah membinanya.

Ia menghadap Tanah Timur, Tang Besar dan Chang'an.

Meng Hao belum pernah melihat ibu kota ataupun Menara Tang sebelum ini. Tetapi ketika dia berjalan menyelusuri jalan ke sana, dia tahu di sebalik rasa keraguannya... ini pasti Menara Tang.

Dia selalu membayangkan suatu hari nanti dia akan menjadi pegawai kerajaan dan kemudian dia akan mendaki ke puncak dan merenung jauh merentasi seluruh kawasan.

Dia memandang Menara Tang yang terletak di tengah-tengah salji yang turun. Masa pun berlalu.

"Sebelum ibu dan ayah menghilang," gumamnya pada dirinya sendiri, "angin ungu bertiup di luar. Orang mengatakan itu petanda baik dan makhluk cakerawala muncul di langit..." Dia berjalan ke hadapan dan merenung Menara Tang.

Dia berfikir tentang semua yang terjadi pada malam itu dan tidak boleh melupakannya. Pada malam itu, dia kehilangan masa mudanya. Sejak malam itu, dia tidak lagi memiliki ayah dan ibu untuk bergantung. Bermula saat itulah dia mula menjadi kuat.

Itulah detik dia mula bercita-cita ke Tanah Timur, Tang Besar!

Khabar angin tersebar mengatakan orang tuanya meninggal tetapi Meng Hao tahu mereka hanya hilang. Mereka berada di suatu tempat di luar sana. Dia tidak akan melupakan jubah ungu yang dipakai ayahnya pada malam itu ketika dia berdiri di sebelah tingkap sambil memandang angin ungu. Dia juga tidak akan melupakan bagaimana ayahnya menatap ke arahnya dengan tatapan mata yang terganggu.

Dia tidak akan pernah melupakan malam itu ataupun suara perlahan ibunya yang menangis.

Dia tidak pernah menceritakan kisah ini kepada sesiapapun tetapi telah menyimpannya jauh di dalam lubuk hatinya.

Ketika Menara Tang semakin hampir, dia tertanya-tanya kenapa dia tiba-tiba memikirkan hal sebegitu daripada masa lalu. Dia mengeluh. Keluhannya pecah berkeping-keping dalam angin bersalji. Keluhan itu tidak meninggalkan ibu kota, Negeri Zhao ataupun Wilayah Selatan. Ia juga tidak akan melintasi Laut Bima Sakti ataupun sampai ke Chang'an.

"Mungkin kerana ibu selalu bercakap tentang Tang Besar," gumamnya. "Dia memberitahu aku di ibu kota setiap negara terdapat Menara Tang dan orang mengatakan menara itu merupakan tempat yang paling dekat dengan Chang'an tanpa perlu berada di sana."

Semasa dia menghampiri kawasan yang mengelilingi Menara Tang, dia memandang ke atas.

Salji turun dalam kepingan tebal dan angin musim sejuk membisik di sekelilingnya. Semakin banyak salji di atas menara. Dari tempat dia berdiri, dia boleh melihat dengan jelas ia dibina dengan baik sekali. Asasnya mempunyai lapan sisi dan menegak seperti pagoda besar.

Ia dibina daripada bahan hijau dan kelihatan seperti yang dibayangkannya.

Walaupun keadaan bersalji, askar berkawal di sekitar sempadannya. Kawasan ini hanya boleh dimasuki oleh pegawai berpangkat tinggi dan orang yang berkuasa untuk menawarkan korban dan melaksanakan upacara.

Namun, tentera biasa tidak sedar ketika tubuh Meng Hao berlalu dan memasuki menara tersebut.

Satu tangga kuno melengkuk dibina di dalam, tangga demi tangga menjangkau ke atas. Dindingnya diukir dengan lukisan berwarna cerah yang menggambarkan Tanah Timur, Tang Besar dan Chang'an.

