Chereads / AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 62 - Selesainya Satu Gelombang

Chapter 62 - Selesainya Satu Gelombang

Sebaik sahaja Ceracak Neraka menyentuh ruang di antara kening Yan Ziguo, salji hitam mula tersebar dengan cepat. Dalam sekelip mata, salji itu menyelubungi seluruh tubuhnya. Bunyi retakan kedengaran dan mata Yan Ziguo terjegil. Anak matanya mengecil dan raut wajahnya kehairanan. Kemudian, seluruh tubuhnya hancur menjadi ketulan daging beku yang jatuh ke tanah.

Pada awalnya, Meng Hao ingin melarikan diri tetapi Yan Ziguo telah merancang supaya jalannya untuk melarikan diri disekat. Oleh itu, Meng Hao membuat keputusan untuk mengalahkannya.

Dia sudah agak lama terlibat dalam dunia Pertapaan dan sangat berwaspada dengan undang-undang hutan. Dia tidak kisah jika mereka tidak menyerang, tetapi apabila tiba saatnya, serangan itu akan berlaku tanpa sedikitpun belas kasihan. Jika tidak, matilah dia.

Peristiwa yang silih berganti ini telah menyebabkan para pengikut Sekta Badai Salju yang berada di sekeliling berasa terkejut dan takut. Tiga ekor binatang kabus muncul sambil melolong kejam dari skrol lukisan Meng Hao yang berhampiran dengan mereka.

Tiga ekor binatang kabus itu kelihatan garang dan raungan mereka memenuhi daerah itu dengan tekanan yang kuat. Mereka kelihatan seperti tiga kumpulan kabus hitam ketika menyerang secara langsung ke arah Pertapa dan kemudian melanggarnya.

Bunyi letupan bergema dan riak terkejut muncul di wajah Abang Liu, Pertapa tahap kesembilan Pemekatan Qi. Dia menepuk kedua tangannya dan melambai ke depan lalu muncullah satu sepanduk merah. Sepanduk itu berdesir di udara dan menghasilkan api yang besar, lebih tinggi daripada tiga puluh meter dan bergerak ke semua arah. Api itu menghala ke arah binatang buas tersebut.

Meng Hao mengabaikan Sami Pertapaan yang lain yang berada dalam keadaan yang sangat kucar-kacir. Dia bergerak ke bawah dan terus menuju ke arah wanita yang memiliki mutiara biru laut. Dia dapat mengagak mutiara itu ialah barang sakti yang mempunyai mantera istimewa.

Wajah wanita tersebut tiba-tiba menjadi gelisah dan dia berundur dengan pantas. Namun, Meng Hao lebih pantas daripadanya; tiba-tiba Meng Hao berada berhampirannya. Dia melambaikan tangannya dan menyebabkan wanita itu berpusing lalu menyemburkan darah keluar mulutnya. Dengan rasa takut, dia melepaskan mutiara itu yang terbang jauh.

Wanita itu mungkin cantik, tetapi dia musuh Meng Hao. Dia memandang wanita itu dengan dingin dan mengangkat tangannya dengan gerakan seperti mencakar. Mutiara itu bergerak ke arahnya lalu mendarat di tangan Meng Hao.

Sejurus selepas Meng Hao menyentuhnya, kedengaran dentuman guruh. Tiga ekor binatang kabus tersebut hancur sepenuhnya ketika api nyala Abang Liu mengelilingi mereka dan kemudiannya tersebar ke arah Meng Hao.

"Kamu mungkin memiliki banyak khazanah," kata Abang Liu dengan raut wajah yang jelik, "tetapi kamu telah membunuh anggota Sekta Badai Salju. Matilah kamu!" Semua rakan pengikut di belakangnya berada dalam keadaan yang sangat teruk. Tetapi itu semua tidak penting. Pasti sukar untuknya menjelaskan kematian Yan Ziguo apabila dia kembali ke Sekta nanti. Dia tidak berusaha untuk menyembunyikan niatnya yang ingin membunuh Meng Hao.