"Aku ingat lagi cerita ibu tentang Tang Besar kepadaku. Waktu itu aku sangat kecil, aku tidak begitu faham apa yang ibu katakan. Tetapi apabila aku terfikir semula, cara ibu menggambarkan Tanah Timur, Tang Besar dan Chang'an... seolah-olah dia telah melihatnya dengan mata sendiri. Jika tidak, bagaimana dia boleh menggambarkan semuanya dengan sangat terperinci? Seperti ukiran ini." Dia memeriksanya sambil menaiki tangga. Akhirnya, dia sampai ke puncak menara dan penghujung ukiran. Ukiran tersebut menggambarkan kehidupan dan budaya, pemandangan yang indah dan kisah legenda yang menakjubkan dengan tidak terhitung jumlahnya. Semuanya sangat menyentuh perasaan dan memberi ilham.

Di luar, salji bertebaran di udara dan diterpa angin kencang lalu menebal di atas menara. Meng Hao menarik nafas dalam-dalam dan memandang jauh. Satu-satunya yang boleh dilihatnya ialah salji. Dia tidak dapat melihat Tanah Timur, Tang Besar, atau Chang'an.

"Jadi kita tidak dapat melihat Chang'an dari sini," dia merungut secara senyap. Dia berdiri di sana dengan diam, benar-benar asyik dengan apa yang sedang difikirkannya. Dia bukan seorang pegawai kerajaan untuk menawarkan pengorbanan ke langit di sini. Dia seorang Petapa dari tahap kelapan Pemekatan Qi.

"Aku melalui jalan yang berbeza daripada sebelumnya tetapi menuju arah yang sama." Angin meniup rambutnya dan salji melekat padanya tanpa mencair seperti mengalu-alukan hidupnya; bagaikan dirinya salji.

Setelah beberapa ketika, dia duduk bersila dan mula bermeditasi dengan tenang.

Pada waktu malam, salji turun lebih lebat. Lampu bersinar di dalam rumah di ibu kota. Dari atas Menara Tang, semuanya menjadi gelap dan sunyi. Dalam kegelapan yang sunyi, Meng Hao boleh melihat dirinya bertahun-tahun yang lalu, lantas membawanya kembali ke Daerah Yunjie di tengah-tengah salji.

Malam bersalji perlahan-lahan berlalu.

Apabila fajar menyingsing, Meng Hao membuka matanya. Sukar untuk mengatakan sama ada dia melirik matahari terbit ataupun matahari terbit meliriknya terlebih dahulu.

Kota ini hidup tatkala fajar tiba. Tidak lama kemudian, jalan dipenuhi ramai orang. Meng Hao melihat dunia fana yang terbentang di hadapannya.

Dia memerhatikan dengan senyap sehingga berlabuhnya malam. Waktu fajar menyingsing. Satu hari, dua hari, tiga hari.

Selama tujuh hari, Meng Hao menatap segala-galanya. Pada mulanya, matanya nampak redup dan lemah tetapi menjadi ceria dan akhirnya menjadi tenang.

Sesuatu telah berubah dalam fikirannya. Dia telah mencapai makrifat mengenai kehidupan itu sendiri. Pada waktu subuh hari kelapan, dia memandang ke bawah untuk melihat para pegawai dan tentera tiba di Menara Tang untuk melakukan upacara. Seorang lelaki pertengahan umur berdiri di sana memakai jubah emas. Di belakangnya terdapat ramai orang, berdiri dengan kemas dalam formasi. Dia menawarkan pengorbanan ke langit dan bumi seperti yang dilakukan ramai orang awam di seluruh kota.

Meng Hao berdiri ketika mereka mula tunduk ke langit. Dia meninggalkan menara untuk mengelakkan penghormatan mereka. Dia melangkah ke atas kipas yang berharga lalu meluncur ke hadapan kerana sudah tiba masanya untuk dia pergi. Ketika dia bersiap untuk pergi, dia melihat kembali ke menara sekali lagi.

Semasa dia melihatnya, matanya membulat.

Dia melihat ramai orang menyembah sujud di luar Menara Tang yang kemudiannya mula bersinar lembut. Itu ialah cahaya berkilauan yang tidak boleh dilihat oleh manusia, tetapi boleh dilihat oleh seseorang yang dipenuhi dengan tenaga rohani.