Meng Hao tidak berkata apa-apa. Ketika api yang hangat menyala itu bergerak ke arahnya, tangan kirinya menepuk beg sakti lalu muncullah sebuah jaring hitam yang besar. Dia melibasnya dan jaring itu melonjak ke langit. Jaring itu melepasi api kebakaran dan segera memadamkannya. Jaring itu menjadi lebih besar dan lebar sehingga terus mendekati Abang Liu.

Wajah Abang Liu terherot. Dia mengangkat tangan kanannya yang mempunyai serpihan jed yang dipatahkannya. Tiba-tiba, tubuhnya menjadi kabur ketika dia baru sahaja menunduk keluar dari jalur jaring tersebut. Di belakangnya, terdapat dua pengikut lain yang terperangkap dalam jaring. Jaring itu memancarkan suhu yang tinggi sehinggakan pakaian mereka terbakar dengan cepat. Dalam beberapa saat, tubuh mereka yang hangus mula dicincang berkeping-keping.

Kedengaran jeritan mengerikan yang telah menyebabkan wajah pengikut Sekta Badai Salju yang selebihnya menjadi pucat. Mereka gementar ketakutan. Bahkan Abang Liu memandang dengan mata terbeliak. Dia tidak akan dapat meneka Meng Hao memiliki barang sakti seperti ini.

Bahkan ketika semua ini terjadi, Meng Hao terus bergerak di mana tangan kanannya mengambil mutiara tersebut dan lalu menghancurkannya. Mantera perangkap raksasa yang menyelubungi kawasan itu berkelip dan kemudian mula tersebar. Tangan kiri Meng Hao bergerak dalam pola mantera yang diarahkan ke arah kipas khazanah. Dia meraih lembing perak ketika enam belas bulu kipas itu berputar di sekelilingnya untuk membentuk perisai kemudian membawanya ke hadapan lalu menembak ke arah mantera pengurai.

"Kamu nak lari? Jangan haraplah!" Abang Liu menepuk dahinya lalu aura pedang muncul dari mulutnya. Satu pedang terbang lut sinar yang bersaiz jari kelingking muncul. Aura pedang yang berkilauan itu terhasil ketika ditembak untuk mengejar Meng Hao.

Meng Hao bergerak pantas dan nampakya hendak melarikan diri. Dia melambaikan tangannya di belakang dan jaring hitam itu menghasilkan bunyi kuat yang bergema. Dua Pertapa yang telah terperangkap di dalamnya sekarang dicincang sepenuhnya. Jaring itu mula bergulung lalu mengheret beg sakti mereka bersama ketika ia terbang kembali ke lengan Meng Hao.

Pada masa ini, pedang Kristal Abang Liu yang bersinar hampir terkena Meng Hao. Senjata itu hampir sahaja menusuknya ketika Meng Hao merasakan sesuatu yang merbahaya akan terjadi. Dia tidak mempunyai keupayaan untuk melawan dengan seseorang yang mempunyai kekuatan di tahap kesembilan Pemekatan Qi. Melihat keganasan aura pedang, mata Meng Hao menyala. Keenam belas bulu digulung bersama dan kemudian menjadi enam belas pedang yang menembak ke arah pedang kristal Abang Liu.

Kedengaran bunyi ledakan yang menggegarkan. Lapan daripada enam belas bulu dihancurkan dan pedang kristal berputar. Lapan bulu yang selebihnya kembali terbentuk menjadi kipas di bawah kaki Meng Hao. Namun, kipas itu jelas lebih lambat dari sebelumnya.

"Dengan bulu yang sedikit, kipas kamu tidak akan menjadi pantas!" kata Abang Liu sambil ketawa puas. Namun, ketika kata-kata itu keluar dari mulutnya, matanya membulat. Meng Hao menepuk beg saktinya dan lapan bulu yang lebih kurang sama muncul. Kipas khazanah itu sekali lagi menjadi kukuh dan Meng Hao berubah menjadi cahaya kabur ketika dia terbang pantas dari jauh.