Cahaya itu bergerak ke atas menyebabkan awan mendung di mana pusaran yang besar muncul. Ini juga tidak dapat dilihat oleh mata manusia tetapi bukan Meng Hao. Dia dapat melihat pusaran dengan jelas menyebabkannya menarik nafas. Dia kelihatan goyah.

Di dalam pusaran tersebut, dia dapat melihat timbunan tulang dan abu mayat yang tidak berkesudahan yang penuh dengan aura mengerikan dan berkilauan serta berkabus hitam. Dia tidak dapat melihat banyak butiran terperinci tetapi dapat merasakan suasana yang misteri dan mengerikan.

Fikirannya terganggu terutamanya ketika dia menyedari di dalam pusaran kabus hitam terdapat keranda besar. Di tengah-tengah abu mayat, kelihatan mayat yang mengecut duduk bersila di sebelah keranda. Tiba-tiba, mayat tersebut membuka matanya. Matanya berwarna kelabu seperti abu dan di dalamnya terdapat tujuh titik cahaya redup berputar seperti bintang. Pandangan mayat itu meluncur keluar dari dalam pusaran terus kepada Meng Hao.

Jantungnya berdebar-debar dan tanpa disedari, dia memejamkan matanya ketika merasakan rasa tusukan sakit di dalamnya. Rasanya seolah-olah tujuh bintang akan muncul di dalam matanya sendiri, sama seperti yang ada pada mata kelabu itu.

Tiba-tiba, kedutan muncul di tubuhnya dan kabus hitam yang mengerikan mula merembes keluar dari liang-liang romanya.

Meng Hao berasa sangat terkejut dan berundur dengan serta-merta. Pada masa yang sama, pusaran itu tiba-tiba disedut ke dalam awan. Perasaan sedih yang dialami itu lenyap dan semuanya kembali normal. Seolah-olah apa yang baru sahaja dilihatnya hanyalah halusinasi.

Namun, tubuhnya masih berkedut dan gumpalan samar aura kematian terus merembes keluar dari dirinya. Riak wajahnya berubah beberapa kali. Dia memandang Menara Tang. Cahaya itu sudah tiada tetapi orang ramai terus melakukan penghormatan. Wajahnya menjadi gelap dan tanpa ragu-ragu dia menggunakan kipas yang berharga itu sehingga had maksimumnya. Tubuhnya berubah menjadi aliran cahaya dan dia menghilang di kejauhan.

Dia melangkah keluar dari ibu kota sambil memandang ke arah Menara Tang beberapa kali. Matanya mengimbas langit dan keraguan mula muncul dalam hatinya.

"Ini tidak mungkin halusinasi... Menara Tang... apakah tempat itu sebenarnya? Pada mulanya aku fikir ia merupakan tempat manusia tetapi itu sememangnya tidak benar! Tempat apakah di dalam pusaran itu...? Abu mayat, aura kematian dan semua tulang itu..." Kepalanya menjadi pening ketika memikirkan mayat yang dilihatnya di tengah-tengah abu mayat.

Matanya tidak berperasaan, suram dan mengerikan terutama tujuh bintang di dalam anak matanya yang kelabu. Ketika dia memikirkan hal ini, tubuhnya menjadi dingin dan mengeluarkan peluh.

"Keranda... itu." Meng Hao menarik nafas dalam dan matanya dipenuhi ketakutan.

"Siapakah yang berada di dalam keranda itu dan mengapa ia tiba-tiba muncul di dalam pusaran. Kenapa...? Adakah ia berkaitan dengan Menara Tang...? Adakah itu ada kaitan dengan Tang Besar di Tanah Timur?" Meng Hao berfikir dengan teliti sambil melihat kembali ke arah Menara Tang. Perasaan kagum dalam dirinya semakin kuat. Dia menarik nafas dalam sekali lagi lalu meluncur ke hadapan sebelum jatuh ke tanah dan berlari.

Dia mula terfikir dilihat oleh mayat dalam pusaran… ialah satu malapetaka....