"Celaka!" Niat membunuh Abang Liu menjadi semakin kuat. Dia berlari mengejar. Melihatkan hal ini, para pengikut yang selebihnya tidak mempunyai banyak pilihan selain mengikutinya. Sambil mengetapkan gigi, mereka mengeluarkan barangan sakti dan berlari mengejarnya.

Hanya seorang pengikut wanita yang asas Pertapaannya tidak cukup kuat, berasa ragu-ragu dan tidak ikut mengejar.

Meng Hao berdiri di atas kipasnya dengan wajah yang muram dan aura kematian masih memancar dari tubuhnya. Dia mengeluarkan dua beg sakti yang baru sahaja dia peroleh lalu memeriksa dengan cepat. Barangan sakti dan pil perubatan yang berada di dalam tidak bernilai baginya akan tetapi dia menemukan tiga mutiara putih, barangan yang pasti diperlukannya.

Dia mengeluarkan satu dan mutiara itu terus menyedut aura kematian. Dalam kira-kira sepuluh nafas, mutiara itu telah menjadi sangat hitam dan tidak dapat menyerap lagi.

Meng Hao mengerutkan kening sambil memandang sejenak mutiara itu sebelum menjatuhkannya.

"Aku tidak boleh melakukan sebarang duplikasi pada saat ini. Sebaik sahaja aku menyingkirkan mereka ini, aku akan membuat beberapa duplikasi mutiara. Itulah yang akan menyelesaikan masalah aura kematian yang menarik perhatian orang." Dia berpusing ke belakang untuk melihat guruh yang betul-betul bergelora. Kilauan cahaya mengelilingi Abang Liu daripada Sekta Badai Salju ketika dia meluncur naik untuk mengejar Meng Hao. Tiga individu dapat dilihat di belakangnya berada di atas tanah sedang berlari dengan sangat pantas.

"Tiga orang itu biasa-biasa sahaja," gumam Meng Hao pada dirinya sendiri. "Membunuh mereka tidak akan menjadi masalah. Tapi pemuda yang bernama Liu itu berada di tahap kesembilan Pemekatan Qi. Dia juga memiliki banyak barangan sakti. Dalam pertempuran singkat tadi, dia tidak menggunakan sebarang sihir. Berlawan dengannya bukanlah sesuatu yang bijak … . Pertempuran dengannya tidak akan memberi apa-apa manfaat." Senyuman muncul di wajahnya. Bahkan, jika Abang Liu berada di tahap kesembilan, dia tidak mungkin memiliki pil perubatan sebanyak Meng Hao. Dia hanya akan terus berlari sehingga pihak lain keletihan.

Rancangannya terlakar dalam fikiran sambil dia menepuk beg sakti untuk mengambil tiga biji Pil Rohani Bumi lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Dia berasa sedikit kesal.

"Aku telah membazirkan lapan duplikasi bulu dan sekarang aku terpaksa membazirkan pil perubatan. Jika aku terus berlawan seperti ini, beg sakti aku akan menjadi semakin susut. Aku juga lupa untuk mengambil beg sakti Yan Ziguo. Aku mesti lebih berhati-hati pada masa akan datang." Dia sedikit tertekan. Pil Rohani Bumi dimasukkan ke dalam tubuhnya lalu dirinya dipenuhi dengan tenaga rohani yang tidak terbatas. Kepantasannya meningkat.

Waktu berlalu pergi dan tidak lama kemudian senja muncul. Sepanjang masa Meng Hao meluncur dengan sangat cepat. Kadangkala dia melayang di atas kipas khazanah dan kadang-kadang dia akan berlari. Abang Liu berada di belakangnya sepanjang waktu sambil ketawa ngeri. Meng Hao jauh lebih berpengalaman sekarang. Meskipun meluncur melalui pedang terbang tidaklah secepat kipas khazanah, dia masih berada dalam keadaan tenang.

Jauh di belakangnya, tiga orang pengikut Sekta Badai Salju yang turut serta mengejarnya sedang mengerang dan merintih. Mereka tidak berani berputus asa kerana takut ini akan menyebabkan kemarahan Abang Liu.

Meng Hao berlari sehingga waktu senja. Tiba-tiba, dia menjadi semakin bersemangat. Aura kematian yang terus dipancarkan daripada tubuhnya kini terapung jauh. Hatinya mula berdebar. Dia memandang ke arah itu dan tiba-tiba melihat sinar cahaya prisma bergerak di udara. Di belakangnya ada sepuluh atau lebih individu yang berlumba mengejarnya dengan kaki.

Sinar cahaya itu bertukar menjadi dua orang. Kedua-duanya berumur kira-kira dua puluh lima atau dua puluh enam tahun dan berada pada tahap kelapan Pemekatan Qi. Masing-masing berdiri di atas seruling batu jed hijau yang panjangnya kira-kira dua meter. Mata mereka berkilau seperti kilat terutamanya salah seorang daripada mereka yang memakai jubah merah. Melalui kekuatan yang berasal daripada asas Pertapaannya, dia sudah dekat untuk mencapai tahap kesembilan Pemekatan Qi.

Di antara orang-orang yang mengikuti mereka berlari ialah Sun Hua. Dia membawa mutiara di tangannya yang sedang menyerap aura kematian.

"Jadi, kamu masih di Negeri Zhao, Meng Hao!" kata Sun Hua dengan ketawa kuat. Dia memandang Meng Hao dengan rakus. "Abang Zhou, Abang Xu, ini Meng Hao. Dia memiliki khazanah Bapa Reliance. Bahkan Sekta Takdir Ungu Lembayung tertarik kepadanya! Dia menipu mereka dan membangkitkan kemarahan mereka. Dia pasti masih menyimpan barang khazanah itu bersamanya!" Dia sangat berdebar memikirkan barangan khazanah yang dimiliki Meng Hao. Dia berangan mendapatkannya sejak dia menyaksikan apa yang terjadi pada hari itu.

Nasib baik dia telah bertemu dengan Kakak Han daripada Sekta Badai Salju beberapa hari sebelumnya. Sewaktu saat intim, dia berjaya mendapatkan beberapa maklumat daripadanya tentang Meng Hao. Kemudian, dia segera bertemu dengan beberapa orang daripada Sekta dan mula menggunakan mutiara penyerap aura kematian untuk mengesan Meng Hao.

Ketika mereka muncul dan melihat Abang Liu yang mengejar Meng Hao seperti guruh dengan penuh niat membunuh, raut wajah mereka serta-merta berubah.

Mata Sun Hua berkelip-kelip dan kedua-duanya iaitu Zhou dan Xu meluncur ke udara sambil mendengus dingin. Mereka bergerak untuk menghalang jalan Meng Hao dengan jari-jari yang bergerak dalam pola mantera. Seruling di bawah kaki mereka mula memancarkan suara jeritan yang mengerikan berserta dengan kepulan kabus nipis. Kabus berubah menjadi tangan raksasa yang menembak ke arah Meng Hao.

"Pergilah!" kata Meng Hao dengan mata yang membara. Dia mengangkat tangan kanannya dan tiba-tiba Ular Sawa Berapi sepanjang dua puluh atau tiga puluh meter muncul. Ia memancarkan panas yang sangat menyengat, lantas ditembakkan ke arah tangan yang terbang tersebut.

Meng Hao melibas lengan baju kanannya dan dua bilah pedang kayu muncul. Pedang kayu itu bersinar cerah dan menjadi taring Ular Sawa Berapi ketika melonjak ke hadapan.